Home Novel Thriller/Aksi Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Diseksi (Di antara Hati yang Merah)
Yaseer Fikri
15/7/2019 20:05:13
5,457
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

KERIUHAN  pusat Bandaraya Kuching ketika itu sedikit berkurang lantaran, insan-insan peraih rezeki sudah taat di dalam ruang kerja masing-masing.Cerah dunia tidak pula menyusut. Sentiasa cemerlang. Kecerahannya itu menyuluhkan makhluk sekitar alam dan menuntun jalan buat warna kehidupan. Hidup yang terkandung nafas dan nyawa.Sia-sia cuma andai nafas ini tersisa hanya untuk memenuhi serakah nafsu. Dan, nyawa berakhir tanpa leretan penglihatan mencari diri dan Tuhan.


            Raziman memarkirkan keretanya di hadapan sebuah kedai makan Cina. Dari dalam kereta Mazda RX8 merahnya itu, matanya cuba mengesan kelibat Tony. Kopitiam Hock Lam kata Tony. Barangkali lama menunggu, Tony menerawang ke kedai sekitar. Misai nipisnya diurut berkali-kali. Dagunya sudah licin tanpa bulu. Raziman mengetam bibirnya dan bernafas bening. Dia mematikan keretanya selepas membetulkan rambutnya agar kemas sentiasa.


            “ Kita ke kedai itu,” suara itu datang dari arah belakang Raziman. Dia lekas menoleh sambil menekan butang kunci pada alat kawalan jauh keretanya. Tony memegang sekeping surat khabar berjalan perlahan memasuki kedai.Sesekali perut buncit Tony ikut berhenjut sewaktu dia melangkah.


            “ Aku dapatkan surat khabar tadi,” ujar Tony lalu memanggil tuan kedai dalam loghat Hakka. Surat khabar berbahasa Cina diletakkannya ke atas meja.

            Raziman menarik kerusi plastik ke belakang dan memeriksa sejenak tumpahan air dan kuah di atas kerusi.


            “ The C Peng,” Raziman lekas memesan sambil duduk menghadap Tony. Pemilik kedai, wanita Cina lingkungan 30-an mengangguk lalu berpaling kepada Tony.. Beberapa perkataan sahaja daripada Tony, wanita cina tadi sudah mengangguk faham.


            “ Kau mahu makan mi?” soal Tony sambil jari telunjuknya diarahkan kepada papan menu tergantung di dinding.Raziman cepat menggeleng.Sudut bibirnya terjungkit ke atas. Tekaknya loya tiba-tiba.Dia hanya menyoroti langkah wanita Cina tadi memasuki kedai sambil pesanan disampaikan kepada pekerjanya dengan suara yang kuat.


            “ Kenapa kau tidak makan?” Tony mengerutkan dahinya. Pipi tembamnya ikut berkedut.


            “ Tidak halal,Tony,” Raziman membelek telefon pintarnya.


            “ Arak kau minum?” Tony menyoal. Kepalanya terhenjut-henjut bertanya. Rokok di bibirnya sudah dia nyalakan.


            Raziman mati kata.Dia menelan air liur terkedu lalu, menarik hembus nafasnya yang tidak teratur. Terpaan Tony sudah melewati jantungnya. Raziman mencebik bibir lalu memasukkan sebatang rokok ke mulutnya.


            “ Kau sahajalah yang makan,Tony. Aku tidak lapar.”


            Tony menggeleng-gelengkan kepala. Asap rokoknya disedut dalam-dalam. Dia menoleh ke sisi kiri lalu menghembus perlahan. Berkepul asap rokoknya keluar.


            “ Aku hairan. Arak juga tidak halal di dalam agama kau. Belum pernah aku jumpa yang halal,Raziman,” Tony ketawa kecil.Matanya semakin menyepet.


            “ Itu cerita lain….ah, biarlah. Aku juga jahil soal itu,” Raziman mengerutkan dahinya.Wajahnya merah padam. Jelingannya menangkap Tony yang senyum melebar,kemudian diiringi tawa. Raziman menukar posisi badannya,mengelakkan daripada memandang Tony yang menjengkelkan. Seketika, seorang wanita muda,warga Indonesia membawa dua gelas minuman dan meletakkannya ke atas meja mereka. Tony lekas-lekas mengeluarkan kepingan wang kertas dari dalam poket kemejanya.


            “ Ah Sun setujukah dengan perniagaan ini?” Raziman menukar topik. Teh C peng disedutnya penuh nikmat. Ketika itu dia sedar perutnya sudah memulas lapar. Sedari pagi ia belum diisi makanan sedikitpun.


            “ Aku sudah katakan, aku tahu mana yang boleh dan tidak aku buat. Aku juga harapkan ehsan Ah Sun. Dia sanggup laburkan, kita sama-sama kaya,” Tony memadamkan api rokoknya ke dalam bekas abu. Ketika ada sisa api rokok masih menyala, dia tuangkan sedikit kopi aisnya ke dalam bekas abu rokok sehingga padam.


            “ Ah Sun ‘tauke’ balak di Miri,Raziman. Dia sudah semestinya punya wang yang banyak. Namun, dalam masa yang sama, dia juga tamak. Tamak untuk mahu duit yang lebih.Macam kau dan aku,” Tony mengeluarkan penyedut minuman dari gelasnya.Kopi ais dihirupnya terus dari gelas.


            “ Memang punya banyak wang,Tony. Tetapi, aku hanya risaukan kemarahan Ah Sun, jika kita berbuat sesuatu tanpa pengetahuannya. Kau harus ingat, aku bekerja untuk Ah Sun sebelum ini, jadi aku sudah menjadi orangnya yang terpecaya. Aku tidak mahu kepercayaan itu terkubur bersama aku hidup-hidup nanti,” Raziman menunjuk-nunjuk jarinya ke atas meja. Gelas Teh C Pengnya bergetar perlahan.


            “ Jangan risau, kawan. Ini Tony. Aku kenal perangai Ah Sun. Jangan kau risau,” Tony mengeluarkan ‘chopstick’ daripada balutan tisu putih di dalam bekas raga plastik. Semangkuk mi kicap dengan daging sedikit berkilat diletakkan di depannya. Dia mengerling ke arah Raziman.


            “ Betul kau tidak mahu? Ini bukan sebarangan mi. Antara yang terbaik di Kuching, kau tahu?”Tony menggaul rata mi di dalam mangkuknya. Raziman menggeleng cuma.


            “ Tidak mengapa. Nanti sahaja aku makan…..Jadi, bila kita akan bermula?” Raziman meneguk kembali Teh di dalam gelas. Kali ini sehingga habis tidak tersisa.


            “ Hari ini,aku masukkan separuh wang ke dalam akaun kau. Minggu hadapan aku masukkan lagi separuh. Boleh?” ujar Tony.


            “ Boleh. Ah Sun ?”


            “ Ah Sun pulang dari Hong Kong nanti, aku ujarkan padanya. Jangan risau.”


            Raziman menghela nafas panjang. Sesekali loyanya timbul kembali saat melihat Tony menghirup lazat mi di mangkuknya.


            “ Sedap dan nikmat,” Tony menghabiskan sisa daging dan kuah mi. Usai, jarinya yang montel mengelap sisa kuah di bibirnya.


            “ Haram….” Getus hati kecil Raziman, sambil meredam kejengkelannya bersama nafas.



BU ISAH sedang ralit melayani pelanggannya. Raziman mengambil tempat duduk di bahagian luar kedai.Barangkali kehadirannya belum Bu Isah sedari. Raziman meleretkan pandangannya ke arah bagunan Wisma Satok di seberang jalan. Terpisah oleh sebatang jalan besar namun terhubung dengan sebuah jejantas. Dari kejauhan jejantas, Raziman menangkap kelibat wanita tua bertudung. Wanita itu duduk pada sudut tangga jejantas. Di sebelahnya, seorang budak lelaki. Budak itu sibuk memandang gerak-geri manusia yang melewati mereka antara sedar dan tidak akan duduknya mereka dua beranak di situ.


Raziman dipaut rasa sayu. Sayu itu membawa wajah ibunya ke pancaran halus di mindanya. Budak lelaki itu mengingatkan dia kepada susuk dirinya sendiri. Dia membanting keringat suatu ketika dahulu. Dia melayari kesusahan juga dahulu. Sayu itu melahirkan rasa kasihan yang dalam pada hatinya dalam sekelip mata. Raziman menongkat dagunya dengan tangan. Dia mengurut halus dagunya sambil, pandangannya tidak lepas dari gelagat dua beranak itu. Sesekali, wanita tua itu menghulurkan sekeping tisu kepada pelanggannya. Dan, wang pula dihulurkan pelanggannya kepada budak lelaki tadi. Dia nampak girang. Ibunya pula buta.


“ Sudah kelamaan baharu ke sini?” suara Bu Isah menerpa khayalan Raziman serta-merta. Raziman sedikit terkejut. Tanpa sedar dia menyeka air matanya di kelopak mata.


“ Menangiskah?” mata Bu Isah membulat, dan dahinya berkerut.


Raziman memecahkan soal itu dengan ketawa kecil. Jarinya laju-laju menyapu kelopak matanya berkali-kali, seolah ada debu memasuki matanya.


“ Tidaklah, Bu Isah.Debu,” dia berusaha mengukir senyum meski tertelan dengan pura-pura.


“ Sudah lama baharu ke mari? Kau sibuk, Raziman. Atau, sudah lupa akan kedai buruk kami ini?” Bu Isah ketawa berdekah.


“ Tidaklah, Bu Isah.Saya sibuk dengan kerja. Ke sana ke mari sampai lupa untuk singgah sekali-sekala….seperti biasa, Bu Isah. Mi Jawa dan Kopi Panas,” Raziman meleretkan senyum. Kelaparannya tadi telah menghantarnya ke sini. Barangkali benar, sudah sekian lama tidak bertandang ke kedai Mi Jawa Bu Isah ini. Hingga,terbit rasa rindu akan nikmatnya menghirup kuah Mi Jawa buatan Bu Isah.


“ Duduk dulu, ya,” Bu Isah lantas kembali ke dalam kedai. Apron lusuhnya terikat kemas di badan. Bu Isah tidak pernah tukar penampilan sama sekali. Dari dahulu sentiasa berbaju kurung, meski tidak bertudung. Lengan bajunya disinsing kemas setiap masa.Rambut kerintingnya pula diikat dengan getah sayur. Namun, masakan Bu Isah sentiasa kena pada selera Raziman.


“ Terbaik di Kuching…”getus hati kecil Raziman. Lalu, kata-kata Tony di kedai makan Cina tadi kembali terngiang. Raziman ketawa sendiri.

 

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.