Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
22

Debaran di hati cuba ditenangkan. Sesekali, tangan di dalam genggaman suami, dipandang sekilas. Hubungan dengan Ammar Najjah, bertambah baik. Dayana cuba melapangkan hati, menerima kehadiran suami secara perlahan-lahan. Takdir tersurat untuknya sedang cuba dikaji dan difahami. 

Sebaik menoleh, pandangan bersatu. Berdenyut jantung sebaik suaminya mengukir senyum. Nampak sangat kacak. Beria-ia memberontak sebelum ini. Ah... jangan cair hati sekarang? Pantas mengalih pandangan ke arah tingkap di sisi kiri. 

Mata, meluas sebaik kereta dinaiki memasuki laman rumah atuk. Kereta milik pak sunya, dikerling sekilas lalu. Sebaik kereta diparkir, Ammar Najjah turun dahulu. Membuka pintu untuknya lalu meraih tangan. Dia keluar daripada kereta, memerhati sekeliling. Suami, menarik tangan. Dia menahan.

“Kenapa?” Ammar Najjah memandang 

hairan. 

“Saya, nak ke kubur dulu.” 

Ammar Najjah mengangguk. Menuruti dari belakang. 

Dayana berdiri terpacak. Pusara emak, dipandang hiba. Bukan jauh rumah atuk dengan kubur emak. Pelupuk mata jadi suam. 

“Yana, duduk kat sini.” Ammar Najjah, memaut bahu isteri, membantu duduk di bongkah batu berdekatan. 

Dayana akur. Mata, masih statik ke arah pusara emak. Tangan diangkat, mengaminkan doa yang dibaca oleh suami. 

‘Mak, ni suami Yana. Yana, dah kahwin mak. Yana,’ air mata menitik. Tangan, mengusap tanah di atas pusara. Betapa dia rindukan emak. Betapa dia, dahagakan kasih emak. Rindukan belaian emak. Semakin deras air mata mengalir

“Yana,” diraih lagi bahu isteri. Didakap Dayana. Mata Ammar Najjah sudah merah. Hiba, melihat si isteri dalam kesedihan. Semakin bertekad, mahu bahagiakan Dayana. Dia bersyukur kerana Dayana mulai menerimanya. 

Dayana hanya senyum hambar sebaik saling berpandangan. Pusara emak dipandang kembali. 

Mata Dayana memandang keliling rumah. Terasa asing sedangkan ini, kampung halamannya. Keramahan, bagaikan terlekang daripadanya. Kelu lidah mahu memulakan kata-kata. Ammar Najjah pula jadi terlebih ramah. Siapa ahli keluarga sebenarnya ni? 

Muka pak su, dipandang sekilas. Masih terbuku rasa marah terhadap pak su. Mak su dan atuk sedang  bersembang dengan mak mentuanya, dipandang sipi-sipi. Air mata bergenang, gigih ditahan daripada tumpah. Sungguh terasa dengan layanan dingin keluarganya. Liyana mendekati. Sekadar menyalamnya kemudian menghilang. 

“Ramai tak, jemputan Karia untuk kenduri esok?”

“Tak sangat Abang Shukri. Hanya orang kampung dengan kawan-kawan rapat. Abang, nak tambah jemputan?” Encik Zakaria memandang besan. Jarak usia antara mereka hampir sepuluh tahun. 

“Tak adalah. Saja tanya. Beritahu, apa yang kurang. Abang akan tambah.” Encik Shukri menepuk lembut bahu Encik Zakaria.

“Duit Abang Shukri bagi, lebih daripada cukup. Terima kasih.”

Dayana masih membatu. Rimas lama-lama di sini, bingkas bangun. Melaju ke halaman rumah atuk. Dua khemah kecil telah siap didirikan. Pasti untuk kenduri esok. Melonglai langkah diatur ke khemah. Kerusi ditarik, dia melabuhkan duduk.





Psttt. Kepada pembaca disayangi. doakan supaya karya saya dapat dibukukan oleh penerbit yang sudi. Doakan ya. Moga kebaikan anda dibalas dengan kebaikan juga. Aminnn.


Previous: 21.1
Next: 22.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.