Home Novelet Seram/Misteri GUMANTHONG
GUMANTHONG
Maria Kajiwa
1/7/2015 21:34:56
10,857
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

500 tahun dahulu

Di sempadan wilayah Kanchanaburi

DI HUJUNG jambatan yang merintangi Sungai Chao Phraya, Ply Kaew menghentikan kuda putih yang ditunggang. Dia menoleh ke belakang sebentar untuk memerhati kota yang baru ditinggalkan. Pada saat itu rasa kecewa, marah dan malu menghempas-hempas dada.

Ternyata segala bakti dan taat setianya selama ini belum cukup untuk raja mempercayai dirinya. Segala pengorbanan meninggalkan isteri dan ibu, segala penat lelah, darah dan peluh di medan perang hanya dibalas dengan penghinaan dan seratus kali sebatan yang hampir memisahkan daging dari tulang. Dan kini dia dihalau pergi dari tempat lahirnya sendiri.

Ketika itu bulan mengambang penuh. Setelah penat menunggang kuda tanpa henti, Ply Kaew berhenti di tepi sebatang sungai yang jernih. Ditambat kuda yang ditungganginya pada sebatang pokok lalu dia merebahkan diri di gigi air sambil melontar jauh pandangan matanya ke arah biasan cahaya bulan yang menari-nari di atas air.

Keindahan malam itu cuba dinikmati namun fikirannya tetap tidak tenteram. Rasanya lebih baik dia mati di medan perang daripada hidup dalam keadaan yang memalukan itu.

Dia berfikir di mana silapnya dan apa yang boleh dilakukannya lagi. Akhirnya dia membuat satu kesimpulan. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, dia perlu menjadi yang terbaik walau dengan apa cara sekalipun. Dia perlu membuktikan dirinyalah yang terbaik dari segi apapun.

Hanya dengan itu dia dapat membalas dendam dan mendapatkan semula semua yang telah dirampas dari hidupnya.

Dia langsung terbangkit dan duduk semula. Sambil merenung air sungai yang mengalir deras, dia teringat akan segala ilmu yang pernah dituntut dari Sami Kong; seorang pakar ilmu hitam di Kanchanaburi. Mungkin sudah sampai masanya dia menggunakan segala apa yang dia tahu.

*****

MASA berlalu, Ply Kaew masih tinggal menyendiri di hutan itu. Namun dendam dan azamnya masih membara. Setiap hari dia menekuni tiga buah buku yang pernah diserahkan kepada dia semasa belajar di Kuil Pailalai dahulu. Satu demi satu ilmu hitam ditekuni. Dia mula menyediakan dirinya sedikit demi sedikit.

“Neraka menjadi saksi, aku bangkitkan roh Sri Mok yang sakti!” Mantera itu dibaca sambil mencurahkan darahnya yang ditadah di atas sehelai daun ke muka kuda tunggangannya.

Kudanya terlompat dan berdiri tegak. Kakinya menguis-nguis angin. Matanya menjadi merah seperti biji saga. Serentak dengan itu, hutan diterpa angin hitam yang kuat. Kuda Ply Kaew meringkik dan meronta-ronta. Akhirnya tali pengikat terputus, lalu kuda Ply Kaew menerjah anak sungai dan lari jauh ke dalam hutan.

Ply Kaew cuba mengejar namun gagal. Hanya setelah hampir pagi kudanya pulang mencium kaki. Akan tetapi kudanya yang pulang itu sudah tidak sama lagi.

“Sri Mok,” panggil Ply Kaew.

Dia sedar ilmu hitamnya berjaya. Sri Mok bukan kuda biasa. Sri Mok, kuda yang boleh berlari kencang bagaikan terbang di atas angin. Sri Mok juga tidak lut senjata dan sangat berani.

Dia gembira memiliki Sri Mok; akan tetapi dia juga tidak lupa satu perkara. Lantas dia pergi memburu binatang liar. Darah dan daging binatang itu disajikan kepada Sri Mok kerana itulah makanan Sri Mok mulai sekarang.

Sejak itu, dia dan Sri Mok, terus mengembara untuk melengkapi diri dengan ilmu hitam. Semakin hari semakin ramai yang tunduk dan gerun kepada dia. Akan tetapi hatinya tetap tidak berasa puas.

Ada satu lagi ilmu hitam yang ingin dikuasainya. Ilmu hitam yang belum pernah dikuasai oleh mana-mana sami sebelum ini. Ilmu hitam yang sangat ampuh di medan perang iaitu gumanthong.

Masalahnya, sudah puas dicari, sudah puas ditelek setiap kali bertemu dengan wanita hamil, namun belum diketemukan dengan seorang bayi yang mampu dipuja rohnya. Bayi yang istimewa dan memenuhi syarat-syarat ilmu tersebut.

Sehinggalah satu hari dia melepaskan penat di tepi sebuah sungai. Takdir menemukan dia dengan apa yang dia cari.

*****

“KAMU siapa?” Sebilah pedang berwarna kuning kehijauan mencucuk pangkal leher Ply Kaew yang sedang tertidur di atas sebuah batu lebar.

Dia yang masih kepenatan terpinga-pinga. Apabila diperhati ke sekeliling Sri Mok sudah entah ke mana. Namun dia tahu kalau begitu keadaannya, dia telah termasuk ke dalam satu kawasan yang dikuasai sesuatu kumpulan penjahat. Dia dianggap penceroboh.

“Bangun! Kamu siapa? Buat apa di hutan ini?” tempik seorang lelaki yang bertubuh gempal. Garang wajahnya.

Ply Kaew bangun perlahan-lahan. Berhadapan dengan musuh bukan perkara asing malah dia tidak sedikit pun gentar walau dikelilingi oleh enam orang lelaki berwajah bengis. Namun selama tidak ada yang mengenali wajahnya; dia tidak rasa terhina. Bagaimanapun lelaki yang menangkapnya itu berlembut sebaik sahaja bertentang mata dengannya. Dia diterima dan dilayan dengan baik.

“Aku... Ply Kaew. Engkau pula siapa?” jawab Ply Kaew tanpa rasa takut. Semua ilmu hitam yang telah dipelajari diguna habis-habisan untuk menundukkan lawan.

“Aku, Moihun. Ketua kumpulan di sini. Engkau telah masuk ke dalam kawasan kami.” Lelaki bertubuh gempal tadi menjawab dengan tenang.

Ply Kaew tersenyum nipis.

“Aku hanya pengembara,” kata Ply Kaew lagi.

Dia harap Moihun memahami yang dia tidak berniat jahat. Malah yang sebenarnya dia tidak tahu pun di mana dia berada. Akhirnya Ply Kaew diterima baik dalam kumpulan itu. Dan dengan kehebatan ilmu hitamnya dia telah membantu kumpulan Moihun merompak sesiapa sahaja. Akhirnya hati Moihun terbuka untuk menjodohkan Ply Kaew dengan anak gadisnya, Bialee.

*****

DARI sehari ke sehari, Ply Kaew menjadi gelisah. Berkurung di hutan itu menjadikan dia runsing. Dendamnya masih belum terpadam. Cita-citanya untuk menjadi yang terbaik belum lagi tercapai sehinggalah pada satu malam dia bermimpi. Yang anak dalam kandungan isterinya itulah janin yang dicari-cari.

Berhari-hari Ply Kaew termenung dan membawa diri jauh dari kumpulan itu. Dia serba salah memikirkan antara Bialee yang baik dan dendam kesumat yang masih beraja di hati. Akhirnya pada satu malam yang gelap, dia pulang semula.

Melihatkan suaminya pulang, Bialee menyambut Ply Kaew dengan kerinduan. Pada waktu itu kandungannya sudah melepasi umur lima bulan dan dia dalam keadaan sihat.

Sayangnya Ply Kaew berasa amat sakit hati. Dia rasa dikhianati apabila makanan yang dihidangkan oleh Bialee mengandungi racun.

“Dari mana kamu mendapat makanan ini?” Dia bertanya dengan hati-hati.

“Dari ayah,” balas Bialee tanpa mengesyakki apa-apa.

Maka tahulah Ply Kaew bahaya dirinya ditakuti. Namun semua itu juga membuatkan dia berubah hati. Lalu pada malam itu dia mengajak Bialee menunggang Sri Mok.

“Kita hendak ke mana?” tanya Bialee. Ajakan itu dirasakan aneh; tambahan lagi perutnya sudah mula besar.

Ply Kaew tidak menjawab. Dia bawa Bialee jauh dari tempat asalnya. Setibanya di suatu tempat; Bialee dipukau dan ditidurkan.

Pada waktu itulah, Ply Kaew membelah perut Bialee dan janin anaknya yang baru berusia lima bulan direntap keluar.

Sejak malam itu. Ply Kaew tidak ke mana-mana. Dia hanya duduk di situ meratib mantera dan memuja janin anaknya yang disalai di atas api. Pada malam ke tujuh, janin yang dijamu diterima. Maka terhasillah gumanthong yang pertama di dunia.

******

SETAHUN selepas itu, Ply Kaew kembali semula Kanchanaburi. Kesalahannya telah diampunkan. Dia diberi tempat semula dalam pasukan tentera dan diarahkan ke medan perang memimpin satu pasukan.

Berbekalkan keyakinannya kepada gumanthong yang kini disimpan dalam rantai yang dipakai, juga kepada kehandalan Sri Mok yang tiada tolok banding dan kepada segala kuasa ilmu hitam yang dipelajari; Ply Kaew pergi berperang dengan berani. Segala serangan senjata dan ilmu hitam dipatahkan dengan mudah.

Sejak itu; satu demi satu peperangan dimenanginya. Namanya semakin mahsyhur dalam kerajaan Ayutthiya. Tidak ada yang dapat mengalahkan dia. Kawan dan musuh menjadi gerun. Akhirnya; semua cita-cita yang diimpikan selama ini tercapai. Dia menjadi pahlawan lagenda zaman berzaman.

Masa berlalu, sepuluh tahun selepas itu Ply Kaew tidak lagi ke medan perang. Tempatnya diganti anaknya, Ply Arm. Segala pengalaman berperang dan ilmunya diturunkan kepada Ply Arm kecuali ilmu berkenaan gumanthong. Ia tetap menjadi rahsia peribadi kerana, setiap kali dia menyentuh rantai di lehernya dia rasa sedih dan bersalah.

Akhirnya dia memutuskan untuk kembali semula ke tempat pemujaan dijalankan. Di situ, dia membaca mantera dengan linangan air mata. Janin anaknya yang kini sudah mengecut dan hanya tinggal sebesar kotak mancis ditanam di sebelah kuburan kecil yang menempatkan sisa-sisa tulang Bialee.

Dia harap, usahanya itu menyatukan semula anak dan ibu yang telah terpisah secara paksa.

Tidak dia sangka, segala perbuatannya diperhatikan seseorang. Setelah dia meninggalkan tempat itu, janin itu digali semula dan dibawa ke Chiang Mai.

Di situ gumanthong milik Ply Kaew... dihidupkan semula.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.