Home Novelet Seram/Misteri GUMANTHONG
GUMANTHONG
Maria Kajiwa
1/7/2015 21:34:56
10,855
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

“ENCIK LUQMAN, lori barang dah sampai.” Lina menerpa ke pintu ofis sebaik sahaja ternampak sebuah lori tiga tan berhenti di hadapan kedai.

Perkhabaran itu membuatkan Luqman spontan mengangkat muka dan punggung. Ditinggalkan pen di atas meja lalu keluar ke ruang hadapan; tempat dia mempamerkan perabot-perabot terpakai yang dijual semula. Setibanya di kaki lima kedai; dia tersenyum lega. Barang yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba dari kampung halamannya sendiri di Padang Besar.

“Kenapa?” Dia perasan seperti ada yang tidak kena dengan pemandu dan kelindan lori yang sedang menurunkan barang-barang. Muka masing-masingnya berkerut.

“Tak padan kecil. Beratnya bukan main.” Pemandu lori menyapu peluh di dahi dengan tuala kecil. Dia mengajak kelindannya mencuba sekali lagi.

Di bawah, Luqman memerhati dengan rasa bimbang. Dia sendiri rasa tidak percaya apabila meja sebesar itu boleh mendatangkan masalah.

“Boleh? Kalau tak boleh. Biar saya tolong.”

Rasa risaunya memuncak. Walaupun sudah berkali-kali dicuba namun meja kecil berlaci tiga itu tetap tidak banyak bergerak.

“Kita turunkan perabot lain dulu.” Pemandu lori membuat usul setelah usahanya tidak banyak membuahkan hasil.

“Okeylah.”

Tanpa berlengah kelindan lori mula menurunkan barang-barang yang lain. Sebuah meja bulat beralas marmar, empat buah kerusi kayu redwood, sebuah kerusi panjang kayu jati dan sebuah almari hiasan yang sudah hilang kacanya.

Luqman yang masih berada di bawah memerhati dengan teliti barang-barang yang dibawa turun. Mujurlah kesemuanya berada dalam keadaan elok walaupun setelah menempuh perjalanan yang jauh.

“Tadi pun macam ni juga. Nak angkat bawa masuk ke dalam lori punyalah susah.”

Pemandu lori merungut lagi. Meja kecil berlaci tiga masih tidak bergerak dari sisi lori bagaikan keempat-empat kakinya terpateri ke lantai. Kelindan pula sudah bercekak pinggang dan mengeluh.

Melihatkan keadaan itu, Luqman memanjat dan masuk ke dalam lori untuk membantu. Dia tidak tahu apa masalahnya. Akan tetapi dia lebih merisaukan soal lori besar itu yang diparkir di tengah jalan. Tidak mustahil kesesakan lalu lintas akan berlaku dan mereka disergah oleh pihak polis. Oleh itu dia harus cepat bertindak.

“Mari saya tolong.”

Dia sinsing lengan baju kemeja yang dipakai hingga ke siku. Lalu mereka bertiga mula mengangkat meja itu sekuat tenaga. Yang anehnya bagi Luqman meja itu tidaklah berat mana. Biasa sahaja.

“Aik?” Pemandu lori dan kelindan sama-sama tercengang apabila meja kecil itu mudah dialihkan.

Luqman ketawa kecil. Setelah meja itu dapat dibawa turun, dia menepuk bahu pemandu lori lalu mengusik; “Itulah. Lain kali... baca Bismillah dulu, bang.”

Mujurlah gurauan itu disambut dengan gelak ketawa. Namun sewaktu pemandu lori mahu beredar dari situ, dia terlihat sesusuk makhluk hitam yang tingginya mencecah siling dan badannya hampir memenuhi separuh kedai; duduk di sisi meja kecil itu. Apabila dia menoleh kali kedua, telinganya berdesing seperti ditampar dengan kuat di kedua-dua belah.Berpinar matanya.

Dia cepat-cepat menggerakkan lori. Sekujur tubuh terasa mahu demam.

*****

HARI yang awalnya cerah dan panas kini berubah mendung. Sebagai peniaga hal itu sedikit sebanyak merunsingkan hati. Sudahlah hasil jualan sebulan dua kebelakangan ini tidak seberapa; cuaca pula seperti tidak membantu. Sedang termenung memandang keadaan cuaca yang berubah tiba-tiba, dia ditegur Lina.

“Encik Luqman, meja ni... laci dia hanya dua buah sahaja yang boleh dibuka ya?”

Lina terkulat-kulat di tepi meja kecil yang dimaksudkan tadi. Di tangannya ada sehelai kain lembap yang telah dicelup dengan air rendaman teh. Seperti biasa, setiap kali barang baru tiba, dia akan mengelap sampai bersih dan memeriksa sekiranya ada bahagian yang rosak dan perlu diperbaiki.

Pertanyaan itu tidak terus dibalas Luqman kerana dia sendiri tidak pasti. Walaupun meja kecil itu mempunyai tiga buah laci, dia sendiri tidak tahu sama ada lacinya benar-benar boleh dibuka ataupun sekadar hiasan semata seperti yang terdapat pada sesetengah perabot.

Dia bergumam. Setelah mencuba beberapa kali, ternyata laci yang di tengah tidak boleh dibuka. Berbeza sekali dengan dua buah laci di kiri dan kanan. Akhirnya dia membuat kesimpulan.

“Bukan laci. Perhiasan sahaja.”

Dia berdiri semula namun matanya tidak lekang dari memerhati meja itu. Sejak kali pertama melihat meja itu di dalam stor milik datuknya, dia sudah jatuh hati. Bagi dia, meja itu mempunyai keunikan dari segi bentuk dan rupa. Tentu harga yang boleh diletakkan tinggi. Tetapi sebelum itu dia mahu membuat sedikit penyelidikan untuk mendapatkan anggaran harga dan sedikit panduan. Mungkin boleh juga dia bertanya kepada beberapa orang kawannya yang merupakan peminat barangan antik.

“Tak ada apa-apa yang rosak. Semuanya elok.”

Setelah membuat pemeriksaan dengan teliti, Lina membuat kesimpulan. Sememangnya meja kecil itu tidak ada cacat cela kecuali warnanya agak kusam dan mempunyai aura yang gelap.

“Cuma mungkin perlu digilap sikit supaya berkilat. Kalau macam ni... nampak macam...” Lina tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan. Setiap kali dia memandang lama meja itu, seperti fikirannya ditarik masuk ke alam yang gelap gelita. Hatinya rasa tidak selesa dan tidak suka.

Luqman tidak membantah pendapat Lina. Dia juga mempunyai pendapat yang sama.

“Kita angkat ke belakang dulu.”

Tanpa berlengah, Luqman pegang buju meja. Pada waktu itu dia berharap masalah tadi tidak berulang lagi. Mujurlah keadaan baik-baik sahaja cuma sewaktu mereka bergerak; meja itu berbunyi seperti ada sesuatu di dalam laci. Spontan Luqman menurunkan meja itu ke lantai.

“Bunyi apa tadi tu?” Dia pandang Lina.

“Macam ada benda dalam laci tapi...” Lina buka kedua-dua buah laci tetapi kedua-duanya kosong. Akhirnya dia mendongak memandang Luqman.

Luqman dapat menangkap maksud pandangan Lina. Itu bermakna ada sesuatu di dalam laci tengah yang tadi disangkakan hanyalah perhiasan semata.

Dia terus duduk bertinggung di sebelah Lina. Laci tengah diperiksa semula dan cuba dibuka buat sekian kalinya tetapi tetap gagal.

“Baca Bismillah dulu, bos.” Lina mengusik.

Hati Luqman tercuit. Dibaca Basmallah namun laci itu tetap begitu juga. Kemudian dia terperasan sesuatu.

“Laci ni dah digam.” Itulah penemuannya. Baru kini dia tahu kenapa laci itu tidak boleh dibuka.

“Digam?” Lina kehairanan. Dia menjeling Luqman. “Habis tu... apa kita nak buat? Umpil?”

Luqman termenung. Dia tidak sangka akan berhadapan dengan masalah itu.

“Letak dulu dalam bilik saya. Nanti saya cuba buka.” Dia terpaksa ketepikan dahulu soal itu. Dia perlu menyelesaikan beberapa masalah lain yang lebih ringan.

Dengan bantuan Lina, meja itu dipindahkan pula ke dalam ofis Luqman.

Sewaktu Lina mahu menutup pintu ofis, dia terdengar bunyi kanak-kanak ketawa. Spontan dia tergamam. Bulat matanya menerawang ke sekeliling ofis mencari sumber bunyi; namun tidak kedengaran apa-apa pula. Apabila dia mahu menutup pintu buat kali kedua, bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini ketawa dan mengekek kuat.

Cepat-cepat dia menjauhi bilik itu. Menggermang bulu tengkuknya.

*****

PUKUL tujuh malam. Hujan sedang turun mencurah-curah di luar. Suasana yang dingin dan gelap menjadikan kawasan perniagaan di situ sunyi walaupun kenderaan masih bertali arus di atas jalan.

“Encik Luqman tak balik lagi?”

Lina menegur Luqman yang masih duduk di dalam ofis. Walaupun dia tahu Luqman sudah berkahwin namun entah kenapa lelaki itu tidak seperti orang yang sudah berkahwin lagaknya. Selama bekerja di situ dia belum pernah melihat Luqman tergesa-gesa ingin balik seperti lelaki-lelaki lain.

Malah, dia belum pernah sekalipun melihat wajah isteri dan anak-anak Luqman. Dia hanya mengenali ayah mentua Luqman, Pak Yusuf kerana orang tua itu kerap juga datang bersembang di situ.

“Baliklah dulu,” balas Luqman tanpa mengalih muka dari skrin.

Sejak tadi dia leka melayari internet untuk mencari beberapa maklumat mengenai beberapa perabot yang baru tiba termasuklah meja kecil yang aneh itu. Namun tidak banyak maklumat yang ditemui.

“Pagi esok saya datang lambat sikit.” Lina mengingatkan hal yang penting itu. Semalam sudah dimaklumkan hal itu kepada Luqman tetapi dia takut Luqman terlupa. “Nak temankan mak pergi hospital. Selepas itu kalau tak ada hal lain, saya datang.”

“Okey.” Luqman acuh tidak acuh menjawab.

Menyedari keadaan itu, Lina meninggalkan ofis. Helmet yang disimpan di dalam salah sebuah almari hias di situ diambil lalu disarung ke kepala. Walaupun terpaksa mengharungi hujan dia terpaksa pulang. Ibunya bersendirian di rumah.

Setelah beberapa lama menatap skrin komputer, Luqman berasa bosan. Apa yang dicari di internet tidak ditemui. Akhirnya dia tinggalkan komputer. Dia capai telefon bimbit lalu keluar ke ruang hadapan. Tanpa berlengah, dia mengambil beberapa keping gambar perabot yang baru tiba tadi dari beberapa sudut menggunakan telefon bimbit. Setelah berpuas hati dengan semua gambar yang diambil, dia kembali semula ke dalam ofis.

Dia ambil pula beberapa keping gambar meja kecil tadi dari arah hadapan, sisi dan atas. Apabila diperiksa semula, semua gambar yang diambil sama ada bergoyang, kabur ataupun gelap bagai ditabiri kain hitam. Berkali-kali dicuba namun hasilnya tetap sama. Dia mengeluh dan mengalah.

Semasa duduk di hadapan meja kecil itu, matanya tertancap ke arah laci yang ditengah-tengah. Hatinya bagai dipanggil-panggil untuk membuka laci itu. Ligat fikirannya berfikir mencari jalan untuk membukanya tanpa menggunakan kekasaran kerana bimbang meja itu rosak dan turun harga pasaran. Akan tetapi hatinya didorong kuat untuk tidak mengendahkan semua itu.

Lantas dia berjalan laju ke stor mencari alat yang boleh digunakan. Kotak peralatan diselongkar dengan kasar sehinggalah dia terpandang sebatang pemutar skru yang besar. Tanpa berlengah dia berlari anak ke dalam ofis dan mula mengumpil laci itu tanpa putus asa.

Krak!

Akhirnya setelah puas berusaha; laci itu terbuka sedikit. Terus diumpil lagi sehingga laci itu benar-benar terpisah dari meja. Kemudian ditarik sehingga terbuka.

Matanya terus menangkap kehadiran sebuah kotak kayu berukir halus. Bagai ada satu kuasa yang menyuruh, Luqman mengambil kotak itu lalu membawanya keluar.

Kotak itu kemudiannya diletakkan di atas riba; rasanya hangat bagaikan berdenyut dan bernyawa. Kemudian dia terperasan sesuatu yang tidak kena.

Kotak itu tidak boleh dibuka. Sekelilingnya dipaku dengan paku hitam sepanjang lima sentimeter. Tidak terkira jumlahnya.

*****

LUQMAN memasang telinga. Bunyi hujan di luar membuatkan dia tidak ada rasa mahu pulang. Lagipun malam masih muda, fikirnya. Kalau pulang pun bukan ada apa yang dapat dibuat.

Keluarganya sudah tidak seperti dahulu lagi walau isterinya Fatin, sedang hamil lima bulan. Memikirkan hal itu, dia mengambil keputusan untuk berlama-lama di situ. Kotak kayu sebesar tapak tangan itu lebih menarik perhatian.

Makin lama direnung, makin teruja rasa ingin tahunya. Apatah lagi setiap kali kotak itu dialih, ia mengeluarkan bunyi berdenting-denting bagaikan ada logam yang berlaga-laga.

Buka sahajalah paku ini. Agaknya di dalam kotak ini ada barang berharga. Mungkin siling emas atau barang perhiasan yang bernilai tinggi; suara hatinya memujuk. Lantas tanpa berfikir panjang, dia membut keputusan untuk mencabut paku-paku itu satu per satu.

Namun setiap kali paku itu dicabut, tangannya menggigil bagai disengat arus elektrik. Akan tetapi dek rasa teruja yang kuat, dia teruskan juga dengan sabar.

Setelah hampir dua jam, semua paku dapat ditanggalkan. Luqman merehatkan jari-jemari yang sakit seketika sebelum mengangkat penutup kotak dengan harapan yang menggunung tingginya.

Sebaik sahaja penutup kotak kayu itu diangkat, Luqman diterpa angin yang sangat kuat sehingga tubuhnya tertolak ke belakang. Dia jatuh terlentang di tengah pintu. Bingung dan terpinga-pinga. Apatah lagi pada waktu itu, lampu kedai dengan tiba-tiba sahaja terpadam serentak. Dia kini berada di dalam gelap.

Dadanya berdebar kencang. Baru sahaja hendak duduk semula, kedengaran seperti bunyi sekawan lebah menghurung sarang. Berdengung-dengung diikuti dengan bunyi kaca dan barang-barang dipecahkan.

Pada waktu itu tubuh Luqman menggigil dan berpeluh. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku tetapi dia mahu keluar dari situ secepat mungkin. Sedang meraba-raba mencari jalan keluar; keadaan menjadi senyap. Lampu terpasang semula satu persatu.

Luqman berlari keluar. Roller shutterditarik selaju mungkin sehingga jatuh terhempas dan menghasilkan bunyi bising. Dia tidak peduli. Setelah dikunci dia berlari pula masuk ke dalam kereta.

Sepanjang perjalanan pulang, dia rasa tidak tenteram. Terasa juga bagaikan ada benda yang mengejar namun dia tidak berani menoleh ke belakang.

*****

SEJAM setengah selepas itu, Luqman sampai di rumah. Seperti biasa kepulangannya hanya disambut dengan rasa sunyi dan ruang tamu yang gelap. Akan tetapi untuk malam itu dia berasa lega kerana sekurang-kurangnya tidak ada sesiapa yang akan bertanya apa yang telah menimpanya tadi. Dia belum bersedia untuk bercerita apa-apa.

“Abang dah makan?”

Pertanyaan Fatin membuatkan air yang baru diteguk Luqman tersembur keluar. Dia tersedak-sedak. Bajunya basah sedikit. Apabila dia menoleh ke sisi, Fatin masih di situ memandangnya tidak berkelip.

“Dah,” balasnya pendek sebelum bergerak menjauhi Fatin. Akan tetapi Fatin masih mengikutnya. Dia hairan, kemudian teringatkan anaknya yang berusia sepuluh tahun.

“Wani mana?”

Fatin mengeluh halus. Sambil tersenyum kelat dia mengerling dinding bilik dapur yang berwarna gelap. Sayu hatinya.

“Dah pukul berapa ni? Tentulah dah tidur,” jawabnya kemudian. Sekaligus melepaskan apa yang terbuku di hati. Luqman memang biasa balik lewat setiap malam namun tidak pernah selewat malam itu

Jawapan Fatin membuatkan Luqman membelek jam tangan. Baru dia tahu, sudah dekat pukul dua belas malam. Sejujurnya dia tidak sedar masa telah beranjak jauh. Dia rasa bersalah.

“Abang ke mana? Kenapa balik lambat sangat?”

Luqman tergamam. Pertanyaan Fatin dirasakan ada unsur cemburu. Namun dia malas melayan hal itu; nanti berpanjangan. Akhirnya dia tinggalkan ruang dapur.

“Abang! Kenapa tak jawab?” Fatin tarik lengan Luqman.

Langkah Luqman terhenti. Kepalanya terasa pening. Tubuhnya penat dan lesu. Dia hanya mahu merebahkan badan ke atas tilam dan lelap sahaja.

“Sampai bila abang nak hukum Fatin macam ni? Sampai Fatin mati?”

“Setiap kali abang balik Fatin ajak bertengkar. Jadi buat apa abang balik awal?”

Luqman mengeluh. Fatin bangkitkan lagi hal yang cuba dielakkan sejak dua tahun yang lalu. Malah kalau boleh dia tidak mahu mengingatinya langsung. Disebabkan itu dia cuba menyibukkan diri sepanjang masa. Hanya dengan itu dia percaya dia dapat melupakan sedikit apa yang telah menimpa anak sulung mereka, Amran.

“Fatin bukan ajak bertengkar tapi abang tu yang buat Fatin macam tak wujud. Fatin pun ada perasaan juga. Fatin pun rasa bersalah juga. Tapi sikap abang membuatkan Fatin rasa sangat teruk.”

Fatin luahkan segala apa yang terbuku di dada. Dia tidak dapat lagi bersabar dengan suaminya yang semakin lama semakin menjauh. Makin dipendam makin membiak-biak rasa sedihnya. Sayangnya Luqman hanya buat tidak tahu.

“Abang!” Suara Fatin meninggi. Dia pandang muka suaminya lama-lama. Muka itu nampak sungguh berserabut dan kusut. “Abang tak boleh terus macam ni. Kita kena berbincang, bang.”

Luqman menggeleng. Dia lepaskan pegangan tangan Fatin sebelum dia melangkah laju naik ke tingkat atas sebelum menghempas pintu sekuat-kuatnya. Dia belum bersedia.

Tidak dia sangka pada malam itu, Fatin hampir mati.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.