Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
17.2

‘Peperangan’ penentu hidupnya dan Liyana telah meletus. Hidup Dayana, diduga lagi. Jiwa yang terbeban dengan masalah, ditambah pula kerisauan menghadapi peperiksaan, telah menjejaskan kesihatan. 

Sehari sebelum berlangsung peperiksaan, dia telah diserang demam panas. Berbekalkan semangat kuat, hati dikentalkan sehabis mungkin. Digagahkan juga diri untuk menduduki peperiksaan penting.

“Kau, okey tak?” Liyana yang risau menyentuh dahi Dayana. Panas!

“Alah, demam sikit aje. Kau jangan risaulah. Aku dah makan ubat tadi. Nanti baiklah.” Seboleh-bolehnya tidak mahu merisaukan Liyana.

“Betul ni?” tanya Liyana kembali.

“Betul. Jomlah, nanti lambat pula masuk dewan.” Dayana menarik tangan Liyana. Tubuhnya terasa sengal-sengal, tetap digagahi juga. 

“Hai Yana!”

“Oh aku okey!”

Syifa seperti biasa, gelak mengekek. Nampaknya, tidak habis lagi Dayana dengan penyakit latah.

“Kau ni, Syifa,” gumam Dayana perlahan. 

“Kejap, apa yang okey?” Kening Syifa bertaut.

“Dia demam,” sampuk Liyana.

Syifa lantas melekapkan tangan ke dahi Dayana, “Panaslah!” katanya pula.

“Dah nama pun demam panas, Syifa.” Dayana merengus lemah. Benar-benar tidak larat.

“Kesiannya. Dah makan ubat? Ish, macam mana boleh demam? Semalam, elok aje aku tengok.” 

Dayana menjulingkan mata ke atas. Syifa, Syifa. Kepala digeleng perlahan. 

“Ke hadapan saudari Syifa yang cantik lagi manis. Kau ingat, demam aku ni boleh cakap kat aku, ‘Yana, esok kau demam.’ Boleh macam tu?”

“Ya tak ya juga. Hehehe.” Syifa sengih.

“Apalah kau ni?” Dayana menghembus nafas perlahan. Terasa hangat hembusan nafas dek kerana haba yang keluar daripada hidung.

“Dahlah, Syifa. Aku tengah sakit kepala ni. Lebih baik pergi duduk kat tempat kau, sebelum kepala kau, aku sekeh.” Memang pun kepalanya sedang berdenyut-denyut. 

“Yelah, yelah. Jawab periksa tu elok-elok. Tak pasal-pasal nanti kami potong keputusan kau.” Sempat lagi Syifa berseloroh. Sebaik melihat Dayana mencerlungkan mata, lekas-lekas dia kembali ke tempat duduk, selang satu baris dari kiri Dayana.

“Awak, dah makan ubat?” tanya Ammar Najjah sebaik mendekati Dayana.

“Dah.”

“Apa-apa hal, saya kat sebelah. Cakap aje kalau tak sihat sangat, ya.” Bimbang pula Ammar Najjah dengan keadaan kesihatan Dayana. Kelihatan sangat lesu di matanya. 

“Hmm...” balas Dayana ringkas kemudian kembali melentokkan kepala yang terasa berat di atas meja. 

Ammar Najjah hanya mampu memerhati dari jauh. Dia memejamkan mata, menarik nafas dalam-dalam. Dayana sakit, hatinya juga sakit. Jika boleh dipindahkan penyakit itu, biar dia sahaja merasai. 

Bersyukur kerana Dayana telah memaafkannya. Seboleh mungkin, cuba untuk tidak lagi menyakiti hati kesayangan. Sedaya upaya belajar mengawal perasaan cemburu walaupun terbit baru-baru ini. Cerita Liyana tentang hal Dayana didatangi oleh seorang pemuda tempoh hari, dihambat sejauh mungkin. Menambah kelegaan, Dayana menolak lamaran yang pernah dibuat dulu. 

Pandangannya terhala pula ke arah Laila, berada tidak jauh dari mereka. Dijeling Laila yang sedang  merenungnya dengan tajam. Dia tahu cerita tentang Laila pernah menyerang Dayana suatu ketika dulu.  

Hal bersama Laila, telah lama berlalu. Mengapa perlu diungkit lagi? Dulu, tertarik dengan Laila hanya kerana kecantikkan rupa paras. Berbeza sama sekali dengan Dayana. Hati kecilnya berkata, Dayana memiliki kecantikkan tersendiri. Punyai perwatakan menarik setanding akhlak.

“Tabahlah Dayanaku.” 


Previous: 17.1
Next: 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.