Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
17,073
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

CAHAYA yang Ilahi limpahkan ke muka bumi menerpa jauh.Memasuki kesemua rongga-rongga dunia. Tiada terlepas barang sedikit. Dari rongga-rongga dunia maka keluarlah hambaNya yang gagah melewati laluan kehidupan. Tidak semuanya mudah terlena, bahkan ada juga yang diterpa mimpi ngeri dek kejahatan dunia kepadanya. Hamba-hamba Nya memimpin duniawi dengan akalnya. Mencari suapan nasi beharga buat diri dan ahlinya. Buat yang terpesona, hilanglah tuhan dari kaca mata mereka. Buat yang basah hati dan bibirnya mengingat Esanya Ilahi, gementarlah dia menongkat hari,memandang redha Allah semata.



            Sesuai kehendak jasmani, kudrat yang sudah lelah Raziman gigihkan juga. Semalaman bepesta dunia, lalu pagi ini mencari arah semula. Tubuhnya beransur meninggalkan kamar. Semalaman detik waktunya terkorban sia-sia akibat desakan teman-teman yang merajainya. Raziman memapah tubuhnya sendiri, untuk mencari seteguk air. Kepalanya memberat. Matanya sudah berkali-kali digosok. Terpaan air ke ke rongkongnya terasa membuka seluruh panca inderanya pagi itu.



            Raziman mengeluarkan sebatang rokok dari kotak di atas meja. Ternyata pintu menuju ke beranda pangsapurinya itu tidak berkunci. Asap rokok disedutnya dalam-dalam,kemudian asap yang terhembus hilang dari mata sambil menyandarkan sikunya di pagar beranda. Di hadapannya terhidang cerah semesta yang diisi kesibukan manusia. Deru kenderaan hanya sayup-sayup ke telinganya. Pangsapuri mewahnya bukan di kawasan tumpuan manusia. Sesuai keinginannya yang tegar mencari damai sekeliling, jadi, hiruk-pikuk kota dilemparnya jauh-jauh. Raziman berusaha mengumpulkan kembali ingatannya. Riuh pesta dan bau masam arak yang diteguknya muncul sekali-sekala. Tiada yang dia kesalkan. Kehendak kehidupan liar itu sudah dia tatang ke dalam hari-harinya. Duit bukan tempatnya di ceruk-ceruk simpanan, tetapi untuk menghiburkan resah hati. Itulah kepercayaan Raziman yang  sentiasa dia dukung.



            Dingin bayu pagi itu melenakan. Rasa hangat tiba-tiba hinggap ke tengkuknya. Sosok jelitawan merapati dirinya. Sebuah senyuman manis terpamer saat Raziman menoleh. Sisa-sisa gincu masih kemerahan di bibir atas gadis itu. Namun, tanpa solekan yang melekat penuh, wajah gadis itu tidak bermaya barang sedikit.Raziman gagal meneka gadis ini yang ke berapa telah mengisi ranjangnya. Gadis yang dia kutip di kelab semalam. Barangkali pelajar kolej di bandaraya. Usianya masih mentah dan susuk tubuhnya baharu menganjak dewasa. Rendah dan kecil.



            “ Boleh kau pulang sendiri?” Raziman tidak menunggu lama untuk bersuara. Gadis ini hanya akan menjadikan dia lewat untuk ke bandar menyelesaikan urusannya nanti.Senyuman gadis itu bertukar kelat serta-merta .Rambut kekuningannya yang menutupi alis dialih deras. Dipalingkan pandanganya sejauh mungkin dengan hati yang menyampah. Butang kemeja putih milik Raziman yang dipakainya dilonggarkan dan mengharapkan godaan sederhananya itu bakal membuat Raziman cair dan leka.



            “ Nanti aku beri tambang dan belanjamu…” Raziman mengerling ke bahagian bawah gadis yang hanya berseluar dalam biru, dan kemeja milik Raziman sudah terbongkar habis,meninggalkan gadis itu separuh bogel.


            “….aku bayar juga upahnya nanti,” sambung Raziman. Kata-katanya itu hanya disambut bentakan daripada Si Gadis. Gadis itu meluru laju ke dalam kamar sambil sempat menjeling tajam ke arah Raziman.


            Sekeping sampul dikeluarkan lewat laci almari putih di ruang tamu. Raziman memeriksa kepingan wang di dalamnya. Sesekali dia menoleh ke arah kamar, melihat-lihat kelibat gadis tadi. Kepingan wang kertas berjumlah RM 500 dikeluarkan. Sampul coklat diletakkannya kembali ke dalam laci.


            “ Ini ganjaranmu,” Raziman menghulurkan ke arah gadis tadi yang sudah lengkap berpakaian. Gadis itu tidak segera mengambil. Rambutnya yang menutupi wajahnya ditarik ke belakang kepala, lalu disimpul kemas.


            “ Cukup?” Raziman menyoal. Gadis itu mencapai wang kertas di tangan Raziman. Tanpa mengira dia memasukkan ke dalam beg tangannya. Matanya membulat. Sudut bibirnya terangkat pada sisi wajahnya yang cerah memucat. Segera, dia mencapai tangan Raziman. Raziman tertarik ke depan.


            “ Kau tahu bagaimana hendak mencariku, bukan?” gadis itu mengucupkan bibirnya ke pipi Raziman. Bekas gincu terlekat di pipinya.


            Raziman memastikan gadis itu hilang dari penglihatannya saat dia melangkah keluar dari pintu rumahnya. Lambaian gadis itu tidak dia sambut. Senyuman pahitnya menghilang pantas saat gadis itu lenyap. Dia mengurut rambutnya ke belakang.Tubuhnya yang tidak berbaju mulai terasa melekit. Dia punya janji bertemu Tony hari ini. Buat seketika, dia harus melupakan urusan yang tidak menghadiahkan erti buatnya. Tony harus dia yakinkan untuk berurus niaga dengannya.



            Raziman menyalakan sebatang rokok. Perutnya memulas kuat. Dia berlari kecil ke kamar mandinya. Wangian gadis tadi meluru perlahan ke hidungnya. Matanya mengerling ke arah katilnya yang tidak terurus. Helaian pakaian semalam tersadai di lantai cuma.



            Usai  mandi, Raziman mengenakan kemeja lengan panjang bewarna merah Rambutnya disikat kemas ke belakang. Telefon bimbitnya berdering perlahan. Raziman membelek-belek meja sisi di tepi katilnya mencari telefon. Ternyata deringan datang dari atas katil.


            “ Kau jangan lewat. Aku akan ke Kuala Lumpur petang nanti. Kau tahu, bukan?” suara Tony hinggap ke kupingnya. Raziman melangkah ke luar kamar lalu mencapai kunci keretanya di penyangkut pada dinding sebelah pintu.


            “ Aku akan segera ke sana,Tony. Jangan kau khuatirkan. Apa Ah Sun akan ikut sama?” Raziman menutup pintu balkoni dan melihat-lihat ke arah tingkap-tingkap lain bagime mastikan semua tertutup sedia.


            “ Ah Sun masih di Hong Kong, kawan. Kenapa ?”


            “ Tiada. Dia perlu tahu juga, bukan. Perniagaan ini juga perniagaannya.”


            “ Ah. Aku tahu apa urusan yang perlu aku buat dan tidak. Ah Sun sudah tahu. Lekas kau datang.”


            “ Baiklah.Aku ke sana,” Raziman mengunci pagar pada pintu hadapan rumahnya. Dia hanya sempat mencapai kasut yang mana ada lalu disarung ke kakinya. Dia tidak mahuakan kelewatan yang akan membuat Tony berubah rasa padanya,dan, urus niaga ini tidak dia capai sebaiknya. Detik ini, Tonylah gerbang kekayaan buatnya.

            

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.