Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
17,051
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

PINTU bilik mandi dikuak luas. Dengan kekuatan yang tersisa, Si Gadis memaksa dirinya untuk menuruti langkah yang dipimpin oleh Raziman. Raziman melabuhkan gadis tersebut ke atas lantai. Pintu cermin di ruangan mandi dibuka seluasnya. Ruang yang terhad memaksa Raziman menggunakan sehabisnya tenaga tangannya untuk menyokong tubuh gadis yang lemah itu untuk duduk.

            Pili dipusingkan kepada air suam. Dengan tubuh yang masih lemah, Raziman bimbang air sejuk akan memburukkan keadaan gadis itu. Gadis itu hanya bersandar pada dinding. Kakinya terlunjur lesu. Matanya terlampau berat untuk dibuka. Dia hanya merelakan Raziman dengan tindakannya. Air meluncur laju ke kepala gadis tersebut. Mengalir menerusi tubuhnya yang masih berbaju.Kotoran hitam pada wajahnya melembab lalu gugur.

            “ Aku harus bersihkan kau dahulu. Nanti kita ke hospital, ya?” Raziman menujukan pancuran mandian ke arah rambut gadis itu yang sudah melekit. Aliran air dikuatkan. Gadis itu kaku tanpa gerak. Sesekali Raziman melihat mata gadis itu memandangnya lesu kemudian pejam kembali.

            Perlahan-lahan bau hanyir pada gadis tadi beransur hilang. Raziman terpaksa menanggalkan pakaian yag dipakai gadis itu agar mudah untuknya mencuci keseluruhan badannya. Seketika, Raziman ragu-ragu. Dia bimbang gadis itu menolak dan memberikan masalah lain padanya.

            “ Maaf. Aku terpaksa tanggalkan pakaianmu. Kalau tidak badan kau susah untuk dicuci, atau, kau mandi sendiri,” Raziman mencangkung dihadapannya. Perlahan, gadis itu mengangguk.

            Raziman menarik t-shirt gadis tersebut ke atas. Dengan hati-hati, seluar dalam yang dipakai gadis itu juga ditanggalkan. Pakaian kotor yang berbau hancing dan hanyir itu dimasukkannya ke dalam tong sampah lekas-lekas. Beberapa kali Raziman menelan air liur setelah bau tersebut memasuki hidungnya.

Pandangan Raziman tertangkap pada kesan-kesan lebam di tubuh bogel gadis tersebut. Beberapa kesan kemerahan yang memanjang kelihatan jelas pada kedua pehanya. Di sekitar betisnya,terdapat kesan-kesan gigitan nyamuk yang sudah mengudis, bertompok-tompok.Raziman meletakkan cecair sabun pada span. Dengan rapi, tubuh gadis itu diagosok. Gadis itu terus diam dan kaku.

 

 

GADIS itu hanya duduk merenung ke luar balkoni. Malam sudah menjengah. Rambutnya masih lembap. Di sebalik rambutnya terurai ke paras bahu, alis matanya kelihatan tersusun. Matanya yang lebar dan bulat seakan lemah untuk terbuka. Tahi lalat pada sisi mata kanannya terlindung dek bayang-bayang rambutnya. Wajahnya berkulit licin meski terdapat beberapa kesan luka abrasi kecil pada pipi dan dahinya. Belahan pada dagunya menampakkan bibirnya yang kecil dan pucat.

            Raziman meletakkan sepinggan nasi di hadapan gadis tersebut. Nasinya sempat dia hangatkan. Dua batang sosej dia letakkan di sisi pinggan dan ditindih oleh sekeping telur goreng.

            “ Kau mahu makan apa-apa lagi?” Raziman menyoal. Tanpa leka gadis itu menyedok nasi dengan tangannya dan menyuap laju ke mulut. Gelojoh dan kelaparan.

            Raziman menghela nafas dengan keluhan kecil. Dia cuba mengenali gadis itu. Paras wajah gadis itu comel dan putih.

            “ Aku ambilkan air,” Raziman angkat lalu menuju ke Bar mini berhampiran dengan meja makan tersebut. Kepalanya ligat memikirkan tindakan yang harus dia ambil selanjutnya. Sesekali nama Chullo hadir di dalam hatinya.Namun, andaiannya untuk melibatkan Chullo terencat seketika kerana bimbang gadis ini bakal menjadi gadis tawanan buat Chullo.

            “ Kau tidur dulu di sini. Esok aku fikirkan apa yang aku hendak buat pada kau,” Raziman menghulurkan segelas jus oren kepada gadis tadi.Makanan di pingganya hampir licin. Beberapa butir nasi masih melekat pada bibirnya saat dia meneguk minuman. Raziman menggelengkan kepala. Nafasnya dihempas kuat.

 

 


            “ APA yang berlaku pada kau sebenarnya ? Dari mana kau datang?” Raziman duduk di kerusi kulit beroda empat. Dia menghadap ke arah gadis itu yang duduk memeluk tubuh pada sofa panjangnya. Televisyen terpasang cuma.Mata gadis itu kaku ke arah meja kopi di depannya.

            “ Aku tidak boleh simpan kau lama-lama di sini. Nanti aku yang dituduh orang. Menyimpan gadis bawah umur di dalam rumah,” Raziman menghabiskan sisa kopi di cawannya. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal berkali-kali.

            “ Apa kau lari dari rumah?”

            Gadis itu pantas menggelengkan kepala. Kemudian,pandangannya diarahkan kembali pada meja kopi di depannya. Segelas minuman coklat panas di atasnya tidak disentuh.

            “ Jadi….kau siapa sebenarnya ? Siapa namamu ? Kau tinggal di mana?” suara Raziman sedikit meninggi. Dahinya bekerut, keningnya melengkuk ke tepi.

            Gadis itu hanya membisu. Matanya layu. T-shirt Raziman yang dikenakannya seakan menutupi badan dan kakinya. Fikirannya tidak dapat diapusatkan kepada apapun kala itu. Hati dan mindanya benar-benar kosong. Dia sendiri sebenarnya bingung akan hadir dirinya. Dia berusaha meraih kembali kejadian yang menimpanya namun, seperti ada satu tenaga yang menolaknya untuk tidak terus cuba memikirkannya. Air matanya seraya menuruni lekuk pipinya lalu gugur pada lengannya tempat dia melabuhkan wajah.

            Raziman tidak keruan. Rasa bersalah kerana mendesak mulai memanjat hatinya. Dia diterpa kebingungan. Tangannya teragak-agak untuk menyentuh bahu kanan gadis tersebut.

            “ Aku tersilap cakapkah?.....maafkan aku. Aku hanya perlukan maklumat diri kau, supaya mudah untuk aku membantu, itu saja,” Raziman melentokkan kepalanya sedikit bagi melihat wajah gadis itu yang tertutup oleh lengan pada lututnya.

            “ Tolong…….aku. Aku takut dia kembali mencari aku,”deraian tangis gadis itu semakin galak. Kali ini dia menungkupkan mukanya dengan kedua telapak tangan. Tubuhnya terhenjut-henjut menahan tangis.

            “ Maksudmu?” Raziman berlutut di hadapan gadis tersebut.Bahu gadis itu dipegangnya lembut. “ Siapa yang kau maksudkan? Siapa yang hendak menangkapmu?” soal Raziman sambil menunggu gadis itu mengangkatkan wajahnya.Tangisannya makin jelas kedengaran.

            “ Aku tidak mahu… kembali ke rumah itu….rumah celaka itu.Tolong aku….jangan biarkan mereka tangkap aku kembali…!!”

            Raziman merasakan aliran darah yang laju ke mukanya.Jantungnya berlari kencang tiba-tiba. Suasana suram dan hamis darah yang mengisi rumah banglo tempat dia dan Chullo bersarang dan menyembunyikan noda, bermain-main di kotak fikirannya. Hati kecilnya lantas menafikan, namun bayangan itu, dan wajah Chullo pula menerpa kembali.

            Raziman berdiri pantas. Dia keluar ke arah balkoni. Tubuhnya seakan mahu direbahkan ke pagar balkoni kaca itu. Angin malam lembut meniup helaian rambutnya. Raziman mati kata. Deraian tangis gadis tadi tenggelam bersama angin. Berkali-kali kepalanya di hentak perlahan ke besi pagar.

            “ Tolonglah. Jangan katakan yang kau ini perempuan yang Chullo cari. Sial !!” Raziman berbicara sendiri.

            Tangan gadis itu direnggutnya kuat. Gadis itu tersentak.Tanpa sempat dia berdiri, Raziman mengheretnya ke lantai. Air matanya yang tersisa berderaian gugur.

            “ Kau lari dari Chullo, bukan ?!! Kau mesti aku kembalikan ke sana !!” Raziman tidak menghiraukan tubuh gadis itu yang terseret ke lantai.

            “ Tolong, encik…..jangan hantar saya ke sana !!!” gadis itu menjerit kuat bersama esakan tangisnya yang tenggelam timbul.

            Tangan gadis itu terlepas daripada genggaman Raziman.Raziman menoleh untuk menyambar rambut gadis itu. Namun, melihatkan gadis itu berusaha untuk mengensot laju tubuhnya ke tepi dinding dengan tangisan yang memilukan,hati Raziman menjadi lemah serta-merta. Langkahnya terkunci.

            Raziman bercekak pinggang. Gadis itu dia biarkan mencari-cari sudut untuknya memendamkan diri dari ketakutan. Raziman menarik nafasnya dalam. Keluhan keras dia lepaskan sambil kepalanya digosok laju. Dia kusut yang teramat.

            “ Aduhhh…..kenapa aku yang jumpa kau, bodoh !!!” gumam Raziman di dalam hati. Giginya diketap. Dahinya yang tidak gatal dicengkam kuat.

            “ Tolong, encik. Saya sanggup buat apa sahaja untuk encik, asalkan saya tidak dikembalikan ke rumah itu. Tolong, encik….saya merayu,”air mata hangat gadis itu gugur pada kaki Raziman. Gadis itu mengeluarkan tangisnya sambil memeluk erat kaki Raziman.Raziman serba-salah. Esakkan tangis gadis itu lenyap dari kuping Raziman saat wajah Chullo bergilir-gilir masuk ke fikirannya.

 

 

 

 

 

 

            

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.