Bab 21

"AKU nak drive dulu!" Jeritan Epul kuat sekali.

Kenderaan jenis jip berjenama terkenal itu menjadi idaman Epul sejak sekian lama.  Seperti mimpi, jip itu kini berada di depan mata. Mus menggeleng melihat telatah Epul yang terkinja-kinja seperti disampuk jembalang.  

Epul mengintai keadaan di dalam kenderaan tersebut melalui cermin jip.  Tidak puas hati dengan pandangan yang terhad, lalu pintu di bahagian pemandu dibuka.  Tanpa membuang masa punggungnya dihenyak ke tempat duduk. Sterengnya disentuh dengan rasa kagum.  Segera enjin kereta dihidupkan dan pedal minyak ditekan kuat sehingga ngauman enjin bergema di segenap kawasan hutan itu.  Tidak sabar rasanya hendak menguji pandu kecekapannya di jalan raya.

Burung-burung yang hinggap di dahan terbang ke langit biru dek bunyi enjin yang memgaum kuat.  Dalam diam, Mus mengagumi Mukhlis yang berpegang pada janji. Tangan diseluk ke dalam poket lalu gajet yang menjadi kegilaan ramai itu dikeluarkan.

"Hello, bos!  Terima kasih banyak-banyak sebab tunaikan janji.  Sebagai balasan, saya akan hantar semua bukti-bukti perbualan kita sebentar lagi dan akan hapuskannya sekali.  Tentang saksi bodoh tu, bos jangan risau. Kami akan selesaikan secepat mungkin. Kalau payah sangat, kita bunuh aje senang.  Hahaha."

Mus ketawa besar setelah talian ditamatkan.  Apa yang lebih menggembirakan hatinya lagi ialah rancangannya berjalan dengan lancar.  Mukhlis yang angkuh dan liar itu berjaya dia jinakkan bermodalkan sedikit ugutan.

"Mus, cepatlah!  Aku tak sabar nak test drive ni!" Laungan Epul membantutkan lamunanya dalam sekelip mata.

"Gelojoh betullah dia ni. Sabarlah dulu.   Kita kena hapuskan kereta lama tu dulu." Mus memberi arahan.

Epul menggaru-garu kepalanya sambil tersenyum kambing lalu bertanya, "kat mana?"

"Adalah… banyak pula soal kau ni.  Ikut sajalah!" rengus Mus geram. Dia pun teruja juga dengan pemberian jip tersebut, tetapi tidaklah separah Epul hingga terlupa niat asal mereka di situ.

Setelah melalui jalan yang penuh liku dan berbukit-bukau, Mus menghentikan kenderaannya di pinggir jalan.  Epul memperlahankan pemanduan lalu menekan brek dan berhenti di belakang Mus. Mulutnya yang ternganga luas kerana menguap dibiarkan begitu sahaja.

Timbul persoalan di benak Epul kenapa Mus tiba-tiba berhenti di kawasan yang gelap tersebut.  Sementelahan, di sebelah kirinya terdapat gaung yang dalam dan hutan tebal di bawahnya. Romanya merinding tatkala suara burung hantu jelas kedengaran.  Ditambah pula dengan hembusan angin yang menyapa muka. Sepadan sekali dengan kisah-kisah seram yang sering dibacanya di laman sesawang.

'Dia nak buang air agaknya,' teka Epul dalam hati.

"Sinilah!" gamit Mus dengan decitan marah.   Lelaki itu menggumam sesuatu yang kurang jelas di telinganya.  Terasa sayang pula untuk meninggalkan jip baru itu walaupun cuma sebentar.

"Papa pergi sekejap ya, sayang.  Pak Cik Mus tu mengada-ngada nak pisahkan kita."  

Satu flying kiss ditinggalkan buat jip itu.  Mendidih darah Mus menyaksikan tingkah pelik Epul yang semakin menjadi-jadi.  Epul jalan berlenggang ke arah Mus yang bercekak pinggang sambil menanti kedatangannya.

'Macam orang tak betul!' omel Mus sendirian.

"Ada apa ni?  Kau nak kencing ke?" tanya Epul sambil menguap.

"Kencing kepala otak kau!  Kita tak boleh pakai lagi kereta ni.  Dia orang dah cam kita masa kat rumah lelaki tak guna tu.  Tolong aku tolak kereta ni ke bawah sana."  

Muncung bibirnya dihala ke arah yang dimaksudkan.  Epul turut menoleh ke arah yang sama; ke bawah gaung yang gelap lagi dalam.  Lokasi itu amat strategik untuk menghapuskan jejak dan bukti. Bergeliga betul fikiran Mus dalam menyelesaikan satu-satu masalah.

Tanpa banyak soal, mereka berdua mengerah sekuat tenaga dan menolak kenderaan itu hingga terjatuh ke bawah gaung yang dalam.  Bunyi seretan seterusnya dentuman dan cermin pecah kuat kedengaran saat kenderaan itu bergesel dengan batu-batuan yang tajam.

"Aduh!  Sakitnya pinggang aku," adu Epul sambil membuat senaman pinggang beberapa kali.

"Dah, jom!  Kau tercegat apa lagi?  Nak aku tolak kau sekali ke bawah?" 

Ugutan Mus tidak boleh dipandang sebelah mata.  Silap hari bulan dirinya pula yang terkedang bersama bangkai kenderaan di bawah sana.    Cepat-cepat kaki melangkah pergi ke arah jip. Mereka meneruskan perjalanan dan berhasrat untuk berehat sebentar di mana-mana rumah tumpangan sebelum Subuh menjelma.

°•°•°•°


MUKHLIS memicit pelipisnya yang dibasahi bintilan peluh.  Pesanan ringkas yang dihantar oleh Mus tadi membikin hatinya sakit.  Sudahlah hidup seperti banduan yang lari dari penjara, duitnya pula habis dikikis oleh dua orang penyangak yang panjang akal.

Tangan dikepal kuat, lantas sebiji penumbuk dilayangkan ke dinding yang tidak berdosa.  Masalah yang dia sendiri cari akhirnya memakan diri. Gara-gara tidak puas hati dan benci dengan Borhan, dia sanggup merencana satu konspirasi jahat.  

Pada mulanya, Mukhlis berniat sekadar menggertak lelaki malang itu dan memberi pengajaran kepadanya.  Namun syaitan berjaya meracuni pemikiran anak Adam. Dendam yang tidak pernah terpadam mendorongnya bertindak lebih agresif sehingga nyawa Borhan melayang.

Kalaulah Borhan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.  Dan kalaulah lelaki itu bersikap adil dan menuruti segala permintaannya sebelum ini, semua ini tak akan terjadi.  Semuanya salah Borhan!

"Arghh!"

Sebuah pasu yang terletak elok di sisi katil pecah berderai ke dinding bisu.  Serpihannya berkecai di lantai, bertaburan bersama bunga tulip yang mendekorasi biliknya.

"Mukhlis… boleh mak masuk?"  Ketukan halus kedengaran di pintu beberapa kali.

Dia melangkah malas, lalu tombol diputar dan wajah tua ibunya terpampang di depan mata.  Langkah kembali diatur ke katil dan punggungnya dilabuh ke situ dengan riak wajah yang sukar digambarkan.

Wanita itu meneliti raut wajah Mukhlis yang kusut.  Dia tahu jiwa anaknya itu sedang merusuh hebat. Tidak pula dia tahu akan masalah apa yang mengganggu fikiran anaknya itu.

"Kenapa berkurung je dalam bilik ni?  Puas mak panggil Mukhlis turun makan. Mukhlis tak dengar ke?" 

"Mukhlis tak lapar," jawabnya pendek.

Lama wanita itu merenung wajah tampan anaknya. Hatinya berbolak-balik untuk bertanya.  Namun, setidak-tidaknya dapat dia titipkan sedikit panduan dan nasihat sebagai seorang ibu.

"Mukhlis ada masalah ke?  Mak tengok kamu muram je sehari dua ni."  

Ibunya mengelus anak rambut Mukhlis yang terjuntai di dahi.  Mana mungkin Mukhlis membuka pekung di dada. Pertanyaan ibunya dijawab dengan satu gelengan perlahan.  Wajah masih menunduk merenung lantai.

“Mak tahu, kebelakangan ni keluarga kita hebat diuji.  Tapi siapalah kita untuk menidakkan qada' dan qadar Allah.  Kalau Mukhlis susah hati, ada masalah, ambil wudhuk. Bentangkan tikar sejadah.  Merintihlah hanya kepada Dia."  

Nasihat itu benar-benar menusuk ke kalbunya.  Apatah lagi ia datang dari mulut ibu kandungnya sendiri.  Sejadah yang tersangkut di atas rak dikerling. Dia sudah lupa bila kali terakhir ia tersidai di situ.  Dan sejadah itu masih lagi dalam keadaan yang sama.

“Baiklah.  Kalau kamu lapar turun ajelah.  Nanti Kak Lijah akan siapkan makanan.”  

Suara lembut ibunya mengejutkan lelaki itu dari jeda yang panjang.  Mukhlis mengangguk sekali. Wanita tersebut meninggalkan Mukhlis dan membiarkan anaknya itu melayan perasaannya sendiri.

°•°•°•°


"WELCOME back, tunang orang!" laung Jeremy saat batang tubuh Johan melangkah masuk ke ruangan dapur. Johan tersenyum lebar. Perkataan 'tunangan orang' sengaja ditekan Jeremy sehingga staf di situ bertepuk tangan.

"Hai, meleret tunang orang ni senyum.  Dari jauh lagi dah nampak. Maklumlah, sudah ada buah hati."  

Giliran Monica pula giat mengusik Johan.  Pipi Johan bertukar merah jambu. Jeremy dan Monica yang lengkap memakai apron menerkam ke arah Johan yang tersipu-sipu malu.

"Kau orang ni, tak payahlah nak kecoh-kecoh.  Tunggu majlis nikah nanti barulah boleh riuh sekampung."  

Apron yang tersangkut di tempat biasa dicapai lalu Johan menyarungnya ke tubuh.  Hilang sebentar segala kekusutan dan rasa bimbang yang merantai hatinya saat itu.

"Kat sini kita semua macam keluarga.  Tak payahlah nak simpan-simpan rahsia.  Lambat-laun mereka akan tahu juga," tokok Monica seraya meletakkan gelas Espresso di meja Johan.

"Terima kasih, Monica.  Bertuah sesiapa yang dapat memperisterikan kau.  Belum minta minuman lagi dah tersedia atas meja."  

Pujian Johan melambung tinggi.  Lirikan matanya menghantar maksud yang tersirat kepada Jeremy yang selesai meneguk Espresso dalam satu tegukan saja.

"Apa nak buat.  Tak ada orang yang sudi.  Nampaknya membujanglah aku sampai ke tua."  Monica ketawa perlahan sambil mengutip gelas-gelas  yang kosong ke sinki.

"Kau jual mahal sangat kot.  Sebab itulah dia orang tak berani nak tackle kau."  

"Hai, jual mahal salah.  Jual murah pun salah. Tapi aku rasa itu bukan isu pokok yang sebenar."  

Garis kerutan terbentuk di dahi Johan.  Dia kurang faham dengan maksud kiasan Monica.  Jeremy hanya menjadi pemerhati dan sesekali menayang giginya yang putih tersusun apabila hatinya dicuit lucu.

"Jadi, apa isu pokok yang sebenar?"  Johan melirik lagi kepada Jeremy yang berpura-pura tidak mendengar.  Dia sedar hal itu serba-sedikit berkisar tentang dirinya.

"Pokoknya di sini.  Hati. Kalau hati berkata 'tidak,' maka ia tak akan terjadi walaupun belati tajam menghunus leher."  Tutur bicara Monica umpama madah pujangga.  

Johan mengerti, lalu mengangguk setuju.  Ada benarnya ulasan Monica. Jika hati tidak suka, maka ia tidak boleh dipaksa-paksa.  Johan berdoa agar Monica akan menemui cinta sejati yang dicari-cari selama ini. Bagi Jeremy pula, dia telah menganggap Monica seperti adiknya sendiri.  Mana mungkin perasaan kasih seorang abang berpindah menjadi kekasih. Sementelahan, dia dan Lucy punya rencana untuk membina mahligai bahagia.  

"Save the best for last.  Heroin mesti akan berjumpa dengan hero yang diidamkan.  Banyakkan berdoa, Monica. Sekali lelaki sekacak Antonio Banderas yang masuk meminang, melopong semua gadis-gadis kat dunia ni.  Hahaha."

Johan cuba mengambil hati Monica yang ditusuk kecewa, sekaligus mematikan rasa janggal yang semakin ketara.

"Cef, ke bilik meeting.  Sekarang!" 

Entah dari mana Emran muncul dengan tiba-tiba.  Selalunya jika ada mesyuarat, mereka pasti akan dimaklumkan lebih awal.  Kedatangannya umpama ribut itu mengundang pelbagai spekulasi oleh semua staf di situ.  Raut wajah Emran agak kusut dan tertekan dengan penampilannya yang tidak terurus. Johan, Jeremy dan Monica berpandangan sesama sendiri.  Bahu dijongket tanda tidak tahu.  

"Cepatlah!" jerit Emran yang sudah jauh di hadapan.  Seperti kilat mereka berlari ke bilik mesyuarat.

Mereka bertiga berbaris seperti askar menanti arahan daripada ketua.  Emran meraup wajahnya yang sugul beberapa kali sebelum memulakan bicara.

"Saya baru dapat tempahan makan malam khas daripada VIP untuk malam ni.  Jumlah pelanggan adalah seramai sepuluh orang. Menunya saya akan e-mel pada kau orang semua.  Saya nak, makan malam tu berjalan dengan lancar."

"Makan malam tu di bilik mana, bos?" tanya Jeremy jujur.  

Di Casa Piena terdapat beberapa ruang makan khas untuk tetamu yang inginkan privasi.  Dan susun atur bagi setiap bilik adalah berbeza-beza. Amat penting bagi Jeremy mengetahui jenis ruang makan yang akan digunakan oleh pelanggan untuk menyusun hidangan tertentu.

"Bilik Dé Luna.  Datuk Kamarul amat cerewet orangnya.  Dan dia suka memberi komen tentang hidangan direstoran, dengan erti kata lain komen yang celupar.  Jadi, penting untuk kau orang bekerja keras dalam memastikan setiap menu yang dipesan menepati citarasa dan yang paling penting mengekalkan kualiti dan rasa. Faham?"  Suara lantang Emran bergema di setiap inci bilik mesyuarat, tegas dan serius persis amaran antara hidup dan mati.

"Faham, bos!"  

"So, tunggu apa lagi?  Semak menu dan letakkan komitmen yang tinggi pada tugasan kau orang.  Go!"

Seperti tadi juga, sepantas kilat mereka berkejaran ke dapur.  Ketiga-tiga Cef tersebut mengambil stesyen masing-masing dan memulakan kerja.  Suasana di dapur begitu kelam-kabut. Namun dengan kepakaran yang mereka miliki, semua itu dapat diatasi dengan mudah.

Sudah acapkali gajet berjenama itu bergetar di dalam kocek seluar Johan.  Tentu panggilan dari si tunang yang tercinta. Ketika bekerja, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang tegang begini, Johan jarang sekali menjawab panggilan telefon.  Biasanya telefonnya akan diperiksa pada waktu rehat ataupun setelah pulang ke rumah.

"Ish!  Kenapa susah sangat nak jawab ni?" 

Hanna mengeluh sambil berjalan mundar-mandir di ruang tamu.  Berpuluh-puluh kali nombor telefon Johan didail. Panggilannya langsung tidak berjawab, malah terus disimpan ke peti simpanan suara.

"Weh, Hanna.  Kau duduk sini, boleh tak?  Peninglah kepala aku tengok kau mundar-mandir depan TV ni."  

Shakira mendecit geram.  Sebiji kacang dilempar kepada Hanna.  Orang lain pun bercinta juga. Tetapi, tidak pula berkelakuan seperti itu.  Bosan dengan amaran Shakira, Hanna menghempas punggungnya di sofa. Tanpa jemu dia mencuba untuk menelefon Johan namun keputusannya tetap sama.

"Johan…."

"Kenapa dengan Johan?" soal Shakira kehairanan.

"Dia tak jawab call aku."  Kepalanya dipicit perlahan selepas telefonnya diletakkan di atas meja kopi.

"Hmmm… bakal suami kau tu bukan macam orang lain.  Dia kan cef. Kau pun sedia tahu tugas dia macam mana.  Nak merungut buat apa?"  

Kepala Shakira digeleng tidak faham.  Bukannya baru sehari dua Hanna mengenali Johan.  Takkanlah Hanna tidak arif lagi akan jadual kerja tunangannya itu.

"Aku tahu.  Tapi dia dah janji dengan aku nak keluar sama-sama beli hantaran nikah kami.  Aku cuma nak tahu jadi ke tak.  WhatsApp tak balas, call pun tak angkat.  Sakit hati aku ni, Sha."  

Hanna merengek-rengek seperti anak kecil.  Telefon di atas meja dicapai semula, diperiksa jika ada sebarang panggilan atau peasanan yang dia terlepas pandang.  Hanya keluhan yang terluah di bibirnya.

"Itu je ke masalahnya?  Kalau dia tak dapat pergi esok, kau pergi ajelah dengan aku.  Kebetulan, esok juga aku dan Mael bercadang nak cari barang-barang hantaran.  Alah… hal kecil je tu, tak payah nak semakkan kepala." 

Mangkuk kacang dihulur kepada Hanna disertai kenyitan nakal.  Bermula dengan kenyitan mata itulah juga telah membikin hati Mael tidak keruan.  Siang dan malam hanya nama Shakira yang meniti di bibirnya hingga dia mengambil keputusan untuk memikat Shakira seterusnya menjadi penghuni di ruang hatinya yang telah lama tandus.

"Tengoklah macam mana.  Aku ni, dah siap buat senarai dari A sampai Z.  Dah banyak kali rancangan kami tertangguh. Suka sangat batalkan temujanji di saat-saat akhir. Bila aku tanya, acuh tak acuh je dia jawab.  Sha, ke Johan ada perempuan lain?" 

Kolam mata Hanna digenangi air jernih.  Muka ditekup dengan kedua-dua belah tapak tangan.  Tidak sanggup dia memikirkan pendirian Johan yang berubah-ubah.  Sepenuh jiwa dan raga telah diserah, dipasak janji untuk sehidup dan semati.  Tinggal beberapa bulan saja lagi mereka bakal diijab kabul. Jika Johan terus-terusan begini, segala yang diimpikan mungkin tidak kesampaian.

Lelaki adalah makhluk Tuhan yang sukar dia mengerti.  Hari ini diucap kata-kata sayang, esok lusa menghilangkan diri entah ke mana.  Lebih parah lagi ada yang langsung tidak dapat dihubungi dan talian telefon tidak lagi aktif.  Aneh, bila berjanji pula banyak yang termungkiri. Entah apa yang dimahukan lelaki zaman ini. Susah sangatkah untuk berterus-terang dan menyatakan hal yang sebenarnya?  

Mangkuk berisi kacang Shakira letakkan ke tepi.  Tubuhnya diensot mendekati Hanna yang terganggu emosinya.  Mungkin inilah yang dikatakan dugaan bagi pasangan yang meniti alam pertunangan, penuh dugaan dan pancarobanya.   Dia cuba menenangkan hati gadis itu walaupun dia tidak tahu bagaimana.

"Jangan fikir bukan-bukanlah, Hanna.  Aku yakin Johan bukan lelaki macam tu.  Percayalah!"  

Shakira cuba memujuk, memberi kata-kata perangsang kepada Hanna agar tidak terlalu mengikut perasaan.

"Aku tak tahu!  A… aku tak tahu nak fikir apa lagi.  Aku dah cuba berprasangka baik dengan dia.  Tapi sikap dia tu. Selalu hilang dengan tiba-tiba.  Bila aku tanya dia tak jawab. Aku ni bukan jenis yang suka mendesak.  Kalau dia ada masalah sekalipun cubalah berbincang dengan aku. Aku ni siapa pada dia, Sha?  Siapa?" 

Hanna mengongoi seperti anak kecil.  Habis basah bahu Shakira dengan kesan air mata Hanna yang semakin deras mengalir.  Johan inipun satu, suka tinggalkan Hanna dengan tanda-tanya. Dia sajalah tempat untuk Hanna meluah perasaan.  

"Sabar, Hanna.  Aku yakin Johan ada alasannya yang tersendiri.  Janganlah kau fikir jauh sampai macam tu sekali.  Bagi dia peluang dan ruang untuk seketika."   

Api kemarahan Hanna semakin surut dijirus lembut suara pujukan Shakira.

°•°•°•°


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh