Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
4,990
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

MENDUNG pagi di Bandaraya Kuching menyamankan rasa. Sinar mentari yang memancar lesu tidak terasa menggigit kulit. Pokok-pokok kapas tinggi yang menginjak tua, dalam usia ratusan tahun  di Padang Merdeka menambahkan tenteram suasana. Kelompok manusia yang keluar masuk ke gedung membeli -belah Plaza Merdeka berhadapan dengan padang, tidak begitu padat.Laluan kereta juga tidak sesak.


            Raziman menyeberang ke bangunan antik bewarna putih milik Pos Malaysia. Keretanya diletakkan di parkir bawah tanah di Plaza Merdeka. Dia tidak betah membuang masa mencari parkir di luar yang sememangnya sudah dipenuhi oleh kakitangan di pejabat-pejabat sekitar pusat beli belah itu.


            Beberapa ketika, sekeluarga pelancong asing Eropah kelihatan ruwet membelek-belek peta mereka. Anak lelakinya kelihatan lebih berminat untuk melompat-lompat bersama topi tradisional masyarakat Orang Ulu yang diperbuat daripada rotan di kepalanya.


            Melalui laluan kaki lima bangunan Pos Malaysia, Raziman sempat menyalakan rokoknya.Kaca mata hitam yang dipakainya dibetulkan berkali-kali. Kemeja lengan panjang bewarna biru yang dipakainya nampak sedondon dengan jeans kehitaman yang lusuh di bahagian hadapan.


           Bangunan tua yang diambil alih oleh Pos Malaysia itu sudah wujud sejak Rajah James Brooke bertapak di Sarawak lagi. Tiang-tiang besar ala Inggeris bewarna putih tersusun di sepanjang ruang hadapan bagunan. Di bahagian tepi, laluannya dihiasi gerbang melengkung dengan tiang yang lebih kecil.


            Raziman memasuki CarpenterStreet. Dia disambut oleh sebuah pintu gerbang yang berdiri megah dengan seni bina Cina. Sesekali, pintu gerbang ke laluan Carpenter Street itu tidak ubah seperti sebuah tokong Cina.Bangunan di sepanjang Carpenter Street adalah bangunan-bangunan lama yang sudah tegak berdiri sejak 1880-an lagi.Susun atur dan seni binanya masih dikekalkan. Hanya beberapa bahagian yang barangkali sudah usang telah mengalami proses renovasi. Laluannya lapang dan bersih.


            Drunk Monkey OldStreet Bar di 68, Carpenter Street, masih belum dipenuhi pengunjung. Bar moden itu terletak di tengah-tengah bangunan kedai lama yang tersusun. Seni hias di dalam bar itu mempamerkan rekaan ala 60-an yang bisa mengimbau nostalgia. Chullo berada di satu sudut kedai pada sebuah meja tinggi. Sebuah jag yang dipenuhi beberapa tin bir duduk kemas di atas mejanya.


            “ Pagi-pagi lagi sudah ‘mengecas’ ?” Raziman meleretkan senyum sambil melabuhkan punggungnya pada kerusi tinggi di hadapan Chullo.

            Chullo tanpa dipinta membuka tin minuman lalu meletakkannya di hadapan Raziman.


            “ Ini keraian kecil saja, Razi. Kalau projek mega kita ini berjalan lancar, kita sambut di Bali terus,” Chullo ketawa. Giginya yang jarang, teserlah di balik bibirnya yang tebal dan kehitaman.


            “ Aku sudah katakan pada kau. Berbaloi kita bekerjasama dengan Ah Sun. Dia boleh lebarkan sayap kita nun jauh sampai ke tanah besar China,”Raziman meleraikan tawanya. Tangannya didepa luas sambil jarinya menunding jauh.


            Chullo membelek telefon bimbitnya dengan pantas. Paparan skrin di telefonnya ditunjukkan pada Raziman yang masih leka meneguk bir ke mulutnya.


            “ Apa ini ?” mata Raziman mengecil membaca pesanan di telefon Chullo.


            “ Ini pesanan daripada Pak Dodi tempoh hari. Gadis-gadis yang dia hantar semuanya muda belia. Terbaik.  Dan, dia berjanji untuk bekalkan lebih lagi kepada kita, untuk projek mega kita nanti,” Chullo mengangkat sudut bibirnya tinggi.


            “ Kau betul-betul proaktif, Chullo,” Raziman menunjukkan ibu jarinya.


            “ Tidak sia-sia kau jadi business partner aku,” Raziman ketawa kuat kali ini.


            Pelayan-pelayan bar yang terdiri daripada wanita Filipina mundar-mandir menghantar pesanan kepada pelanggan. Sesekali mata Raziman membontoti mereka. Chullo menyambutnya dengan siulan kecil yang tidak keluar. Seketika mereka senyum lebar bersama.


            “ Jadi, Tony mahu apa dengan kita, Razi ?” Chullo memicit tin yang sudah kosong, tin yang masih baharu dan dingin dikeluarkannya dari bekas hijau di depannya.


            “ Dia mahu libatkan diri secara langsung bersama kita. Dia mahu ikut melabur.”


            “ Apa dia fikir kita ini Bursa Saham Kuala Lumpur ?”Chullo tertawa besar.


            “ Bukan itu yang dia maksudkan. Kebetulan kita dengan mudah boleh dapatkan gadis-gadis muda, dari  dalam dan luar negara, dia mahu berkongsi stok yang kita ada untuk bekerja di rumah pelacurannya.”


            “ Aduhhhh….gadis-gadis kita itu bukan untuk dilacur, tapi untuk dijual,” Chullo menggelengkan kepala. Matanya menyepet dan sisi matanya berkerut.


            “ Betul kata kau, Chullo. Tapi, sebelum organ-organ gadis itu kita jual, mereka boleh berkhidmat dulu dengan Si Tony. Sampai masa kita kutip semula, dan kita masukkan ke Bilik Pembedahan,”


            Bibir Chullo melebar. Dahinya yang luas kelihatan berurat.Berkali-kali meja di depannya dipukul perlahan. Ketawanya berderai dengan lebih kuat.


            “ Kita ini kan Pakar Bedah,” Chullo menghabiskan sisatawanya.


Raziman lekas-lekas meletakkan jari telunjuk di bibirnya, matanya melilau ke sekeliling. Chullo dengan laju menuntup mulutnya dengan tapak tangan.


            “ Lima Ratus Ribu Ringgit, Razi. Bukan jumlah yang kecil.”


            “ Ringgit ? Aku kira dibayar dengan Dollar Amerika ?” Raziman menghabiskan minuman di dalam tinnya.


            “ Begitulah kata Ah Sun. Tidak mengapa, perlahan-lahan kita tawar menawar dengannya nanti. Kalau boleh dinaikkan, kita naikkan.”


            Chullo melambai jari kepada Raziman. Air masih terkumpul di mulutnya. “ Apa kata, malam ini aku lepak di rumahmu. Kita bincang dalam-dalam, sambil kita raikan kejayaan kita ini. Nanti aku bawakan Chivas Regal dari rumah,” mata Chullo sudah kemerahan.


            Raziman membayangkan sebotol liquor mahal yang Chullo sebutkan. Dia menelan air liur kerana kepingin. Sekonyong itu, wajah mulus Valerie menerpa laju ke kepalanya.


            “ Bukan malam…ini, Chullo,” suara Raziman tersekat-sekat.Dia menggosok dahinya.


            “ Eh, kenapa pula? Takkanlah kau tidak suka aku ke rumahmu?” Chullo mengecilkan kelopak matanya. Berkali-kali dia sendawa, dan diiringi bau arak yang kuat.


            “ Pernahkah aku bilang aku tidak suka? Bukan baharu sekali dua kau ke rumahku, tidur di sana. Tapi….”


            “ Kenapa ? Oh ya….ada ‘simpanan’ baharu di rumah kau?” Chullo melebarkan senyum sinis.


            Raziman menyambutnya dengan tawa. Dia mencari-cari alasan kuat yang dapat meyakinkan Chullo. Wajah Valerie yang merayu-rayu padanya tempoh hari keluar masuk ke mindanya.


            “ Macam itulah…..kiranya,” Raziman ketawa tersekat-sekat.Dahinya berpeluh. Hatinya mula terbit rasa berbelah bahagi yang tidak bisa dia ungkapkan.


            “ Ini mesti gadis Filipina itu kan?” bibir Chullo dimuncungkan ke arah gadis Filipina yang sedang sibuk mengambil pesanan pelanggannya di sudut lain.


            “ Bukanlah, Chullo. Adalah….” Raziman menenggelamkan kepura-puraannya dalam-dalam.


 

 

RAZIMAN menguak luas pintu masuk rumahnya. Keadaan di ruang tamu kelihatan kelam dengan hanya beberapa lampu kuning yang menyala. Televisyen masih terpasang. Raziman melihat-lihat ke bahagian dapur mencari kelibat Valerie.


            “ Valerie !!”


            Raziman menghenyakkan tubuhnya pada sofa kulit panjang di hadapan televisyen. Kepalanya sudah berpusing-pusing. Bunyi titisan pancuran air di bilik mandi  terhenti tiba-tiba.


            Valerie terjungkit-jungkit berlari kecil ke arah Raziman.Tuala tebal putih di pegang kemas pada tubuhnya. Raziman sudah mulai terlelap.Mabuk dan mengantuk bercampur aduk di kepalanya kini.


            “ Err…Iman..” Valerie berdiri beberapa kaki dari Raziman.


            Raziman berusaha membuka matanya. Tangannya meraba sesuatu di sisi bawah sofa. Sebuah beg plastik putih jenama Mango dan plastik kehitaman yang tertera jenama Levi’s padanya, dihulurkan kepada Valerie. Valerie tidak lekas mengambil.


            “ Ambillah….ada baju untuk kau tidur juga di dalamnya.Kau cuba dulu…” Raziman cuba berdiri. 


           “ Kau sudah makan ?”


            Valerie hanya mengangguk laju. Dia membelek plastik tersebut.  Beberapa helai pakaian dan jeans di dalamnya. Saat dia mahu mendongak untuk berterima kasih, Raziman sudah terhuyung-hayang memasuki biliknya. Valerie mengukir senyum. Lesung pipitnya terlukis dengan titisan air masih menuruni rambutnya yang menutupi dahi.  

 

 

 

 

             

           

           

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.