Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,269
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

Pulau Pangkor, Perak

7

Ainnur meletakkan kasut yang dijinjingnya sejak tadi di atas batu. Sudah penat dia berjalan menselusuri pantai petang itu. Cadangnya dia mahu melihat matahari terbenam tidak berapa ketika nanti. Dia melabuhkan punggungnya di atas sebiji batu di tepi pantai yang mempunyai banyak batu-batu hitam itu. Batu-batu itu ada yang sebesar pemeluk dan ada pula yang sebesar busut. Di permukaan batu-batu itu terdapat macam-macam kesan contengan hasil tulisan tangan pengunjung yang datang meluah perasaan.

Leka Ainnur membaca tulisan-tulisan itu satu-persatu. Kebanyakannya luahan hati pasangan sedang bercinta. Dia tersenyum sendiri. Dunia cinta pastilah semuanya indah saja. Rasa kasih sayang itu sebolehnya mahu dikongsi kepada semua. Kalau boleh tentu saja dunia hendak dijadikan saksi cinta mereka. Berbahagialah wahai sang pencinta! Doanya kepada mereka. Baginya mereka-mereka itu insan bertuah kerana dipertemukan dengan pasangan masing-masing.

Ainnur merenung ke laut lepas yang terbentang luas di hadapannya seolah-olah mencari kehidupannya pada masa akan datang. Tetapi dia tidak nampak apa-apa yang istimewa di hujung sana. Hidupnya biasa-biasa saja. Bila Rafiza dan Zely tiada, dia dapat merasakan betapa sepi hidupnya. Tanpa mereka berdua hidupnya terasa kosong dan lompang di sini sana. Namun dia tidak kesal kerana itu adalah pilihannya sendiri. Dia yang memilih untuk kekal bersendirian gara-gara serik dan berdendam lantaran cinta pertama yang tak berbalas.

Tiba-tiba angin bertiup kencang, menolak kain tudungnya hinggakan dia terpaksa memegang tudungnya kuat supaya tidak dilarikan angin. Dia kemudian ketawa bercanda dengan angin pada senja itu. Dia melepas nafas. Akhirnya Kem Ukur yang selama 5 hari itu berakhir juga petang tadi.

Tubuhnya terasa begitu lesu. Penat tak tergambar dengan kata-kata. Sepanjang 5 hari itu, dia terpaksa memastikan setiap aturcara yang dirancang dapat dilaksanakan. Jika ada pensyarah yang tidak dapat hadir pada slotnya, dia harus pula mencari pensyarah lain yang lapang. Kena pula mengatur mana-mana ruang di dalam jadual yang lompong dengan aktiviti-aktiviti lain yang sudah disediakan oleh Dr. Ahmad Redza sebagai rancangan kontigensi.

Selain memastikan aktiviti berjalan lancar, kebajikan pelajar yang mengikuti Kem Ukur itu juga harus dijaga. Pendek kata dia memang kurang berehat sepanjang 5 hari itu. Jadi bila Kem Ukur itu diisytiharkan ditutup dengan rasminya, dialah orang pertama yang mahu melompat tinggi.

Fikiran Ainnur merawang kepada ibunya. Sekejap lagi dia akan pulang. Dia akan memberitahu rancangannya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Sekalipun sudah banyak kali ibunya memberitahu yang pekerjaan untuknya selepas tamat belajar sudah terjamin, dia harus berterus-terang dengan ibunya kali ini. Dia memang belum bersedia untuk bekerja kerana ketika ini semangatnya untuk belajar berkobar-kobar. Dia mahu menyambung pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah supaya dapat menjadi seorang pensyarah.

Walaupun sukar untuk mendapatkan persetujuan ibunya, dia berazam akan tetap berterus-terang. Jika boleh, dia akan berbincang dulu dengan ayah. Itulah strategi yang telah difikirkannya beberapa hari ini. Kalau ayah sudah menjadi sekutu, tentu tugasnya akan menjadi lebih mudah sedikit.

Dia teringat kepada Rafiza yang baru saja menelefonnya sekejap tadi. Temannya itu terlalu teruja untuk merasai pengalaman bekerja. Dia dimaklumkan tadi bahawa esok Rafiza akan melalui pengalaman pertama ditemuduga. Rafiza sibuk bertanyakan kepadanya pakaian yang harus dipakainya untuk membuatkan panel temuduga memberikan perhatian kepadanya. Dia juga meminta tips menghadapi temuduga bagaikan Ainnur sudah pernah melalui pengalaman ditemuduga berkali-kali.

Ainnur tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya mengenangkan kembali telatah Rafiza. Rafiza telah punya kehidupannya sendiri, begitu juga dengannya. Dia tertanya-tanya bagaimanakah dia harus melalui hari-hari yang mendatang tanpa Rafiza? Dia bukannya mudah hendak mendapat seorang teman baik.

“Panjangnya termenung, siap senyum-senyum. Saya duduk kat belakang ni lama dah, sampai tak sedar.” Dr. Ahmad Redza tiba-tiba mengganggu Ainnur berkhayal.

Ainnur memandang ke belakang lalu melemparkan senyuman kepada Dr. Ahmad Redza. Jauhnya dia berkhayal hingga tidak sedar kehadiran lelaki itu di sebelahnya, sedangkan mereka memang datang bersama-sama ke pantai itu tadi.

“Ingatkan boyfriend ke?” tanya Dr. Ahmad Redza kepada Ainnur. Serta-merta wajah Ainnur merah menahan malu. Dia tidak menyangka Dr. Ahmad Redza akan bertanyakan dia soalan yang sangat peribadi seperti itu.

“Saya mana ada boyfriend. Siapalah yang hendakkan saya.” Ainnur berkata kemudian lalu bangun. Dia memandang lagi ke laut lepas. Tidak berani untuk memandang ke wajah Dr. Ahmad Redza. Walau di manapun mereka berada, batas hubungannya dengan lelaki itu tidak pernah berubah. Dia sangat-sangat menghormati pensyarahnya itu. Berdua-duaan begitu menyebabkan dia berasa tidak selesa.

“Boleh percaya ke? Entah-entah ramai yang dah tunggu…sampai tak tahu nak pilih yang mana satu.” Dr. Ahmad Redza sengaja cuba memancing sekalipun dia sedar, jawapan Ainnur tadi adalah jawapan yang jujur. Sesungguhnya dia tahu, hati Ainnur masih belum dipunyai sesiapa.

“Jom kita ke sana!’ Ainnur semakin tidak senang dengan soalan-soalan Dr. Ahmad Redza yang bersifat peribadi seperti itu. Dia harus mencari helah supaya tidak terperangkap hingga perasaannya terhadap lelaki itu tersingkap nanti. Dia tidak mahu hidupnya yang tenang menjadi tunggang-langgang. Di kepalanya tidak habis-habis mengingatkan berdosa meruntuhkan rumahtangga orang.

Dia menjinjit kasut di tangan kanannya sementara tangan kirinya masih memegang tudung, bimbangkan angin yang masih nakal pada senja itu. Kakinya yang putih melepak, perlahan-lahan melangkah di atas permukaan batu-batu yang agak licin itu. Dia mahu bermain lagi dengan air laut di pantai. Harapnya nanti bila sudah beralih tempat, Dr. Ahmad Redza tidak akan bertanya lagi soalan-soalan yang akan menyesakkan hati.

Ainnur dan Dr. Ahmad Redza berjalan beriringan menyusuri pantai. Masing-masing terdiam seribu bahasa melayan perasaan sendiri. Tidak lama kemudian Dr. Ahmad Redza tunduk membongkok, mengutip batau-batu kecil lalu membalingnya ke laut. Dia asyik dengan aksinya tanpa mengendahkan Ainnur yang memandang ke arahnya dengan sayu.

Lelaki di hadapan Ainnur itu sedang tertawa tetapi tawanya itu menjadikan hati Ainnur jadi sendu. Lelaki itu hanya boleh dipandang dan didamping dari jauh tetapi sesekali tidak akan pernah boleh menjadi miliknya. Mungkin ini adalah hari terakhir dia dapat mendengar suara dan tawa Dr. Ahmad Redza, berada dekat dengannya. Tetapi kenyataannya hari esok, mereka pasti tidak akan bertemu lagi.

Berkali-kali Ainnur memberitahu hatinya yang degil, lelaki itu tidak harus digilai. Lelaki itu tidak boleh diberikan hati apatah lagi untuk dicintai. Lelaki itu tidak akan sekali-kali boleh dimiliki kerana dia adalah milik mutlak perempuan lain yang terlebih dahulu berada di sisinya. Lelaki itu sudah beristeri! Jika mahu jatuh cinta, ada berlambak lagi lelaki bujang di dalam dunia ini. Tetapi dia seolah-olah akur, inilah kali kedua dia jatuh cinta. Cintanya juga tidak boleh dibalas. Jadi biarkan saja dia merasakan bahagia sendiri.

Cukuplah hari ini dia sekadar menumpang kemesraan yang sementara itu dengan Dr. Ahmad Redza. Esok akan dipaksanya belajar melupakan lelaki itu. Sesungguhnya dia asyik terfikir mengapakah dia sudah dua kali salah dalam memberikan hati. Dulu buah hati orang, kini lebih parah, suami orang pula! Memang sudah tertulis nampaknya, dia memang bukanlah manusia yang bertuah dalam bab cinta.

“ Leen! Kenapa tercegat aje macam patung! Mari sini, kita lawan batu siapa paling jauh!” Dr. Ahmad Redza berpaling sambil tersenyum kepada Ainnur. Senyuman itu seakan mengejek Ainnur supaya berpegang pada nyata, tetapi seperti biasa sindiran itu akan terbias sia-sia. Hati Ainnur tidak akan pernah berhenti berharap dalam diam. Mujur saja rahsia itu sehingga kini berjaya ditutupnya kemas-kemas sendiri.

Dr. Ahmad Redza tunduk lalu mengutip beberapa biji batu kecil lagi di tepi pantai lalu membalingnya ke laut. Sekejapan batu yang dilempar tadi melantun dua tiga kali di permukaan laut lalu tenggelam. Cahaya yang semakin suram di Pantai Pasir Bogak Pulau Pangkor itu menyebabkan bayangan batu itu cepat saja menghilang.

Terus wajah putih mulus Ainnur ditatapnya kembali. Sedikitpun dia tidak pernah merasa bersalah pada Ainnur mahupun pada isterinya. Berdua-duaan dengan pelajar sendiri sudah menyalahi etikanya sebagai pensyarah tetapi kesenangan hatinya ketika bersama Ainnur menutup rasa itu secara total. Untuk isterinya pula, dia hanya mahu membuktikan yang dia adalah lelaki yang normal, lelaki sejati. Hanya kerana wanita yang dikahwininya itu bukanlah cintanya kerana itulah rumahtangga mereka hambar selama ini.

Tatkala mata mereka bersabung, sekelipan Ainnur menukar riak sendu di wajahnya. Di hadapan lelaki itu dia akan jadi sebaik mungkin, secantik mungkin, sesempurna mungkin. Dia ingin segala-galanya serba sempurna di mata lelaki yang dicintainya dalam diam itu. Walau dia sedar, tiada janji untuk dibalas segala yang dilakukannya untuk lelaki itu, dia tidak pernah kisah. Cintanya pernah ditolak. Jadi jika cinta kedua ini juga tidak berpihak kepadanya, dia tidak kisah lagi.

Baginya kegembiraan lelaki itu adalah kebahagiaan untuknya. Perkara lain-lain bukanlah menjadi kepentingan baginya. Dia sudah pernah kecewa dan apalah sangat jika kecewa lagi untuk kali yang kedua. Dia pasti boleh melaluinya sekali lagi dengan sebaik-baiknya seperti sebelumnya. Bukankah tadi dia sudah berkata yang dia sudah menerima yang dia memang tidak pernah bernasib baik dalam soal cinta?

“Kalau baling macam tu, terus tenggelamlah batu tu Cik Leen oi! Baling macam ni ha!” Dr. Ahmad Redza beria-ia menunjukkan kepada Ainnur cara yang betul membaling batu bila melihat balingan batu Ainnur yang lemah itu.

Ainnur tersenyum lagi. Kalau bersama Dr. Ahmad Redza, dia rela jadi pelajarnya seratus tahun lagi. Biar dia jadi pelajar paling dungu. Biar dia tidak graduat selama-lamanya, dia rela. Memang jika di dalam kelas Dr. Ahmad Redza, dia selalu sengaja buat-buat tidak faham, supaya Dr. Ahmad Redza akan datang kepadanya dan menunjukkan cara.

Selama ini itulah helahnya di dalam kelas. Biar dia nampak biul asalkan dia sentiasa berdekatan dengan lelaki itu. Mencium harumnya lelaki itu begitu mendamaikan jiwanya. Tak dapat orangnya, dapat baupun jadilah. Memang sah dia sudah gila! Gilakan laki orang! Gilakan pensyarah sendiri! Tapi hatinya yang keras tidak pernah mahu peduli.

“Eh! Kejap aje masa berlalu. Matahari dah nak terbenam! Mari Leen kita bergambar.”

Seakan baru tersedar, alam sudah suram di sekitarnya, Dr. Ahmad Redza menarik hujung lengan baju Ainnur tanpa silu. Wajah Ainnur yang sudah merona merah itu sedikitpun sengaja tidak mahu dipedulikan. Bagi seorang anak gadis yang belum pernah merasai balasan cinta, walaupun tidak bersentuhan sudah cukup membuatkan Ainnur penasaran.

“La… marilah…” Dr. Ahmad Redza menarik hujung lengan baju Ainnur lebih kuat tatkala Ainnur bagai tidak mahu berganjak dari tempat dia berdiri. Ainnur bagaikan orang-orang di tengah sawah. Tegak bagaikan terkena renjatan elektrik.

“Dik! Sekejap! Ambilkan gambar kami!” Tanpa memperdulikan reaksi Ainnur, Dr. Ahmad Redza melaung kepada seorang remaja yang kebetulan lalu di situ.

Remaja itu menganggukkan kepala lalu mengambil kamera yang dihulurkan kepadanya. Dia tersenyum saja memandang kepada keduanya. Ainnur merasakan senyuman itu seolah-olah menyindirnya tetapi dia tidak peduli. Mungkin kerana perbezaan umur yang ketara antara dia dan Dr. Ahmad Redza yang seperti anak dengan bapa. Orang boleh berkata apa saja bila melihat mereka. Hakikatnya kalau hati sudah suka, kata-kata orang sudah tidak bermakna.

Ainnur terkaget bila tangan Dr. Ahmad Redza terus saja singgah di pinggangnya. Lidahnya jadi kelu langsung tidak terkata apa. Dia ingin menyatakan keengganannya untuk diperlakukan begitu tetapi tidak berdaya. Selama ini walau mereka selalu berdekatan, Dr. Ahmad Redza tidak pernah mengambil kesempatan.

“Satu, dua, tiga!” Remaja tadi berkata lalu merakam aksi keduanya. Senyuman di bibirnya masih tidak lekang. Ainnur rasa jengkel melihatnya tetapi tindakan Dr. Ahmad Redza itu lebih menjengkelkan hatinya.

Fikiran Ainnur jadi bercelaru seketika. Adakah kerana berjauhan dari kampus dan isteri, Dr. Ahmad Redza menjadi lebih berani? Tapi apakah makna sentuhan itu? Ainnur tidak menemukan jawapannya tetapi dia menyedari saat itu jantungnya sedang berdegup 100km sejam! Ainnur memegang dadanya, cuba menahan debaran itu dari terus melanda.

“Terima kasih dik!”

Ainnur melihat saja Dr. Ahmad Redza memberitahu remaja itu. Lama lelaki itu melihat kembali gambar yang terakam di kamera digitalnya. Ainnur ingin tahu sangat apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu tapi lidahnya terasa kebas untuk bertanya.

“Lepas ni nak pergi mana Leen?” Dr. Ahmad Redza membetulkan cermin matanya. Wajah Ainnur ditatapnya lagi. Gadis yang begitu bersahaja dan comel itu begitu disenanginya dalam sekalian pelajarnya di kampus. Sudah lima belas tahun dia mengajar, inilah pertama kali dia keluar bersama pelajar sendiri. Wajah itu sentiasa mengingatkannya kepada seseorang yang pernah disayanginya sepenuh hati. Cinta pertama yang tidak dapat dilupakannya sampai bila-bila.

Hari ini walau hanya beberapa jam bersama Ainnur, dirasakan bahagia sekali. Dia menjadi dirinya sendiri. Tidak perlu berlakon menjaga tingkah lagi. Dia adalah Ahmad Redza lima belas tahun dulu. Terasa dirinya kembali muda. Betapa dia rindukan saat dirinya bebas melakukan apa saja. Tanpa ada orang lain yang perlu menghakimi tindak-tanduknya.

“Saya laparlah Dr.” Ainnur memberitahu sambil memegang perutnya. Sejak tengahari sebaik berakhirnya Kem Ukur dia tidak menjamah nasi. Dia tidak sempat makan pun kerana terus saja Dr. Ahmad Redza mengajaknya keluar berjalan-jalan. Sampai sekarang bila jam menginjak angka 7.00 malam, tiada tanda-tanda yang Dr. Ahmad Redza bersedia untuk menghantarnya pulang ke KL sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

“Okey. Kita pergi makan kat restoren kat depan sana. Lepas tu saya hantar awak balik,” cadang Dr. Ahmad Redza.

Ainnur menarik nafas lega kerana Dr. Ahmad Redza dapat membaca fikirannya tapi kemudian nafasnya rasa tersekat. Di fikirannya saat ini terbayangkan jika perlakuan intim Dr. Ahmad Redza sebentar tadi sebagai tanda yang dia sudah tahu rahsia hatinya yang mencintai lelaki itu dalam diam. Ruang udara terasa sempit seketika. Ketika ini Ainnur seolah-olah baru tersedar, yang dia sebenarnya belum bersedia untuk terluka untuk kali yang kedua.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.