Home Cerpen Umum Hasrat ayah
Hasrat ayah
ummu bilal
10/3/2017 12:15:54
3,075
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Ayah meneguk air perlahan-lahan. Air yang diminumnya itu tawar seperti hatinya yang dirasanya kini.

"Abang dah makan ubat?" sapa ibu dari belakang sambil membawa semangkuk sup ayam. Ayah sememangnya gemar makan sup ayam yang masih panas.

"Dah, " jawab ayah ringkas tanpa berpaling mengadap ibu. Ibu meletakkan sup ayam yang dipegangnya itu di atas meja. Ayah nampaknya kurang selera untuk menjamah sup ayam buatan tangan ibu pada hari ini.

"Tadi Acik ada telefon Farid. Farid kirim salam pada abang,"

"Kenapa bukan dia sendiri yang telefon?," ibu terdiam mendengar pertanyaan ayah. Disangkanya ayah akan gembira apabila mendengar berita itu, tetapi lain pula jadinya.

"Lepas ni jangan suruh Acik telefon Farid lagi. Biarkan je dia. Kalau dia tak ingat aku pun tak apa," dengus ayah.

Ibu masih lagi terdiam tidak berkata apa-apa.

****

"Cuba Acik telefon abang," suruh ibu kepadaku yang ketika itu sedang mengulangkaji pelajaran. Memandangkan peperiksaan besar SPM bakal tiba, aku mempersiapkan diri dengan menelaah dan tempat yang paling selesa untuk aku mengulangkaji pada waktu lapang ialah di rumah. Beberapa orang teman baikku pernah juga mengajakku untuk mengulangkaji bersama mereka, tetapi aku menolak ditambah pula dengan keadaan kesihatan ayah yang tidak mengizinkan.

Dalam keadaan begitu, ayah masih sempat memerhatikanku selain menyelitkan nasihat supaya aku belajar bersungguh-sungguh demi masa depan. Aku kasihan melihat keadaan ayah, adakalanya aku melihat ayah termenung di beranda. Di situlah antara tempat kegemaran ayah untuk beristirehat sambil menghirup udara petang. Jika tidak berdiri, ayah akan duduk di kerusi yang sememangnya disediakan di situ.

Aku melihat jam di dinding. Masih awal lagi. Kebiasaannya Abang Farid menutup telefon bimbitnya jika bukan pada waktu rehat. Jadi sia-sia sahaja jika aku membuat panggilan pada waktu ini.

"Ibu, belum pukul satu lagi," jawabku mengingatkan ibu. Ibu kelihatannya baru teringat akan hal tersebut, lantas terus mengangguk tanpa memahami.

"Lepas ni Acik telefon abang, ibu jangan risau," aku meyakinkan ibu yang kelihatannya agak resah. Aku lihat ibu mengukir senyuman dan mengangguk lagi.

****

"Ayah, ibu," Abang Farid mencium tangan ibu dan ayah. Ibu kelihatannya gembira dengan kepulangan anak sulungnya itu. Ayah pula dari riak wajahnya, hanya kelihatan bersahaja. Aku juga kurang pasti dengan perasaan sebenar yang bergolak di hati ayah tika itu. Ayah sememangnya seorang pendiam tetapi bertanggungjawab dalam menjaga hal kebajikan ahli keluarganya.

Ketika itu ayah masih di atas katil dan sudah selesai menjamu selera. Tidak lama kemudian ayah bangun perlahan-lahan menuju ke tempat kegemaran ayah. Ayah duduk di salah satu kerusi yang berada di beranda.

"Ayah marah Farid ke?" tanya Abang Farid merenung muka ibu. Ibu segera menggeleng.

"Jom kita makan dulu. Lepas ni baru kita bincang," ajak ibu segera bangkit menuju ke dapur. Aku tahu ibu sudah menyiapkan pelbagai lauk tidak terkecuali lauk kesukaan Abang Farid iaitu asam pedas ikan pari. Ayah masih lagi bersendirian di sudut beranda. Entah apa yang difikirkan ayah.

" Ibu, bukanlah Farid tak mahu ikut cadangan tu tapi masalahnya macamana dengan kerja Farid? Kalau kat sini Farid nak kerja apa?" Abang Farid cuba menagih simpati daripada ibu.

Ibu sengaja memulakan perbualan selepas Abang Farid selesai menjamu santapan tengahari kerana tidak mahu mengganggu selera makan Abang Farid. Abang Farid nampaknya berselera apabila dihidangkan dengan lauk kegemarannya. Beberapa kali Abang Farid memuji masakan ibu.

"Farid tak sayang ibu dengan ayah ke?" pertanyaan ibu itu semakin membuatkan Abang Farid serba salah. Aku tahu Abang Farid sayangkan ibu dan ayah, mana mungkin Abang Farid tidak sayangkan ibu ayah yang banyak berkorban selama ini.

"Kalau Farid sayang, cubalah ikut cadangan tu," pinta ibu dengan suara kendur. Aku tahu dalam keadaan begini, ibu lebih banyak bermain dengan emosi. Senyum ibu tidak semestinya ibu dalam keadaan gembira, tetapi lebih kepada menyembunyikan emosi sebenar.

"Banyak lagi kerja yang kau boleh buat kat sini. Bukan semestinya kat Kuala Lumpur je kau boleh hidup. Habis tu, semua orang kat sini tak ada kerja ke? tak ada rezeki? macam tu kata kau?," bidas ayah yang ketika itu sudah muncul di ruang dapur. Terkejut juga aku dengan kehadiran ayah secara tiba-tiba. Aku juga tidak menyangka ayah turut memasang telinga perbualan antara ibu dan Abang Farid. Aku yang pada ketika itu masih menyantap sisa-sisa nasi yang masih tinggal, segera melajukan kunyahan.

"Bukan macam tu," Abang Farid terkial-kial ingin menjawab pertanyaan ayah. Abang Farid sebenarnya tersepit di antara dua keadaan. Kedua-duanya penting bagi Abang Farid.

"Cubala fikir lagi Farid. Lagipun nak harapkan Acik? Acik pun tak ambik lesen lagi. Lagipun kasihan la pada ayah. Takkan sepanjang masa nak harapkan Pak Kub je," bisik ibu kepada Abang Farid.

Aku lihat ayah mengambil tempat di hujung meja. Aku pula ketika itu pula sudah mengambil tempat di sinki untuk membasuh tangan. Sekilas aku memandang wajah Abang Farid. Abang Farid masih teragak-agak untuk memberikan jawapan pasti buat masa sekarang.

****

Aku tidak dapat melelapkan mata. Aku masih teringat tentang Abang Farid. Keadaan Abang Farid apabila diminta membuat keputusan. Aku tahu ibu dan ayah mengharapkan Abang Farid untuk berada di sisi bagi memudahkan urusan ayah untuk berulang alik ke hospital untuk menghadiri temujanji yang telah ditetapkan oleh doktor. Ayah nampaknya tidak begitu kuat lagi untuk memandu, sebab itu ada waktunya Pak Kub datang untuk membantu tetapi sampai bila mahu harapkan Pak Kub? Urusan hospital juga seolah-olah tiada penghujung semenjak ayah disahkan menghidap penyakit jantung. Ayah tidak mahu berlama-lama menyusahkan Pak Kub walaupun ayah tahu hati budi jirannya itu. Mereka saling mengenali ketika di usia muda lagi. Pak Kub sememangnya seorang jiran yang prihatin.

Seringkali juga ayah memuji Pak Kub. Adakalanya Pak Kub singgah ke rumah apabila membeli barang basah di pasar. Pernah juga ayah menunjukkan sikap enggan untuk menghadiri temujanji tetapi segera dipujuk oleh Pak Kub. Aku tahu ayah tidak mahu terlalu kerap menyusahkan jirannya itu.

"Ibu, Farid baru sahaja nak bina kerjaya. Kerja ni penting bagi Farid tapi bukan bermaksud Farid tak sayangkan ibu dan ayah," ibu diam seolah-olah sudah tiada daya lagi memujuk Abang Farid.

"Buat masa ni kita minta tolong Pak Kub dulu. Farid janji Farid akan balik seberapa kerap yang boleh. Tu janji Farid," ibu merenung dalam-dalam mata Abang Farid. Abang Farid nampaknya bersungguh-sungguh ingin mengotakan janjinya itu. Aku juga tidak dapat berbuat apa-apa. Mahukah Abang Farid mendengar pendapatku sedangkan pangkatku hanyalah seorang adik? Mungkin bagi Abag Farid aku masih mentah. Jika aku di tempat Abang Farid, aku akan mengambil keputusan untuk menurut sahaja permintaan ibu dan ayah. Apa sangatlah permintaan ibu dan ayah jika mahu dibandingkan dengan pengorbanan mereka selama ini? Itu pandanganku, bagaimana pula dengan pandangan Abang Farid sendiri?

****

Hari demi hari aku perhatikan kesihatan ayah semakin merosot. Ayah juga dinasihatkan oleh doktor untuk tinggal di wad untuk memudahkan urusan pemantauan kesihatan, tetapi ayah enggan.

" Kalau aku mati pun, biar aku mati kat rumah je!" pernah ayah berkata begitu kepada ibu. Ibu sudah puas menangis dan memujuk ayah tetapi jawapan ayah tetap sama.

Abang Farid nampaknya mengotakan janji yang pernah dibuat dulu. Sedikit sebanyak aku memuji Abang Farid walaupun nampak riak keletihan di wajahnya. Namun, dalam masa dua minggu ini Abang Farid tidak dapat menjenguk ayah kerana perlu menghadiri kursus. Abang Farid telahpun memberitahu hal itu kepada ibu dan kami sudahpun mengetahui hal itu. Apa yang boleh aku katakan? Abang Farid terpaksa memungkiri janji yang dibuatnya sendiri atas tuntutan kerja. Seperti biasa, Pak Kub nampaknya bermurah hati menyatakan kesanggupannya menemani ayah dalam beberapa hari ini.

Aku masih ingat, hari itu hari Isnin. Pagi itu seperti biasa aku, ibu dan ayah bersarapan pagi. Untuk ayah, ibu telah menyediakan bubur istimewa dengan harapan ayah menjamah makanan kerana ayah nampaknya semakin tidak berselera untuk makan. Ibu cuba menyuapkan bubur ke mulut ayah tetapi ayah menggeleng.

"Acik, tolong urut kaki ayah," pinta ayah kepadaku. Tanpa membuang masa, aku menuruti permintaan ayah. Aku lihat ada air mata jernih yang mengalir keluar dari kelopak mata ayah. Pak Kub yang setia di sisi ayah turut mengurut perlahan lengan ayah.

"Acik jangan lupa belajar betul-betul. Acik kena jaga ibu ye," pesan ayah dengan suara perlahan. Aku memberhentikan urutan. Aku merenung wajah ayah. Sayu wajah ayah. Entah mengapa aku berasa sangat sedih. Aku mencium tangah ayah. Aku dapat rasakan tangan ayah mengelus perlahan rambutku.

"Ayah!!" jeritku.

Aku dan ibu terkedu sebaik sahaja mendengar jawapan Pak Kub. Baru sebentar tadi aku mengurut ayah dan baru sebentar tadi ayah menitipkan pesan kepadaku. Baru sebentar tadi! Kini segala-galanya berakhir.

Ayah sudah tiada.

Aku cuba menahan tangisan tetapi gagal. Aku kalah juga dengan perasaan. Aku lihat mata ibu merah. Jika aku sedih, ibu juga lebih-lebih lagi merasakan hal itu. Sesungguhnya aku tidak menyangka ayah pergi dalam keadaan ini, dalam lena! Aku masih tidak menyangka urutan yang diminta oleh ayah tadi ialah permintaan terakhir ayah. Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur kerana dapat melaksanakan arahan ayah.

Ibu mencuit bahuku. Ibu dengan segera meminta aku menghubungi Abang Farid. Abang Farid? Oh, ya Abang Farid. Aku terasa malas dan berat untuk mendail nombor abang Farid. Lama aku membuat panggilan sehingga memasuki peti suara. Aku tidak mengalah dan terus juga berusaha dan akhirnya panggilanku berjawab. Abang Farid nampaknya terkejut dengan berita yang aku sampaikan dan segera mengambil cuti kecemasan. Sehingga kini aku tidak tahu apa yang terpendam di lubuk hati Abang Farid. Sesungguhnya aku tidak mampu menilai dan menghukum Abang Farid kerana aku juga hanya manusia biasa!.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.