Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
78,018
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 23

Maya tersenyum manis sambil tangannya mengusap lembut rambut Wajdi setelah puas menenangkan sesama sendiri.Dia menceritakan bagaimana dia senyap-senyap memerhatikan Wajdi setiap kali di pusat asuhan anak yatim itu dari jauh dan juga mengatakan bahawa ayah Wajdi sudahpun berkahwin lain dan mempunyai keluarga sendiri.

Jodoh itu ketentuan Allah. Pasti di situ sahaja jodohnya bersama Muhammad Harraz, yakni ayah kepada Wajdi.

"Wajdi akan jaga ibu sampai akhir hayat Wajdi. Wajdi janji. Jangan pergi dari Wajdi lagi ya ibu?"

Kata-kata Wajdi tadi membuatkannya kembali sebak. Sungguh dia berasa hiba tatkala mengingati bagaimana kejam dirinya membiarkan anaknya itu membesar di pusat asuhan.

"Maafkan ibu sekali lagi ya sayang? Ibu gagal kawal emosi ibu dulu,"

~~~

"Dah okey?" soal Pak Azlan. Sebenarnya dia mendengar semua luahan kedua-dua insan yang disayanginya itu. Hanya senyuman sahaja yang mampu diukirnya.

"Alhamdulillah, terima kasih ayah sebab jaga Wajdi semua ni..."

Pak Azlan keluar dari rumah anaknya itu. Netra matanya tertancap kepada Faiz yang sedang membelai seekor arnab di halaman rumah. Terbit rasa bersalah kerana membuatkan pemuda itu tertunggu kerana Wajdi.

"Faiz, boleh tak kalau Wajdi duduk di sini selama beberapa hari? Sebab dia kan baru jumpa dengan ibu dia. Pasti dia perlukan masa sikit dengan ibu. Maaf kalau disebabkan Wajdi, buat ustaz tertunggu-tunggu.

Faiz tersenyum kecil. "Tak mengapa. Saya faham. Lagipun saya sebagai warden benarkan dia balik,"

"Terima kasih ustaz,"

"Sama-sama,"

~~~

Faiz pulang dengan mulutnya tidak henti-henti memuji kebesaran Allah SWT. Apa yang berlaku tadi seakan sebuah keajaban dan anugerah. Jika berlaku pada dirinya, akan dia pastinya kejadian itu adalah sebuah pengajaran kepadanya.

Mendengar semua penerangan dari Pak Azlan, Faiz hampir melongo. Sungguh berat perjalanan dan ujian yang diberi kepada keluarga itu.

Ya. Kita semua pernah melakukan kesalahan. Dan kesalahan itu sedikit sebanyak memperbaiki diri kita sebenarnya.

Sapaan dari beberapa pelajar dari pintu masuk asrama membuatkan Faiz tersenyum dan membalas sapaan mereka ramah.

Setelah memarkirkan motorsikalnya, Faiz masuk ke dalam bilik dan menghubungi mudir untuk memaklumkan tentang Wajdi. Usai sahaja perbualan mereka, Faiz berniat untuk menuju ke bilik untuk merehatkan diri namun sapaan dari luar bilik menghentikan langkahnya.

"Assalamualaikum, ustaz,"

"Waalaikummussalam. Ya, ada apa?" soal Faiz setelah membuka pintu.

"Maaf kalau mengganggu masa ustaz. Boleh kami nak cakap sikit dengan ustaz?"

Suara itu adalah suara Azhar, rakan baik Wajdi. Namun remaja itu tidak bersendirian.

Hilman, Fahmi dan Johan turut bersama di belakang Azhar membuatkan Faiz mengerutkan dahi.

"Ada apa ni?"

"Ada sesuatu yang penting yang kami perlu bagitahu pada ustaz."

~~~

"Haish, kenapa aku susah nak menghafaz ni?" gumam Amirul apabila dia tidak mampu menghabiskan satu baris sahaja semenjak dua tiga hari ini. Walhal sebelum ini elok sahaja dia menghafaz dengan lancar.

"Amirul! Lama lagi ke? Kamu seorang saja tak habiskan silibus hafazan kamu hari ni. Dah dua hari kamu tak hantar hafazan ni." tegas ustaz halaqahnya memberi peringatan. Semua rakan halaqah yang lain memandangnya hairan. Ini adalah kali pertama Amirul diberi peringatan sebegitu.

"Maafkan saya ustaz. Saya tengah hafaz lagi9"

Ustaz halaqahnya hanya menggelengkan kepalanya. Pelik juga rasanya melihat Amirul tiba-tiba tidak mampu menghafaz walau satu baris kerana selama ini tidak pernah pula anak halaqahnya begitu

Azan Isyak sudah berkumandang namun Amirul tidak sempat menghabisi lagi hafazannya membuatkan dia dirotan tiga kali kerana kelewatan menghantar hafazannya.

"Kenapa kamu jadi begini Amirul? Kamu ada masalah ke? Tak pernah kamu tak hantar walaupun setengah muka," soal ustaz halaqahnya setelah tiga libas rotan tepat mengenai tapak tangan kiri dan kanannya.

Amirul menunduk malu kerana dia menjadi tumpuan pelajar lain yang melalui halaqahnya untuk mengambil air wudhu. Tangannya yang berbekas libasan rotan tadi cukup membuatkannya terasa sakit sekaligus malu.

"Maafkan saya ustaz,"

"Esok kamu kena hantar dua muka surat. Ganti untuk yang hari ni dan semalam. Faham?"

"Faham, ustaz."

Amirul bingkas berdiri lalu menyimpan al Qurannya di rak. Entah mengapa dirinya berasa resah dan tidak tenang.

"Ya Allah, apa kena dengan aku ni?" Amirul bermonolog. Entah mengapa aura kali ini terasa lain dari sebelumnya.

"Rasa macam tak sedap hati,"

"Ha, jumpa pun kau Amirul. Puas aku cari." tiba-tiba Hilman menepuk bahu Amirul. Mujurlah dia tidak tersentak.

"Ish kau ni kenapa?" soal Amirul malas. Tambahan suasana hatinya yang memburuk.

"Lepas Isyak nanti ustaz Faiz minta kau jumpa dia kat bilik warden,"

Amirul mengeryitkan matanya. Kenapa tiba-tiba warden muda itu mahu berjumpa dengannya?

"Kenapa tiba-tiba je ni?"

"Entahlah, aku pun tak tahu." ujar Hilman sebelum meninggalkan Amirul yang diam dan menuju ke arah bilik wudhu.

~~~

Mikayla menatap mug bercorak merah hati itu dengan senyuman yang sangat manis. Setelah memastikan bahawa mug itu benar-benar bersih, dia dimasukkan semula di dalam kotak dan diletakkan ke dalam loker.

"Awak asyik guna mug tu je sejak kebelakangan ni. Special sangat ke?" soal Mardiyah yang sejak tadi memerhati gelagat Mikayla dari katil.

"Humm... Mungkin. Sebab pemberinya antara orang yang tersayang,"

"Amboi." Mardiyah mengusik. "Ke...,"

"Mardiyah..."

"Taklah. Saya gurau hehe,"

Mikayla menggelengkan kepalanya. Mardiyah ni tak sah satu hari mengusiknya. Kemudian dia melabuhkan punggungnya di atas katil berhadapan Mardiyah yang sedang melakukan tugasan sekolah yang hampir siap.

"Mikayla. Lepas SPM, awak nak sambung mana?" soal Mardiyah. Tahun ini mereka bakal menghadapi SPM dan pastinya mereka mempunyai hala tuju sendiri.

Mikayla tersenyum seketika sebelum menjawab.

"UIA dekat Selangor, mungkin."

"Wah, itu bukan calang-calang univerisiti." ujar Mardiyah kagum.

"Yalah. Tu memang universiti pilihan saya sejak tahun lepas. Lagipun, pak saudara saya lepasan siswa kat situ."

"Ooh macam tu. Kiranya awak tanya semua pengalaman dia macam mana, sistem pembelajaran dan aktiviti dekat dia lah?"

"Haah. Itu yang saya rasa. Ee... Tak sabarnya nak sambung belajar!" seronok Mikayla memberitahu membuatkan Mardiyah teruja.

"Awak nak amik kos apa?"

"Eum. Kos tentang Islamiah. Tapi kat U kan banyak cabang kos dia. Jadi kita check satu-satu yang mana kita minat." ujar Mikayla.

"Awak pula Mardiyah?"

"Saya?" Mardiyah tertawa kecil.

"Saya nak sambung kat UNISZA kat Terengganu,"

"Wah, itu pun bukan calang-calang universiti." kata Mikayla.

"Nak amik kos apa?"

"Saya nak amik kos berkaitan dengan kerohanian juga. Atau lebih tepat macam psikologi dalam Islam."

"Wah, bagus-bagus."

"Haah. Saya suka tau kaji pasal psikologi. Sebab psikologi ni buat kita dapat memahami seseorang itu dengan lebih dalam. Sebagai contoh awak dengan Wa...," belum sempat Mardiyah menghabiskan kata-katanya, Mikayla mencubit pelan tangan Mardiyah membuatkan Mardiyah meringis sebelum ketawa berkekeh.

Sempat lagi nak mengusik!

~~~

"Assalamualaikum, ustaz. Ada apa panggil saya?" tanya Amirul sebaik sahaja dia menapak masuk ke dalam bilik Faiz.

Faiz yang berada di meja itu menjawab salam lalu tersenyum dan mengarahkan Amirul duduk di hadapannya.

Perlahan-lahan Amirul duduk di kerusi dan menatap sekeliling ruang itu.

"Kamu tahu kenapa ustaz panggil kamu?"

Amirul menggelengkan kepalanya.

Faiz mengukirkan senyuman halus sebelum mengeluarkan sebuah perakam dan memainkannya di hadapan Amirul membuatkan remaja itu membulatkan matanya.

Faiz menatap wajah Amirul yang mula cuak kerana rakaman yang dimainkan itu adalah perbualannya dengan Wajdi beberapa hari lepas.

"Ada sesuatu yang penting yang kami perlu bagitahu kepada ustaz." ucapan Fahmi membuatkan Faiz mengangkat sebelah alisnya hairan. Serius bunyinya.

"Jom masuk."

Keempat-empat remaja di hadapannya kini dipandang satu persatu.

Namun yang difokusnya kali ini adalah sebuah perakam kecil dikeluarkan oleh Hilman.

"Apa ni? Bukan ke ni perakam? Siapa bawa ni?" soal Faiz sambil membelek-belek alat itu.

"Itu Wajdi punya."

Faiz terdiam. Selama ini Wajdi??

"Ya, Wajdi selalu bawa alat tu kemana-mana tapi tak bagitahu pula alasan kenapa dia bawa." kata Fahmi jujur. Azhar di sebelahnya mengiyakan.

Faiz menghela nafas berat sambil matanya menatap kembali alat yang diberikan itu.

"Pagi tadi, Wajdi letak alat tu dalam loker saya, dia kata ada masa bagi kat ustaz. Jangan bagi orang lain tahu kecuali Fahmi, Azhar, ustaz dan Hilman." jelas Johan. "Sebabtu kami berempat datang."

"Mana Wajdi sebenarnya ustaz? Hairan juga tak jumpa dia lepas kuliah dhuha sekali dengan ustaz." soal Hilman. Mujurlah Faiz sempat memberitahu Haziq tentang ketiadaannya kerana tidak menemui Hilman. Kebetulan dia mahu cepat menghantar Wajdi ke rumah.

"Wajdi balik rumah atuk dia."

"Balik?" serentak mereka terkejut.

"Kenapa?"

"Ada hal. Jangan risau. Wajdi dalam keadaan yang sangat baik." tutur Faiz tersenyum lebar.

Masing-masing menghela nafas lega.

"Lagipun ada apa dengan rakaman ni? Ustaz buka ya?"

"Bukalah. Sebab Wajdi minta juga ustaz yang bukakan. Katanya penting."

'Penting?' Faiz menjadi ingin tahu.

Sebaik sahaja Faiz menekan punat rakaman itu.

Mereka berlima terkejut.

Amirul masih lagi terkejut dengan apa yang didengarinya. Tak disangka semua perbualannya bersama Wajdi ketika itu dirakam oleh Wajdi tanpa dia sedari.

"Selama ini. Kamu punca utama kes Wajdi dan Johan?" soal Faiz dengan nada yang tenang namun menusuk.

Amirul tidak mampu mengatakan apa-apa. Semuanya kedengaran jelas dan tiada satu pun yang tertinggal. Malah suaranya sangat jelas untuk dikenalpasti.

Faiz menghela nafas berat. Sungguh kes yang berlaku di hadapannya ini sangat berat jika ia dikaitkan dengan soal hati.

"Kalau pihak sekolah tahu perangai sebenar kamu, kamu nak tak?" Faiz cuba mengugut supaya Amirul mengaku secara langsung.

Amirul terkejut bukan main apabila Faiz mengugutnya begitu. Lantas dia mengangguknya dengan cepat.

"Ya. Saya yang buat,"

"Kerana seseorang yang bukan mahram, kamu jadi begini Amirul? Kamu tahu ini kesalahan yang amat berat dan fitnah?"

Bicara Faiz kali ini lembut namun tegas sekali kedengarannya. Bukan dia tidak ingat bagaimana remaja di hadapannya ini pernah dia tegur dahulu kerana menulis nama si hawa di dalam buku laporan dan ketika berlangsungnya program di bilik seminar beberapa minggu lalu. Sungguh dia juga menyedari hal itu namun dia terlupa kerana hadirnya kes yang belum dia selesaikan.

Dan hari ini, semua kebenaran sudah terbongkar.

"Allah Subhaanahu Wata'ala berfirman, maksudnya:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, 'Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Katakanlah kepada wanita yang beriman, Hendaklah mereka menundukkan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. (QS. an-Nur [24]: 30-31)"

Amirul menundukkan kepalanya. Itu bukan kali pertama dia mendengar kalam suci itu. Bahkan hampir semua kuliah dia mendengarkan itu namun acuh tak acuh aja yang diterimanya.

"Ustaz tahu kamu dah lali dengar ayat yang sama. Tapi ketahuilah hati ni adalah ciptaan Allah yang paling susah dikawal melainkan iman dan taqwa.

Perbetulkan niat kamu Amirul, jangan mengharapkan pangkat dan darjat kerana Allah SWT tak akan lihat perkara itu untuk menilai kamu. Tapi, hati kamu.

Kamu buat sahabat kamu begini, kamu tidak tahu apa akibatnya yang akan kamu hadapi. Boleh jadi Allah SWT tak tunjuk sekarang, Dia tunjukkan kemudian hari. Lagipula, kamu itu menghafaz Al Quran. Al Quran takkan masuk ke dalam hati seorang mukmin yang dipenuhi dengan kedengkian dan nafsu yang membara."

Amirul menekup wajahnya yang sudah lencun dengan air mata penuh penyesalan. Kini baru dia mengerti kenapa dia tidak mampu menghafaz Al Quran beberapa hari kini. Rupanya ini adalah peringatan daripada Allah SWT kepadanya.

Faiz yang melihat hanya mampu menghela nafas beratnya.

"Bersyukurlah kerana mereka tak laporkan atau membuka aib yang kamu lakukan. Johan kata dia dan Wajdi dah tahu lama tapi mereka tutup kes ni supaya tak melarat supaya semua orang tak fikir tentang keburukan kamu. Tapi kamu?

Mohonlah ampun kepada Allah SWT. Sesungguhnya dari Dialah kita datang dariNya kita kembali. Minta maaf kepada Wajdi, Johan dan semua yang kamu pernah buat sebelum ni."


Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.