Home Novel Thriller/Aksi IMPLISIT
IMPLISIT
#mystrill
21/11/2019 14:07:07
25,293
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5
Kuala Lumpur,
Taman Hartamas.

Faiz menutup helaian surat khabar yang baru dibaca. Dia bangun, berjalan ke luar jendela. Kawasan laman depan berpagar tinggi. Memang sengaja dibuat begitu, mangga besar di pintu utama. Malah untuk keluar dan masuk juga terlalu ketat. Kawasan rumah mereka paling hujung, memang sengaja dipilih kawasan itu, rumah dua tingkat siap dengan basement itu nampak seperti villa. Dia berpindah ke situ sejak 10 tahun lepas.

“Bang... jom keluar.”

“Ha???” agak terperanjat juga mendengar ajakan adiknya, tapi kemudian Faiz tersengih. Tidak mungkin perkara itu terjadi. Dia adalah orang yang paling Jabar jaga, dia tidak pernah dilihat sesiapa, malah Jabar menyembunyikannya seperti dia itu seorang penjenayah! Apabila orang luar bertanya, ayahnya biasa menjawab dia punya tiga anak namun yang lain punyai kerja di luar, kadang kala, Jabar akan menyatakan yang anaknya tidak duduk bersama kerana berselisih faham.

Faiz sendiri tidak pernah berjumpa sesiapa pun, kalau pun dia ingat, hanya waktu kecil sahaja dia dibenarkan keluar bermain di syarikat kawan ayahnya.

“Nak ajak abang beli barang, selalu ayah dan saya je yang belikan.”

“Yelah tu...” Faiz duduk menekan remort televisyen. Hanya siaran asas sahaja. Langsung tidak dipasang astro. Dia tidak mahu berharap, memang kenyataannya dia tidak pernah keluar, tidak ada siapa tahu pun dirinya. dia tidak punyai kawan.

“Betullllll...” Sekali lagi Andy memujuk.

Faiz menoleh ayahnya yang masih sibuk dengan kerjanya di bilik bawah tanah. Sejak dia kecil pun memang dia kerja dengan ayah sendiri. Namun Faiz jenis yang taat, dia tidak suka membantah. Lagipun dia sayangkan kesemua ahli keluarganya. Cuma Joe sedikit keras kepala. Hampir lima tahun mereka kehilangan Joe.

“Ayah yang beri kebenaran ni bang....”

Faiz mengeluh sambil bersandar, menganggap ajakan itu hanya gurauan semata-mata. Mana mungkin dia dibenarkan keluar, bercakap dengan orang asing pun merupakan satu ancaman besar bagi Jabar. Ah! Dia pun tidak pernah bercakap dengan orang asing.

“Jomlah...”

“Tak payahlah Andy. Ayah tak akan izinkan punya.” Faiz menoleh ke arah luar pagar, seekor anjing bersaiz sederhana tinggi memang sengaja dibela oleh ayahnya. Haiwan jenis bulldog itu berbulu hitam kelabu. Dia tidak pernah mendekati. Sendiri takut dengan fizikal dan perilakunya.
 
Anjing jantan itu dibela sejak beberapa tahun lepas. Lengkap berlesen. Alasannya rumah mereka jauh dari penempatan lain dan lokasi yang agak hujung itu merisaukan Jabar. Dia tidak tahu kenapa ayahnya memerlukan haiwan sebegitu, liar, ganas, sedangkan di dalam rumah itu hanya ada mereka bertiga. Tapi ayahnya tidak pernah memberitahu sebarang perkara dari luar yang membahayakan.

“Ayah mana Andy?”

“Ayah di bawahlah.” Andy duduk di sebelah, mengambil bantal, bersila sambil tersenyum. “Kita jalan-jalan.”

Kalau nak diikutkan hati, memang Faiz teringin, tapi percaya atau tidak, dia sebenarnya hidup bagaikan orang zaman lama. Dia tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit atau melayari dunia internet, apa yang ada hanya surat khabar. Pendek cerita pengetahuannya terbatas sangat-sangat. Walaupun hidup di zaman moden namun dia tidak tahu apa itu facebook, apa itu instagram, tweeter. Sedangkan apabila Andy bercakap soal whatsapp pon dia boleh menganga. Fikirannya jumud sejak beberapa tahun kebelakang.

Hampir sepuluh tahun lepas hanya beberapa kali dia dibenarkan keluar, itupun di bawah pengawasan ayanya. Alamat sendiri pun dia tidak tahu. Mereka berasal dari Perak namun berpindah ke Kuala Lumpur ketika berusia 10 tahun. Dan sejak berpindah memang Faiz tidak pernah tahu langsung jalan di kawasan itu, siapa jirannya, di mana dia tinggal dan apa yang penting, selepas habis belajar 15 tahun lepas, itupun hanya tingkatan dua, dia terus bekerja dengan ayahnya.

Faiz seorang yang pendiam, tidak bergaul, ketika itu dia agak gemuk, sekarang, di rumah itu lah Faiz bekerja, di situlah dia menyimpan segala cerita.

“Menung apa?” Andy menekan-nekan keypad telefon. Ketawa sendiri, ketawanya kuat dan Faiz sendiri geli hati.

“Awek ke?”

“Sibuk!” Andy mengalihkan pandangan.

“Berilah abang baca...” Faiz menarik tangan adiknya kembali. “Wahh bila nak kawin adik abang ni?”

“Nak secepatnya.”

Faiz tersenyum. Bercakap soal gadis dan wanita yang akan menjadi suri hatinya satu masa nanti, sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu hari itu akan muncul atau tidak.

“Andy...” panggil Jabar dari pintu belakang. “Mari sekejap.” Andy segera berlari meninggalkan abangnya sendirian. Telefon tadi diletak sebelum berlalu.

Gadget berbentuk segiempat itu menarik perhatian Faiz, dia membaca teks dari Andy kepada seorang wanita yang dikiranya teman istimewa.

Dia tidak tahu aplikasi apa, namun dia pasti itu adalah aplikasi whatsapp yang selalu diceritakan. Dulu, masa dia habis sekolah, telefon bimbit tidaklah secanggih sekarang. Tidak lama kemudian, screen lock. Gelap. Faiz terperanjat. Dia menekan-nekan butang bulat yang hanya disediakan satu sahaja.

“Macam mana nak tulis mesej macam ni?” dan dia tidak tahu langsung tentang telefon yang memerlukan kata kunci ataupun keypad yang digunakan di screen pada zaman sekarang. Kali terakhir pun dia hanya menggunakan telefon nokia jenis empat segi tebal yang mana kalau dilempar ke arah anjing bulldog di depan rumahnya pun, anjing itu mungkin mati.

Beberapa kali dia memusingkan telefon berkenaan untuk melihat nombor, dia tidak pasti bagaimana ingin mendail seseorang jika tidak ada sebarang nombor di atas badan telefon. Yang ada hanya butang bulat. Itu sahaja?!

“Gila... apa benda lah...”

“Bang! Jom ayah kasi kita keluar.” Sapa Andy.

Faiz menoleh kebelakang, cepat-cepat meletakkan telefon tadi, dia memandang ayahnya Jabar. Dan lelaki itu mengangguk.

“Betul ke ni ayah?” riaknya gembira

“Tapi balik cepat. Ingat, jangan ke mana-mana, ikut je Andy.”

Faiz bangun! Terlupa soal telefon yang baru dilihat tadi. Keluar melihat alam itu lebih baik dari duduk di rumah menghadap telefon berbentuk empat segi yang tidak bernombor.

Jabar memandang Andy dan mereka mengangguk antara satu sama lain, bahasa isyarat yang difahami dalam senyap.

“Jomlah!” ajak Faiz tidak sabar.

Andy mengambil rantai yang berkalung dengan logam hitam kecil berbentuk segi empat sama. Ada butang kecil ditengahnya berwarna merah. Logam itu siap direka cantik, nampak seperti rantai biasa yang dipakai oleh orang lain. Namun ada sesuatu yang istimewa.

 “Jom,” ajak Faiz sekali lagi.

SEPANJANG perjalanan, Faiz banyak diam, dia menoleh ke luar tingkap. Rasa nyaman dapat menghirup udara segar dari luar. Faiz bagaikan orang yang jakun, namun itu tidaklah menghairankan Andy kerana abangnya pun tidak pernah keluar sangat. Rasanya kali terakhir pun 5 tahun lepas. Itupun sebelum Faiz lari seperti Joe.

Faiz menoleh ke arah Andy, melirik rantai yang dipakai, dia kemudian mendongak memandang adiknya. Andy terpana ditenung begitu.

“Kenapa?”

“Tak ada apa...” Jawab Faiz ringkas, tidak perlu dipersoalkan lagi tujuan Andy memakai rantai itu. “Kita nak ke mana ni?”

“Kita beli belah, kita beli baju abang. Dannnn saya nak bawa abang jalan-jalan. Duduk rumah tu bosan.”

“Andy tahu ke jalan di sini?”

“Apa pulak tak tahu... saya selalu keluar.”

Faiz mengangguk, tersenyum dan seronok jika dia yang berada di tempat adiknya. Kemudian dia melepaskan pandangan ke luar jendela semula

Johor,
Kampung Parit Jawa.

“Betul ke bang!!” Kartina sedikit meninggi suara. Dia menelefon abangnya.

“Abang kene uruskan hal arwah Dato Azri ni,” jawab Norman ringkas, sudahlah dia terpaksa berulang kebalai uruskan hal ini, sekarang ni pula keluarganya tidak habis-habis bertanya soalan pembunuhan itu.

“Habis bila balik?”

“Abang tak tahu Tina... kirim salam ayah dan yang lain.”

“Yelah... tapi bila balik?”

“Tina... berapa kali nak soal. Kan abang kata kalau abang dah siap kerja nanti abang balik.” Norman membebel.

“Macam mana arwah bol....”

“Tina... stop it.” Norman berhenti melangkah. Dia meletakkan barang dan fail yang dibawa di atas bumbung kereta.

“Sayang.... saya belikan ni.” Arif datang mencelah, di tangannya memegang aiskrim yang sudah hampir cair.

“Sabarlah...” ujar Tina perlahan. Sebelah tangannya menutup saluran suara agar tidak didengari oleh abangnya, Norman.

“Siapa tu!” tengking Norman

“Tak ada siapalah bang...”

“Awak call abang awak ke Tina?” tanya Arif tersenyum. Niatnya ingin menyapa.

“Boleh senyap tak!” tengking wanita itu tiba-tiba. Arif terdiam, dia tidak jadi bertanya lebih.

“Tina!! Abang cakap apa... jangan jumpa dengan Ar....” dan sebelum sempat dia menghabiskan ayat, talian dimatikan, tidak berbunyi, hanya satu tone yang putus-putus.

“Tak guna! Hello!!!” Norman melempar telefonnya di tempat duduk sebelah, panas betul hati.

“Masih tak faham bahasa ke!!!” dia menghidupkan enjin kereta lantas berlalu dari situ. Berserabut otaknya hari ini. Pening! Yang paling dia marah apabila pihak polis menuduh dia pula seolah-olah yang membunuh! Sudahlah tu habis rekod berkaitannya diselongkar.


“ARIF!! Awak ni kenapa? Kan saya dah cakap jangan menyampuk bila saya sedang bertelefon.”

“Owh... itu hal kerja ya?”

“Bukan! Itu abang saya.” Kartina menyelak rambutnya kebelakang.

“Abang awak?” Arif tersenyum. “Lupa nak kirim salam!”

Kartina terbeliak biji mata.

“Errr saya salah cakap ke? Yang tak suka saya ayah awak kan?”

Kali ini Kartina menepuk dahi. “Kalau dah ayah saya tak suka, maknanya abang saya dan lain-lain pun tak suka. Faham...” tegasnya sambil membuat wajah.

Arif menunduk. Sangkanya hanya Hj Redan sahaja yang membenci.

“Beli kat mana ni? Dah cair aiskrim.”

“Tulah...” Arif menghulur

“Lain kali ambil lah tissue Rif...” penat juga Kartina memahamkan lelaki itu. Ikutkan hati, ingin sahaja ditengking. Entah kenapa dia tetap sayang lelaki itu. Ramai orang mempertikaikannya gila. Bekerja dengan jawatan tinggi, namun pilihan hati.....

“Tina.... ada funfair malam nanti nak ikut tak?”

“Funfair???”

Arif mengangguk laju, dengan aiskrim yang masih di mulut. “Nak tak saya belanja?”

“Main apa kat sana?”

“Ada rumah hantu, ada train, ya saya suka main buaian yang pusing-pusing tu.”

Kartina mengeluh. Faham... dia yang memilih Arif, jadi dia perlu terima sifat kebudak-budakan lelaki itu. Arif memang lebih muda darinya, namun itu bukanlah penghalang. Cinta itu buta!

“Awak serius ke nak main funfair ni?”

“Mak saya selalu juga pergi sana ajak saya.”

“Hurmmm apa kata saya ajak awak ke tempat lain.”

“Best ke? Ada funfair juga ke?”

Kartina menggeleng ketawa.


“Alaa cakaplahhh...” Arif memancing, memang manja lagaknya, dan itu membuatkan Kartina ketawa lagi.

“Cepatlahh pergi mana?”

Dan sekali lagi Kartina ketawa. Arif memang menghiburkan. Dia tidak banyak bercakap. Tapi dia akan bawa Arif ke tempat yang lebih dewasa pada matanya.

“Awak tak nak ke askrim tu?” tanya Arif, hanya sekali suapan sahaja lagi dia akan habis.

“Kenapa?”

“Kalau tak nak, saya nak ais krim tu...” minta lelaki itu tanpa malu.

“Kenapa tak beli dua?”

“Owh duitnya dah habis tadi.”

Kartina berdekah lagi. Arif sangat lurus. Namun itu tidaklah menjadi masalah, memang dia sedia maklum, berkawan dengan lelaki itu sejak empat tahun lepas. Itulah gayanya.

“Nah lah...”

“Betul?”

“Yeee ambiklah...”Kartina ketawa tidak sudah sambil menghulur aiskrim tadi. Dia membiarkan Arif menghabiskan dahulu sebelum mengajak lelaki itu ke tempat lain, yang penting dia tidak mahu ke funfair. Permainan budak-budak!


Previous: BAB 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.