Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,273
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

Universiti Teknik Malaysia,

Kampus Kejuruteraan, Pulau Pinang

6

Ainnur tidak dapat melupakan bagaimana di suatu hari, dia telah diserang oleh beberapa orang samseng dalam perjalanannya pulang dari sekolah. Peristiwa itu telah memberinya trauma yang bukan sedikit. Dia bersyukur kerana ALLAH masih menyayanginya. Umurnya masih panjang. DIA telah menghantar Zairul untuk menyelamatkannya pada petang itu.

Teruk juga Zairul dibelasah oleh samseng-samseng berlima itu tetapi samseng-samseng itu lebih teruk dibelasahnya seorang diri. Samseng-samseng itu akhirnya lari bila sedar, mereka tidak boleh ‘makan’ dengan ketangkasan budak lelaki itu mempertahankan diri. Esoknya dia ke sekolah dengan dahi bertampal dan kaki terhincut-hincut. Setiap kali memandang kepada budak lelaki itu, Ainnur diserbu rasa salah yang bukan sedikit.

“Mulai hari itu, aku semakin mengagumi dia dalam diam. Aku tak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih. Aku betul-betul malu pada dia. Tapi aku dah tak bercakap kasar lagi dengan dia sejak hari itu.” Memanglah Ainnur tidak bercakap kasar lagi kerana selepas itu memang dia langsung tidak bertegur-sapa dengan budak lelaki itu. Semuanya dek kerana tidak tahu mana hendak diletakkan mukanya kerana malu.

“Wah! Inilah sebabnya kau mulai berubah ye...Kau dah jatuh hati pada dia...jadi kau mestilah hendak selalu kelihatan cantik di matanya. Barulah boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.” Rafiza seronok mendengar cerita Ainnur lalu seperti biasa dia mula mengemukakan teorinya sendiri.

“Taklah.... bukan sebab itu aku berubah...” Ainnur berkata perlahan.

“Salah lagi....” Rafiza menggaru kepala.

“Masa itu disebabkan populariti dia, dia berjaya membuatkan budak perempuan paling cantik kat dalam kelas aku tu suka kat dia. Hubungan mereka memang rapat. Macam pasangan kekasih. Sebelum dia datang, Nilawati kawan aku tu tak layan pun budak-budak lelaki yang nak rapat dengan dia. Tapi dengan mamat ni, Nilawati memang layan habis. Jadi kami semua buat kesimpulan memang diaorang ni pasangan kekasihla sebab dua-dua saling layan-melayani.”

Ainnur bercerita, Rafiza hanya mendengarkan saja. Tetapi di kepalanya dia membuat kesimpulan bahawa, budak lelaki yang paling glamour di sekolah telah bertemu dengan budak perempuan paling cantik di sekolah itu. Kira memang pasangan yang ideal lah ni. Dia siap membayangkan rupa kedua-duanya digandingkan sekalipun dia memang tidak pernah bertemu dengan pasangan ini.

“Tapi dalam masa yang sama, si mamat ni layan semua peminat-peminat dia. Kira dia ni macam tak serius sangatlah dengan Nilawati ni. Mamat ni kira playboylah...dengan semua orang dia layan istimewa sekalipun aku rasa Nilawati ni memang dapat layanan lebih lagi.” Cerita Ainnur panjang lebar. Yang tidak diceritakan kepada Rafiza tentulah tentang hatinya yang semakin hari semakin sayang kepada budak lelaki itu.

“Suatu hari, aku bermimpi.....ˮAinnur meletakkan jari telunjuknya ke bibir bila dilihatnya Rafiza sudah mahu membuka mulut bertanya. Terus Rafiza memasamkan muka bila Ainnur menghalangnya dari terus berkata-kata.

“Kelakar betul bagaimana aku boleh bermimpi.... aku kahwin dengan dia. Memang itu antara perkara bodoh yang pernah aku alami.ˮ Ainnur menggeleng-geleng kepalanya tanda kesal.

“Pening kepala aku memikirkannya kerana mimpi aku tu bukan sekali tapi 3 kali.ˮ Ainnur menayangkan 3 jarinya ke udara, betul-betul di depan muka Rafiza hinggakan Rafiza terkejut tiba-tiba. Ainnur kemudiannya ketawa sendirian kerana berjaya mengejutkan Rafiza yang sedang asyik mendengarnya bercerita.

“Mimpi tu sama aje setiap kali.... Kau boleh bayangkan aku bersanding dengan dia kat atas pelamin? Aku yang dulu kalau jumpa dia memang asyik nak cari pasal ni boleh bersanding dengan dia. Memang tak masuk dek akal.” Ainnur mengomel sendiri mengenangkan mimpi bodohnya.

“Yang kau gelak tu kenapa? Kau mesti bayangkan aku yang gedempol ni bersanding dengan dia yang kurus macho.ˮ Ainnur turut tergelak-gelak bila melihat Rafiza terangguk-angguk mengiyakan apa yang terbayang di fikirannya ketika itu.

Habis ketawa, riak wajah Ainnur berubah serius. Dia seolah-olah termenung jauh hinggakan Rafiza terpaksa mengejutkannya kembali. Dia terkenangkan betapa ketika itu dia jadi manusia yang paling bodoh dan tindakan bodohnya itu telah mengundang padah. Hanya kerana kesilapan mulutnya dan meletakkan kepercayaan kepada orang yang salah, segala-galanya berubah. Kehidupannya sekejap saja berantakan kerananya. Dunia rasa tunggang-terbalik seketika.

“Aku mimpi aku bersanding dengan dia serba biru di atas pelamin… tapi yang peliknya mimpi aku tu, aku bukan Ainnur yang gemuk gedempol tetapi seorang wanita yang kurus yang sama padan dengan dia. Aku memang tak percaya tapi dalam mimpi itu memang perempuan itu adalah Ainnur, aku.” Ainnur menunjukkan jari telunjuknya ke dadanya. Mata Rafiza terbuka lebar riak tanda terkejut tidak percaya.

“Ceh! Penat aje aku berimaginasi.” Rafiza menyatakan protesnya. Ainnur tersengih kerana berjaya memperdaya Rafiza dengan ceritanya buat ke sekian kalinya. Ternyata imaginasi Rafiza yang membayangkan si gedempol bersanding dengan si keding tidak terjadi sama sekali.

“Aku bingung, berhari-hari aku fikir pasal mimpi aku tu. Nak cerita pada Zely aku malu hinggalah akhirnya aku dah tak tahan lagi bila aku dah mimpi benda yang sama banyak kali. Aku pun ceritalah pada seorang kawan yang agak rapat dengan aku ketika itu namanya Bunga….”

Pada sangkaan Ainnur dengan meluahkan apa yang terbuku di hatinya itu akan meredakan bebanan yang dirasakannya saat itu tetapi dia ternyata silap. Sesuatu perkara kadang-kadang adalah lebih baik dibiarkan rahsia. Meluahkannya hanya akan memakan diri sendiri saja.

“Rupanya Bunga tu tak tahan rahsia. Memang sebelum ini dia hendak sangat berkawan dengan Nilawati yang disukai ramai lemak berkrim tu. Jadi dia ingat dengan membocorkan rahsia aku, Nilawati akan berterima kasih kepadanya dan terima dia sebagai salah seorang ahli kumpulan glamournya kat sekolah itulah.”

“Jahatnya si Bunga tu. Memang ini kes kawan tikam kawan ni. Ada pulak boleh buat kawan macam tu. Apa punya kawan daa….” Rafiza memberi komen siap dengan mimik muka jeliknya sekali. Dia memang tidak puas hati dengan orang yang suka menikam kawan dari belakang seperti itu. Mujurlah selama ini dia tidak pernah punya kawan seperti Bunga itu.

Bagi Ainnur, mempunyai kawan seperti Bunga memberinya satu pengalaman berharga. Dia menjadi lebih berhati-hati bila berkawan. Kerana itu dia tidak punya ramai kawan rapat. Yang paling rapat dengannya tentulah Zely dan Rafiza. Dengan Rafiza, dia juga banyak menyimpan perkara peribadinya sendiri. Pengalaman pahit itu membuatkan dia sangat berhati-hati dan beringat-ingat. Baginya jika hendak meluah perasaan, hanya ada 3 cara; kepada Allah, Zely dan diari peribadinya. Hanya itu saja.

Mungkin saja dia manusia yang cepat serik. Pengalaman lalu tidak sanggup diulanginya untuk kedua kali. Kerana itu juga dia cuba menutup pintu hatinya rapat-rapat. Dia bimbang kecewa pada cinta pertama, memberi kasih kepada orang yang salah akan mengundang kekecewaan yang lebih lagi. Kerana itu dia sedar, dia tidak patut menyimpan perasaan kepada Dr. Ahmad Redza.

Tapi hati begitulah… jika sudah suka, walau diusir berkali-kali ia tetap akan mengusik lagi walau berkali-kali juga diiingatkan kepada diri sendiri. Mujurlah dia masih boleh rasional menahan diri. Ainnur sangat berharap pada Kem Ukur ini adalah yang terakhir kali dia bersama pensyarahnya itu. Selepas itu kenangan bersama Dr. Ahmad Redza hanya akan jadi sejarah.

“Lepas rahsia itu terbongkar, ramai yang memandang sinis kepada aku. Ramai kata aku tak sedar diri. Ramai juga yang mengutuk aku. Aku ni dilabel sebagai buaya betina kerana aku hendak merampas dia dari Nilawati. Mereka kata aku mabuklah, macam-macam lagi. Aku sedih kerana masa tu tiada siapa yang menyokong aku kecuali Zely. Aku malu! Tak tahu mana nak sorok muka aku ni. Hingga ke manapun aku pergi kat sekolah itu semua memandang aku bagai aku ni dah buat kesilapan besar!”

Bergenang air mata Ainnur mengingatkan bagaimana dia dikutuk dengan kata-kata yang menyakitkan hatinya. Paling dia tidak akan lupa tentulah kata-kata dari budak lelaki itu sendiri.

“Apa dia kata pada kau?” Rafiza bertanya dengan nada yang perlahan. Dia turut bersimpati pada nasib yang menimpa Ainnur.

“Masa tu kawan-kawan lelaki dalam kelas aku bising kenen-kenenkan aku dengan dia. Memang hari tu bising sungguh dalam kelas. Jenuh Zely suruh mereka diam, tapi seorangpun tak nak mendengar cakap Zely. Mereka siap buat bunyi kompang, letak dua kerusi kat depan kelas konon-konon nak sandingkan aku dengan dia. Ada yang tegak jadi bunga manggar, ada yang sudah bersilat pulut… Memang gawat masa tu.” Ainnur memejamkan mata. Dia tidak akan dapat melupakan peristiwa memalukan itu sampai bila-bila.

“Mereka tarik dia duduk di kerusi depan tu. Dia tak nak tapi kena paksa juga. Dia berkeras tapi biasalah kawan-kawan aku kalau nak mengenakan orang memang teruk, sanggup buat apa saja. Akhirnya dia bengang dan cakap…” Ainnur berjeda. Dia tidak sanggup untuk mengucapkan kembali kata-kata Zairul tengahari yang gawat itu.

“Dia kata…” Ainnur berhenti lagi lalu menarik nafas dalam-dalam. Rafiza sudah tidak sabar mendengarnya.

“Dia kata… ‘kalau Ainnur yang gemuk ni bertukar kurus, dia akan sanggup jadi pengantin Ainnur bila-bila masa tapi selagi badan Ainnur macam ni, Ainnur boleh terus bermimpi…’. Aku rasa terhina sungguh.” Ainnur memberitahu. Air matanya merembes laju turun ke pipi.

“Esoknya aku ambil keputusan untuk tukar sekolah kerana malu. Mujurlah masa itu ibu dan ayah aku pergi umrah. Dengan surat kuasa dilantik menjadi penjaga sementara semasa ketiadaan mereka, bapa Zely tolong uruskan pertukaran sekolah aku.” Ainnur ingat lagi bagaimana marahnya ibunya bila dia beritahu sudah bertukar sekolah sebaik ibunya pulang dari umrah. Jenuh juga Pak Zainal kena marah gara-gara bersubahat.

“Beraninya kau…” Rafiza memuji keberanian Ainnur.

“Aku terpaksa. Aku malu sangat. Kalau kau bolehkah duduk satu kelas mengadap situasi yang sama hari-hari? Aku kena segera bertindak kerana hanya beberapa bulan saja lagi SPM akan bermula. Demi masa depan aku, aku kena juga pindah sekolah. Aku tak tahu nak letak mana muka aku kalau terpaksa mengadap muka dia hari-hari.” Ainnur memberitahu rasional tindakannya waktu itu. Rafiza menganggukkan kepalanya tanda setuju.

“Yang orang tahu, aku hanya pindah sekolah kerana malu. Yang orang tak tahu, aku berpindah sekolah dengan azam yang baru. Aku nak buktikan yang kata-kata dia tengahari itu akan menjadi kenyataan. Jadi untuk menjadikannya realiti, aku tidak boleh berada di depan mata dia.” Itulah puncanya Ainnur mula mengubah cara hidupnya dan berdiet. Dia mengambil masa kira-kira 2 tahun sebelum boleh menjadi Ainnur yang hari ini.

“Kau ambil serius kata-kata dia,” ucap Rafiza akhirnya dengan rasa kagum.

“Habis tu kau ingat aku hendak malu dengan sia-sia?” Ainnur mempertahankan dirinya.

“Lepas kau dah kurus ni ada kau terjumpa dia?” Rafiza bertanya ingin tahu.

“Tak pun. Aku dengar dia dah ke Jepun sambung belajar.” Ainnur berkata acuh tak acuh. Baginya kisahnya dan budak lelaki itu sudah menjadi sejarah. Ia kisah yang menyakitkan. Cinta pertamanya yang kecundang.

Sejak itu memang dia serik hendak ambil pusing soal hati dan perasaan lagi. Lelaki hanya memandang paras rupa dari hati budi. Dia tidak percaya wujudnya lelaki yang baik. Baginya istilah lelaki baik hanya untuk Zely yang sentiasa menerima dia seadanya. Tapi dia dan Zely hanyalah teman tapi mesra. Lelaki-lelaki yang menyukainya hanyalah sukakan rupa parasnya hari ini. Kalaulah dia masih seperti dulu, dia yakin sangat tiada siapa yang sudi memandang kepadanya apatah lagi menghulur cinta. Bagi Ainnur, dunia memang kejam.

“Kalaulah kau terjumpa dia kembali, bagaimana?” Rafiza ingin menduga. Keningnya diangkat berkali-kali sambil tersenyum-senyum penuh makna.

“Bagaimana, bagaimana?” Ainnur mengangkat bahu seolah-olah tidak memahami soalan Rafiza tadi.

“Adakah kau akan menerima dia kembali, kalau dia benar-benar jatuh hati dan bersedia jadi pengantin kau nanti? Aku rasa dia tak cakap pula yang dia tak sukakan kau. Dia cuma mahu kau kurus baru dia terima kau.” Rafiza menjelaskan soalannya dengan panjang lebar kali ini.

“Kau betul nak tau ni? Ainnur tersenyum mendengarkan pertanyaan Rafiza. Dia sudah lama memikirkannya sebelum ini. Rasanya keputusan itu sudah diambilnya lama dahulu semasa dia dalam proses menguruskan badannya.

“Yela….” Rafiza berkata bersungguh-sungguh.

“Betul-betul nak tau?” Ainnur bertanya seakan mahu bermain-main dengan Rafiza. Dia menyembamkan kepalanya ke bantal. Rasa mengantuk yang dialaminya kini sudah tidak boleh ditawarkan dengan kopi lagi. Ubatnya hanya tidur. Rafiza memuncungkan mulutnya, melihatkan gelagat Ainnur, dia jadi geram.

Ainnur mengangkat keningnya berkali-kali lalu tersenyum nakal. Dia menarik selimutnya tanda dia mahu menggantung marathon borak-borak mereka hanya setakat itu saja. Dia sudah penat bercerita dan hari sudah menunjukkan jam 4 pagi. Matanya sudah berair kerana memang dia sudah kepenatan.

“Apa jawapannya wei!” Rafiza menarik selimut yang sudah menutupi wajah Ainnur yang sedang terkekeh-kekeh ketawa kerana seronok mengenakan Rafiza lagi.

“Esok pagilah aku bagitahu…. sekarang aku nak tidur!” Ainnur menarik kembali selimutnya.

“Ainnur!” Rafiza memanggil.

“Yelah…yelah…. Ainnur menggosok matanya kemudian meniarap. Dia berjeda membuatkan kesabaran Rafiza teruji.

“Oit! Menung pulak.” Rafiza mencuit Ainnur menyebabkan Ainnur kembali ke alam nyata. Dia memandang Rafiza dengan wajah yang serius.

“Itu namanya cinta dia tak ikhlas sebab siap ada syarat. Jadi aku juga hanya akan terima dia kalau satu syarat dipatuhi….” Dengan yakin Ainnur membuat kenyataan.

“Apa syaratnya?” Rafiza bertanya tidak sabar. Cerita Ainnur sudah sampai di penghujungnya. Dia sudah tidak sabar mendengarkannya.

“Syarat utamanya dia mestilah tall, dark and handsomedan… banyak duit… Kalau tak, tak payah nak bukak cerita lama, kirim salam ajelah.” Ainnur ketawa kemudian membuatkan Rafiza terpinga-pinga.

“Kau biar betul, banyaknya syarat. Tetiba nak jadi Madonna pulak, material girl!” Rafiza memberi komentar seperti biasa. Walaupun Ainnur memang anak orang berada, dia bukannya jenis yang suka menunjuk-nunjuk. Kalau tidak, takkanlah Ainnur sanggup hendak berkawan dengan Zely yang hanyalah anak pemandu dan pembantu rumahnya. Dia menggeleng tidak percaya dengan kata-kata Ainnur. Takkan Ainnur berdendam sehingga sanggup mengubah sikap dan nilai yang dipegangnya selama ini.

“Kalau dengan dia semua benda aku akan berkira. Dia ingat senang-senang boleh sakitkan hati aku?” Suara Ainnur sudah semakin lemah kedengaran. Di dalam hati Ainnur mengaku yang dia masih berdendam dengan budak lelaki itu. Mungkin dendam itu akan tetap bersamanya sampai bila-bila.

“Takkan kau tak nak maafkan dia?” Rafiza bertanya tidak puas hati tetapi bila memandang Ainnur yang sudah memejamkan mata, niatnya mengejutkan Ainnur terus padam. Jam sudah 4.00 pagi! Memang patut Ainnur terlelap.

Kini dia tahu mengapa hati Ainnur sukar ditembusi oleh Haidar mahupun mana-mana lelaki. Dia benar-benar memahami kenapa Ainnur serik untuk membuka pintu hatinya. Pengalaman cinta pertamanya memang begitu mengecewakan.

Kalaulah dia dapat mencari lelaki yang melukakan hati Ainnur, dia akan temukan mereka. Dia akan damaikan mereka. Entah mengapa dia merasakan antara keduanya ada kesesuaian antara satu sama lain. Kepalanya masih membayangkan bagaimana rupa pelamin Ainnur dengan si dia sebagaimana yang dimimpikan Ainnur suatu masa dahulu.

Rafiza menggeleng kepala. Kisah itu sudah lama berlalu. Bagaimana dia hendak menemukan mereka kalau langsung tak pernah berjumpa dengan lelaki itu. Rafiza menggeleng lagi lalu tersenyum sendiri mengenangkan betapa imaginasinya itu sudah tidak boleh digunapakai lebih-lebih lagi pada waktu yang sudah dinihari begitu. Perlahan-lahan dia memanjat tangga katilnya. Tetapi matanya tidak mahu tidur. Kepalanya tidak habis-habis asyik memikirkan kisah Ainnur.

Previous: SINOPSIS
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.