Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,225
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

Lebuhraya Utara-Selatan

8

Jam sudah dua belas malam. Ainnur sudah mulai gelisah. Sudah penat dia melihat jam tangan. Kepalanya sudah juga sudah penat menoleh ke luar tingkap kereta. Mulutnya sudah letih bertanya. Walau hari sudah lewat begini, mereka masih belum sampai ke Kuala Lumpur. Sekarang mereka baru berada di Slim River. Semuanya gara-gara Dr. Ahmad Redza yang melencong ke Ipoh dulu tadi semata-mata mahu mencari limau bali Tambun. Macam sudah tiada masa lain hendak ke sana. Sudahlah mereka bertolak dari Pangkor tadi selepas Maghrib.

Dia menjeling jam di dashboard kereta dengan rasa geram. Sudah tengah malam! Nyata kini mereka memang sudah lewat benar. Pagi tadi, semasa Dr. Ahmad Redza mempelawanya pulang ke KL bersama, ingatnya dia akan sampai ke rumah awal. Kalau dia tahu begini, lebih baik dia naik bas saja bersama adik-adik Kem Ukur pulang ke kampus di Pulau Pinang. Pagi esok, dia boleh usahakan balik ke Kuala Lumpur dengan bas, keretapi mahupun kapal terbang.

Rasa menyesal kerana menurut pelawaan Dr. Ahmad Redza datang bertimpa-timpa. Tetapi menyesal kemudian memang tiada gunanya. Kalaulah ibunya tahu dia berdua-duaan dengan suami orang, pada waktu tengah malam buta begitu, memang teruklah nanti dia dibebelkan ibunya. Silap-silap hari bulan, dia tidak akan dibenarkan keluar rumah sebulan. Dia berdoa semoga dia tidak bertemu sesiapa yang dikenalinya sepanjang perjalanannya pulang ke KL ini. Doanya lagi biarlah cepat dia sampai ke ibukota. Hatinya tidak sedap. Memang dia seolah-olah sengaja mahu menempah nahas!

“Saya dah mengantuk sangatlah Leen.” Tiba-tiba Dr. Ahmad Redza berkata memecah kesepian di dalam kereta. Sebelah tangannya menahan kuap akibat mengantuk sebentara sebelah lagi menolak stereng kereta ke kiri, keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan.

Bagai boleh membaca fikiran Dr. Ahmad Redza, wajah Ainnur semakin menggelabah. Hatinya yang tidak sedap jadi semakin tidak keruan. Dadanya berdebar hilang rentak. Baru dia menyedari yang Dr. Ahmad Redza sedari tadi sengaja melengah-lengahkan perjalanan. Tidak! Dia tidak harus terus mengikut semua yang direncana oleh Dr. Ahmad Redza sekalipun dia hanya penumpang di dalam kereta itu. Otaknya mula ligat mencari jalan.

“Dr. nak saya drive ke?” Ainnur bertanya sambil tangannya menarik keluar tali pinggang keledar yang membelit diri sejak tadi.

“Tak apa…tak apa… Saya penat sangat. Saya tidur sekejap saja. Awak jangan pergi ke mana-mana tau. Kunci pintu,” arah Dr. Ahmad Redza yang sudah memberhentikan keretanya di hadapan deretan kedai makan 24 jam di kawasan Rehat dan Rawat Ulu Bernam tanpa menghiraukan cadangan ‘bernas’ Ainnur tadi.

Dia menarik keluar tali pinggang keledarnya lalu melaraskan punat di kerusi bagi membolehkannnya baring. Bila kedudukannya sudah selesa, dia meletakkan tangannya di atas dahi. Tidak perlu menunggu lama, tidak lama kemudian kedengaran dia mengeruh kecil tanda dia benar-benar kepenatan. Langsung dia tidak pedulikan Ainnur yang terkebil-kebil memandang di sebelahnya.

Ainnur tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Perasaannya berbelah bahagi. Antara curiga dan malu kerana berprasangka tidak baik tadi. Kalau dia hendak balik sendiri sekarang ini, mana hendak dicari bas pada malam-malam begini. Hendak keluar dari kereta, dia takut. Tempat ini begitu asing baginya. Lama juga dia terkebil-kebil hingga akhirnya dia juga terlelap sendiri.

“Leen! Leen! Bangun Leen!” Tiba-tiba Ainnur terasa bahunya disentuh. Dia terpisat-pisat mengenyeh mata. Wajah Dr. Ahmad Redza di sebelahnya terasa berbalam-balam. Dalam mamai, dia cuba memberi fokus kepada lelaki yang berada di sebelahnya yang sudah duduk tegak di kerusi pemandu.

“Kita kat mana ni?” Ainnur bertanya. Waktu-waktu gelap begitu, dia tidak boleh mengagak di mana kedudukan mereka sekarang. Nyenyak sangat dia tidur sampai kereta bergerak tadi, langsung dia tidak sedar hinggalah Dr. Ahmad Redza mengejutkannya tadi. Kalaulah tidak dikejutkan tadi, agaknya sampai ke KL baru dia tersedar. Maklumlah badannya benar-benar lesu.

“Kita di Tanjong Malim,” beritahu Dr. Ahmad Redza sambil membetulkan kedudukan cermin matanya. Dia memandang ke arah Ainnur yang masih kelihatan mamai itu.

“Saya dah tak boleh nak drive dalam keadaan mengantuk macam ni. Saya betul-betul penat, awak pun rasanya penat. Kalau bawa kereta pasti membahayakan diri masing-masing. Saya…. Saya… ingat, bukan ingat…. Saya dahpun tempah bilik untuk rehatkan diri sampai subuh. Lepas tu kita balik ye…Boleh Leen?” Dr. Ahmad Redza menjelaskan. Dia tidak mahu Ainnur berprasangka buruk terhadapnya.

“Oklah kalau macam tu. Jangan bimbang, saya okey aje tidur kat sini. Selamat malam Dr.!” Ainnur membetulkan kedudukannya lalu kembali memejamkan matanya. Namun tidak lama kemudian dia menyedari Dr. Ahmad Redza tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia kembali membukakan mata yang masih mengantuk.

“Ops, maaf, saya lupa Dr. belum keluar. Jangan bimbang, saya akan kunci pintu nanti.” Ainnur tersengih mengenangkan kebodohannya. Tentu saja Dr. Ahmad Redza risaukan keselamatannya yang nampak sangat sedang mamai itu. Kalaulah dia terus tertidur tadi dengan tidak mengunci pintu kereta, macam-macam boleh terjadi kepada dirinya.

“Hei! Awak ingat saya akan biarkan awak tidur sorang-sorang kat sini dan saya sedap tidur kat dalam hotel. Saya ni bukannya lelaki tak bertanggungjawab tau. Mari! Saya dah tempah bilik untuk awak.” Dr. Ahmad Redza berkata menjelaskan kepada Ainnur mengapa dia masih tercegat di situ sedangkan dia sudah memberitahu yang dia telah menempah bilik di hotel tadi.

Ainnur yang masih mamai duduk tegak seketika seolah-olah berfikir sebentar. Ada logiknya kata-kata Dr. Ahmad Redza. Tentu bahaya dia tidur sendirian di dalam kereta pada waktu sebegini. Mengenangkan keselamatan dirinya, akhirnya dia bangun lalu keluar dari kereta mengikuti Dr. Ahmad Redza yang sudahpun keluar dari kereta.

“Tak payah bawa apa-apa, kecuali telekung. Pakai aje baju yang sama, jimat masa. Kita bukannya nak tidur lama-lama. Ada beberapa jam saja lagi.” Semasa Ainnur berdiri di tepi bonet kereta untuk mengambil pakaiannya di dalam beg, Dr. Ahmad Redza memberitahu. Ainnur hanya menurut saja. Dia sudah malas hendak berfikir lagi apabila melihat jam di tangan sudah menunjukkan angka 3 pagi. Dia membuntuti Dr. Ahmad Redza yang telah beberapa langkah di hadapannya.

Sampai di muka pintu bilik hotel, Ainnur seperti orang kebingungan. Dia memandang saja Dr. Ahamd Redza yang sudah melenggang masuk ke dalam biliknya.

“Er…. Dr., mana kunci bilik saya?” Sekalipun baru bangun tidur, Ainnur masih ingat yang Dr. Ahmad Redza pernah memberitahunya, dia sudah menempah bilik untuknya. Mungkin Dr. Ahmad Redza terlupa memberi kunci bilik kepadanya lalu terus menonong masuk ke biliknya sendiri. Ainnur hanya tercegat di depan pintu bilik Dr. Ahmad Redza menantikan lelaki itu keluar semula memberikannya kunci.

“Dr.! Dr.!” Ainnur memanggil dengan suara yang lebih kuat. Dia tidak peduli jam sudah pagi dan suaranya bakal mengganggu penghuni lain yang sedang enak tidur.

“Syy. Jangan bising-bising Leen, nanti kacau orang nak tidur.” Dr. Ahmad Redza kembali ke muka pintu setelah meletakkan beg pakaiannya di tepi katil. Dia tidak mahu membiarkan Ainnur bising-bising di luar pintu biliknya. Jika ada orang yang terjaga, tentu kalut jadinya nanti. Dia tidak mahu mengundang masalah.

“Saya tak kira. Bak sini kunci kereta Dr. Saya nak balik ke kereta.” Ainnur membentak di pintu bilik. Di kepalanya hanya berfikir yang bukan-bukan saja dan rancangannya untuk menyelamatkan diri. Dia akan menjerit jika Dr. Ahmad Redza tidak mahu menunaikan permintaannya.

Tetapi kemudian hasratnya terbatal kerana seorang lelaki Cina yang hanya memakai seluar pendek tetapi tidak berbaju keluar dari biliknya, betul-betul di sebelah Ainnur membuat bising tadi.

“Hallo! Banyak bising… mau gaduh, pergi luarlah… sini orang mahu tidur!” Pandangan lelaki itu sekejap kepada Ainnur sekejap kepada Dr. Ahmad Redza. Matanya yang sememangnya sepet dikecilkan lagi kerana menahan sirna lampu di koridor yang sedang menyala.

“Maaf encik kerana mengganggu.” Dr. Ahmad Redza mengangkat tangan kepada lelaki Cina itu lalu memberi isyarat mata supaya Ainnur segera masuk ke bilik bagi mengelakkan masalah yang lebih besar dari berlaku.

Ainnur buat-buat tidak faham dengan isyarat yang ditunjukkan oleh Dr. Ahmad Redza. Dia berdiri tegak sambil memeluk tubuhnya tanda tidak akan berganjak dari tempatnya berdiri.

“Amoi! Tak mau gaduh-gaduhla… esok boleh sambung. Sekarang masuk tidur lo!” Lelaki Cina itu memberi nasihat kepada Ainnur bila dilihatnya Ainnur tidak bertindakbalas kepada isyarat Dr. Ahmad Redza.

Di kepalanya dia memikirkan kedua-dua pasangan suami isteri itu sedang bergaduh kerana sesuatu perkara. Dia mengharapkan mereka berdua memahami situasinya yang sedang mengantuk kerana dia baru tidur jam 1 pagi tadi. Esok pagi-pagi, dia perlu bangun awal kerana urusannya masih belum selesai.

Seorang lagi lelaki Cina teman kepada lelaki tadi tiba-tiba menjenguk di muka pintu biliknya dalam keadaan menguap. Lelaki yang badannya penuh tatoo itu bertutur dalam bahasa Tionghua bertanyakan kepada temannya apakah yang terjadi hingga tidurnya terganggu. Dia menggaru-garu kepalanya dalam keadaan mamai lalu memandang sekilas kepada Ainnur.

Temannya kemudian menggeleng kepala lalu kembali memandang kepada Ainnur. Pandangannya kali ini begitu menakutkan Ainnur seolah-olah berkata jika tidak bergerak sekarang, dia akan ‘selesaikan’ dengan caranya supaya Ainnur diam. Hendak tak hendak, demi keselamatannya, Ainnur terpaksa juga melangkah masuk ke dalam bilik itu.

“Dengar sini baik-baik Leen… er… saya… memang hanya tempah satu bilik saja. Ada 2 sebab. Pertama bilik dah penuh. Kedua jam dah pukul 3 lebih. Jadi saya ingat kalau kita tempah dua bilik, tentu membazir sebab…. 2 jam lagi dah Subuh. Kita hendak berehat sekejap saja. Saja janji lepas Subuh, kita balik. Sekarang ni boleh tak awak duduk dulu diam-diam?” Dr. Ahmad Redza memberitahu mengharapkan pengertian dari Ainnur sebaik Ainnur masuk ke dalam bilik dan berdiri tegak menunjukkan tanda protesnya.

“Kalau awak masuk ke kereta pada jam 3 pagi begini, nanti diculik orang bagaimana?” Dr. Ahmad Redza meminta Ainnur berfikir dua kali tentang tindakannya. Dia memandang Ainnur yang seolah-olah memandangnya dengan pandangan kosong.

“Percayalah…saya janji tak akan buat apa-apa pada awak. Takkan awak tak percayakan saya. Sayakan pensyarah awak. Daripada menggadaikan keselamatan awak kepada orang yang awak tak kenal, bukankah lebih baik awak di sini saja. Saya tak akan buat apa-apa pada awak.” Dua kali Dr. Ahmad Redza menanam janji, cuba meyakinkan Ainnur, hanya bersamanya gadis itu akan selamat pada waktu hening begitu.

Dahi Ainnur berkerut. Dia sedang memikirkan sesuatu yang lebih logik tetapi dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya, akalnya sudah tidak boleh berfikir jauh. Perlahan-lahan kata-kata Dr. Ahmad Redza itu dicernanya secara positif. Lelaki itu adalah pensyarahnya, yang punya isteri di rumah. Kalau lelaki itu hendak mengambil kesempatan padanya, tentu sudah lama dilakukannya, bukan sekarang, fikir Ainnur lagi.

Dia yakin lelaki itu tidak pernah ada perasaan padanya sejak 4 tahun lepas. Hanya dia yang mengharap sendiri. Lagi pula, seperti kata Dr. Ahmad Redza, hanya ada beberapa jam saja lagi…Di luar sana entah apa pula yang akan terjadi kepadanya nanti. Dengan teragak-agak, Ainnur berjalan ke arah sofa di tepi dinding lalu duduk. Mukanya memang masam kerana geramkan Dr. Ahmad Redza yang berjaya menjeratnya hingga dia tidak punya pilihan lagi. Dia tersepit. Dia berdoa semoga orang yang dikenalinya malah dihormatinya selama 4 tahun itu akan dapat memegang janji dan melindunginya.

“Ini kawasan saya, dan itu kawasan awak.” Dr. Ahmad Redza memberitahu sambil menunjukkan sempadan yang hanya dipisahkan oleh bantal peluk. Dia memandang ke arah Ainnur yang wajahnya sudah tidak dapat diteka riaknya sama ada pucat kerana marah ataupun takut.

“Jangan risau, saya tak akan buat apa-apa pada awak Leen. Rehatlah. Saya nak pergi bilik air.” Lelaki itu berjanji untuk menyedapkan hati Ainnur buat kali yang ketiga. Wajah Ainnur dipandang lagi sebelum dia menarik beg kecil berwarna hitam di tepi katil tadi lalu diletakkannya di atas katil di kawasan sempadannya.

Tanpa Ainnur sedar, lelaki itu memandangnya dari ekor mata walau tangannya sibuk dengan beg pakaiannya. Dia sedang menilai reaksi Ainnur. Di kepalanya sedang berfikir sama ada hendak meneruskan agenda yang sudah separuh terlaksana ataupun menukar rancangannya di saat-saat terakhir.

Bagi Ainnur pula dia bukan sekadar tidak berani untuk duduk di atas katil itu sebagaimana disarankan oleh Dr. Ahmad Redza, memandangnya pun dia sudah seram sejuk. Walaupun lelaki itu sudah ‘menggariskan’ sempadannya dan sudah berjanji 3 kali untuk tidak mengapa-apakannya, dia sudah mula rasa cuak. Berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim di dalam bilik hotel di tengah-tengah pagi buta seperti itu memang kerja gila. Tiba-tiba dia diserbu rasa sesal. Tapi dia tak tahu apa yang perlu dibuatnya saat ini. Dia sudah terperangkap!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.