Isabella menghempaskan badan yang penat keatas katil. Direnungnya siling putih itu seketika. Penat benar dia pada hariitu! Dia baru saja pulang dari Senawang, shooting untuk subjek Advertisingyang diambil untuk semester itu.
Dari telentang, dia baring mengiring pula. Entah kenapa pintu almari kosong yang renggang yang terletak di penjuru bilik itu tiba-tiba saja menarik perhatian matanya. Isabella sebenarnya tinggal di bilik itu sendirian. Roommatenya sudahpun berpindah bilik sewaktu awal semester dulu, menemani kawan baiknya yang tinggal berseorangan di blok yang sama tetapi di rumah aras tiga.
Kedegang!
“Astaghfirullahalazim.”Dengan mata yang masih membuntang, dia bangkit duduk. Terkejut bukan kepalang tatkala pintu almari yang tadinya renggang tiba-tiba dihempas kuat sehingga tertutup rapat.
Husnudzon, mungkin saja pintu almari itu tertutup gara-gara angin. Bersangka baik.
Dipandangnya pula daun tingkap, kalau-kalau kejadian tadi berpunca dari angin malam yang kebiasaannya bertiup kuat hingga ke subuh.
Bukan.Ya Allah. Bukan!
“Tingkap tutup..” getusnya dalam hati. “Kipas pun aku tak pasang lagi.” Perlahan, dia mengangkat kepala untuk memastikan keadaan bilah kipas masih berada dalam keadaan yang seperti yang dilihatnya awal-awal tadi.
Masih dalam keadaan yang sama seperti tadi.
Bantal di kepala katil diraihnya lalu dipeluk rapat ke dada. Tiba-tiba saja bilik itu terasa seperti sunyi benar berbanding biasa.
TAK.….
TAK…….
TAK…..
Kedengaran seperti guli dibaling ke lantai pula satu persatu. Dia melangut ke atas,melihat siling memandangkan bunyi itu datangnya dari arah atas. Nak kata penghuni di bilik atas main guli? Tak mungkin sebab bilik itu memang kosong,masih belum berpenghuni lagi.
“Astaghfirullahalazim.. Astaghfirullahalazim..” dia memejam mata rapat. “Jangan fikir negatif Isabella.Rileks.” Nafasnya masih lagi tidak teratur. Sesak. Sesak kerana terlampau terkejut gara-gara 2 kejadian yang berlaku secara berturut-turuttadi.
Perlahan,dia membuka mata. Dilarikan bebola mata itu di segenap ruang di bilik itu,
“KELUARDARI BILIK AKU SEKARANG! AKU TAK KACAU KAU JADI KAU TAK PERLU KACAU AKU!”
TREEEEEEET…
TAAAAAAKKK…
TAAAAAAAAAKKKK..
TAAAAAKKKK..
Bunyi guli yang dilepaskan dalam amaun yang banyak itu seolah-olah menyapa arahan keras yang dikeluarkan oleh Isabella tadi. Dia tahu makna di sebalik guli-guli itu. Jika dibaling sebiji-sebiji, bermakna, ‘dia’ hanya mahu bermain namun jikaguli-guli itu dilepaskan secara serentak, bermaksud ‘dia’ sedang marah.
Jantung Isabella makin berdegup dengan kencang. Bulu romanya juga sudah tegak semua.Rasa seram sejuk mula menyerang diri. Dibuangnya segala tanggapan negatif itu jauh-jauh dari kotak fikiran. Tak mahu terlampau fikirkan tentang perkara yang bukan-bukan. Sebenarnya, dia tahu dia sudah melanggar satu pantang larang yang pernah diberitahu oleh seniornya semester yang lepas iaitu,
Jangan berjalan di tepi tasik ketika waktu mencecah pukul 12 tengah malam dan keatas.
Selimut dihujung katil dibuka besar. Terus dia baringkan badan semula lalu membungkus satu badan dengan selimut itu. Segala ayat-ayat suci al-quran yang dihafalnya dibaca kuat-kuat, dengan harapan segala ‘benda’ yang mengikutnya balik tadi akan lesap.
Akhirnya,dia terlelap dalam baju yang belum berganti dan kaki yang belum berbasuh.