#1

JAM 6.00 pagi. Bunyi penggera yang ditetapkan pada telefon pintar berdenting kuat memecah hening Subuh. Sekujur tubuh yang dibaluti selimut mengerekot kesejukan. Setelah beberapa saat, Johan tidak betah dengan bunyi bising yang menggetarkan gegendang telinganya lantas menariknya semula ke alam realiti. Dia meraba-raba telefon pintar Huawei di sisi katil.

"Ugh!" keluh Johan sambil menggeliat malas, meregangkan urat saraf yang tersimpul.

Skrin telefon ditatap sekilas. Lekas-lekas penggeranya dimatikan. Wajahnya diraup beberapa kali sebelum lelaki berketinggian enam kaki itu bangun dan duduk di birai katil. Telefon pintar kesayanganya disambungkan ke wayar pengecas sementara dia ke bilik air untuk membersihkan diri.

Menggigil tubuh sasa itu saat dia usai mandi dan berwudhuk. Setelah lengkap berpakaian, sejadah dihamparkan untuk menunaikan kewajipannya sebagai seorang Muslim. Johan bersiap-siap pula untuk berjoging. Rutin baginya dia akan mengambil sarapan ringan sebelum bertolak.

'Eh, tak kunci?' desis Johan cuak. Pintu utama tersebut terus terbuka apabila tombolnya dipulas.

Seingatnya, dia telah mengunci pintu itu sebelum masuk tidur semalam. Baru beberapa hari lepas berlaku kejadian pecah rumah di taman perumahannya. Bukan saja harta benda yang dicuri, malahan penghuni rumahnya juga dicederakan dengan senjata tajam. Sebab itulah Johan begitu cerewet tentang hal-hal keselamatan. Baik dia berjaga-jaga sebelum terjadi kejadian yang tidak diingini.

'Rafi!'

Sepasang kasut milik Rafi, salah seorang rakan serumahnya berselerakan di muka pintu. Dia mengutip kasut tersebut dan menyusunnya di atas rak. Selagi rumah itu tidak kemas, selagi itulah matanya sakit melihat keadaan yang berselerak itu.

'Balik lewat lagi la tu. Apa nak jadilah dengan si Rafi ni?' omel Johan seraya menyarung kasut Nike miliknya.

Dia keluar dari perkarangan rumah. Dipastikan juga pintu pagar bertutup rapat sebelum beredar. Permukaan jalan masih basah disimbahi hujan lebat semalam. Johan berjalan perlahan-lahan sambil meregangkan tubuh dan membuat pemanasan ringan. Setelah itu, dia memulakan aktiviti jogingnya bersendirian. Selalunya, pada hujung minggu begini dia akan berjoging bersama-sama Mael; rakan serumahnya juga. Mael terpaksa pulang ke kampung untuk beberapa hari kerana menziarahi ayahnya yang baru selesai menjalani pembedahan pintasan jantung.

Dari rentak perlahan lariannya bertambah kencang sehingga tiba ke sebuah taman yang terletak di hujung kawasan perumahannya. Untuk ke taman tersebut, Johan terpaksa mendaki jalan yang agak berbukit melalui lorong yang disediakan. Sesekali, dia bertembung dengan beberapa pasangan yang turut berjoging sepertinya.

Matahari memancarkan sinar keemasannya ke bumi. Embun jernih menitis dari daun-daun yang menghijau. Hembusan angin yang berpuput lembut begitu menyamankan apabila menyapa wajahnya.

Pemandangan di atas bukit begitu memukau. Mega berarak perlahan dan pohon-pohon bergoyang ditiup angin. Telefon pintar dikeluarkan dari dalam kocek seluarnya. Dia menekan ikon kamera untuk merakam keindahan panorama alam semula jadi dari puncak bukit. Beberapa keping gambar berjaya dirakam dan tersimpan secara otomatik di galeri telefon.

Bunyi unggas dan kicauan burung-burung menjadi lagu yang paling indah di dunia. Rasa tenang dan damai menggamit jiwanya ketika itu. Terbang melayang segala kekusutan yang menyelubungi dirinya. Setengah jam kemudian, pengunjung semakin beransur pulang. Tidak puas rasanya menyaksikan keindahan alam, lantas Johan mengambil keputusan untuk berlama-lama di situ.

Johan mengeluarkan telefon pintarnya sekali lagi untuk mengambil gambar bukit-bukau yang tersergam megah. Sedang leka mengetik butang kamera, Johan terlihat tiga orang lelaki berada dalam situasi yang mencurigakan di hujung taman. Pokok-pokok besar yang merimbun sehingga daunnya mencecah ke tanah menjadikan sudut itu agak tersorok dari pandangan orang ramai.

Kelihatan dua susuk tubuh lelaki di sebalik pokok-pokok tersebut berdiri membelakanginya. Johan tidak berniat untuk menyibuk, apatah lagi untuk mencampuri urusan orang lain. Tetapi, hati kecilnya diketuk dengan rasa sangsi dan memaksanya untuk mengambil tahu.

Mereka berdua lengkap berpakaian serba hitam. Salah seorang daripadanya pula menutup separuh mukanya dengan bandana yang berwarna hitam juga. Johan mengatur langkah dengan cermat dan berhati-hati. Dia cuba untuk menghampiri mereka bertiga dengan lebih dekat. Setelah berpuas hati dengan lokasi dia berada Johan memasang telinga. Mereka sedang membicarakan sesuatu tetapi butirannya kurang jelas. Johan menukar mod kamera kepada mod video. Entah kenapa hatinya terdetik untuk merakamkan kejadian itu.

Riak wajah seorang lagi lelaki yang agak berusia dengan uban yang memutih seperti dalam ketakutan. Dia menggeleng beberapa kali ketika sedang menceritakan sesuatu. Lelaki yang menutup sebahagian mukanya menjawab panggilan telefon yang baru berdering beberapa kali. Dia bercakap dengan seseorang di talian dan sesekali menganggukkan kepala seolah-olah faham dengan arahan yang diterima.

Setelah talian diputuskan lelaki berbandana tadi membisikkan sesuatu ke telinga rakannya dan tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. Sepucuk pistol yang Johan tidak pasti jenisnya ditala tepat ke arah lelaki berusia itu tadi. Johan terkesima. Dia meneruskan rakaman dengan tangan yang terketar-ketar. Langsung tidak terlintas di fikirannya akan berhadapan dengan situasi yang mendebarkan itu.

Kedengaran beberapa das tembakan dilepaskan ke arah lelaki yang ketakutan itu tadi. Lelaki malang itu sempat memegang dadanya yang berlumuran darah. Tersembur darah pekat dari bibirnya mengenai si penembak. Tubuh mangsa sudah tidak seimbang lagi. Dia rebah ke tanah dalam keadaan terlentang. Kedua-dua lelaki itu mengheret tubuh mangsa lalu menghumbannya ke dalam gaung. Nafas Johan tidak keruan dan berombak kencang. Satu jenayah berprofil tinggi berlaku betul-betul di depan mata dan kepalanya. Tidak semena-mena telefon pintar milik Johan berdering.

°•°•°•°•°

MAEL berdiri di tepi tingkap menghadap bendang yang luas terbentang. Dia mencari nama Johan di senarai log panggilan lalu mendail nombor berkenaan. Langsir berona ungu itu melayang-layang ditiup semilir angin pagi.

'Kenapa Johan putuskan talian?' rungut Mael gelisah.

Mael cuba mendail nombor telefon Johan sekali lagi, namun taliannya terus disambungkan ke peti pesanan suara. Nafas dihela kasar serentak dengan satu keluhan yang terluah di bibir.

"Kenapa tu, Mael?" tanya ibunya, Kamariah. Sewaktu Kamariah melintasi ruang tamu untuk ke dapur, ulah Mael yang seperti cacing kepanasan memaksanya untuk bertanya.

"Johan... puas Mael call dia tak berangkat."

"Bateri telefon dia habis kut," teka Kamariah.

"Entahlah, mak. Mael nak beritahu dia jangan lupa ambil Mael kat stesen bas esok."

"Tak apalah. Kamu cuba sekejap lagi. Mungkin dia ada hal sikit tu."

"Mungkin juga tu. Baiklah, Mael cuba hubungi dia semula lepas ni," jawab Mael sambil tersenyum.

Kamariah mengangguk lalu menyambung langkahnya ke dapur sambil menatang sebuah dulang. Semenjak suaminya menjalani pembedahan pintasan jantung, dialah yang bertanggungjawab menjaga makan dan minum suaminya itu dengan teliti. Dia bersyukur ke hadrat Allah pembedahan tersebut berjalan lancar seperti yang diharapkan.

°•°•°•°•°

"MUS, kau dengar apa-apa tak?" lelaki yang melepaskan tembakan itu tadi bertanya.

Mus memasang telinga selepas meletakkan jari telunjuknya di bibir. Puas dikitari sekeliling. Hanya tumbuh-tumbuhan hijau yang menjamu mata.

"Tak silap aku tadi, aku ada dengar bunyi deringan telefon," kata si penembak itu lagi. Deria pendengarannya begitu sensitif dan dia pasti dengan apa yang baru didengarinya tadi.

"Aku dah cakap tempat ni tak selamat, Epul. Tapi kau tak nak dengar." Mus membebel dengan wajah mencuka.

"Ah... jangan cakap banyak! Kita cari malaun tu. Cepat!" Epul menjeling Mus kerana geram dituduh sebagai penyebab perbuatan mereka diketahui orang.

Mereka berdua menapak dengan but separas betis meredah onak belukar. Langkah mereka kian menghampiri ke tempat persembunyian Johan. Menyedari akan hal itu, lutut Johan terasa lembik seperti jeli. Dengan bersusah-payah dia cuba berdiri untuk segera beredar dan tidak rela dirinya tertangkap oleh penjenayah tersebut. Dia berlari sekuat hati meredah belukar dan semak-samun. Mujurlah dia dan Mael tahu akan jalan pintas di situ.

"Tu dia. Tangkap dia, lekas!"

Johan tidak pasti siapa yang memberi arahan. Dia tidak mahu ambil tahu. Semua itu tidak penting baginya. Yang lebih penting ialah melindungi nyawanya sendiri dari dicabut dengan kejam seperti lelaki malang itu tadi.

Bunyi ranting patah dan daun-daun kering yang dipijak orang menambahkan rasa debar di dada. Pandangannya terus saja ke depan mencari jalan keluar. Menoleh ke belakang hanya membuatnya bertambah takut, sekaligus melambatkan rentak langkahnya yang semakin kalut.

°•°•°•°•°







Next: #2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh