Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,266
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

Universiti Teknik Malaysia,

Kampus Kejuruteraan, Pulau Pinang

4

Ainnur tergelak melihat wajah cuak Rafiza. Agak lama juga dibiarkannya Rafiza termenung memandang buah durian yang sedang terbentang di depan matanya gara-gara teori sendiri. Kasihan melihatkan temannya yang nampak buntu tidak tahu membuat keputusan, Ainnur bangun dari katilnya. Dia berjalan ke meja belajarnya lalu mencapai sebuah buku kecil dari celah-celah buku belajarnya. Buku kecil itu diselak ke satu mukasurat yang sudah ditanda lalu dihulurkan kepada Rafiza.

“Bacalah ayat seribu dinar.” Ainnur berkata kepada Rafiza yang sedang mendongak memandang ke arahnya yang sedang berdiri. Dia mahu membuang keraguan di hati Rafiza. Sesungguhnya hanya kepada Allah sepatutnya kita bertawakkal dan menyerah diri.

“Ibu aku pesan, jika hati ragu-ragu, tawakkallah hanya kepadaNya. Amalkan selalu, insyaAllah hidup akan dipermudahkan dan diberkati.”

Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.
Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Ainnur kembali berjalan ke katilnya bila Rafiza sudah menyelak Risalah Doa pemberian ibunya sewaktu dia pertama kali mendaftar di sini dulu. Dia senyum lalu kembali menyelak majalah Libur yang ada di atas katilnya. Melihatkan Rafiza sudah tersengih-sengih, dia puas hati. Pastilah masalah temannya telah selesai!

Mulut Rafiza penuh dengan isi durian. Dia berasa sangat berpuas hati kerana durian yang sedang dihadapnya itu memang jenis bagus. Selain rasanya yang lemak manis, ia berbiji kecil. Memang rugilah kalau Ainnur tidak mahu merasa.

“Betul kau tak nak rasa? Sedap ni.” Rafiza cuba memprovokasi Ainnur bila dilihatnya gadis itu tidak memperdulikannya. Dia bimbang Ainnur yang sedang berbaring sambil membaca majalah Libur itu akhirnya terlelap lalu membiarkan dia keseorangan menghabiskan buah durian itu. Baginya marathon borak-borak mereka masih belum berakhir.

Ainnur tersenyum saja mendengar kata-kata Rafiza. Bau haruman durian yang semerbak itu memang mengganggu pembacaan Ainnur tetapi Ainnur cuba melawannya dengan mencalit hujung hidungnya dengan minyak angin. Tanpa Rafiza memberitahunyapun, Ainnur sudah dapat merasakan betapa nikmatnya rasa buah durian itu.

Kalau tidak kerana prinsipnya, sudah lama dia duduk sama bersila di hadapan Rafiza. Dia sekali-kali tidak akan makan budi yang cuba ditabur Dr. Ahmad Redza. Dia cuba menyabarkan hatinya. Esok dia boleh membeli buah durian itu di bandar Parit Buntar sebelum bertolak ke Pulau Pangkor selepas Zohor, kepalanya merencana dalam diam-diam.

“Makanlah puas-puas Fiza, jangan demam sudah.” Sempat lagi Ainnur berpesan kepada Rafiza yang sudah makan durian masuk ke pangsa ke tiga. Bimbang juga dia kalau-kalau Rafiza demam nanti gara-gara terlebih makan durian.

“Tak apa, nanti aku minum air dari pangsa ni.” Rafiza memberitahu dengan mulut yang penuh.

“Itu pesan Mak Su kau lagilah kan?” Ainnur meneka sebelum sempat Rafiza membuka cerita. Rafiza terangguk-angguk sambil mengangkat ibu jari tangan kirinya ke udara membenarkan kata-kata temannya itu. Dia betul-betul sedang menghayati kesedapan buah durian itu. Ainnur senyum lalu meneruskan pembacaannya.

Namun tidak berapa lama selepas itu matanya terasa berbalam-balam. Dia menguap beberapa kali. Matanya sudah berair tanda benar-benar mengantuk. Sudah beberapa malam dia berjaga kerana belajar. Haripun sudah agak lewat. Dia sudah tidak dapat bertahan lagi untuk menunggu hingga Rafiza selesai makan malam itu. Akhirnya majalah Libur ditangannya tadi, rebah menutup sebahagian wajahnya.

"Tadi kata nak tahu sangat kenapa aku tak boleh lekat dengan seorang boyfriend, nak tahu tak kenapa?" Rafiza berkata sambil menjilat jari-jemarinya yang diselaputi isi buah durian. Dia sudah berkira-kira mahu ke bilik air mencuci tangan. Ikutkan hati memang dia mahu menghabiskan sebiji durian, tetapi dia bimbang juga kalau-kalau nanti dia demam. Tentu tergendala rancangannya hendak balik ke kampung jika tiba-tiba dia demam esok.

“Ya ALLAH! Bertuah punya kawan, dah tidur rupanya." Rafiza tergeleng-geleng bila menyedari Ainnur sudah tertidur tidak berapa lama kemudian. Penat dia bercakap sendirian rupanya. Perlahan-lahan, dia mengangkat majalah Libur yang terletak di muka Ainnur. Dia tidak sampai hati hendak mengejutkan Ainnur. Tentu temannya itu keletihan kerana selepas tamat peperiksaan tadi, seharian pula sibuk dengan mengemas barang-barang yang hendak diangkut pulang.

Dalam hatinya Rafiza ingin membiarkan temannya itu terus tidur kerana keesokan harinya temannya itu akan ke Pulau Pangkor pula untuk membantu Dr. Ahmad Redza mengendalikan Kem Ukur untuk mahasiswa Kejuruteraan Awam Tahun 2. Pastilah Ainnur akan memerlukan banyak tenaga untuk menghadapi 5 hari yang penuh dengan aktiviti itu.

Setelah membetulkan selimut Ainnur, Rafiza terus ke bilik air untuk membersihkan diri. Sebaik kembali dari bilik air, dia berbaring di katilnya namun setelah lima belas minit terkebil-kebil, dia mengambil keputusan untuk bangun semula.

Matanya masih tidak mengantuk walaupun jam sudah menunjukkan hampir 1.30 pagi. Daripada membuang masa memandang siling, lebih baik dia mengemas pakaiannya. Dia turun dari katil lalu mengeluarkan pakaiannya yang ada di dalam almari untuk diasingkan. Mana yang masih mahu dipakai, dimasukkan ke dalam beg manakala yang hendak disedekahkan diletakkan di dalam satu beg plastik.

Sedang sibuk dia mengemas tiba-tiba dia terdengar suara Ainnur. Dia berpaling kepada temannya yang sudah duduk tegak sambil mengenyeh mata.

“Dah pukul berapa ni?” Suara Ainnur kedengaran antara tidak.

“Aku kacau kau ke?” Rafiza bertanya dengan rasa sedikit serba-salah. Mungkin bunyi bukunya yang terjatuh dari meja belajar tadi telah membuatkan Ainnur terkejut dari lenanya.

“Taklah... aku tadi nak lelap kejap je tadi... dah pukul berapa ni?” Ainnur menggesel matanya dengan tangan. Dia sudah duduk di katilnya memerhatikan Rafiza yang sedang memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam begnya.

“Eh! Tidurlah. Esok kau kan nak ke Pangkor.” Rafiza memberitahu sambil meneruskan kerja-kerjanya. Dia harus mengemas sekurang-kurangnya separuh malam itu kerana esok malam dia akan pulang ke Terengganu. Hanya esok pagi dia sempat mengemas separuh lagi supaya esok dia boleh lebih tenang. Ada banyak masa lagi untuk dia bersembang-sembang dengan teman-teman. Selepas ini entah bila mereka akan bertemu lagi.

“Marathon sembang-sembang kita masih belum habis. Kalau boleh aku nak sembang dengan kau sampai pagi. Esok aku boleh tidur dalam bas. Mesti bosan perjalanan aku dalam bas sorang-sorang,” beritahunya perlahan. Dia sudah duduk menompang dagu membayangkan kebosanan yang akan dilaluinya esok pagi. Elok juga kalau dia dapat tidur sepanjang perjalanan itu daripada 'mati kutu' di dalam bas. Dia bukannya jenis yang peramah dan cepat mesra dengan orang yang baru dikenalinya.

Sebenarnya Dr. Ahmad Redza sudah mempelawa Ainnur menumpang keretanya tetapi dia menolak awal-awal. Dia tidak mahu orang tersalah sangka dengan hubungan mereka. Lagipun apalah yang hendak dibualkan di sepanjang hampir 4 jam perjalanan itu nanti. Dia bukannya Rafiza yang sudah biasa bersembang dengan lelaki. Kalau Rafiza yang hobinya bertukar teman lelaki itu tentu tidak ada masalah hendak bertentang mata dengan Dr. Ahmad Redza. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana jika dia tertidur di dalam perjalanan itu nanti. Manalah hendak disorokkan mukanya. Dia lebih rela naik bas dan duduk sendirian daripada bertemankan Dr. Ahmad Redza berduan di dalam keretanya.

“Ikut kaulah... aku masih segar ni.” Rafiza sudah bangun ke meja tulisnya, memeriksa beberapa buah buku yang tersusun di atas meja. Ada dua buah buku yang hendak disedekahkan kepada juniornya esok. Buku-buku notanya akan diberi pinjam juga hinggalah pada masa konvokesyen nanti. Dia akan mengambilnya semula waktu itu kerana mudahlah diangkut dengan kereta ayahnya.

"Mananya tak segar, kalau 3 pangsa habis kau balun!" Sempat lagi Ainnur mengintai baki kulit durian yang diletak Rafiza di tepi cerek elektrik di atas meja. Rafiza menyeringai melihat Ainnur menggeleng kepala kepadanya. Kata-kata temannya itu memang tidak boleh disangkal lagi.

“Aku nak buat kopi.” Ainnur menuang air dari air botol mineral di tepi katilnya ke dalam cerek elektrik. Malam-malam begitu, dia tidak berani hendak keluar dari bilik mengambil air di pantri.

“Mai secawan!” Rafiza meniru iklan kopi Raddix di televisyen.

Ainnur ketawa. Dia akan rindukan saat bersama Rafiza nanti. Inilah malam terakhir mereka bersama setelah 4 tahun di Universiti Teknikal Malaysia, Kampus Kejuruteraan itu. Banyak kenangan pahit manis yang pastinya akan kekal dalam memorinya buat selama-lamanya.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.