Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
77,987
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 8

Azhar dan Fahmi memandang Wajdi dari jauh. Sejak perisitiwa pergaduhan Wajdi dan Johan tempoh hari, Wajdi lebih suka bersendirian. Pelajar yang lain tidak berani menegurnya. Kalau perkara ini tidak berlaku pun, mereka masih tidak berani menegurnya. Cari nahas?

Mahu tegur atau tidak? Azhar dan Fahmi saling berpandangan sesama sendiri. Lagipula, ini kali pertama mereka berdua melihat Wajdi begitu. Biasanya cool saja setiap kali keluar dari bilik warden.

Namun, kali ini tidak lagi.

"Jom jumpa Johan, aku nak tanya macam-macam dekat dia." bisik Azhar  lantas menarik tangan Fahmi lalu menuju ke bilik rawatan asrama yang berada bersebelahan dengan bangunan asrama mereka.

Nasib mereka agak baik apabila pada hari itu semua exco asrama mengikuti program di bilik seminar sekolah. Pelajar yang lain apa lagi? Semuanya bebas melakukan hal yang mereka suka tanpa perlu ditegur. Bagi mereka, ketiadaan exco adalah anugerah yang sangat terindah setelah penangguhan gotong-royong asrama. Ada beberapa pelajar yang sudah siap makan maggi berjemaah. Dalam baldi pulak tu! Mujurlah baldi yang mereka pakai itu adalah baldi yang baharu dibeli dan juga unik rekaannya.

Sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam bilik rawatan, mata mereka teru tertancap ke arah seorang remaja lelaki yang sedang duduk di atas katil. Wajah pelajar kelihatan muram dan juga seolah memikirkan hal yang berat.

"Johan," Azhar memanggi si empunya nama dengan berhati-hati. Dia tidak mahu dianggap bising kerana ada beberapa pelajar sakit turut berada di situ. Takut menganggu.

Johan berpaling ke arah dua pasang mata yang mendekat ke arah katilnya. Wajah kelihatan sangat tidak bermaya dan juga pasrah.

"Korang nak marah aku ke? Marahlah, aku sedia je dengar. Aku berhak dapat semua tu." ucap Johan lemah. Dia memeluk kedua lutut erat seraya menenggelamkan wajahnya. 

Azhar dan Fahmi memandang Johan dengan muka toya. Mereka kemudian berpandangan sesama sendiri  sebelum memandang ke arah Johan semula.

"Tak payah nak buat action sedih mati la, kau ingat ni drama ke?" Fahmi berkata sambil mencekak pinggangnya. Wajahnya kelihatan datar dan juga menungkik sebelah alis mata.  Azhar pula mengangguk mengiyakan bicara Fahmi.

"Entah. Lagipun, Kitorang datang sini dengan niat lain. Tak kuasa aku nak buat masalah dekat sini. Kau dah sakit dah pun." Azhar turut bersuara sambil menyilangkan tangannya ke dada. Dengusan kasar dilepaskan.

Dahi Johan berkerut mendengar bicara dua remaja lelaki yang berada di hadapannya. Tidak mengerti dengan apa yang dimaksudkan oleh mereka berdua.

"Apa yang kau buat sampaikan Wajdi pukul kau?"

~~~

Matahari mula terik menyinari bumi pada tengah hari itu. Wajdi sudah pun keluar dari dorm lengkap berbaju biasa. Sesekali matanya melirik pada jam tangan yang dipakai. Mahu ke dewan makan, makanan tengah hari belum terhidang pada waktu itu. Jadual makan mereka tepat jam 12.00 tengah hari, namun sekarang baru sahaja pukul 11.05 pagi. Masih ada 55 minit lagi dan dia harus menunggu.

Keluhan berat dilepaskan. Wajdi memutuskan untuk duduk di bangku berhampiran musolla. Wajahnya diangkat menghadap langit biru, membiarkan sahaja terik panas Matahari menjamah kulit mukanya. Dia sudah tidak peduli. 

Permintaan Faiz semalam, Wajdi masih lagi belum meminta maaf kepada Johan. Mindanya menjadi serabut apabila perkara tersebut sering menghantuinya. Ah, lantaklah! Buat apa dia minta maaf? Bukan salah dia seorang!

Dia sudah malas mahu memikirkan hal tersebut. Lagipun, salah Johan jugak! Siapa suruh dia....

Tunggu! Wajdi bagaikan baru tersedar akan suatu perkara...

Tapi, kenapa Johan melakukan hal sebegitu? Setahunya, dia tidak pernah bertegur sapa dengan Johan dari tingkatan satu lagi. Cakap pun sikit-sikit kerana Johan itu rakan sekelasnya. Tapi, langsung tidak lebih dari itu!

Mahu kata Johan berdendam dengannya, mereka sendiri bukannya kawan walaupun dia tahu kebanyakan pelajar di sekolah ini memang kurang senang dengan kehadirannya. Tapi, entah kenapa dia memang yakin, Johan tidak akan berdendam dengannya.

Ah, lagipun kita tak tahu kan orang tu macam mana kan? Mana tahu dia jahat ke apa, kan? Rambut sama hitam, tapi apa dalam hati kita tak tahu, kan? kan?

Fikiran Wajdi mula kembali kusut. Dia menggenggam buku limanya. Macam mana kalau-kalau semuanya memang salahnya dari awal lagi? Wajdi mengetap giginya rapat.

Jujur, dia kebingungan.

Mahu mengatakan Johan jahat, dia tidak berhak untuk menghakimi. Dirinya sendiri belum tentu baik, apatah lagi mengatakan orang lain yang langsung dia tidak kenal keperibadian jahat. Apakah itu satu fitnah?

Ataupun... Mungkin ada seseorang yang cuba memerangkap mereka berdua? Wajdi cuba mengingati kembali peristiwa yang berlaku pada malam itu.

Pulang dari prep, Wajdi segera menuju ke lokernya dan meletakkan beg sandangnya di atas loker. Namun, tiba-tiba dia terasa mahu ke tandas. Mungkin efek coca-cola yang dibeli secara haram oleh Azhar prep tadi? Azhar suka keluar dari asrama untuk ke kedai runcit bersebelahan sekolah, meskipun sudah pun dilarang oleh pihak asrama. Kata pihak asrama, koperasi sudah pun ada. Bukan nama Azhar kalau tidak mengikuti saranan itu. Dan beruntungnya, dia tidak pernah ketahuan.

Selesai sahaja urusan, dia terus menuju ke arah lokernya namun langkahnya terhenti sebaik sahaja melihat ada satu susuk tubuh yang tidak dikenali sedang menyelongkar lokernya.

"Wei!" Wajdi menepis tubuh itu dari arah lokernya. Kelihatan wajah pelajar tersebut terkejut dengan jerkahannya itu.

"Johan?" Wajdi tercengang apabila melihat gerangan pelajar bertuah itu. Wajahnya serta-merta berubah bengis. Dia kemudian memandang ke arah dalam lokernya. Matanya tertarik dengan satu tetamu baru lokernya itu.

Tangannya mencapai sehelas kertas putih yang berada di dalam lokernya dan dibaca. Mata Wajdi terus membuntang apabila membaca apa yang tertulis di atas kertas itu. Mukanya menjadi lebih bengis dari tadi.

'WAJDI HARIZ ANAK HARAM!'

"Eh, bukan ke kau yang..." belum sempat Johan menghabiskan kata - katanya, Wajdi terlebih dahulu melayangkan buku limanya, menumbuk Johan tepat di wajah.

Dan berlakulah insiden pergaduhan itu sebelum dihentikan oleh Ustaz Faiz. Kalau tidak, Wajdi mungkin sudah ditempatkan di sekolah juvana dengan rekod yang amat buruk. 

Mukanya diraup berkali-kali. Dirinya berkecamuk. Apakah dia patut mendengar penjelasan dari Johan terlebih dahulu? Akan tetapi... semuanya sudah jelas berada di hadapan matanya.

Argh! 

Apa yang patut dia buat sebenarnya?!

~~~

Nurhan memandang Faiz yang dari tadi hanya termenung. Dia sekarang berada di bilik warden, sengaja mahu berbual panjang bersama sahabat lamanya itu.

Bukan apa, sudah agak  lama mereka tidak berborak bersama memandangkan status perkerjaan mereka berbeza. Faiz lebih banyak menghabiskan waktu di bilik warden dan juga bilik mesyuarat manakala Nurhan, tempatnya di bilik guru Jabatan Tahfiz dan di bangunan sekolah. Agak jarang mereka berjumpa dan berbual seperti kebiasaannya. Paling sering pun, ketika Nurhan ada peluang berkunjung ke bilik warden kerana mempunyai waktu luang yang banyak.

Kebetulan, Nurhan juga mengikuti program exco asrama sebagai emcee. Dapatlah dia bertemu dengan Faiz.

Program itu telah pun berakhir sebelum azan Zohor berkumandang. Dapatlah dia solat berjemaah sekali dengan pelajar asrama lain di musolla.

"Aish, tak habis lagi termenung? Pasti ada masalah kan?" soal Nurhan dengan tenang. Dagunya ditongkat dengan siku kanannya.

"Huh? Oh. Maafkan aku, Nurhan." ucap Faiz sambil meraup wajahnya kesal serta cuba mengekalkan raut wajah yang tenang. Meskipun benaknya dipenuhi dengan pelbagai kerumitan.

"Ada masalah ke dekat asrama? Faiz yang aku kenal takkan jadi macam ni kalau tak ada masalah," ujar Nurhan, merasakan ada sesuatu yang terjadi. Jika ianya tidak, Faiz pasti tidak akan berkeadaan begini. Dia kenal Faiz itu bagaimana.

"Apa pandangan kau pasal Wajdi?" Faiz bertanya sambil memandang ke arah sahabat baiknya itu.

Nurhan memandang Faiz dengan pandangan terkebil-kebil. Sedikit hairan mendengar soalan Faiz yang baginya agak tidak asing.

"Haish, Wajdi je aku dengar dari mulut kau sejak dua menjak ni. Special betul dia kat kau..." Dahi Nurhan berkerut namun ada segaris senyuman tipis menghiasi wajahnya.

Faiz menghela nafas sebentar, tidak lama kemudian dia menceritakan segalanya yang berlaku baru-baru ini kepada Nurhan tanpa meninggalkan sedikit pun. Kerana dirinya sedar, dia sangat perlukan pandangan seseorang tentang perkara ini dan dia tahu Nurhan adalah orang yang sesuai untuk itu.

Terkejut Nurhan sebaik sahaja mendengar apa yang diberitahu oleh Faiz. Dia sendiri tidaklah begitu mengenali ataupun mengenal pelajar bernama Wajdi Hariz. Namun  perihal  seorang pelajar yang bernama Johan yang turut disebut, membuatkan Nurhan mengetap bibirnya. Dahinya berkerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

"Aku tak percaya la budak Johan tu buat macam tu. Aku kenal sangat budak tu. Dia pelajar yang sangat baik dan selalu minta aku tolong tengokkan hafazan dia setiap kali kelas. Hubungan dia dengan kawan sekelas semua baik," yakin Nurhan berbicara.

Faiz diam membisu. Otaknya ligat berfikir dan mencerna apa yang dituturkan Nurhan. Dia tahu Nurhan sesekali tidak berdusta.

"Pihak sekolah tahu pasal ni?" soal Nurhan serius.

Faiz menggeleng. "Aku tak nak libatkan pihak HEP dalam masalah ini. Lagipun Johan sendiri yang tak nak report. Aku nak tanya banyak masa tu dia pun macam tak terlalu bermaya. Kalau boleh, aku cuma nak selesaikan hal ni tanpa libatkan pihak sekolah."

"Betul kata kau, Johan tu baik budaknya. Lagipun ada baiknya perkara sebegini tidak diperbesarkan. Tak menimbulkan permusuhan yang terlalu besar antara kedua-dua pihak." sokong Nurhan.

"Aku dah maklum kepada semua pelajar supaya tak bagitahu sesiapa pun pasal kes ni termasuk ibubapa dan guru. Para exco, aku dah suruh pantau semua pelajar dan cuba alihkan dieorang daripada ingat isu ni dengan anjurkan macam-macam aktiviti. Lagi pun, ramai saksi dari pelajar junior, aku tak nak dieorang fikir senior dieorang ni menakutkan."

Nurhan kagum dengan strategi yang dirancang oleh Faiz. Tampaknya, Faiz sudah merencana dengan sebaik-baiknya.

"Sekarang ni Johan ada kat bilik rawatan la ni?"

Faiz mengangguk sembari menghela nafas lega. Sungguh dia berasa sangat segar apabila meluahkan semuanya pada Nurhan. Seolah dia tidak menanggung beban seorang diri lagi.

"Apa pun yang kau buat, aku sokong. Aku tahu kau tak akan buat benda yang salah." ucap Nurhan dengan kata-kata semangatnya. Hal itu sukses membuatkan Faiz berasa senang.

"Terima kasih, Nurhan."

Suasana bilik menjadi tenang seketika. Tiada percakapan kerana Faiz memejamkan matanya, seolah-olah merehatkan diri seketika. Ketika matanya dibuka, matanya disuguhkan oleh Nurhan yang seolah mengusap tengkuknya, seakan berasa haus.

Faiz berasa sedikit bersalah. Dia seakan terlupa bahawa Nurhan tidak ke mana-mana selain biliknya setelah solat Zohor tadi. Pasti sahabatnya itu berasa lapar dan juga haus. Tanpa banyak soal, Faiz lantas berdiri membuatkan Nurhan tersentak dengan tindakannya itu.

"Eh, kau nak pergi mana?" soal Nurhan hairan.

"Beli air kejap kat luar. Kau ada nak apa-apa ke?" Faiz terus mengambil beg dompetnya yang berada di atas meja dan kakinya mula melangkah keluar dari situ. 

"Air nescafe sejuk satu." Nurhan menjerit kecil. Melihat Faiz membuat tanda 'okay' dengan jemari membuatkan dia tersengih. Tahu-tahu je aku dahaga. Hehe...

Faiz menuju ke arah motorsikal miliknya yang terletak di bangsal utama yang dikhaskan untuk warden. Seketika dia bertegur sapa dengan beberapa pelajar kerana berpapasan. 

Sebaik sahaja Faiz melewati musolla, dia melihat sekujur tubuh yang seakan sedang tidur di sebuah bangku yang tersedia. 

"Wajdi?"

Faiz menghentikan motorsikalnya sejenak dan melangkah menuju ke arah Wajdi yang sedang terlelap. Dia turut berasa hairan melihat Wajdi yang tidur di kawasan yang cukup panas. Apakah tiada orang yang melihat remaja ini? Atau tidak memperdulikan keadaannya langsung? 

Faiz berasa cukup hiba. Tipu jika tiada orang yang tidak nampak Wajdi di sini. Bahkan tempat yang diduduki oleh Wajdi sangatlah umum ketika ini.

"Wajdi, bangun...," tutur Faiz dengan lembut sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Wajdi beberapa kali. Perbuatan Faiz membuatkan Wajdi berjaya membuka mata.

Wajdi memandang ke arah Faiz dengan mata yang berpinar-pinar. Matanya dipejam dan dibuka beberapa kali dan memerhatikan kawasan di sekitarnya yang agak sunyi.

Sudah lama kah dia tidur di sini?

"Kamu dah solat Zohor?" soal Faiz apabila melihat wajah Wajdi yang seakan blur.

Wajdi mengangguk lemah. Sememangnya dia sudah solat tetapi dia kembali semula dan duduk di 'tempat'nya itu. Di sekeliling Wajdi turut terdapat beberapa bangku yang berada betul-betul di bawah pohon yang redup. Kebiasaannya bangku itu menjadi tempat favorite pelajar junior untuk melepak. Mungkin keberadaan Wajdi di situ membuatkan mereka terpaksa mengurungkan niat mereka untuk melepak di situ

"Kenapa kamu tidur di sini? Kat sini panas, Wajdi." tanya Faiz risau. 

"Buat apa masuk asrama? Sudahlah panas, bising pula tu. Saya rimas," tutur Wajdi tanpa basa-basi. Nada bicaranya pula menunjukkan dia benar-benar tiada mood untuk berbicara.

Faiz terdiam. Dia langsung tidak terasa dengan apa yang diujarkan oleh Wajdi tadi. Dia merasakan bahawa Wajdi memikul sesuatu yang berat namun remaja itu sangat pintar menyembunyikannya.

"Kamu dah makan?" 

Tubuh Wajdi menegang. Dia tidur di situ ketika jam 11.30 dan terjaga apabila terdengar azan Zohor berkumandang. Kerana terlalu mengantuk, Wajdi memutuskan untuk tidur semula di bangku tadi ketika para pelajar sibuk membaca witir setelah solat berjemaah.

Wajdi segera bangkit untuk ke dewan makan, namun langkahnya terhenti apabila melihat Daniel si exco bahagian dewan makan sedang mengunci grill pintu dewan makan.

Dari situ dia sudah dapat tahu apa maksudnya. Makanan memang sudah habis. Ah, sudah...

Melihat raut muka Wajdi yang berubah cuak itu membuatkan Faiz tersenyum nipis. Tampaknya dia diberi peluang untuk bersama dengan Wajdi. Faiz harus menggunakan masa ini dengan sebaiknya untuk menjadi akrab dengan remaja itu.

"Jom, ikut ustaz."

Wajdi terus mengalihkan pandangannya ke arah ustaz muda itu dengan mata yang membuntang luas. 

Apa ustaz cakap tadi?

~~~

Mardiyah memandang ke arah Mikayla yang diam membisu itu di atas katil. Dia tahu keadaan Mikayla yang tidak keruan ketika ini. Jika dia turut berada di tempat Mikayla, dia sendiri mungkin akan menjadi seperti sahabatnya itu. 

Mereka berdua baru sahaja pulang dari program di bilik seminar khas untuk para exco dan kepimpinan sekolah. Dan sepanjang program berlangsung, Mardiyah perasan dengan perilaku seorang pelajar lelaki yang sangat dia dan Mikayla kenali iaitu Amirul, sedang menatap dan memberikan senyuman tidak henti kepada Mikayla.

Bukan sahaja senyum, siap kenyit mata lagi. Kalau hanya senyuman sahaja, mungkin dia boleh anggap ianya hanya senyuman antara sesama rakan. Namun jika sampai di tahap kenyitan maat, dia sendiri tidak akan berasa kurang senang. Dia mahu sahaja menegur perbuatan Amirul namun dibatalkan sahaja niatnya kerana mereka berada di sebuah program. Akan menjadi tidak senang kerana ianya seakan 'merosak' suasana program. Tambahan pula, tiada siapa pun yang perasan keadaan Amirul dan Mikayla ketika itu kecuali dirinya mungkin?

"Mikayla, awak okay tak?" soal Mardiyah lembut.  Dia faham benar dengan apa yang dirasai oleh sahabatnya. Wajahnya jelas menunjukkan kerisauan terhadap Mikayla.

"Hah? Oh... Saya okay je," tutur Mikayla dengan senyuman kelat. Kemudian, dia mengeluarkan fail laporannya dan membelek satu persatu helaian dengan teliti. Kelihatannya, dia cuba untuk menyibukkan dirinya daripada memikirkan perkara yang sudah terjadi tadi.

Mardiyah membalas senyuman Mikayla.. Dia tahu, Mikayla senyum dengan tidak terlalu ikhlas seperti kebiasaanya. Jauh di sudut hatinya, peristiwa yang berlaku semasa program itu masih menganggunya. 

Mardiyah tidak terlalu mengenali perwatakan Amirul. Yang hanya dia tahu, Amirul adalah rakan lama Mikayla. Itu pun Mikayla yang bercerita kerana tidak sengaja melihat Amirul yang memanggil Mikayla tahun lepas. Pada awalnya, Mardiyah agak ragu-ragu kerana Amirul ketika itu adalah pelajar baru dan secara mengejut mengenal Mikayla. Namun, Mikayla sudah pun menceritakan hubungannya dengan Amirul jadi Mardiyah tidak lah berfikir yang bukan-bukan.

Melihat atmosfera yang agak canggung antaranya dan Mikayla membuatkan Mardiyah berasa sedikit terusik. Nasib baik dia mempunyai satu solusi yang terbaik untuk menyenangkan hati sahabatnya.

"Eh, coklat! Macam mana ada dalam beg saya eh?" Mardiyah mengeluarkan sekeping coklat Cadbury bersaiz besar dari dalam begnya dan terus membuka balutan coklat itu. Mata Mikayla membulat apabila melihat coklat itu berada di hadapan matanya. Mardiyah tersenyum melihat reaksi Mikayla yang kelihatan berbinar itu.

Coklat yang merupakan coklat kegemaran Mikayla. Malah, dia tahu Mikayla sanggup berhabis duit untuk dapatkan coklat itu. Mujur sahaja dia ada membelinya tempoh hari ketika keluar ke kedai bersama warden untuk membeli beberapa barang keperluan asrama. Lagi pun, dia pernah terbaca di dalam buku bahawa coklat dapat menceriakan seseorang. Walaupun dia sendiri tidak pasti tentang itu, tetapi sekurang-sekurangnya dia ingin mencuba untuk situasi ini.

Bibir Mikayla menguntum senyuman manis. Dalam diam dia terharu dengan sahabatnya yang tidak pernah berputus asa dengan dirinya dan sentiasa berada di sisinya di waktu duka mahupun suka. Mardiyah pandai menghiburkannya dan tidak pernah mengeluh tentang apa yang berlaku pada dirinya.

Mikayla masih tersenyum melihat telatah sahabat baiknya yang petah bercerita itu ini sambil masih gigih membuka balutan coklat itu. Dia tertawa kecil.

"Mikayla, macam mana nak buka plastik aluminium ni? Saya takut patah. Hari tu tengok awak buka senang je?" Mardiyah menghulurkan coklat yang masih berbungkus itu ke arah Mikayla. Mikayla tertawa kecil sambil menyambut huluran rakannya itu.

"Awak kena buat perlahan. Mula-mula awak buka sebelah sini. Lepastu..." Mikayla terus mengajar Maridyah sambil tersenyum. Mardiyah senang melihat senyuman sahabatnya itu kembali mekar. Dia tadi pura - pura saja tidak dapat membuka balutan coklat tu, saja mahu gembirakan Mikayla dengan kerenahnya.

Nampaknya, coklat memang dapat ceriakan hati yang sedih. Dan fakta itu berjaya dibuktikan oleh Mardiyah.


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.