Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 5.1

Kekok

Perasaan sangat kuat membayanginya. Hari ini, dia dan Liyana ke rumah kenduri walaupun pada mulanya agak keberatan tetapi demi menjaga hati emak, terpaksa juga akur. Ada pula orang datang menjemput. Bertambah tidak selesa, apabila dia diminta duduk di sebelah pemandu... masih bujang barangkali. Toing!

Dayana kini sedang duduk di khemah, memandang Liyana nun di hadapan. Secara kebetulan, kawan Liyana tinggal berdekatan rumah kenduri. Apabila Liyana sudah bertemu teman maka dengan senangdia ditinggalkan sendirian. Emak, telah lama menghilang ke dalam rumah bersama-sama tuan rumah. Tiba-tiba, perutnya terasa senak lalu bergegas kedalam rumah. Sebaik bertanyakan kepada beberapa orang sanak saudara tuan rumah barangkali, tentang arah tandas, melaju dia ke sana.

“Mama, kenapa buat macam ni? Bad tak berapa berkenan dengan budak nama Yana tu.”

Dayana berhenti melangkah sebaik mendengar nama ‘Yana’ disebut. ‘Apa hal pula ni, main sebut nama aku?’ Kening bertaut. Senak di perut tiba-tiba menghilang kerana tersasar ke dada pula.

“Mama berkenan sangat dengan dia, Bad. Pandai serba-serbi orangnya. Calon isteri macam tu patut Bad cari. Bukan macam perempuan yang Bad tunjuk kat mama sebelum ni.”

“Tapi mama, dia muda lagi. Bad pun, belum bersedia lagi nak kahwin. Bad tak naklah!”

“Bukannya mama suruh kahwin sekarang.”

“Mama ni, macam tak padanlah dia dengan Bad. Tapi kalau mama paksa juga, tu dengan sorang lagi. Bad nak yang tu.”

“Kenapa? Sebab sorang lagi tu cantik?”

Yelah, barulah padan dengan anak mama ni.” Badrul berharap sangat agar mama faham maksud kiasannya. Tidak perasankah mama bahawa dia seorang pemuda kacak?

“Bad, cantik aje tak cukup. Mama cuma nak yang terbaik untuk Bad. Mama nak cari perempuan yang boleh jaga Bad.” 

“Mama, Bad yang nak kahwin. Nak bahagia. Kalau mama tetap nak ikut pilihan mama, Bad tak nak kahwin!”

“Jangan macam ni. Mama nak, Bad kenal dulu dengan Yana.”

Tidak mahu bertegang urat lagi, Badrul segera beredar. Malas mahumelayankan kerenah mama. Bertikam lidah memang tiada guna kerana mama akan selalu menang.

Dayana tersentak sebaik sesusuk tubuh muncul di depan secara mengejut. Terbeliak luas mata, mujurlah tidak tersembul keluar. Hampir-hampir mereka bertembung. Jantung berdetak laju, nyaris-nyaris mahu pengsan.

“Cari apa?” Badrul juga terkejut, berjaya mengawal.

“Tandas.”

“Sana.” Sebaik menunjukkan arah tandas, Badrul terus berpaling.

Fuh, nasib baik,” perlahan nada suara Dayana.

“Yana. Buat apa kat sini?”

“Cari tandas, mak cik.” Dayana sekali lagi terkejut. Mujurlah jantungnya melekat dengan sangat kuat.

“Tu hah, kat sana.”

Dayana tidak menunggu lama, mula membuka langkah,

“Yana, nanti dah selesai, ke dapur terus ya, sayang. Mak cik nak minta tolong sikit.”

“Baik mak cik.” Dayana lekas-lekas menghilangkan diri. Walaupun masih gugup, hatinya cuba memujuk... ‘Bukan aku kot yang dimaksudkan?’ Dia lantas bergegas masuk ke dalam tandas.

Setelah beberapa minit, dia melangkah ke arah dapur, mendekati tuan rumah. 

“Mak cik nak minta tolong, bancuhkan kopi. Kejap lagi orang masjid nak datang. Ada Tahlil.”

Mata Dayana hampir terbeliak, lekas-lekas diredupkan kembali. ‘Kenapa aku yang kena? Ke mana saudara-mara Mak Cik Maznah?’

“Yana, tolong Mak Cik Maznah ya, sayang.”

Spontan Dayana menoleh. Mak?

“Semua barang ada kat sini. Mak cik nak ke depan sekejap dengan mak Yana ni. Buatlah macam rumah sendiri.”

Dayana termanggu-manggu sebaik ditinggalkan keseorangan di dapur serba mewah. Mata melilau ke sana sini. Kemas dan teratur dapur milik Puan Maznah. Kalau berduit, apa sahaja boleh dibuat. Tanpa menunggu lama, dia memulakan tugas yang diamanahkan. Ligat tangan menjerang air di dalam cerek elektrik.

Tidak jauh dari situ, sesusuk tubuh sedang memerhatikan gelagat Dayana tanpa berganjak walau seinci. Dia mahu melihat sejauh mana kebenaran cerita tentang kehebatan gadis hitam manis itu. Sepuluh minit telah berlalu, kakinya langsung tidak diangkat untuk berlalu.

Akhirnya...

Kus ssemangat!” Degupan jantung Dayana semakin laju.

Ish, dua kali dah macam ni. Boleh kena sakit jantung aku nanti.’ Dayana cuba bertenang.

“Buat apa kat sini?”

Perlukah Dayana menjawab, ‘Tengah menari?’ Hatinya sempat ketawa. ‘Dah tahu aku buat apa, tanya lagi. Haish!’ rungutnya pula.

“Dengar tak?”

“Mak cik suruh...”

“Suruh apa?” Walaupun tahu apa sedang dilakukan, sajalah nak memanjangkan dialog dengan membuat pertanyaan kurang bernas. Bau kopi menerawang semerbak ke udara, benar-benar menggoda tekaknya.

“Bancuh kopi.” Dayana serba tidak kena kerana perasan sedang ditenung. Ikutkan hati, ada juga dia lari tidak cukup tanah nanti.

“Boleh tuangkan secawan?” Mata Badrul menjelajah muka Dayana.

Mahu terperanjat... lantas Dayana mencapai cawan berdekatan lalu menuang air kopi panas. Cawan dihulur.

Badrul menyambut, masih enggan melepas pandang muka Dayana. Boleh tahan pemalu. Dari tadi, tidak memanggung kepala apatah lagi berbalas pandangan dengannya. Perempuan lain jika melihatnya... siap nak ikut balik ke rumah. Bibir sudah melekat di cawan, sebaik sedikit kopi tersebut dihirup dan ditelan.

“Boleh tahan,” ayat spontan keluar daripada mulut Badrul.

Dayana gugup. Tidak tahu, mahu menunjukkan reaksi bagaimana? Perlukah dia mengukirkan senyuman dengan lebar? Patutkah dia memanggungkan kepala, bertentang mata? Lalu, dia mengambil keputusan membuat apa-apa kerja. Terlihat olehnya balang berisi uncang teh. Empat jug besar telah dikeluarkan oleh Mak Cik Maznah tadi. Tanpa disuruh, dia membancuh pula air teh panas. Tidak semua orang meminati kopi.

Badrul masih tidak berganjak. Betul kata mama, nampak tidak kekok lagak Dayana ketika di dapur. Walaupun tidak secantik seperti seorang lagi, Dayana punyai aura hingga membuatkan dia enggan melepaskan pandangan.

‘Dia ni, pergilah ke depan. Ish.’ Dayana sangat kekok. Dicekalkan hati supaya bertenang. Ke mana dia hendak pergi? Rumah orang, bukan rumah sendiri. Walhal, kerja membancuh air telah pun siap. Dia memang ingin keluar dari dapur tetapi pintu utama telah dihalang oleh susuk pemuda itu. Akhirnya, termanggu-manggu dia di sinki. Membasuh beberapa perkakas lain dengan perlahan-lahan kerana mahu membuang masa.

Previous: Bab 4
Next: Bab 5.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.