#9

"SAMPAIKANLAH salam cintaku padanya,

Walaupun sengsara namunku masih sayang,

Kerana cintaku mewangi dan harum,

Walau tercampak di mana jua."

"Hahahaha... terima kasih!"

"Eeee... orang gila!"

Kanak-kanak lelaki itu terjerit ketakutan apabila seorang pemuda kurang siuman menyanyi di khalayak. Dia lari lantas menyembunyikan diri di belakang badan ibunya apabila pemuda yang dikatakan gila itu merenung tajam ke arahnya sehingga budak lelaki itu menangis teresak-esak.

Pangkal hidung kecilnya dikepit dengan ibu jari dan jari telunjuk kerana bau busuk dan hapak mengganggu rongga pernafasan kanak-kanak berkenaan. Lelaki yang dimaksudkan itu berbaju lusuh dengan rambut panjang menggerbang dan gigi yang berkarat. Dia menyeringai kepada orang ramai di sebuah bangunan wisma yang tersergam indah di kota raya. Ada yang bertempiaran lari kerana takut pemuda tersebut akan bertindak di luar batasan.

"Aku bukan orang gilalah. Aku Ali!" jawab Ali setiapkali dirinya dipanggil si gila.

Wajah Ali yang kotor itu terlindung dek rambut kusut yang menutupi separuh wajahnya yang berminyak. Sesekali, Ali menadah tangan meminta simpati kepada sesiapa saja yang lalu-lalang di situ.

"Duit... duit. Lapar...," rengeknya tanpa henti.

"Pergi! Pergi!" halau seorang gadis berkaca mata dengan wajah bengis. Jijik benar gadis itu dengan penampilan Ali yang busuk lagi memualkan.

Tong sampah yang ada diselongkar dengan rakus. Sisa-sisa makanan dan baki minuman yang dibuang diambil lalu dimakan tanpa rasa jijik. Letih berdiri dan berjalan ke sana ke mari, Ali melabuhkan punggung di lantai simen yang tidak beralas. Dia duduk bersandar dengan kaki diluruskan sekaligus menghalang laluan pejalan kaki.

Akan tetapi, tindakan Ali telah mengundang kemarahan orang ramai. Ali dihalau oleh sekuriti yang bertugas, dan mahu tidak mahu dia terpaksa beredar ke kawasan yang lain. Ali membawa diri ke lorong belakang bangunan tersebut. Dia menarik kotak yang dibuang di dalam tong sampah lalu dijadikan alas untuk berehat.

Hampir satu jam Ali terlelap dalam keadaan begitu. Perut yang digigit dengan rasa lapar sudah tidak terbendung lagi. Dengan malas, dia mencuba nasib dengan mengemis ihsan orang ramai demi secebis makanan untuk mengisi perut. Malangnya, kehadiran Ali bagaikan halimunan; tidak diendah malah dicaci hina. Pada satu tahap dia terpaksa merebut makanan daripada seorang pemuda yang baru melangkah keluar daripada restoran segera berhampiran.

"Hoi, bagi balik makanan aku!" tempik pemuda itu lantas merampas semula plastik makanan di tangan Ali yang sudahpun menyelongkar isi di dalamnya.

Dengan sekali tolakan yang kuat, tubuh Ali tersungkur di jalanan sehingga siku kanannya tergesel di permukaan jalan yang tidak rata. Tidak cukup dengan itu, dia disepak tanpa belas berulang kali.

Ali menutup mukanya dengan lengan sebagai benteng pertahanan diri. Sesekali dia menjerit kesakitan oleh tiap pukulan yang singgah di badannya.

"Sudahlah tu. Dia pun manusia juga," tegur pemuda berpakaian kemas sekaligus meleraikan perbalahan kedua-duanya.

"Huh, dasar gila!" tempik pemuda panas baran itu lalu beredar dengan sisa amarah apabila urusannya dicampuri oleh orang luar.

"Awak tak apa-apa? Awak tercedera ni," ujar lelaki berpakaian kemas itu tadi.

Ali masih menghadang mukanya dengan kedua-dua belah lengan sebagai perisai daripada terus-menerus dicederakan. Sesekali, Ali mencuri pandang ke depan apabila dirinya tidak lagi dikasari.

"Bangun... dia dah pergi," arah pemuda berkenaan. Tangan Ali dijatuhkan ke sisi apabila disapa oleh suara asing dengan sopan. Jarang benar dia dilayan sebaik ini.

"Nama siapa?" soal pemuda itu lagi.

"A... Ali."

"Oh, Ali. Nama saya Ezudin." Lelaki baik hati itu memperkenalkan diri.

Ezudin membantu Ali untuk berdiri. Ali tersengih memandang pemuda yang kacak dan berbau harum sehingga menampakkan barisan giginya yang berkarat.

"Nak duit... lapar," pinta Ali dengan wajah kasihan. Tangan ditadah betul-betul di depan muka Ezudin. Namun, Ezudin menolak tangan Ali dengan lembut.

"Jom, ikut saya," kata Ezudin seakan memaksa.

Ali membuntuti langkah lelaki berkenaan yang membawanya ke satu restoran mamak yang berdekatan. Mereka duduk di meja yang paling hujung. Semua pandangan dipusatkan kepada mereka berdua. Ezudin tidak mempedulikan akan pandangan sinis dan aneh itu, walaupun dia sedar kedatangan mereka berdua mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan yang sedia ada.

Pelanggan di meja berhampiran ada yang angkat punggung kerana tidak tahan dengan bau badan Ali persis lori sampah, malah menarik perhatian serangga seperti lalat dan langau.

"Ali pilihlah nak makan apa, saya belanja." Ezudin menolak buku menu di depannya.

Ali tersengih sambil menggaru kepala. Tatkala menu dibentangkan, dia memesan apa saja yang yang kelihatan lazat di matanya. Ezudin tersenyum dengan gelagat Ali yang kurus dan cengkung kerana kelaparan.

Sementara itu, Ezudin berlalu ke kaunter untuk membeli pembalut luka. Siku Ali yang mengalami luka kecil dibersihkan terlebih dahulu sebelum ditampal dengan pembalut. Ali membiarkan saja perlakuan Ezudin terhadapnya. Setelah semuanya selesai, Ali hanya mampu tersengih seperti kerang busuk. Dia tidak tahu untuk mengucapkan perkataan apa bagi membalas semua perbuatan mulia Ezudin. Hanya senyumannya yang terlukis di wajah sebagai reaksi tanda terima kasih.

"Makan perlahan-lahan, jangan gelojoh. Allah tak suka," pesan Ezudin tatkala melihat Ali meratah peha ayam dengan rakus.

Nasi di pinggan licin dalam sekelip mata. Sirap limau di dalam gelas juga diteguk dengan cepat. Ali mengusap perutnya yang kekenyangan dari luar bajunya. Ezudin cuma menikmati teh tarik kerana tidak berasa lapar. Dia senang melihat raut gembira yang jelas terpancar di wajah Ali setelah perutnya diisi.

°•°•°•°

SEMUA kaki tangan menoleh ke arah punca datangnya bau busuk yang begitu menyengat hidung. Setelah itu, mereka meneruskan tugas masing-masing tatkala seorang lelaki memasuki pejabat bersama beberapa buah fail di tangan.

"Masuk," arah Tajudin dari dalam bilik.

Dahi Tajudin berkerut apabila hidungnya menangkap bau hapak dan masam sehingga dia berasa mual. Wajah yang tertunduk menekur fail-fail di atas meja diangkat apabila bau itu semakin kuat menghampiri.

"Maaf, tuan. Ini dokumen-dokumen yang berkaitan dengan Ezudin. Setelah disemak, beliau tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Tiada transasksi yang mencurigakan di dalam akaun bank dan kini mengemudi syarikat arwah Borhan dengan baik," terang Putra satu per satu.

"Baik, terima kasih atas maklumat tu. Tapi... awak dari mana ni, Putra?" Tajudin membuka sedikit tingkap biliknya agar bau tersebut berkurangan apabila udara segar menerjah masuk.

"Macam biasalah... tugas risikan." Putra menggaru kepala yang tidak gatal.

"Kali ni awak jadi siapa pula?" soal Tajudin ingin tahu.

"Ali si Gila. Hahaha." Berderai tawa mereka berdua di situ.

"Pergilah mandi dulu. Busuk sangat awak ni, mengalahkan bau longkang," kata Tajudin sambil menutup hidung. Entah apa yang dilakukan oleh Putra sehingga bau busuk itu benar-benar membuat dirinya nanar.

"Mana tak busuknya, saya terpaksa berendam dalam longkang sana. Kalau tak, tak real lah, tuan."

Kata-kata Putra membuatkan Tajudin terlongo. Putra keluar dari bilik Tajudin lantas mengatur langkah ke bilik loker yang menempatkan barang-barang peribadinya. Baju buruk yang melekat di tubuhnya dipecat lalu, dibuang ke dalam tong sampah di sudut bilik berkenaan.

Pancuran air yang deras itu menyingkirkan segala kekotoran dan bau yang memualkan. Masih ada satu lagi perkara yang perlu Putra selesaikan. Dan dia harus merancang dengan teliti agar perkara itu berjalan lancar.

"Putra, masuk sekejap," panggil Tajudin sejurus melihat kelibat Putra yang sudahpun menukar bajunya.

Belum sempat mencicip kopi yang baru dibancuh, Putra meletakkan muk minumannya yang masih panas itu di atas meja rakan sekerjanya, lalu membawa langkah ke pejabat Tajudin.

"Kau minumlah. Aku ada kerja," laung Putra.

Pintu yang terbuka lebar itu diketuk lantas dia memberi salam dan tabik hormat.

"Kita ada beberapa lagi petunjuk baru."

Tajudin berkata tanpa berpaling, melihat ke papan kenyataan yang dilekat dengan gambar tempat kejadian dan juga gambar rajah kes.

Terdapat juga beberapa helai kertas sticky notes pelbagai warna yang ditampal secara bertindih di atas gambar-gambar dan juga gambar rajah yang tidak teratur itu.

"Maksud tuan?"

Putra mengambil tempat di sebelah Tajudin dan turut meneliti papan kenyataan tersebut.

"Ikut saya." Tajudin duduk di kerusinya semula.

Putra menarik kerusi beroda di hadapan Tajudin lantas punggungnya dihenyak di kerusi empuk itu. Dia menanti apakah perkara yang hendak diperkatakan oleh Tajudin seterusnya dengan sabar. Sejujurnya, kes ini agak rumit. Walau bagaimanapun, dia amat teruja untuk menyelesaikannya.

"Hasil tinjauan kedua yang kita lakukan dulu, pihak CSI telah bertungkus-lumus menganalisis tempat kejadian dengan lebih teliti. Telahan kita memang betul. Terdapat orang lain juga ketika kejadian itu berlaku."

Tajudin menyandarkan tubuhnya di kerusi bersama satu senyuman kemenangan.

"Wah, nampaknya kerja kita akan jadi lebih mudah. Saksi tersebut akan membawa kita kepada penangkapan suspek," jawab Putra.

"Errr... suspek-suspek. Terdapat lebih daripada seorang suspek dalam pembunuhan itu." Tajudin membuat pembetulan.

Putra agak terkejut, namun dia sudah biasa. Dalam penyiasatan, seringkali mereka akan menemui informasi yang tidak disangka-sangka.

"Jadi, kita dah jumpa saksinya?" Pandangan Putra menikam tempat ke dalam anak mata Tajudin.

"Hampir... pihak IT sedang cuba menganalisis imej yang terakam di CCTV berhampiran taman tersebut. Skala pencarian telah dikecilkan. Dan mereka akan dedahkan beberapa imej yang dikhuatiri berada dalam rakaman dalam tempoh masa pembunuhan itu terjadi," terang Tajudin panjang lebar.

"Tidak lama lagi identiti John Doe akan terdedah," sambung Tajudin lagi sambil menayangkan barisan giginya yang cantik.

Telefon pintar milik Tajudin berbunyi. Sebaris nama Tuan Jasmit terpapar di skrin yang menyala. Butang berwarna hijau dileret untuk menjawab panggilan tersebut.

Putra ingin beredar bagi memberikan privasi kepada Tajudin, namun dihalang oleh Tajudin kerana urusan mereka belum lagi selesai. Air muka Tajudin kelihatan tegang dalam sekelip mata. Tentu saja ada hal yang serius sedang dibicarakan.

Setelah beberapa minit berbual di corong telefon, panggilan itu ditamatkan. Satu keluhan terlepas dari bibir Tajudin. Putra dapat meneka babawa hal itu ada kaitan dengan kes Borhan.

"Kita kena uruskan sesuatu dulu," kata Tajudin lambat-lambat.

"Urusan yang mana?" Dahi Putra berkerut kerana Tajudin kelihatan resah. Perkara apa agaknya yang mengganggu emosi Tajudin sehingga wajahnya memerah seperti dipanah terik matahari.

°•°•°•°



Previous: #8
Next: #10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh