Home Cerpen Keluarga Maafkan Kak Long, Mak! (Special Hari Ibu)
Maafkan Kak Long, Mak! (Special Hari Ibu)
Nabella Bazli
8/5/2016 14:05:56
1,394
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Seawal jam 3 pagi lagi, puan Suraya sudah bangun, untuk membuat kuih-muih dan nasi lemak untuk dijual di warung pak Samad nanti. Semenjak diceraikan oleh suaminya 7 tahun yang lalu, puan Suraya adalah ibu dan juga bapa kepada lima orang anaknya. Si sulung bernama Aleeya, belajar di satu universiti awam di Selangor manakala yang Anis dan Anissa belajar di menengah manakala Aniq dan Alif belajar di sekolah rendah.

“Mak dah bangun?” soal Anis sambil menggenyeh mata. Dia mengambil tempat di meja makan, sambil matanya samar-samar melihat ibunya yang sedang menanak nasi. Anis selalu membantu puan Suraya membungkus nasi. Jika tiada dia, mahu puan Suraya kelam kabut seorang diri di dapur, menyiapkan segalanya tanpa bantuan sesiapapun.

“Ya Nis. Daun pisang ada kat tepi peti ais. Macam biasalah..”

“Anis tolong lapkan ya?” seperti dapat mengagak apa yang bakal dicakapkan oleh ibunya, Anis terus menyambung bicara puan Suraya tanpa menanti dia habiskan ayatnya terlebih dahulu. Tawa mereka bersatu.

Seperti diberitahu oleh ibunya tadi, Anis terus mencapai daun pisang yang telah siap dipotong kepada bentuk empat segi lalu mengambil kain bersih untuk membersihkan daun-daun itu daripada getah.

“Mak..”

“Ya..” puan Suraya menoleh ke anaknya sekilas sebelum membasuh tangan di sinki.

Anis mengigit bibir, rasa serba salah sama ada dia perlu beritahu ibunya mengenai keinginannya itu ataupun tidak. Dia faham bahawa keluarga mereka kesempitan wang dan dia juga faham bahawa ibunya perlu menangung kakaknya di universti tetapi rasanya jika dia hanya minta ibunya membelikan sehelai seluar sukan buatnya tak menjejaskan pendapatan harian ibunya bukan?

“Kenapa Anis? Nak cakap apa tadi? Cakaplah..” lembut suara puan Suraya bertanya.

Anis hanya menunduk, masih lagi berdebat dengan dirinya sama ada mahu beritahu ibunya mengenainya ataupun tidak.

Bibirnya digerakkan sedikit.

“Seluar sukan Anis yang lama dah koyak. Anis dah jahit tapi masih lagi koyak.. Boleh tak mak tolong belikan Anis seluar baru? Lagipun hari sukan dah nak dekat, Anis terpilih untuk mewakili rumah sukan Anis dalam beberapa acara larian.. Tak kanlah Anis nak pakai se..”

“Anis..” ibunya mematikan bicaranya. Anis sambung mengelap daun pisang. Dia tahu ibunya akan beritahu dia betapa mahalnya harga sehelai seluar sukan dan ibunya tak mampu untuk membelinya dalam masa yang singkat ini.

“Tak apalah mak.. Anis pakai yang lama saja..” putusnya, dalam nada yang mendatar. Air mata mula mengaburi mata namun dia mengerdipkan matanya berulangkali supaya air jernih itu tak tumpah membasahi pipinya.

Jauh di dalam hati, terdetik rasa menyesal kerana melontarkan permintaannya kepada ibunya tadi. Terasa seperti dia mementingkan diri sendiri dan tak fikirkan perasaan ibunya langsung.

‘Sudahlah Anis.. Mak tak ada duit.. Janganlah paksa dia beli benda yang dia tak mampu. Sehelai seluar yang kau nak tu sudah berharga RM 20, dimana duit itu boleh digunakan untuk beli barang yang lebih penting seperti barang makan kau sekeluarga.. Apa salahnya pakai yang lama. Nanti kalau mak ada duit lebih sikit, pasti dia belikan untuk kau punya..’ getus Anis di dalam hati, lebih kepada memujuk diri sendiri.

“Mak, surat khabar mak dah potong ke belum? Kalau belum, mehlah Anis tolong potongkan..” katanya, menukar topik. Dia tak mahu ibunya susah hati dek kerana permintaannya yang tadi.

Perlahan, puan Suraya mengangguk. Wajah puteri keduanya itu direnung seketika. Anis memang anak yang baik. Dia sentiasa memahami situasi yang dihadapi oleh ibunya. Jarang sekali dia meminta ibunya belikan barang buatnya melainkan jika dia betul-betul memerlukannya.

**

Aleeya menyarungkan sepatu berjenama Nike berharga lebih RM 200, hasil daripada memaksa ibunya memasukkan duit buatnya dengan alasan, untuk beli buku rujukkan. Di universiti, Aleeya tidak menjadi dirinya sendiri. Culture shock. Ya, itu adalah istilah yang sangat tepat dengannya semenjak dia melangkah masuk ke alam universiti ini. Tambahan pula, dia dikelilingi oleh anak orang-orang berada dan kaya di sana dan dia sedikit sebanyak terpengaruh dengan gaya mereka semua.

“Beb, lepas kelas wayang jom? AADC2 seround dua.. Lepas tu kita nandos?” Ariana mengajak, lebih kepada memaksa. Aleeya diam seketika.

Dalam akaun banknya hanya ada RM 16.54 manakala dalam dompetnya hanya ada lebih kurang sepuluh ringgit sahaja. Minggu ini ibunya masih lagi masukkan duit untuknya dek kerana perlu menyelesaikan hutang yuran persekolahan adik-adiknya terlebih dahulu.

“Aku tengah sesaklah beb.. Mummy aku belum masukkan duit lagi..” katanya.

“Kau ni, nak kata bengap kang marah. Phone kan ada? Call sajalah, suruh masukkan duit. Kan senang?” Ariana selamba membalas tanpa mengetahui situasi keluarga rakan sebiliknya itu.

Dari segi penceritaan Aleeya, Ariana mengagak bahawa Aleeya adalah anak kepada jutawan kaya raya yang memiliki syarikat di serata negeri walhal semua itu tidak benar sama sekali. Aleeya hanya mereka-reka cerita saja supaya dia tak dipandang rendah oleh Ariana.

“Aduh.. Tak boleh doh..” dia cuba berdalih. Melihatkan riak muka Ariana yang sudah bertukar, dia beralah.

“Yalah.. Yalah.. Kejap aku call.” Dia bangun dari kerusi lantas melangkah beberapa tapak jauh dari Ariana. Risau juga kalau-kalau perbualan antara dia dan ibunya kedengaran oleh gadis itu nanti.

Handphone jenama Lenovo A369 dikeluarkan dari kocek seluar. Nombor ibunya didail. Sesekali dia menoleh kebelakang, untuk memastikan bahawa Ariana tidak berdiri dekat dengannya.

5 saat menunggu, panggilannya dijawab oleh ibunya.

“Assalamualaikum Aleeya. Pagi-pagi lagi dah telefon mak ni. Aleeya rindukan mak ya?” sapa puan Suraya dengan ceria sekali. Bebola mata Aleeya berputar 360 darjah, bibirnya mencebik.

Rindukan mak? Mimpi sajalah!

“Mak.. Orang nak duit.” katanya terus terang tanpa menjawab salam yang diberi oleh ibunya tadi. Puan Suraya tersentak mendengar permintaan anak sulungnya itu. hati tuanya sedikit terasa dengan sikap anaknya yang semakin berubah sejak dia melanjutkan pelajaran di menara gading itu.

“Aleeya, mak minta maaf. Mak betul-betul tak ada duit ni. Tadi saja mak baru saja bagi duit pada Anissa untuk beli buku sekolah. Nanti.. Kalau mak ada duit sikit mak masukkan kat Leeya ya?” lembut saja suara puan Suraya memujuk. Aleeya mendengus kasar.

‘Ish orang tua ni.. Asalkan aku call suruh masukkan duit, jawapan yang sama saja yang dia beri kat aku! Tak ada jawapan lain ke hah?’ desis hati kecilnya.

“Masalahnya mak, orang dah dua hari tau tak makan. Mak nak ke orang mati kebulur kat sini?” Bohongnya. Dia menoleh lagi untuk melihat kedudukan Ariana sekarang. Okay, line clear.

“Orang tak kira. Orang nak mak masukkan RM 100 sebelum tengah hari ni jugak.” Paksanya dalam nada yang dikawal. Risau kalau-kalau kedengaran oleh orang lain nanti.

“Nak.. Manalah mak nak cari duit sebanyak tu dalam masa beberapa jam saja ni..” suara puan Suraya sudah bertukar. Hatinya dilanda pilu. Mengapakah anak sulungnya itu berubah dengan begitu drastik sekali?

“Lagipun mak ada belikan biskut marrie untuk Leeya sebelum Leeya balik ke sana minggu lepas kan? Makanlah dulu biskut tu ya sayang? Ada duit besok mak bagilah..” tambahnya lagi.

Aleeya sudah mula berang. Berang dengan ibunya yang sentiasa mencari alasan untuk mengelak daripada memberinya duit.

“Tak ada.. Orang tak kira. Masukkan juga duit tu kat orang. Kalau tak..”

“Kalau tak apa?”

“Orang berhenti belajar.” Ugutnya. Dia tahu ibunya mahu dia habiskan belajar di universiti memandangkan dia adalah harapan ibunya untuk mengubah nasib keluarga mereka. Dia juga tahu bahawa ibunya akan ikut segala kemahuannya jika dia mengugut ibunya seperti tadi.

“Leeya, janganlah macam ni. Kalau mak ada duit, mak dah beri. Tak perlu Leeya minta tau mak tahu Leeya ada duit ataupun tak. Tapi sekarang, mak betul-betul tak ada duit. Tolong faham keadaan mak ya..” bergetar suaranya memujuk anaknya lagi.

Tak betah mendengar pujuk rayu ibunya itu, Aleeya terus mematikan talian. ‘Ish orang tua ni.. Menyampah pula aku rasanya. Aku minta dia bagi aku duit saja, bukannya menangis! Meluat betul!’ kutuknya dalam hati.

Perlahan, imej ibunya sedang menangis bermain di minda. Hatinya terusik sedikit melihat ibunya sedang bersedih namun pantas dia cuba untuk menghalau khayalannya itu jauh dari fikiran.

‘Ah.. Buat apa aku nak kesiankan dia? Dah tanggungjawab dia sara aku.. Tak salah pun kalau aku minta duit kat dia..’ katanya, cuba memujuk hati. Langkah diatur, kembali ke biliknya.

“Macam mana?” soal Ariana, tak sabar.

“Mummy aku busy doh. Dia ada mensyuarat kejap lagi. Dia tak boleh keluar untuk bank in aku duit..” bohongnya lagi. satu persatu pembohongan direka olehnya untuk menutupi segala kekurangan yang dia ada.

“PA mummy kau kan boleh tolong bank in kan?” cadang Ariana yang memperayai omongan palsu Aleeya sebentar tadi.

“Dia mc. Gastrik.”

Puan Suraya mencicip kopi panas yang dibuatnya tadi. Jam di dinding dikerlingnya sekilas. 9 pagi. Di mana dia mahu cari wang sebanyak seratus ringgit untuk Aleeya? Di dalam dompetnya saja ada RM 30, dimana duit itu mahu digunakan untuk beli barang-barang untuk buat nasi lemak nanti. Dia mengeluh kecil memikirkan masalah yang dihadapinya itu. Sungguh, dia buntu.

“Pak Samad..” bisiknya. Hanya pak Samad sajalah yang sudi membantu mereka tatkala keluarganya dilanda masalah duit. Hutangnya pada pak Samad makin hari makin meningkat. Mujur sajalah orang tua itu bukan jenis yang berkira.. Kalau tidak, entah ke mana lagilah dia perlu pergi untuk minta pertolongan dikala dia memerlukan wang..

Puan Suraya bangun dari kerusi lantas menapak ke bilik untuk memakai tudung. Dia perlu berjumpa dengan pak Samad untuk pinjam duit, buat belanja anaknya di universiti. Biarpun terpaksa menebalkan muka menghadap lelaki itu namun dia tak kisah. Perasaan itu diletak ketepi. Tak kan dia mahu biarkan anak perempuannya itu kelaparan di sana? Tidak.

Tersenyum panjang Aleeya tatkala mendapat mesej dari ibunya. Masakan tidak, orang tua itu baru saja memasukkan wang seperti yang dia minta tadi, tepat pada masanya. Lengan Ariana yang sedang sibuk menyalin nota disiku olehnya lantas gadis itu menoleh ke arahnya.

“Wayang.. on” katanya sambil tersenyum kegembiraan.

Dalam masa tak sampai sehari saja, Aleeya sudah berjaya menghabiskan duit yang baru dimasukkan oleh ibunya tengah hari tadi. Wayang, makan, wayang lagi dan makan. Dia tak tahu betapa malunya muka ibunya semasa mahu mendapatkan duit itu buatnya dan dia pula boleh bersenang lenang menghabiskan wang itu dengan boros sekali.

Sebelum masuk tidur, dia sempat mengarang ayat untuk dihantar kepada ibunya, untuk memberitahu bahawa dia sudah pokai. Kali ini, dia betul-betul tak ada duit untuk beli makanan. Di dalam dompetnya saja sudah kosong, hanya tinggal IC dan kad bank sahaja.

Mak. Duit habis. Orang kena beli buku tadi, lecturer suruh. Orang tak makan malam pun tadi sbb x de duit.

Butang send ditekan dan dia terus terlelap.

Puan Suraya menarik nafas panjang setelah membaca mesej dari Aleeya. Wajahnya yang sugul itu kelihatan jelas sekali membuatkan Alif pergi mendapatkan ibunya yang sedang duduk di hadapan mesin jahit itu. Terdetik rasa kasihan dalam dirinya buat ibunya itu. Sejak kak long masuk u, ibunya bekerja keras untuk menampung perbelanjaan kakaknya di sana. Ibu mengambil upah jahit baju, buat kuih, kemas rumah orang dan kadang kala mengasuh anak jiran.

Pernah sekali, dia menyuruh ibunya supaya jangan bekerja terlalu keras namun kata ibunya, jika dia tidak berbuat demikian, bagaimana dia mahu sekolahkan kelima-lima anaknya? Sudahlah bekas suaminya lepas tangan dan meletakkan segala tanggungjawabnya di bahu puan Suraya sendirian. Tak pernah sekalipun dia datang menghulurkan bantuan.

“Mak okay?” Soal Alif sambil memicit bahu ibunya. Terpejam-pejam mata puan Suraya menikmati urutan anak terunanya itu.

“Okay.. Alif dah buat kerja sekolah?”

“Dah.. Tadi. Kalau okay, kenapa mak nampak sedih?”

“Tak ada apalah.. Mak penat sikit saja, mana ada sedih pun.” puan Suraya cuba senyum. Mujur saja dia pandai menyorokkan perasaan sebenarnya daripada anak-anaknya itu. Alif hanya mengangguk, kelihatan terbeli dengan kata-kata ibunya tadi.

Puan Suraya mengerling jam di dinding, mencari idea untuk menghalau anak terunanya daripada terus mengganggu dia. “Dah lewat ni. Pergilah masuk tidur. Besok nak sekolah..” Alif menurut. Pipi ibunya dikucup dengan penuh kasih sayang sebelum dia masuk ke bilik.

Biarpun puan Suraya cuba untuk beriak biasa, namun kesedihan yang dirasainya dapat dihidu oleh Alif dalam diam..

**

Seperti biasa, setiap pukul 7 pagi puan Suraya sudah terpacak di warung Pak Samad, menghantar kuih muih dan nasi lemak yang dibuatnya pagi tadi.

“Ha Suraya.. Dah minum?” mak Kiah, isteri pak Samad menyoal seraya melihat perempuan lingkungan pertengahan 40-an melangkah masuk ke dalam warung itu.

Raga diletakkan di atas meja, puan Suraya melabuhkan duduk di kerusi, berehat seketika. Peluh lebat membasahi dahinya. Manakan tidak, dia hanya berjalan kaki dari rumahnya ke warung itu sejauh 2km, berseorangan.

“Dah Kiah..” katanya sambil tersenyum. “Aku kena pergi ni. Ada kerja sikit. Pasal duit semalam yang aku pinjam kat Samad tu, kamu tolaklah dari hasil jualan hari ini ya?” pesannya lalu bangun dari duduk. Mak Kiah mengagguk dan hanya menghantar pemergian puan Suraya dengan pandangan mata saja.

“Jalan elok-elok Su..”

“Yalah.. Aku pergi dulu ya. Assalamualaikum. Kirim salam Samad ya.”

Hari ini, puan Suraya dapat upah mengemas rumah seorang Datin di bandar. Jadi, dia perlu menunggu di perhentian bas sekarang, risau jika dia terlepas bas nanti.

Aleeya dan Ariana berjalan beriringan menuju ke kafe berdekatan dengan fakulti mereka. Sepanjang perjalanan mereka ke sana, Aleeya hanya diam membisu, menahan kelaparan. Nak beli makanan, duitnya sudah betul-betul habis, tiada saki baki duit yang tinggal pun.

Bunyi deringan handphone Ariana mematikan langkah mereka berdua. Terkedek-kedek gadis berambut blonde itu menggodek isi beg sandangnya itu.

“Mama aku call. Kejap eh?” dan dengan itu, butang hijau ditekan sebelum dilekatkan di telinga.

“Hello?” Ariana memajukan beberapa langkah jauh sedikit dari Aleeya. Sementara menantikan Ariana bercakap dengan mamanya melalui telefon, dia melihat keadaan di sekitar cafe itu. Bau ayam goreng yang baru saja siap digoreng membuatkan perutnya menjadi bertambah lapar.

“Weh, jom balik rumah aku kejap.. Mama aku masak banyak, dia suruh aku ajak kau sekali.” kata Ariana, membuatkan Aleeya tersenyum sendiri.

‘Baguslah, rezeki datang tanpa diduga..’ katanya dalam hati.

“Nak kesana naik apa?”

“Mama aku ambil. Dia dah nak sampai kesini..” balas Ariana dalam nada yang agak teruja sedikit. Aleeya mengangguk faham.

Puan Suraya berdiri di hadapan villa yang indah seni binannya itu. Tercari-cari jugalah dia loceng untuknya tekan tetapi masih tak dijumpai.

Kebetulan, seorang lelaki mudah dalam lingkungan umur 20 tahun keluar dari rumah itu, lantas dia memanggil lelaki itu dekat dengannya.

“Ya mak cik?” sapa lelaki itu lembut.

“Ini rumah Datin Rina ke?” lelaki itu mengangguk, mengiyakan pertanyaan puan Suraya.

“Nama mak cik, Suraya. Semalam datin ada telefon mak cik, katanya nak minta mak cik bersihkan rumah ini pada hari ini.” terangnya.

“Oh.. Mak cik Suraya..” remote di tangan ditekan dan pintu pagar dengan automatiknya terbuka sedikit, cukup untuk puan Suraya membolos ke dalam.

“Nama saya Hamizan, anak kepada orang yang mak cik cakap tadi.. Mak cik dah lama ke sampai?” soal Hamizan ramah. Dia mengiringi puan Suraya masuk ke dalam rumah.

“Baru saja.. Datin di mana ya?”

“Mama keluar.. Pergi ambil adik di universiti.. Rindu katanya.” Hamizan tergelak kecil tatkala teringatkan mamanya yang tak habis-habis menelefon adiknya semenjak dari semalam lagi. Rindu sangat kepada anak bongsunya itu sampaikan dia pun naik cemburu dibuatnya.

“Mak cik duduk dulu ya, kejap lagi saya beritahu apa yang mak cik perlu buat.” Dan dengan itu, Hamizan hilang dari pandangan mata puan Suraya.

Puan Suraya memerhatikan keadaan sekeliling. Mewah betul rumah ni.. Perabot pun nampak elegan, seperti diimport dari luar negara. TV nipis tergantung elok pada dinding.. Sofa pun boleh tahan empuk juga sehinggakan dia berasa dirinya tak layak pun untuk melabuhkan duduk di situ.

Tak lama kemudian, Hamizan datang bersama segelas air oren di tangan. Kasihan dia melihat orang tua itu yang kelihatan penat ketika dia sampai di hadapan rumahnya tadi, sebab itulah dia menyuruh puan Suraya berehat sebentar sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Minum dulu mak cik..” gelas itu diletakkan di hadapan puan Suraya. Terasa segan pula dalam dirinya dilayani oleh tuan rumah sebegitu rupa. Dia sedar, dia hanya seorang tukang cuci dan tak pantas pun untuk dilayani sebegini oleh Hamizan.

Sewaktu dalam perjalanan, Aleeya hanya diam membatu di belakang kereta. Ariana kelihatan gembira bercerita itu dan ini mengenai wayang yang ditontoni olehnya semalam kepada ibunya. Jauh disudut hatinya, dia berasa cemburu dengan hidup yang dimiliki oleh Ariana. Sudahlah cantik, kaya pula tu.. Sedangkan dia? Apa saja yang dia ada? Harta jauh sekali..

Kereta BMW 3 Series itu masuk ke perkarangan rumah. Bunyi picitan hon yang dihasilkan oleh Datin Rina membuatkan puan Suraya tersentak seketika lalu cepat-cepat menghabiskan saki baki air oren dalam gelas.

“Mama dah balik tu.. Mak cik duduk sini kejap ya? Mizan panggilkan mama..”

“Inilah rumah aku.. Masuklah..” kata Ariana, menarik tangan Aleeya masuk ke dalam. Mereka berdua terserempak dengan abang Ariana, Hamizan dan Aleeya hanya menunduk hormat saja kepada lelaki itu.

“Abang ni kawan adik, Leeya. Leeya, ni abang aku, Hamizan. Tapi biarlah kat dia, jom masuk dalam..”

Kagum juga Aleeya melihat keadaan rumah kawannya itu. Memang kaya benar keluarga Ariana ini sehinggakan sangkar kucing yang dilihat diluar rumah tadi turut mempunyai pendingin hawa sedangkan dia dirumah hanya ada kipas saja.. Itu pun hidup segan mati tak mahu.

Mata Ariana tertancap pada figura orang asing di ruang tamu. Lantas dia pergi mendapatkan orang itu untuk bertanyakan tentang dirinya.

“Aunty ni siapa ya?” soalnya dalam nada curiga. Kalau dilihat dari segi pemakaian, dia dapat mengagak bahawa puan Suraya bukanlah kawan kepada mamanya. Kawan mamanya bergaya bagaikan artis, bukan berpakaian kekampungan sebegini..

“Nama mak cik Suraya..” tersentak Aleeya seketika tatkala mendengar suara tua itu.

‘Itu macam suara mak..’ katanya perlahan. Dari jauh, dia melihat Ariana sedang beramah mesra dengan seseorang di ruang tamu. Hati kecilnya dapat mengagak bahawa itu adalah ibunya namun dia tetap berharap bahawa telahannya adalah salah.

‘Bagaimana kalau itu benar-benar mak? Habis terbongkarlah semua rahsia dan pembohongan aku pada Ariana nanti!’ dia sudah kegelisahan.

Dalam kepala, masih lagi berkira-kira sama ada mahu turut kesana, untuk memastikan bahawa itu adalah ibunya ataupun bukan.

“La.. Leeya? Kenapa tercegat di sini saja? Kenapa tak duduk kat ruang tamu tu?” Datin Rina menegur, membuatkan Aleeya melompat kecil, terkejut.

Suara Datin Rina menyapa gegendang telinga puan Suraya membuatkan dia cepat-cepat bangun dari duduk. Sekali dia berpusing, pandangan matanya dan pandangan mata milik Aleeya bertaut. Tersentak Aleeya dibuatnya, begitu juga puan Suraya. Tersenyum lebar dibuatnya sewaktu melihat kehadiran anak sulungnya di dalam rumah itu. Aleeya menjegilkan mata, seperti memberi isyarat kepada puan Suraya supaya tidak menegurnya.

“Awak Suraya ya yang saya telefon semalam?” puan Suraya mengangguk.

“Ya datin. Sayalah Suraya.. Jadi, apa yang perlu saya kemas ya?”

Dan dengan itu, datin Rina menunjukkan tempat yang perlu puan Suraya kemas untuk hari ini. Aleeya hanya memandang ibunya dengan penuh rasa benci dalam diri.

Orang tua ni.. Tak habis-habis nak malukan aku. Dalam banyak-banyak rumah yang boleh dia pergi cuci, kenapa rumah ini juga yang dia pilih?

“Oi yang kau pandang mak cik tu sampai nak telan tu kenapa?”

“Taklah.. Aku cuma tak suka orang-orang tukang cuci ni.. Geli..” katanya, tanpa memperdulikan perasaan ibunya sama sekali. Puan Suraya mendengar setiap bait perkataan yang diucapkan oleh Aleeya dengan jelas sekali. Dia cuba untuk pura-pura okay namun gagal.

“Kau ni tak baiklah cakap macam tu.. Kau nak gelikan apa? Dia bukannya kacau kau pun. Lagipun dia kerja, cari rezeki yang halal kot untuk anak-anak dia. Kau tak perlu kot nak judge dia sampai begitu sekali sebab kau tak ada di tempat dia and you know nothing about her.” Kata Ariana, sedikit sebanyak berjaya menyentapkan hati Aleeya namun cepat-cepat dia menepis perasaan itu daripada terus menghantui dirinya.

Mereka duduk di ruang tamu seketika, menonton rancangan tv bersama. Sesekali tawa mereka bersatu tatkala melihat adegan-adegan lawak yang ditayangkan di skrin.

“Ariana.. Aleeya, mari makan.. Makanan dah siap ni.” Laung Datin Rina dari dapur. Berdecit Ariana lari, pergi mendapatkan mamanya di dapur manakala Aleeya hanya berjalan saja. Figura ibunya dicari di serata ruang namun tiada.

Sampai saja di meja makan, langkah Aleeya terhenti seketika tatkala melihat ibunya turut melabuhkan duduk di meja itu dan kerusi kosong yang disediakan untuknya terletak bertentangan dengan ibunya.

“Tercegat apa lagi? Marilah sini!” panggil Ariana, sekaligus mematikan lamunan Aleeya.

Lauk pauk yang terhidang di meja membangkitkan selera Aleeya. Pelbagai juadah terhidang di depan mata. Ayam masak mentega, daging masak hitam, ikan masak merah, telur bungkus.. Macam-macam ada. Jika di rumah, tiada juadah sebegini terhidang di meja makan, malah jauh sekali untuk ada lauk sebegini di rumahnya. Yang ada hanya telur goreng, tak pun ikan sardin.

Doa makan dibaca oleh Hamizan. Puan Suraya memandang anaknya itu tanpa kata. Dia teramat rindukan anaknya itu. sudah 3 bulan lamanya Aleeya tak balik ke rumah, biarpun ada saja cuti panjang pada setiap bulan. Aleeya tak pulang ke rumah, namun dia menikmati setiap cuti dengan berjalan-jalan dengan Ariana, menggunakan duit PTPTN yang sudah habis digunakannya.

“Eh.. Mummy kau tahu tak kau kesini?”

Tersentak puan Suraya tatkala mendengar pertanyaan yang dilontarkan Ariana kepada Aleeya tadi. Mummy? Aleeya memanggilnya mak dan bukannya mummy.

“Tau.” Jawab Aleeya ringkas. Matanya digerakkan, memandang puan Suraya sekilas.

“Mummy Aleeya kerja apa? Manalah tahu kot-kot lah aunty kenal ke..” Datin Rina pula menyoal.

Aleeya terdiam seketika, mencari jawapan kepada soalan Datin Rina yang tadi. Puan Suraya hanya diam, memerhatikan Aleeya. Dia juga tak sabar untuk tahu jawapan yang bakal diberikan oleh Aleeya nanti..

“Mummy buka butik pengantin.. So far dah ada lebih kurang 10 cawangan sekitar Malaysia..” jawabnya yakin. Puan Rina mengangguk. Tak dinafikan dia turut rasa kagum dengan ‘mummy’ Aleeya..

Puan Suraya terkesima mendengar pembohongan anaknya itu.. Mengapa dia perlu berbohong? Adakah Aleeya benar-benar malu ada ibu sepertinya?

“Saya ke dapur dulu ya datin..” pamit puan Suraya lalu mengangkat pinggan. Air matanya sudah bertakung dan bila-bila masa saja boleh gugur. Dia terasa hati benar dengan Aleeya.

“Err.. Saya nak basuh tangan kejap ya?” Aleeya turut pamit dan cepat-cepat ke dapur.

Matanya tertacap pada figura ibunya yang kelihatan sedang menyeka air mata di hadapan sinki.

Hey mak. Mak buat apa kat sini? Mak tahu tak? Mak ni memalukan kak long? Kenapa mak datang cuci rumah ni? Eee orang bencilah dengan mak!” katanya dalam keadaan gigi diketap rapat. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia benar-benar marahkan puan Suraya. Puan Suraya membalikkan badannya, menghadap Aleeya.

Wajah sedih ibunya itu dipandang degan penuh rasa benci dan marah. Orang tua ni.. Tak habis-habis nak menangis! Rimaslah!

“Sampai hati kak long cakap mak macam tu..” air mata laju menuruni pipinya pantas diseka.

“ Mak buat kerja ini pun sebab nak tanggung kak long di sana. Kak long ingat mak suka ke kena buat kerja-kerja begini? Kalau boleh mak tak nak pun buat semua ini tapi kerana terfikirkan kak long yang sentiasa tak ada duit, mak buat juga kerja ini. Biarpun penat, mak tak kisah asalkan anak mak dapat hidup senang disana walaupun kami di rumah hanya makan ala kadar saja. Mak kecil hati dengan kak long, sebab gara-gara mak buat kerja ini, kak long bencikan mak. Sejak kak long masuk universiti, ada ke kak long telefon mak, tanya khabar mak? Sekali pun tak pernah padahal setiap minggu mak yang masukkan kredit dalam telefon kak long.” Air mata pilu gugur jua. Jujurnya dia benar-benar terasa hati dengan sikap anaknya itu. sudah lama dia pendam sendirian namun hari ini dia rasa lega sedikit setelah dapat meluahkan segalanya kepada anak sulungnya itu.

“Kak long dah berubah.. Mak tak sangka kak long jadi begini.. Mak kecewa dengan kak long..” dan dengan itu, puan Suraya terus berlalu pergi, meninggalkan Aleeya dalam keadaan yang serba salah.

Dia merasakan bahawa dirinya baru saja terkena tamparan oleh ibunya. Tamparan kata-kata. Setiap bait ucapan ibunya itu meresap masuk ke hatinya. Allah! Aku dah berubah ke?

Rasa menyesal mula menghantui diri. Mak! Maafkan kak long!

Tanpa membuang masa, dia terus menapak ke ruang tamu kembali, untuk mencari kelibat ibunya namun tiada.

“Mana mak cik ni pergi?” soalnya tergesa-gesa.

“Dah balik. Kenapa?” jawab Ariana sambil menguyah daging hitam dengan penuh nikmat. Aleeya berkira-kira untuk pergi berlari mendapatkan ibunya. Dia mahu bersujud di kaki ibunya, mohon kemaafan darinya.

Baru saja dia melangkah keluar dari pagar rumah,

PIN!!!!!!

Dia menjadi saksi ibunya digilis lori. Jantungnya berhenti berdegup melihat cebisan daging ibunya berselerakkan di merata tempat.

“MAKK!!!” jeritnya lantas pergi mendapatkan tubuh ibunya yang separuhnya sudahpun digilis oleh lori tadi. Tanpa membuang masa, pemandu lori itu terus memecut pergi, menggilis lagi sekali bahagian bawah badan ibunya pula.

Lututnya lemah dan dia jatuh terjelopok di tengah-tengah jalan yang sibuk. Dia menangis, meraung sepuas hati. Kepala ibunya pecah, manakala otak milik ibunya sudah terkeluar dari tempurung kepala.

“MAK MAAFKAN KAK LONG!!”

“MAK. KAK LONG MINTA MAAF MAK!!”

Dia menangis sepuas hati. Orang ramai mula berkerumun di tempat kejadian. Aleeya masih lagi duduk di tengah jalan, mengesali perbuatannya terhadap ibunya.

Dia tak sempat untuk memeluk tubuh ibunya,

Dia tak sempat untuk meminta maaf kepada ibunya atas perangainya itu,

Dia tak sempat sujud di kaki ibunya dan memohon keampuan dari orang tua itu.

Dia menyesal atas segala perbuatannya itu. seandainnya saja dia tidak memarahi ibunya tadi dan seandainya sajalah dia tak kedapur tadi semata-mata untuk meluahkan rasa bencinya terhadap ibunya itu, pasti ibunya masih lagi hidup..

Tak ada gunanya lagi untuk dia menangis. Ibunya sudah pergi jauh darinya dan tak akan kembali lagi. Mak, seadainya mak masih hidup, orang akan hargai mak dan orang tak akan menyusahkan mak lagi. Mak.. Baliklah mak. Orang janji, orang akan jadi anak yang baik lepas ni..


**

Segala karakter yang ada dalam cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup dan yang mati.

Selamat hari ibu kepada mama, Puan Khatijah Putra! I love you ma. Selamat hari ibu kepada semua ibu-ibu yang ada di dunia! Yall are the best! Appreciate your mom while you still have her in your life!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.