#12

TERNYATA MacBook milik Johan telah diusik oleh seseorang.  Johan kurang pasti akan niat individu tersebut. Akan tetapi, pastinya dia mempunyai agendanya yang tersendiri.  Mujurlah kata laluan ada ditetapkan dan tidak semudah itu penceroboh berkenaan untuk meneroka jauh ke dalam fail.

Namun, Johan sebenarnya telah mengambil langkah berjaga-jaga semenjak dia melalui episod yang mengerikan dahulu.  Secara diam-diam Johan memasang kamera litar tertutup yang disembunyikan di tempat rahsia di sudut biliknya. Tanpa berlengah, Johan meneliti rakaman tersebut dan imej yang terakam amat menyentakkan dirinya.

Kelibat seseorang yang dia kenali dilihat memecah masuk bilik tidurnya dengan mudah.  Seperti seorang pakar lagaknya, orang itu menghampiri meja kerja Johan lantas menghidupkan MacBook itu.  Malangnya, dia gagal mengakses fail di dalamnya lantaran kata laluan telahpun ditetapkan. Dia berada dalam bilik tersebut kira-kira 20 minit.  Setelah apa yang dicari tidak ditemui, dia keluar semula dan pintu bilik dikunci seperti biasa.

Bukan harta benda yang Johan risaukan.  Dia paling takut jika rahsia yang disimpan selama ini jatuh kepada orang yang salah terutamanya orang jahat.

"Kurang ajar!" dengus Johan dan terus keluar dari bilik.  Langkah dibawa ke bilik Rafi dan penumbuk masih dikepal kemas.  Dadanya berombak menahan rasa marah yang meluap bak gunung merapi yang bakal meletus.

"Rafi!  Kau keluar sekarang!" Johan memekik-memekik dari luar pintu kerana pintu bilik Rafi terkunci dari dalam.

"Hei, Rafi!  Aku tahu kau ada kat dalam.  Keluarlah! Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang kau dah buat!" Seisi rumah bergema dengan lengkingan Johan.

"Johan… kenapa ni?  Terjerit-jerit tengah malam buta."  

Mael keluar dengan pantas setelah lenanya terganggu.  Jeritan sekuat itu pastinya menyedarkan sesiapa sahaja. Risau juga jika jiran-jiran tetangga menerima impak yang sama oleh adegan itu.

Pertanyaan Mael langsung tidak dihiraukan.   Malah sosok Mael hanya dipandang sekali imbas.

Tendangan demi tendangan di pintu kayu itu membingitkan suasana malam yang sepatutnya menjadi waktu santai bagi semua orang setelah berhempas-pulas bekerja di siang hari.

Pintu bilik Rafi terkuak perlahan. Wajah Rafi yang mengantuk dengan mata terpejam terjengul di muka pintu.

"Apa hal…."  Belum sempat Rafi bertanya, rahangnya ditumbuk kuat oleh tenaga lelaki Johan.  

Kepala Rafi terteleng ke sisi dan tubuhnya terjatuh di lantai.  Mata Rafi yang terkatup terbuka luas dek serangan tanpa amaran itu. Rahangnya disentuh dan diurut perlahan bagi meredakan kesakitannya. Anehnya, Rafi cuma membiarkan saja dirinya ditumbuk dan tiada tanda-tanda hendak melawan balas.  Dia terpunduk membisu dan tidak berani bertentang mata dengan Johan dan Mael.

"Berani kau pecah masuk bilik aku!"  

Johan cuba melepaskan satu lagi penumbuk.  Namun, Mael bertindak dengan lebih pantas dengan menyekat kemaraan Johan sekaligus menghalang situasi menjadi lebih buruk.  Mujurlah tindakan Mael itu tepat pada masanya. Jika tidak, sudah pasti jasad Rafi lunyai dikerjakan oleh Johan.

"Sabar, Johan.  Benda boleh bincang buat apa gaduh?"  Mael cuba memujuk walaupun dia tidak tahu perkara duduk yang sebenar.

"Orang macam ni tak payah dibawa berbincang.  Heret je ke balai, habis cerita!" tempelak Johan.

Johan meronta-ronta untuk melepaskan diri.  Biar hancur muka Rafi dikerjakan olehnya. Apa yang dilakukan oleh Rafi memang tidak boleh diterima langsung oleh sesiapapun.  Pegangan Mael terhadap Johan semakin longgar. Benteng antara Johan dan Rafi runtuh dan Johan menyerang Rafi buat kali kedua. Kali ini tindakannya lebih ganas lagi, bertubi-tubi tumbukan padu dilepaskan tepat ke wajah Rafi yang tidak beriak itu.

“Hentikan kerja gila ni, Johan!  Mati budak tu nanti!” Mael menarik tubuh Johan dari terus-menerus memukul Rafi yang wajahnya sudah lencun dibasahi darah.

Darah itu juga telah mencemari buku lima Johan.  Seperti tadi, Rafi merelakan saja dirinya diperlakukan sewenangnya oleh rakan serumahnya itu.  Dia bangkit perlahan-lahan dan duduk di birai katil. Baju kemeja-T yang tersadai di atas katil dicapai lalu ditekapkan pada hidungnya yang mengalirkan darah pekat.  Terdetik rasa simpati di hati Mael.

Rafi menyarung kemeja-T ke tubuh lantas mengambil beberapa barang penting dan beredar keluar.

"Tunggu, Rafi!" tegah Mael cuba mengejar langkah Rafi yang laju.

"Biarkan aje dia, Mael.  Eloklah dia keluar. Penyangak macam tu memang tak layak tinggal di rumah ni," bentak Johan tanpa menghiraukan rasa sakit di tangannya.

"Apa masalah kau orang sebenarnya?  Aku tak fahamlah!" Mael melabuhkan punggung di sisi Johan.  Benaknya kurang jelas tentang apa yang berlaku.

"Si Rafi tu dah pecah masuk bilik aku."  Bibirnya diketap geram.

"Betul ke ni?  Tak baik serkap jarang, Johan." Mael seakan-akan tidak percaya dengan tuduhan itu.

Cerlungan tajam Johan terhadap Mael membuatkan Mael menelan air liur.  
Gerun!

"Aku bukan bodoh!  Aku takkan saja-saja nak tuduh orang.  Aku ada bukti! Dalam CCTV tu memang terang-terang ada muka dia dalam tu. Baju yang dia pakai tadi, baju yang sama masa dia buat kerja gila tu." Menggigil tubuh Johan menahan marah.  Suaranya juga bergetar.

"Maafkan aku, Johan.  Aku pun tak tahu nak cakap apa.  Tak sangka pula si Rafi tu sanggup buat benda-benda macam tu.  Ada apa-apa barang yang hilang, tak?"

"Setakat ni tak ada.  Aku pun tak tahu dia nak cari apa," jelas Johan.

"Pelik ni.  Pecah masuk, tapi tak ambil apa-apa.  Apa motif dia, eh?" Mael menyoal tak puas hati.

"Aku lagilah tak faham.  Tapi, kalau aku nampak lagi muka dia dalam rumah ni, pecah muka dia aku kerjakan!"

Johan beredar ke biliknya meninggalkan Mael yang termangu-mangu di sofa.  Nampak gayanya perang dunia ke tiga bakal meletus. Rafi sendiri yang cari penyakit.  Segala masalah dialah yang kena tanggung. Sakit kepala Mael bila memikirkan hal itu.

°•°•°•°


MERAH padam muka Tajudin saat melangkah keluar dari bilik Tuan Jasmit.  Kali ini dia memang dia tidak dapat mengelak. Terpaksa jua mendengar bebelan Tuan Jasmit sehingga cair tahi telinganya.  Jika dia sendiri rasa tertekan dengan kes itu, maka Tuan Jasmit juga sama, malah lebih lagi.

"Apa cerita ni, Tajudin?  Sana-sini media asyik cakap bukan-bukan pasal polis.  Orang atas pun dah bising-bising. Mereka cakap kita tak buat kerja!"

Dum!

Berdentum bunyi meja yang dihentam kuat.  Tajudin duduk tegak dengan tenang. Nafasnya dihela dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan.  Anak mata mencari wajah Tuan Jasmit yang seperi jerung kelaparan.

"Tuan, media tak tahu cara kita bekerja.  Mereka tak ada hak untuk menyoal atau membuat kesimpulan negatif terhadap kemampuan kita.  Ia cuma satu strategi untuk melariskan akhbar dan berita mereka. Mereka sanggup buat apa saja untuk kepentingan diri mereka sendiri." Tajudin menyuarakan pendapatnya.

"Saya tahu.  Kita semua pun tahu.  Tapi, adakah orang awam tahu dan faham tentang hal-hal penyiasatan?" Emosi Tuan Jasmit masih lagi terganggu. Namun, suaranya sudah tidak setegang tadi.

"Tuan, saya dan pasukan saya telah cuba sedaya-upaya untuk menyelesaikan kes ini.  Ini kes pembunuhan berprofil tinggi, bukannya kes kecurian biasa. Saya janji dengan tuan, saya akan selesaikan penyiasatan ini secepat mungkin.  Jika tidak, tuan boleh tukarkan saya ke mana-mana daerah yang tuan suka.

Saya minta diri dulu, tuan.  Tapi saya tetap maksudkan apa yang saya katakan tadi. Tentang kes itu saya cuma mahu tuan berikan sepenuh kepercayaan kepada saya.  Yang selebihnya, biar Tuhan saja yang menentukannya. Terima kasih."

Tajudin memberi tabik hormat sebelum berpusing dan melangkah keluar dari pejabat Tuan Jasmit. Sedang Tajudin cuba meredakan perasaannya, lensa matanya menangkap sosok tubuh Putra yang dirundung resah.  Dalam hatinya sudah terdetik satu lagi bala yang bakal menjengah.

"Tuan, kita ada masalah sikit," bisik Putra lemah.  Wajah itu pucat dan pipinya sedikit bengkak.

"Ada apa?" tanya Tajudin dengan kerutan di dahi.  

"Tu…."  Muncung Tajudin dihala kepada satu jasad yang sedang duduk di sofa.  Tajudin berhasrat untuk tidak bersua muka dengan insan itu. Risau jika ada isu lain yang akan tercetus.

"ASP Tajudin… berjumpa juga kita," kata pemilik suara itu.

Sudah terlambat untuk Tajudin mengelak.  Mahu atau tidak, Tajudin terpaksa mengoyak senyum, memaniskan wajah di hadapan tetamu yang tidak diundang.

"Encik Zarul.  Apa khabar? Lama tak dengar cerita."  Dua orang lelaki tersebut bersalaman. Entah mengapa aura negatif kuat terasa.  Atmosfera di situ sesak dengan tiba-tiba.

Rupa-rupanya Zarul tidak datang seorang diri.  Dia ditemani oleh jurukamera Mega Berita bersama kamera di tangan.  Tajudin melirik ke arah Putra yang masih setia di sisinya. Mengerti akan bahasa tubuh Tajudin, Putra meminta jurukamera itu agar menunggu di luar sahaja.

"Dia orang saya, tuan," kata Zarul apabila jurukamera merangkap rakan sekerjanya tidak dibenarkan masuk.

"Dan ini pejabat saya, Encik Zarul.  Pejabat saya ada peraturan. Kalau Encik Zarul tak boleh hormati peraturan di sini, saya tak boleh buat apa-apa lagi.  Encik Zarul tahu di mana jalan keluar, bukan?"

Pedas sekali tiap bait perkataan yang meniti di bibir Tajudin.   Zarul tersenyum senget. Hati dan telinganya sudah kebal dengan kata-kqta sebegitu.  Demi tugas, adakalanya dia terpaksa menebalkan muka dan memekakkan telinga.

"Baiklah.  Azli, tunggu saja di luar," arah Zarul mendatar.  Azli mengangguk akur. Kamera diletakkan semula di atas meja kopi.  

Sementara itu, Tajudin sudah lesap ke dalam pejabatnya.  Pintu ditutup sebaik saja Zarul duduk di kerusi. Langkah Tajudin diatur ke tingkap kaca telus pandang dan menampakkan kubikel kaki tangannya di luar bilik.  Tirai putih ditarik sehingga menutup keseluruhan tingkap kaca berkenaan

Kemudian, barulah punggungnya dihenyak di kerusi.  Jari-jemari Tajudin saling berkait dengan siku diletakkan di pemegang kerusi.  Raut wajah Zarul ditilik, beku, tidak beriak dan kelihatan tenang. Adakalanya, Tajudin kagum dengan insan di depannya sekarang ini.  Insan yang sanggup melakukan apa saja kerana taksub dengan kerjaya.

"Cakaplah apa yang kau nak cakap."  Tiada lagi panggilan hormatnya kepada Zarul.  Seperti tadi, Zarul hanya tersengih menampakkan giginya yang putih tersusun.

"Jangan emosi sangat, kawan.  Senyumlah sikit." Zarul cuba berjenaka.  

Akan tetapi, riak wajah Tajudin tidak berubah.  Tegang, atau mungkin boleh dikategorikan sebagai tertekan. Dalam kelincahan Tajudin membanteras kegiatan jenayah, masih ada sisi lain yang menunjukkan isi hatinya yang sebenar.

"Sudahlah, Zarul.  Aku bukannya baru kenal kau kelmarin," tempelak Tajudin sinis.

"Baiklah.  Memandangkan kau seakan-akan mendesak, aku akan terus saja ke topik asal.  Kenapa pihak polis lembab dalam mengendalikan kes Borhan kali ini?" Alat perakam suara diketik, lantas ditolak ke depan Tajudin.  Apa jua kata-kata Tajudin pasti akan terakam padai alat itu.

°•°•°•°


Previous: #11
Next: #13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh