Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
ummu bilal
23/11/2017 16:32:39
70,360
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 3

Begitu bersemangat sekali Zaki bercerita tentang impiannya kepada Mail yang sedari tadi setia menjadi rakan bualnya. Memang Zaki tidak lokek bercerita kepada Mail yang sejak zaman remaja lagi dikenalinya itu malah Mail juga sememangnya sudah lama tahu tentang hobi Zaki yang satu itu. Mail tidak menyangka bahawa Zaki masih lagi menyimpan impian itu walaupun umur masing-masing sudah menginjak tua.

“Kau pun tahu kan minat aku tu. Umur bukan masalahnya sekarang tapi..”Zaki menghela nafas dan matanya masih lagi memandang ke arah wajah Mail yang sesekali mengangguk apabila mendengar ceritanya itu.

            Kepada Mail lah Zaki banyak meluahkan perasaannya kerana bagi Zaki, Mail ialah sahabat yang dapat menerima dirinya seadanya. Bukanlah Zaki tidak mempunyai ramai teman, tetapi antara ramai-ramai daripada mereka, Mail yang paling rapat dengannya. Ditambah pula mereka juga mempunyai umur yang sebaya dan membesar di kampung yang sama.

            “Masalahnya bini aku yang tak sokong. Ada ke dikatanya aku ni miang keladi.” Sambung Zaki lagi yang sempat menghirup air suam yang sudah tinggal separuh gelas itu.

            “Miang keladi?” Mail membeliakkan mata tetapi dalam masa yang sama cuba menahan ketawa.

            Zaki masih ingat lagi reaksi Maznah suatu pagi apabila dia sedang menyanyi-nyanyi di hadapan cermin,Maznah tiba-tiba menyoalnya dengan pertanyaan yang tidak diduga. Bertubi-tubisoalan yang diajukan seperti das tembakan yang tidak mahu berhenti keluar.

       “Abang ni senyum-senyum depan cermin. Nyanyi-nyanyi lagu cinta ni ada apa-apa ke ni?” tanya Maznah yang sudah pun berdiri di sebelahnya.

Terpinga-pinga sebentar Zaki apabila tiba-tiba disoal begitu.

      “Apa yang ada apa-apa tu? Awak ni macam la tak biasa saya nyanyi depan cermin ni.” Zaki tidak mengendahkan isterinya yang masih lagi tercegat disebelahnya.

     “Abang jangan macam-macam dengan saya ye. Abang sedar sikit ye abang tu dah tua. Jangan jadi macam miang keladi pulak.” Maznah masih tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya itu yang seperti tidak bersungguh-sungguh menjawab pertanyaannya.

Zaki pula masih lagi tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh isterinya itu. Kedengaran seperti isterinya itu merajuk tetapi apa yang dirajuknya sebenarnya itu? Apa kaitannya menyanyi depan cermin dengan miang keladi pulak ni?

            “Ada la tu yang dia tak puas hati tu. Kau ni pun satu, bukannya nak tanya. Dah tahu yang bini tu kuat merajuk.” Kata Mail yang juga turut mengenali sikap Maznah kerana mereka membesar bersama  ketika kecil dahulu. Bukan sahaja merajuk, malah tahap cemburu juga boleh tahan juga.

            “Buang tebiat agaknya tu.” Balas Zaki dengan nada bersahaja dan disambut dengan gelakan halus olehMail.

            Perbualan rancak mereka terhenti apabila mereka mula menyedari bahawa hari sudah menganjak jauh ketengah petang. Beberapa orang yang turut berborak-borak di warung Wan Derus juga sudah mula mengundurkan diri pulang ke rumah masing-masing.

            Seorang pelayan kedai kiranya anak buah kepada Wan Derus datang ke meja mereka apabila Mail mengangkat tangan. Lincah pergerakan Najiha melakukan kerjanya sambil mengeluarkan  kertas dan pen dari kocek apron yang dipakai. Walaupun Najiha baru boleh dikatakan masih baru bekerja disitu, kelihatan Najiha tidak kekok melayan kehendak pelanggan di situ. Najiha meneliti sebentar gelas-gelas dan pinggan  yang ada di atas meja Mail dan Zaki.

            “Rm5 je la pakcik.”Kata Najiha seraya tersengih menampakkan barisan giginya yang putih.

            “Aik, aku minum air suam je pun dah jadi RM5?” Zaki seolah-olah seperti tidak berpuas hati.

            “Alah, hal kecik je la.“ Mail tidak mahu terus memanjangkan cerita. Terus sahaja dia menghulurkan notRM5 kepada Nasuha dan disambut dengan senyuman oleh Najiha.

            Zaki terdiam. Jika Mail sudah membuat bayaran untuknya, apa lagi yang dia boleh buat? Mail biasanya tidak akan menerima semula duitnya apabila dia berhasrat untuk menggantinya semula. Kerap kali juga Mail menyumbangkan duitnya kepada Zaki apabila minum-minum bersama. Boleh dikatakan bahawa Mail bukanlah lokek orangnya tetapi adakalanya naik segan juga Zaki dengan kebaikan Mail.

            “Dah nak dekat Maghrib pun. Kita solat sekali di surau la.” Pelawa Mail yang sudah pun bangun dari kerusi bersedia untuk berlalu dari situ.

            “Hmm..” Zaki berfikir sejenak. Memang Zaki sudah biasa dipelawa oleh Mail untuk berjemaah di surau tetapi Zaki sering merasa berat hati untuk memenuhinya.

            Bukannya Zaki tidak solat di rumah, dia juga solat kerana dia tahu solat merupakan tiang agama, cuma dia lebih selesa solat di rumah sahaja. Berbeza dengan isterinya Maznah yang kerap juga solat di surau lebih-lebih lagi apabila adanya kuliah di masjid.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.