Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Azlina Ismail
30/3/2021 17:08:56
12,593
Kategori: Novel
Genre: Cinta
15.2

Liyana membelek-belek baju dipakai yang telah siap dijahit oleh Dayana. Terletak elok di tubuhnya. Bertungkus-lumus melihat adiknya menyudahkan jahitan yang memakan masa selama hampir tiga hari. Mujurlah arwah emak banyak mengajar Dayana menjahit tetapi dia... ‘Alah, Yana, kan ada.’ 

“Cantiklah baju ni, Yana. Aku...” Liyana tidak dapat menghabiskan ayat. Terduduk di birai katil, menangis. 

Dayana pun apa lagi, tumpang sekaki. Baju emak juga sempat dijahit. Elok tergantung di dinding bilik, ditenung. Kalaulah emak dapat memakai... air mata berjuraian jatuh. Rindu terhadap emak sudah tidak tertanggung. 

‘Mak,’ hanya tersekat di kerongkong.

Sepi.

“Lah, kat sini rupanya.”

“Nak apa?” Dayana terus menarik muka masam sebaik muka itu terpacul di muka pintu. 

“Atuk panggil.” 

“Kejaplah,” Dayana menjawab.

“Jom.”

Tersentak Dayana kerana dengan selamba Shahiman telah menarik lengan baju. Dia merentap selembut mungkin sebaik melihat riak Liyana, jelas tergamam. 

‘Dia ni memang selalu macam ni Lia kalau kau nak tahu.’ Bingkas bangun meninggalkan Shahiman dengan Liyana. Malas mahu melayan mamat ulat bulu. Melaju langkah ke ruangan makan dan kini atuk kian didekati.

“Mana, Lia?” 

“Kejap lagi dia datang, atuk.”

Suasana bertukar sepi. Inilah selalu berlaku antara dia dan atuk. Jarang sekali komunikasi antara mereka berpanjangan.

“Cantiknya cucu atuk ni.” Hajah Rokiah memuji sebaik melihat Liyana menghampiri dapur. Baju dipakai oleh Liyana, dibelek. 

‘Bagus juga, hasil kerja budak Yana ni,’ puji Hajah Rokiah dalam hati.

‘Hai, aku dari tadi ada kat sini tak dipuji atuk pun. Yelah, Lia memang cantik. Memang patut dapat pujian.’ Dikerling sekilas baju rayanya, sedondon corak dengan Liyana. Baju dipakai, dipandang lagi. Emak, memilih warna merah untuk baju rayanya. Merah... alahai.

Liyana senyum. Siapa tidak ‘kembang’ apabila dipuji? Dia menggayakan baju kurung moden mengikut potongan badan, sesuai dengan bentuk badannya yang langsing. Warna kuning pilihan emak memang padan benar dengan kulit cerahnya. 

 “Tengoklah siapa jahit? Kalau macam ni punya gaya, dah boleh kahwin. Kan tuk?” Shahiman mencelah.

Dayana mengecilkan mata, memandang Shahiman yang membalas dengan kenyitan pula. Mencebik. Malas mahu lama-lama, dia menghilang ke dapur.

“Buat apa nak risaukan Yana? Kau tu Iman, fikir pasal masa depan kau.” 

“Atuk tak suka, Iman kahwin dengan perempuan, macam Yana?”

“Habis Lia tu, tak padan dengan Iman?”

Shahiman diam. Liyana nun di meja makan dikerling. Memanglah cantik. Nak buat macam mana? Hatinya berkenankan Dayana. 

“Dengar tak, Iman?” 

“Alah atuk ni, apa kurangnya Yana? Dia pun cucu atuk juga.” 

Senyap.

“Jangan buat macam ni lagi. Kecil hati Lia kalau dia dengar nanti.” 

Shahiman diam. Muka tegang atuk, dipandang sekilas.

Hajah Rokiah berlalu ke ruang tamu. Tubuh tua yang agak gempal, dihenyak lembut ke kusyen. Sedikit terpukul hatinya dengan kata-kata Shahiman. Masih tercari-cari jawapan, mengapa dia suka meminggirkan Dayana? Nafas panjang dihela lemah.

“Bila boleh kahwin?” Shahiman mengangkat kedua kening berkali-kali sebaik pandangan bertembung dengan Dayana.

‘Nak mula dah ulat bulu ni.’ Serta-merta Dayana menyengetkan mulut. 

“Orang muda lagilah!” Lantas, Dayana menarik lengan Liyana kebetulan berdiri di sebelah.

“Atuk, kami nak ke kubur.” 

Air mata bergenang tatkala kawasan perkuburan dipijak. Sayu hatinya melihat pusara emak. Suasana raya tahun ini, sangatlah suram dan hambar. Benarlah kata orang, kesan kehilangan seorang ayah tidaklah sehebat jika kehilangan emak. 

Semasa pemergian abah, emak masih ada mengisi kesepian. Tetapi kehilangan emak, benar-benar mengosongkan ruangan yang ada. Kubur abah, sangatlah jauh. Terletak di kampung halaman abah di Pahang. Abah, tetap dalam ingatan.

Dayana meniup, debu-debu halus yang menutupi batu nisan emak. Lelehan air mata ke pipi semakin banyak saat melihat tulisan jawi di nisan. Tertera, nama insan yang selalu dirintih saban malam dan siang. Insan yang selalu diniatkan dalam hati, mahu bertemu lagi dengan izin Ilahi walau sekadar dalam mimpi. 

‘Mak.’ Dayana merintih hiba.

Liyana sudah membentang tikar mengkuang hasil anyaman atuk setelah selesai membersihkan kubur. 

Bersila di atas tikar sedang di tangan masing-masing, memegang Surah Yaasin. Bergema suasana dengan alunan bacaan.

“Mak, Yana dengan Lia datang ni,” terdiam sejenak Dayana kerana sebak.

“Tengok baju kami pakai, kain yang mak beli. Kan mak nak sangat pakai baju sedondon tahun ni. Baju mak, Yana sangkut kat dinding.” Air mata merembes laju. Tanah di atas pusara, diusap lembut. Beban rindu semakin tidak mampu ditahan.

Liyana menunduk, air mata bercucuran. Banyak lagi ingin dia beritahu emak. Terhinggut-hinggut kedua bahu menahan esakan tangis. Tenggelam seketika di dalam kejerlusan kesedihan.

Ada air jernih di kolam mata Shahiman. Dengan pantas, diseka dengan jari. Sebak, meruntun jiwa. Dia tidak mampu melihat pujaan hati menangis. Begitu lambat Dayana mahu dewasa. Jika masa boleh dilaraskan dengan laju, Dayana akan dimiliki. 

“Dah. Hari baik, kita tak patut bersedih. Banyakkan berdoa untuk mak ngah.” Shahiman memujuk.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.