#14

"TERSENGIH-SENGIH macam kerang busuk.  Angau ke?" tanya Shakira tatkala melihat Hanna di sebelah tersenyum sendirian melayan perasaan.

Filem yang mereka tonton merupakan sebuah filem sedih, sebaliknya Hanna boleh tersengih dan tersenyum gembira.  Pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada Hanna.

Tergeleng kepala Shakira saat tegurannya juga tidak diendah. Hanna seperti hanyut dalam dunianya sendiri.

"Aduh!" jerit Hana seraya menggosok kepalanya yang dilontar dengan kusyen kecil.  Bibir dikebam dan cerlungan tajam dihadiahkan kepada Shakira.

"Beranganlah lagi.  Sampai aku panggil kau pun tak dengar.  Kau fikir apa ni? Teringat kat abang cef tu ke?" terjah Shakira dengan picingan mata.

"Siapa cakap aku berangan?"  Hanna berpura-pura membelek telefon pintar bertujuan menutup debaran di dada.

"Kau tak payah nak sembunyikan apa-apa dari akulah, Hanna.  Betul kan apa aku cakap tadi?" Shakira menegakkan badan menghadap Hanna.  

"Tak... memang tak betul!" pintas Hanna laju-laju.  Kepala digeleng menidakkan telahan Shakira.

Sejak peristiwa yang tidak disengajakan dulu, hubungan Hanna dan Johan semakin akrab dari hari ke hari.  Hanna suka berkawan dengan Johan kerana mereka mempunyai minat yang sama iaitu memasak. Seringkali mereka bertukar-tukar resepi masakan untuk memantapkan kemahiran masing-masing.

"Eleh… tak nak mengaku konon. Air muka kau tu cukup menyatakan segala-galanya, Hanna.  Kau memang suka dekat Johan, kan?"

Hanna terperangkap dengan soalan Shakira.  Sekiranya betul sekalipun, tidak mungkin dia mengakui kepada sesiapa.  Sedangkan Johan tidak pernah menyatakan apa-apa perasaan terhadap dirinya.  Silap haribulan, dia saja yang bertepuk sebelah tangan.

"Aku berkawan aje dengan Johan.  Kau pun tahu, minat kami sama." Hanna cuba berdalih.

"Oh… Johan nama dia.  Tapi, kalau betul apa salahnya.  Sama-sama bujang, tak berpunya. Elok sangatlah tu.  Aku pun boleh makan nasi minyak tak lama lagi." Shakira ketawa kuat hingga matanya menjadi sepet.

Terjegil mata Hanna saat gurauan Shakira semakin melalut. Namun bibirnya melorek senyum lebih lebar. Fokus Hanna tidak lagi dipusatkan di kaca TV. Dia angkat punggung dan berlalu ke dapur untuk membancuh minuman.  Sementelahan, dia tidak tahan dengan usikan Shakira yang tiada henti sehingga dia sukar mempertahankan dirinya sendiri.

°•°•°•°


"HANNA, saya ada sesuatu nak beritahu awak," kata Johan dengan riak muka yang serius.

Penampilan Johan berbeza sama sekali pada hari itu.  Seluar jeans hitam dipadankan dengan kemeja denim biru.  Rambut disisir rapi dan kemas, menyerlahkan sisi kacak Johan yang sebenar.

Hanna yang sedang leka merenung tasik menoleh.  Berdebar-debar pula menunggu ayat yang seterusnya keluar dari mulut pemuda di depannya.  Agak lama Johan mendiamkan diri. Seketika kemudian, dia menggeleng. Johan seolah-olah sedang bermain tarik tali.  Berkerut dahi Hanna apabila Johan tidak jadi meneruskan kata-kata.

"Cakaplah, apa dia?" Hanna memberanikan diri bertanya.  Paluan jantung semakin laju berdetak.

"Hahaha… tak ada apalah."  Johan tersengih sambil menggaru kepala.  Kata tiada apa-apa, tetapi mengapa wajah Johan merona kemerahan?

"Hmmm…  ini yang saya paling tak suka.  Sekejap cakap nak beritahu sesuatu.  Sekejap tak ada apa-apa. Kalau tak ada, saya balik dululah!"

Hanna bangun dan berdiri.  Wajah Johan dipandang sekilas sebelum membuka langkah untuk pergi dari situ.

"Nanti dulu!  Okey… sebelum tu, duduk dulu.  Sebab apa yang saya nak cakapkan ni mungkin akan buat awak terjun tasik.  Ataupun, awak tolak saya ke dalam tasik." Johan ketawa sendiri.

Hanna tidak jadi melangkah.  Dia mengambil tempat di sebelah Johan semula.  Pemuda itu kelihatan gugup. Beberapa kali nafas kasar dihela sebelum menatap anak mata Hanna yang membesar.

"Saya tahu, kita baru saja kenal.  Tapi, hati saya kuat menyatakan yang awaklah gadis yang bakal menghuni hati saya.  Jadi…."

Hanna sudah terkelu lidah. Hendak pandang wajah Johan pun terasa malu.  Kulit mukanya panas membahang di bawah rembang cahaya matahari yang bersinar memanah bumi.  

"Saya rasa, saya suka awak, Hanna.  Kalau boleh, saya nak kita mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat.  Niat saya ikhlas. Tak perlu terburu-buru dalam langkah seterusnya. Kalau ada jodoh kita, pasti kita akan disatukan juga," tutur Johan lembut sekali.

Lapang dadanya apabila hasrat yang terbuku di hati akhirnya terluah jua.  Dia bukanlah jenis lelaki yang pandai bermain kata-kata. Jika suka, dia akan berkata hal yang sejujurnya.  Dan begitu juga sebaliknya.

"Errr… saya… saya…."  Kelu lidah Hanna untuk membalas luahan hati Johan.  

Sudahnya, dia cuma tersenyum penuh makna.  Johan yang mengerti akan isyarat itu menyimpul senyum.

"Adakah itu tandanya setuju?"  usik Johan yang suka melihat Hanna yang tersipu-sipu malu.

Pandangan Johan tertancap kepada dua orang lelaki yang baru tiba di situ.  Serta-merta tubuhnya sejuk dan menggeletar. Setelah sekian lama dia berkurung di dalam rumah.  Baru kali ini dia berani memunculkan diri di khalayak. Itupun kerana ingin berjumpa dengan Hanna.

"Hanna… mari kita balik!" ajak Johan kelam-kabut.  Dua sosok lelaki berkenaan kian menghampiri lokasi mereka berada.

"Tapi, kita baru aje sampai," balas Hanna kehairanan.  Pesanan mereka juga masih belum tiba.

"Nak hujan ni.  Kita balik cepat!" Kerana terlalu panik, alasan yang tidak masuk akal terlepas dari bibir Johan.

Mahu atau tidak Hanna terpaksa menurut.  Langit biru diintai dari dalam perut kereta.  Pelik betul Johan tadi. Cuaca sebegini elok dikatanya mahu hujan.  

"Kau pasti ke selamat, Epul?" tanya Mus takut-takut.  

Kepalanya tidak duduk diam, tertoleh-toleh sehingga 360 darjah memerhati sekeliling.  Dia saja yang terlebih risau agaknya, sedangkan Epul bersahaja berjalan di sekitar kawasan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Diamlah.  Sampai bila kau nak terperap dengan 'ais' kau tu.  Hari ni, kita hirup udara segar."

"Hirup udara segar, konon!  Cakap sajalah duit kau tu dah habis berjudi! Tak berjudi, langgan GRO. Macamlah aku tak tahu," tempelak Mus geram.  

Sesuka hati Epul mengheretnya ke sana ke mari seperti sebiji bola.  

"Telefon ni pun satu hal.  Memekak tak sudah-sudah!" Mus menghempas telefon pintar di atas meja setelah berjaya mendapatkan meja kosong di restoran terapung di situ.

"Siapa telefon?  Mukhlis?" Leher Epul panjang mengintai nama pemanggil yang muncul di skrin.

Mus menjeling geram.  Sudah tahu masih hendak bertanya lagi.

"Aku rasa aku nak tukar kad sim barulah," ujar Mus seraya menyedut air kelapa di dalam gelas.

"Aku bantah cadangan kau!  Upah kita belum dapat sepenuhnya lagi.  Kau jangan nak pandai-pandai buat keputusan," bangkang Epul bersungguh-sungguh.

"Aku bosanlah!  Aku penat! Aku tak kisah lagi tentang bayaran dari si tahi hidung masin tu.  Aku nak bebas!" bentak Mus mencuka. Mujurlah tempat duduk mereka agak jauh dari orang ramai.  Jika tidak, pasti mereka berdua menjadi tumpuan.

Telefon pintar milik Mus bergetar lagi.  Tidak semena-mena Epul menekan butang hijau untuk menjawab panggilan.  Mus yang berang sudah mengepal penumbuknya. Bodoh punya kawan!

"Hello, bos!  Apa khabar?" Selamba saja Epul berbual di telefon.  

"Khabar tak baik!  Eh, mana kau orang pergi?  Kerja yang aku suruh tu belum selesai lagi, kan?" Mus dapat mendengar suara Mukhlis yang kuat dari corong telefon.

"Sabar… setelah apa yang berlaku kami perlu tenangkan diri.  Ini bukan hal kecil, tahu tak bos? Lambat-laun kami akan jumpa juga budak tu."

Mus tidak menyangka, adakala otak Epul yang bengap itu boleh dipakai juga.  Dalam diam, Mus tersengih sendiri.

"Dia cakap apa?" tanya Mus usai perbualan antara Mukhlis dan Epul.

"Dia cakap, dia akan gandakan upah kalau kita dapat budak tu dalam tempoh seminggu."

"Kau percaya cakap si tahi hidung masin tu?"  Mus memutar bola mata. Mati hidup semula sekalipun, kata-kata Mukhlis tidak boleh dipegang.  

Mentah-mentah Epul masuk ke dalam janji manis Mukhlis yang lidah bercabang persis ular sawa.  Nampak gayanya Epul tidak serik untuk ditipu untuk kali kedua.

"Kau tanya, jadi aku cakaplah.  Soal percaya atau tidak, terpulang!"  Epul mengangkat bahu.

Fikir dia saja yang bosan.  Dia juga lebih dari itu. Berjudi dan melanggan GRO sekadar untuk melupakan sebentar masalah yang melanda. Wang dalam simpanan juga semakin susut. Satu-satunya cara untuk memperoleh wang adalah dengan melangsaikan janji Mukhlis.  Saksi misteri haris dicari sampai jumpa meskipun sukar.

"Tempoh satu minggu saja mana cukup!" Mus memberontak setelah beberapa minit berdiam diri.

"Satu minggu tu adalah tempoh yang panjang.  Kalau kau tak ambil 'ais' selalu, budak tu gerenti senang dicekup."

"Nak cekup apa?  Muka dia pun kita tak tahu."  Mus terus-menerus membangkang.

"Ah, balik rumah lagi bagus dari bertekak dengan kau."  

Epul meninggalkan dua keping not bernilai sepuluh ringgit di atas meja dan terus beredar.  Mus mendengus geram dan kepalanya mula berasa sakit dengan semua ini.

"SAYA ingat awak dah lupa jalan balik ke rumah!"

Panas telinga Mus mendengar sindiran itu.  Inilah sebab dia tidak suka pulang ke rumah. Bertambah-tambah sakit dia diserang sakit kepala.

"Apa masalah kau ni, Yati?  Aku balik salah, tak balik pun salah!  Kau nak apa sebenarnya ni?"

Hasrat untuk menenangkan otak yang berserabut tidak kesampaian. Malah semakin sakit saraf kepalanya mendengar bebelan si isteri.

"Saya tak cakap salah atau tidak.  Mana awak pergi? Berminggu-minggu baru nampak batang hidung.  Khabar saya, khabar anak-anak langsung awak tak endah. Apa lagi nak beri duit belanja."

Anak kecil dalam ribaan Yati menangis seolah-olah mengerti gejolak perasaan ibunya.  Yati sedaya-upaya menenangkan anak itu dengan memberinya susu.

"Duit! Duit! Duit!  Itu saja ke dalam kepala otak kau, hah?"  

Mus mengeluarkan dompetnya dari saku. Beberapa keping wang kertas ditarik dan melemparkannya kepada Yati.  

Terkebil-kebil Yati melihat not-not yang berterbangan ditiup kipas yang sudah usang.  Segera dia mengutip dan menyimpannya di bawah bantal anaknya.

"Ada pun duit.  Kalau tak minta, awak tak pernah bagi.  Bab nafkah, selalu je culas. Kalau bab 'air batu' dia tu, tak pernah nak berkira!"

Pintu bilik Mus dihempas kuat. Sesebuah rumah itu sepatutnya menjadi syurga bagi penghuninya. Sebaliknya, ia umpama neraka yang sentiasa memuntahkan lahar panas. Ada-ada saja perkara yang mencetuskan perang mulut antara mereka.

Sejak Mus dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan, rumah tangga mereka terumbang-ambing.  Wang sering menjadi punca perbalahan. Tatkala ditawarkan untuk bekerja dengan Mukhlis, tanpa berfikir panjang Mus menyatakan kata setuju. Harapkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Agenda Mukhlis akhirnya menjerat dirinya sendiri.

"Boleh tak kau diamkan budak tu?  Duit aku dah kasi. Aku nak tidur!  Penat?" kata Mus di muka pintu.

Yati menjeling geram. Tiada guna bernikah jika suami langsung tidak bertanggungjawab.  Dia seorang saja bertungkus-lumus menjaga kedua-dua orang cahaya mata mereka. Mus cuma pulang ke rumah apabila perlu.  Budak-budak bukannya tahu apa-apa. Cakap memanglah mudah. Dia yang selalu melayan kerenah anak-anak setiap hari.

"Tidur, sayang.  Jangan menangis. Apalah nasib kita anak-beranak.  Ada bapak macam tak ada bapak," rintih Yati sayu. Pintu bilik yang bertutup rapat dipandang dengan benci.  

°•°•°•°


Previous: #13
Next: #15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh