Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
25.1

“Cikgu, Ammar dah ceraikan saya!”

Masih terngiang-ngiang di telinga Cikgu Halim. Beberapa kali mengurut dada, agar bertenang. Setiap kali memandang Dayana, penuh rasa simpati dan kasihan akan timbul di hati. Mengapa terlalu malang nasib gadis itu?

 “Saya tak tahu nak pergi ke mana? Saya, dah tak ada sesiapa cikgu.” Masih melantun nada hiba Dayana di kotak fikirannya. Tanpa sedar, dia mengeluh panjang.

Dayana sedang duduk di sofa. Melayang-layang jauh fikiran. Teringatkan kejadian beberapa hari lepas. Dia berjaya meloloskan diri daripada Shahiman semasa berhenti di sebuah stesen minyak. Dengan pantas mengambil beg pakaian lalu berlari menuju ke jalan raya berdekatan. Mujurlah, ada sebuah teksi lalu di situ. 

Tiada tempat lain terlintas difikiran waktu itu. Hanya rumah Cikgu Halim, destinasi tujuan. Dia nekad, mahu pergi jauh. Biar Shahiman mencarinya. Biarlah, dia membawa diri. Bumi ini terlalu luas. Bertawakal tentang untung rugi nasibnya kelak. 

“Bang,” Puan Mariam memandang muka suami. Dituntun tangan suami, mendekati Dayana lalu melabuhkan duduk berdekatan.

“Cikgu betul-betul tak sangka. Tergamak Ammar buat kamu macam ni. Cintakan kamu konon.” Cikgu Halim menghela nafas kemudian menggeleng perlahan. 

Masih bersisa terkejut dengan kemunculan Dayana di pintu rumahnya awal pagi. Bertambah terkejut apabila melihat keadaan Dayana, lebam di pipi dan bibir bengkak. Kasihan. Sudahlah yatim piatu, dapat pula suami cemburu buta hingga sanggup berkasar tanpa belas kasihan. Sangkaannya, Dayana akan bahagia. Ternyata meleset. 

“Macam mana, bang? Saya tak sanggup, tengok Yana macam ni.”

“Abang tengah fikir ni, Yam.”

“Bang. Yam rasalah, elok kalau kita pergi bersemuka dengan keluarga Ammar tu. Geram betul saya. Sanggup buat Yana macam ni. Kalau ikutkan hati saya... hesy!” Gigi diketap, menahan marah.  

“Saya tak nak. Tak sanggup semuka dengan keluarga tu. Dia dah ceraikan saya. Dia hina saya. Buang saya macam sampah. Saya pun ada maruah. Tapi dia, dah pijak rapat-rapat!” 

“Tak baik cakap macam tu, Yana. Mesti ada jalan penyelesaian. Kita bincang dulu.”

“Nak bincang apa lagi, cikgu? Tengok muka saya pun, dia tak nak.” 

“Mungkin, dia tengah marah masa tu. Mana tahu, hati Ammar dah sejuk sekarang?” Walaupun marah, Cikgu Halim harus bersikap rasional untuk mencari jalan penyelesaian. Otaknya masih berkerja keras. Memikirkan cara, membantu Dayana?

“Apa guna teruskan hubungan ni kalau dia tak percayakan saya. Bagi dia, saya ni perempuan kotor. Macam-macam kata keji dia lemparkan kepada saya, cikgu. Saya tak sanggup, hadap muka dia lagi.”

“Yana, orang tengah marah memang macam tu.” Cikgu Halim masih berusaha memujuk. Jegilan isteri, dia buat tidak endah. 

“Tak apalah. Saya faham kalau cikgu tak nak tolong. Dah tak ada guna, saya tinggal kat sini lagi.” Dayana bingkas bangun.

“Tunggu dulu.” Tangan Dayana ditarik. Puan Mariam menuntun tangan itu dan memberi isyarat duduk.

“Abang.” 

Senyap.

“Yana tinggal dulu kat sini. Kita akan fikirkan yang lain kemudian.” Cikgu Halim memujuk.

“Molek sangatlah tu. Yana tinggal dengan akak, ya?” Puan Mariam sesekali tidak akan mengizinkan Dayana meninggalkan rumah dalam keadaan seperti ini. Terlalu banyak keburukkan, di luar sana. Bimbang jika apa-apa tidak diingini berlaku ke atas Dayana.  

“Maaf, saya menyusahkan cikgu.”

“Sekarang ni, Yana di bawah tanggungjawab kami. Kita akan fikir jalan yang terbaik nanti.” Cikgu Halim tidak mahu menambah beban sedih Dayana. Dia perlu menolong.  

“Jangan malu, Yana. Buat macam rumah sendiri.” 

Mengapa Dayana sering diduga? Cepat-cepat semua fikiran buruk dihambat jauh daripada fikirannya. Takdir Tuhan, tidak elok dipertikai. Pasti ada terselit bahagia di kemudian hari. Besar hatinya menerima kedatangan Dayana. Sekurang-kurangnya, isteri tersayang ada juga teman untuk berbual.  

Dia kasihankan isteri. Lima tahun berkahwin, masih belum dikurniakan cahaya mata. Redha dengan segala ketentuan Ilahi. Pelbagai cara diusahakan. Biarlah masa menentukan segalanya. Dia tidak akan putus berdoa.


Previous: 24
Next: 25.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.