Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 1.1


Dayana melangkah keluar dari bilik setelah selesai bersiap. Liyana, kakaknya berdiri di depan cermin, sedang merapikan tudung. Ramai dalam kalangan rakan di sekolah tidak tahu bahawa dia mempunyai kakak seusia, bukan kembar. Hanya lahir di tahun sama, bulan berbeza. Kebetulan juga, mereka tidak pernah sekelas. Masing-masing dengan hal sendiri.

Dayana duduk di atas kerusi terletak di laman rumah. Tangan pula sibuk menyarung sarung kaki. Selesai, dia bangun. Baju kurung sedikit renyuk, ditepuk-tepuk lembut kemudian merapati emak sedang duduk bersimpuh di ambang pintu.

“Mak, Yana pergi dulu.” Tubuh dibongkok sedikit, tangan emak dikucup.

Liyana juga turut berbuat demikian.

“Elok-elok, ya,” pesan emak.

Dayana melangkah laju menuju ke tapak perhimpunan sebaik tiba di sekolah. Berkumpul bersama teman-teman, bertanya khabar sesama sendiri manakala Liyana, berjalan ke arah lain kerana masing-masing punyai teman akrab sendiri. Hari pertama persekolahan, becok mulut masing-masing, menceritakan kenangan cuti sekolah yang lalu. Punyalah teruja masing-masing, sudah berada dalam kelas masih lagi bercerita.

Ish, kenapa dia duduk kat meja sebelah pula?’ Sempat lagi Dayana mengerling ke arah meja di kanan. Mulut dijuih sedikit. Kurang selesa pula sebaik mengenali jirannya.

‘Macam tak ada tempat lain nak duduk? Meja kat depan tu, berlambak lagi kosong.’ Dia merengus halus.

Eh, eh kau ni. Kelas ni, bukan hak milik kau. Jadi, kenapa nak sibuk dengan orang kat sebelah tu?’

‘Suara siapa ni?’ Dayana tersentak lalu memandang sekeliling.

‘Suara siapa lagi kalau bukan suara hati aku.’ Dia ketawa dalam hati.

‘Macam mana boleh sekelas dengan aku kali ni?’ Kecil besar mata Dayana memandang ke arah Adibah di depan, sedang sengih membuat dia rasa lain macam.

Irshad, jirannya dikerling lagi. Budak lelaki yang pernah digosipkan dengannya semasa di sekolah rendah dulu. Huh, macam selebritipula. Pemukul canangnya siapa lagi kalau bukan Adibah. Riuh rendah satu sekolah hingga malu dia dibuat. Dayana sedar kekurangan diri. Mana tidak, Irshad, pemuda idaman sedangkan dia hanyalah seorang budak selekeh. Kulit pula, tidaklah secerah mana. Manalah padan? Bak kata Liyana, ‘Macam Dayang Senandung.’

Kuss semangat.” Dayana tersentak. 

Dia menoleh kekiri. Erk, alamak! Bulat mata sebaik melihat siapakah gerangan dan dengan pantas memandang depan. Siapa tidak terkejut? Kali pertama, disapa oleh seorang pelajar lelaki yang diintai secara rahsia sejak dua tahun. Kali pertama ya!

‘Biar betul? Dia pun sekelas dengan aku? Hai, kelas tak mula lagi dah nak pakai pembaris? Takkan pembaris pun tak ada? Musykil aku,’ Dayana berteka-teki dalam hati. Kening sudah bertaut.

“Boleh pinjam tak, Yana?”

Soalan walaupun lembut nada, mampu memecahkan lamunan Dayana.

Hah... sekejap.”

Dayana terpaku sebaik melihat si peminjam pembaris menyimpul senyum manis ketika pandangan bertembung. Dia yang gugup, pantas memusingkan badan. Enggan terus memandang muka si dia. Boleh melorot ke kaki jantungnya nanti. Laju tangan memunggah beg sekolah, tersangkut elok di kerusi. Dihulur pembaris kemudian tanpa disangka-sangka, sekali lagi si dia telah menghadiahkan senyuman. Terpana lagi. Jantung, bagai mahu terkeluar kerana debaran laju. Hampir-hampir mulut melopong.

Haish, jangan nak menggatal!’ tegur suara hatinya. Dayana tersentak sedikit.

“Terima kasih.”

Tanpa membalas, mata Dayana mengikut arah si dia berlalu. Rupa-rupanya, si dia adalah pengisi kerusi kosong di sebelah Irshad. Sedang asyik memerhati, entah bagaimana secara tiba-tiba, boleh pula mereka berdua dengan serentak memandangnya. Spontan, dia memalingkan muka, menghadap papan hitam di hadapan. Malunya!

Selang beberapa minit, seorang lelaki berkemeja biru muda, berseluar slack hitam dan berkaca mata tebal, melangkah masuk ke kelas sambil memberi salam.

Dayana dan rakan-rakan, bingkas bangun, menjawab salam.

“Duduk. Saya, Cikgu Hafizi. Saya akan ajar matapelajaran Bahasa Melayu dan merangkap guru kelas kamu. Baiklah, memandangkan ini hari pertama jadi saya tak nak buang masa. Sekarang, saya nak lantik ketua kelas. Sesiapa yang ada cadangan, sila kemukakan.”

Ketua kelas? Ramai juga pelajar bangun memberikan cadangan. Setelah undian selesai dibuat, mereka telah sebulat suara memilih Irshad menjadi ketua kelas.

Irshad pula lantas bangun lalu menundukkan sedikit kepala membuat gaya sepertitelah memenangi anugerah.

Dayana melihat ragam itu lantas mencebik. Entah mengapa, kurang berkenan dia dengan tingkah laku Irshad. Walaupun jarang bertegur sapa tetapi ada beberapa peristiwa berlaku di antara mereka membuatkan dia makan hati dengan Irshad.

Eleh, bajet bagus pula. Baru jadi ketua kelas. Kalau ketua pengawas, tak tahulah macam mana?’ Menyenget mulut Dayana.

“Okey, sekarang kita akan memilih jawatan untuk penolong pula. Ada sesiapa kamu nak cadangkan?” soal Cikgu Hafizi. 

“Saya cadangkan, Lily Dayana cikgu.” Mata Adibah secara spontan memandang ke arah Dayana. Kening, diangkat berkali-kali sedang di bibir tebal, satu senyuman sumbing sudah terukir lebar.

“Tengok, dia dah mula nak kenakan aku. Tak puas lagi agaknya menyakat aku dulu?” Terkumat-kamit mulut Dayana merungut perlahan. Tersenget sana, tersenget sini.

Ketika undian terhadap Dayana dijalankan, rakan-rakan lain memandang ke arahnya. Beria-ia dia memberi isyarat dengan menggeleng berkali-kali, meraih perhatian mereka agar tidak mengundinya.

“Baiklah kelas, nampaknya kamu semua telah sebulat suara memilih Lily Dayana jadi penolong ketua kelas. Tahniah.” Keputusan muktamad telah dibuat.

“Adibah ni, memang nak kenalah.” Nafas panjang ditarik kemudian dihela manakala kedua tangan disilang, memeluk tubuh sedang bersandar ke kerusi.

“Tahniah. Nampaknya awak dipilih jadi pembantu saya.”

Dayana menoleh ke kanan, memandang Irshad dan terhala sekali ke arah sidia sedang menyimpul senyum.

‘Senyum lagi dia ni,’ desisnya.

Lekas-lekas Dayana mengalih pandangan ke arah lain tanpa membalas kata-kata Irshad. Bimbang jika dianggap perasan lebih nanti kalau asyik memandang mereka berdua. Berdebar-debar hati akibat panahan mata si dia. Pandangan menusuk ke kalbu langsung tertusuk tepat ke hati. Hish, gatal! Tiba-tiba, matanya spontan membesar lalu menoleh ke kiri, memandang teman di sebelah. Kedua kening diangkat. Dah kenapa pula, main siku-siku?

“Kalau iya pun dia senyum kat kau, janganlah gelabah. Bertenang.” Sara mahu gelak dengan ulah Dayana.

Dayana hanya diam lantas berpusing, membuka beg sekolah lalu mengeluarkan buku teks Bahasa Melayu. Buku sudah berada di atas meja, diselak. Berpura-pura membaca sedangkan apa dibaca, tidak tahulah?

Sara gelak kecil.

“Janganlah gelakkan aku. Adibah nampak nanti, lagi teruk aku kena sakat. Mana aku nak letak muka ni?” Dayana buat-buat tarik muka masam sambil menjeling tajam. 

“Alah kau ni, bawa bertenang.”

Ish, tak habis-habis dengan bawa bertenang dia.” Dayana mencebik. Dijegil pula mata sebaik Sara ketawa.

“Aku sebenarnya seronok, tengok muka kau bila gelabah. Kelakar tau.” Sara menyambung ketawa.

Dayana mengetap gigi. Bahu Sara telah ditampar. Matanya secara spontan membesar lagi tetapi tidak lama. Dia mencebik lagi. Alah, perlahan saja pun tamparannya, boleh pula Sara mengaduh. Bertambah geram apabila melihat Sara gelak mengekek-ngekek.

“Gelaklah puas-puas. Tak apa, hari ni hari aku...” mimik muka semakin masam.

“Alah, merajuklah pula kawan aku ni. Bukan apa, yang kau takut sangat dengan Adibah, kenapa? Jangan risau. Aku, kan ada. Apa jadi nanti, aku akan pertahankan kau. Percayalah.”

Yelah tu.” Menyenget mulut Dayana.

Sara gelak lagi.  

Next: Bab 1.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.