Home Novel Thriller/Aksi IMPLISIT
IMPLISIT
#mystrill
21/11/2019 14:07:07
25,266
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3
Kuala Lumpur,
CIMB bank, Cheras

Malam itu hening, tidak ada kelibat orang lalu lalang seperti mana pagi tadi. Faiz berdiri betul-betul di hadapan bank tersebut. Hanya dia seorang di situ. Memakai cermin mata hitam, sebagai penyamaran. Berbaju jaket labuh, wajah bengisnya terserlah.

Andy melihat dari jauh. Sekadar memerhati. Malah dia masih di dalam kereta yang digunakan oleh mereka awal tadi. Jari jemarinya mengetuk stereng, mengikut irama di radio. Sesekali dia memegang rantai yang dipakai di leher. Rantai berkalung aneh. Berbentuk segiempat tepat, berwarna hitam. Ada bulatan berwarna merah di tengahnya.

Faiz melangkah perlahan ke arah kawasan pintu masuk. Dia tidak mempedulikan beberapa lagi manusia yang ada. Tidak penting! Sebaik dia menghampiri pintu depan, Faiz menumbuk cermin tersebut dengan sebelah tangannya.

Serta merta cermin itu meretak, alur retakan menjalar di setiap cermin lain, bersambung dan terus meninggalkan kesan merekah. Beberapa lelaki yang sedang duduk melepak terperanjat. Mereka berdiri tercengang.

Sekali lagi dia menumbuk cermin itu dan momentum hentakan itu memecahkan cermin pintu hadapan. Bukan sahaja cermin pintu hadapan, malah kesemua sekali cermin yang bersambung dengan bahagian utama. Kekuatan yang sangat luar biasa!

“Hoi!! Kau nak buat apa?? mencuri ya!!!” Salah seorang lelaki tadi memekik. Dia menunjuk kearah Faiz yang masih tidak menoleh.

Perkara itu tidak dipedulikan. Faiz terus melangkah masuk. Dan dua orang lelaki yang sedang melepak tadi meluru menerkam belakangnya yang sedang membongkok.

Faiz mencapai kedua mereka dengan dua belah tangan, mencampakkan lelaki itu sehingga terpelanting jauh. Kedua lelaki itu yang jatuh ke atas jalan pengsan serta merta. Wajah lelaki berkaca mata itu mengukir senyuman.  Kemudian Faiz menuju ke arah mesin ATM yang siap sedia. Dia tersenyum. Cermin matanya bersinar mengenai cahaya.
 
Satu tumbukan padu dihayun dan besi mesin itu kemek. Dua lagi lelaki yang melihat kejadian tadi segera berlari. Salah seorang dari mereka menelefon anggota polis.

Sekali lagi tumbukan menyebabkan besi itu berlubang dan hancur. Mudah sahaja Faiz menarik keluar kotak dalaman yang mengandungi banyak wang. Dia melakukan perkara yang sama untuk sembilan mesin di situ. Malah semua isi dalamannya yang mengandungi wang dikeluarkan.

Faiz berdiri berpuas hati. Dia tersenyum sinis. Setelah selesai, dia keluar. Dalam beberapa langkahnya, dia berpatah balik ke arah timbunan wang yang banyak. Dia membongkok, mengambil not lima puluh ringgit. Hanya sehelai! kemudian dia berlari keluar, segera berjalan ke arah kereta yang menunggu dan berlalu pergi.

Sepanjang di dalam kereta, kedua mereka diam! Tidak berbual. Kereta yang mereka naiki berhenti di sebuah kedai 24jam. Andy turun untuk membeli air. Dia menghulur tangan ke arah abangnya, lantas not lima puluh ringgit yang diambil tadi dihulur.

Andy membongkok menyamakan paras penglihatan dengan lelaki itu. Kedua tangannya diletakkan di cermin tingkap kereta.
“Kenapa tak ambil banyak sikit?”

“Tak perlu.” Jawab Faiz ringkas.

“Tapi kenapa? Kalau tak, malam ni kita boleh joli sakan!!!” Andy ketawa sambil menari. Faiz tidak langsung tersenyum. Dia menoleh kearah adiknya serius.

“Aku haus.” Riaknya tiada perasaan.

“Ok...” Andy berhenti ketawa. Kedua keningnya diangkat dan berpusing menuju kearah kedai tersebut.

BEBERAPA orang pegawai polis sudah berkumpul di hadapan bank di mana belakunya kecurian. Hasil dari penerangan beberapa saksi, mereka sendiri pun tidak tahu siapa lelaki itu.

Garisan kuning di pasang bagi menghalang laluan orang ramai ke situ. Inspektor Hafis mendongak dan menunduk beberapa kali. Dia menggaru kepala.

“Biar betul...”

“Apa yang tak betulnya tuan?”

“Sorang je dia buat kerja ni?”

Azman menoleh. Dia berhenti mengambil gambar. “Kalau ikut dari penerangan yang saya dengar... memang sorang lah.”
“Biar betul....” Sekali lagi Hafis mengulang.

“Apa yang peliknya tuan? Ini bukan kes pertama pun. Macam ni jugalah sebelum ni, di Maybank hujung sana dan RHB bank di bandar.”

Inspektor Hafis berjalan lagi mencari beberapa bukti yang boleh digunakan. Pandai suspek berpaling dari CCTV malah, dia tidak mengambil wang tersebut pun, dibiarkan terabur di lantai bank.

“Lima puluh ringgit?”

“Saya ada kalau tuan nak guna dulu.”

“Aku tak cakap dengan kau lah Azman!!” Pekik Hafis marah. “Aku cuma hairan kenapa dia ambil lima puluh ringgit je.”
Mengikut keterangan saksi, lelaki berjaket hitam itu berpatah balik hanya untuk mengambil wang sebanyak lima puluh ringgit sebelum beredar.

 Memang wang tidak hilang, malah masih lagi di atas lantai bertebar. Begitu juga dengan kejadian yang berlaku di bank-bank lain bulan lepas. Hanya lima puluh ringgit sahaja yang diambil, malah wang selebihnya dibiarkan tanpa berusik! Sudah tentu motifnya lebih dari sekadar mencuri!

Keterangan dari saksi tidak membantu langsung, malah mereka tidak berani mendekati. Untuk sementara waktu, kes ini berakhir dalam keadaan yang sama, tiada suspek yang ditangkap bagi membantu siasatan.

Johor,
Kampung Parit Jawa.

“Seriuslah... terpaksa macam ni...” Arif duduk menjulur kaki di tepi jeti nelayan. Tempat itu biasanya dikunjungi oleh mana-mana pelancong. Tempat itu cantik siap dihiaskan untuk menunjukkan bahawa ekonomi utama mereka adalah menangkap ikan.

“Tak apalah... saya tetap sayang awak,” ujar Kartina manja. Mereka duduk di bawah lampu jalan yang terang. Ramai sahaja keluarga yang datang dan berkelah di situ. Walaupun waktu malam, tempat itu tidak merbahaya.

“Tengok tu semua dah ada keluarga.” Tunjuk Kartina.

“Mak dan ayah awak lah yang tak suka saya,” tawa Arif perlahan. kelihatan beberapa lagi orang ramai sedang duduk di pantai yang tidak jauh. Udara menghembus lembut. Keadaan tidaklah sunyi. Tidak jauh dari situ ada beberapa buah kedai makan.  

“Kenapa mereka tidak suka?” tanya Arif. Berulang kali ditanya tapi tidak pernah Kartina membalas. Dan bagi Kartina dia tidak mahu melukakan hati lelaki itu apabila jawapannya itu menjurus kepada kekurangan lelaki itu sendiri.

“Tak ada apalah...”

“Habis kenapa awak tak beri saya masuk meminang?”

Kartina terdiam.

“Ha!!! Ayah awak letak hantaran tinggi eh?” Arif ketawa kuat.

Barulah kali ini Kartina mendongak. “Arif.... awak tahu macam mana terjadi malam dan siang?” sengaja Kartina menduga.
Lelaki itu mendongak melihat awan di atas, kemudian merunduk memandang kekasihnya. Belum sempat menjawab, Kartina mencelah.

“Bumi kita berputar. Matahari terbit di timur dan tenggelam di barat, ketika peralihan itu berlaku, maka terjadilah malam dan siang. Awak tahu berapa jauh jarak matahari dari bumi?”

Belum pun Arif sempat menghadam istilah yang diterangkan, satu lagi soalan ditanya.

“Jaraknya 149.6million kilometer.”

Arif mengangguk. Dia tidak tahu kenapa dia perlu menjawab kesemua soalan, tapi dia hanya melayan.

“Awak tahu bagaimana nak membeli rumah? Menguruskan perniagaan? Apa yang perlu dalam sesebuah syarikat?”
Arif menggeleng.

“Kalau ada dua orang yang ingin menjalankan perniagaan secara bersama, apa yang perlu dibuat, apa yang perlu ada? dokumen apa yang sesuai?”

“Errr...”

“Kan saya pernah tanya dulu, awak tak pernah cari ke??? Awak tak ambil tahu?” Kartina sedikit meninggi suara.
“Saya minta maaf...”

Kemudian Kartina menunduk, dia tidak boleh memaksa, namun desakan keluarga membuatkan dia buntu. Sungguh dia pening! Isu pangkat dan standart pengetahuan menjadi ukuran dan itu semua tidak ada pada Arif.

“Saya untung berniaga hari ni.” Senyum Arif

Kartina mengangguk. Apa sahaja yang Arif dapat kalau berniaga kedai runcit? Hanya roti dan beberapa barang keperluan lain. Itu pun selalu sahaja dia salah dalam pengiraan modal. Sudahlah tu, dia cuma pekerja sahaja.

“Awak tak nak cari kerja?”

“Tak tahu kerja apa...” ucap Arif merendah

“Carilah!” tiba-tiba Kartina meninggi suara. Terangkat kedua bahu lelaki itu. Dia hanya kelulusan UPSR. Keluarganya pula miskin, belajar pun tak mampu. Kerja apa yang sesuai dengannya.

Kemudian keadaan senyap. Entah kenapa berangin pula Kartina hari ini. Mereka melepaskan pandangan ke luar lautan luas. Hanya bunyi desiran ombak yang menenangkan jiwa. Bunyi riuh kanak-kanak bermain tidak mengambil tempat. Lebih memikirkan keadaan hubungan mereka sekarang ini.

Sudah hampir empat tahun mereka bercinta secara sembunyi. Baru-baru ini Kartina bersikap terbuka dengan keluarga dan abangnya, namun reaksi negatif yang diterima. Kecewa? Sudah tentu dia sangat kecewa. Tekanan dari keluarga menyebabkan Kartina memaksa Arif untuk lebih berjaya, namun dalam keadaan tidak sedar, paksaannya itu merimaskan.

Kuala Lumpur,
Bukit Damansara,

“Baik Ibrahim... kejap lagi aku sampai.” Dato’ Azri ketawa. “Aku macam biasa, paling smart!” Dia ketawa kuat. Ruang tamu dan bilik bergema dengan suaranya. Maklumlah, masih belum berumahtangga. Sebaik habis bercakap, Dato’ Azri mematikan telefon.

Dato’ Azri membetulkan tali leher, mengemaskan kemeja, bercermin lama. Sesekali tangannya menyisir rambut kebelakang. Rambutnya style seperti orang bujang walaupun usia sudah menjangkau ke angka 56 tahun.

Sambil menyanyi kecil, dia mengikat tali leher. Dato’ Ibrahim mengajak mereka makan di rumahnya. Dato’ Ibrahim adalah rakan niaganya, pemilik Wisma Ibrahim Attar. Mereka semua bertiga. Dato’ Ibrahim, dia sendiri dan rakan kongsi lelap, Mejar Harun. Namun perjumpaan itu tetap formal. Maklumlah mereka semua berpangkat dan bernama. Yang hadir nanti turut mereka yang mempunyai perniagaan dalam dan luar negara. Malah kadang kala, dia betul-betul bosan hidup berprotokol.

“Kalau aku ada pilihan, aku tak nak perniagaan ini.” Dia hanya menyambung legasi keluarganya. Sungguhpun sudah berusia lanjut, namun belum berkahwin. Memilih? Ya! Dia terlalu memilih. Itu dulu!  

Sekarang ini... dia pula yang terpaksa mengikut pilihan wanita di luar sana. Jujurnya tidak ada seorang pun yang berjaya menarik hati.

“Hello...” sapa Azri kasar sebaik dia menjawab panggilan telefonnya yang berbunyi. Nama yang muncul di skrin telefon menyebabkan dia bertingkah laku begitu.  
“Saya ada di bawah ni dato’.” Norman memandang ke atas bilik majikannya dari laman luar.  “Errr... dato kata nak bergerak awal, saya takut terlewat nan....”
Sebaik itu juga talian dimatikan.

“Biadap betul!!” Norman menggumam. Sudahlah salamnya tidak dijawab, kemudian lelaki itu sesukahati mematikan talian.

“Orang kaya memang biadap eh?” Norman berpaling dan bersandar di keretanya. Kalau ikutkan, bukan tugasnya menjadi pemandu, namun disebabkan pemandu Dato Azri pula sakit, terpaksalah dia menggantikan.

Norman melirik jam di tangan sambil berpeluk tubuh, tidak tahu berapa lama lagi untuk dia menunggu.

AZRI memicit botol minyak wangi. Botol berbentuk segi tiga, jenama Channel adalah pilihannya. Bauan yang bertebar sangat maskulin. Dia memejam mata sambil menikmati bauan yang dikira sangat menyerlahkan sikap kelelakiannya. Sekali lagi dia buat perkara yang sama. Lagaknya seperti ingin berjumpa dengan teman wanita. Kemudian dia tergelak.

Bunyi barang terjatuh dari ruang bawah menyentak lelaki itu. Dia segera menoleh.

“Siapa tu!!!” Azri sedikit meninggi suara. “Siapa tu!!!” sekali lagi dia berteriak. Namun masih tiada suara. “Norman! Itu kau ke! Kan aku cakap tunggu sekejap!”
Azri terus mengemaskan pakaiannya sambil membebel. Jari jemarinya menyentuh helaian rambut yang berjurai jatuh ke dahi. Sengaja dia membela rambut yang agak panjang di bahagian depan. Dia perlu mengikut trend masa kini.

Sepasang kaki itu menaiki anak tangga dalam keadaan senyap. Memakai jaket hitam labuh. Tangan kanannya memegang sepucuk revolver dengan laras dihala ke bawah.

Tapaknya melangkah perlahan. Sebaik tiba di tingkat atas, lelaki berjaket labuh itu berhenti. Kepalanya menoleh ke kiri. Bilik yang masih terang itu menarik perhatian, sedikit senyuman terukir di bibir. Kemudian barulah dia bergerak ke arah bilik yang menjadi sasarannya.

Dato’ Azri memakai kot di bahagian luar. Setelah siap dia mengambil beberapa barang dan beg hitam sandang sebelum beredar. Sempat lagi dia bercermin memastikan semuanya kemas. Dia tidak suka kelihatan selekeh.

Langkahnya terhenti sebaik tiba di depan pintu. Melihat lelaki yang berdiri memegang sepucuk revolver itu menyebabkan jantungnya seakan berhenti. Dia mengenali. Sangat kenal! Malah dia baru bertemu minggu lepas atas ‘urusan’ yang sangat peribadi.

“Kau???”

Lelaki itu tersenyum. Kemudian dia mengangkat pistol itu separas bahunya. Bersedia untuk menembak. Terbuntang mata Azri ketika ini.

“YA dik... abang tahu, sekarang ni, abang kena kerja. Bukan abang suka-suka. Cakap dekat ayah. Abang akan balik awal.” Norman mengeluh kesal.

Sepatutnya dia meraikan hari jadi ayahnya esok. Semua telah dirancang.  Dia sudah berjanji untuk pulang, tapi terpaksa pula bekerja.

“Abang ni.... esok pagi tau kita plan.” Kartina sedikit memuncung. Geram rasa hati.

“Iyelah... ni kan malam lagi.” Naik rimas Norman melayan. Maklumlah anak bongsu.

Ketika itu juga tingkap bilik Dato’ Azri tadi pecah. Lelaki itu tercampak dari tingkat atas. Jeritannya tidak kedengaran.

“Astagfirullah...” Norman berpaling. Dia benar-benar terperanjat. Telefonnya segera di matikan. Norman berlari ke arah kawasan di mana majikannya terjatuh.
Lariannya terhenti sebaik sahaja melihat Dato’ Azri sudah terbaring nyawa-nyawa ikan. Malah kesan tembakan terlihat di dada kiri. Norman berpeluh, badannya sejuk. Dia melutut cuba mendekat. Kosong fikirannya. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang. untuk menelefon polis pun dia  terlupa.

“Errr... Dato’... errrr.” Norman memandang ke arah atas. Kelihatan kelibat seseorang masih lagi berdiri di tepi tingkap.

“Siapa!!!!” panggil Norman gagap.

Lelaki itu turun melalui tingkap. Memanjat mengikut kayu tepi dan corong paip, kemudian turun melompat, berdiri tegak. Sedikit pun tidak memandang ke arah Norman yang terduduk di sebelah. Lelaki itu bebadan tegap malah dia seperti tidak menyedari kehadiran Norman di situ.

Norman menggigil. Melihat pistol yang dipegang oleh suspek, membuatkan Norman menelan liur. Lelaki itu berjalan ke arah Dato’ Azri yang tercungap-cungap. Kemudian menunduk dengan sebelah lutut mencecah tanah. Meletakkan dua jari di leher lelaki malang yang terbaring, untuk merasa nadi.
“Kau... kau... siapa...” tanya Norman berani. Dia memang mahu lari, namun kakinya terkunci. “Kau nak apa... aku telefon polis.”

Ketika itu juga lelaki itu berpaling. Merenung Norman tajam. Namun tidak ada tindakan. Kaca mata hitamnya menghalang Norman mengenali siapa dia. Norman pula mengensot kebelakang dengan dada yang terasa seperti mahu pecah.

Lelaki tadi menoleh ke arah Dato’ Azri semula. Kemudian lelaki bejaket hitam itu berdiri dan menembak Dato’ Azri sekali lagi. Tepat mengenai kepala. Dato’ Azri mati terbuntang mata. Tidak ada lagi nafas yang terhela.

Norman ternganga. Untuk orang sepertinya yang tidak pernah berdepan dengan keadaan begitu, ianya sesuatu yang sangat menakutkan. Sebaik sahaja pasti yang  Dato Azri mati, lelaki tadi segera berlalu tanpa mencederakan Norman langsung!

Norman menutup wajah dengan kedua tangan, hanya sedikit sahaja dia melihat melalui celahan mata. Dari belakang, dia melihat susuk tubuh itu menghilang ditelan gelap malam. Sehinggalah lelaki itu hilang dalam kepekatan malam, barulah kemudian Norman mendapatkan Dato’ Azri yang sudah tidak bernyawa. Menggigil tangannya. Terkunci nafas dan bicara. Kepalanya pening melihat darah membuak. Akhirnya dia termuntah di situ.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.