Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,876
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
PROLOG

PROLOG

Setahun yang lalu…

DARI luar, rumah dua tingkat itu kelihatan usang. Cat pada dinding luarnya putih kehijauan bersalut lumut terutama di bahagian tepi longkang. Tingkap-tingkapnya yang berkaca hijau tertutup rapat. Pintu hadapannya pula terbuka sebelah tetapi di tepi daun pintu kayu yang terbuka itu terletak sebuah beg kain yang mengandungi tukul, spanar dan pelbagai alat pertukangan lainnya. Tanda ada seseorang di rumah itu.

Prak! Bum!!! Keheningan rumah itu hilang seketika. Disusuli habuk yang berterbangan keluar dari sebuah bilik. Tidak lama selepas itu, seorang pemuda berlari keluar dari bilik itu sambil terbatuk-batuk. Dia tercungap-cungap di tepi pintu, mencari udara segar untuk bernafas.

Seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an ketawa besar melihat gelagat pemuda itu. Dia menggeleng seketika sebelum menyambung tugasnya menyapu cat pada dinding ruang tamu. Namun di hatinya berharap agar pemuda itu tidak lemah semangat membantunya di situ.

“Biasalah tu, kerja-kerja macam ni memang kotor sikit,” katanya separuh memujuk.

Pemuda itu diam sahaja. Membantah tidak, mengiakan pun tidak. Dia masih berdiri di muka pintu sambil menyapu mukanya yang disaluti habuk dan sawang.

Lelaki itu menjeling sekilas. Kemuraman wajah pemuda itu merisaukan hatinya. Dia bimbang sekiranya tugas yang diserahkan kepada pemuda itu terlalu berat untuk dilaksanakan seorang diri. Jika pemuda itu lari pula, dia juga yang susah.

“Banyak lagi ke?” Dia bertanya dengan ikhlas.

“Dah tumbang semua.” Pemuda itu menjawab sebelum melangkah masuk semula ke dalam bilik tadi.

Lelaki yang menyapu cat itu berhenti seketika melepas lelah. Namun cahaya matahari yang semakin hilang di luar rumah, membuatkan dia tidak senang duduk. Hari sudah petang, kerja masih banyak yang belum disiapkan. Jika begitulah keadaannya, mungkin segala kerja-kerja baik pulih di rumah itu akan mengambil masa lebih panjang daripada yang dijangkakan. Itu yang membuatkan hatinya bertambah tidak senang.

“Mat, kayu-kayu ni nak dibuang ke mana?” tegur pemuda tadi yang sudah keluar semula bersama cebisan papan lapis yang baru dirobohkan tadi.

“Rul, kau campak saja ke tepi rumah dulu. Nanti tuan rumah panggil lori.” Lelaki yang dipanggil Mat itu, meneruskan kerja-kerjanya.

Khairul tidak membantah. Arahan Mat segera dituruti. Dia keluar dari pintu belakang lalu mencampakkan kayu dan papan yang sudah reput itu ke sisi rumah. Sempat juga dia mencuri pandang ke arah rumah di sebelah yang nampak sunyi sepi. Selepas puas meninjau, dia melangkah masuk ke dalam rumah semula sebelum berhenti melihat Mat menyambung kerja-kerjanya.

“Cepatlah siapkan kerja tu. Dah dekat pukul 6.00 petang ni. Rumah ni bukannya ada elektrik.” Mat menghela nafas.

Dia berundur beberapa langkah ke belakang dan melihat dinding rumah itu yang sedikit sebanyak sudah bertukar seri. Nampak lebih cerah dengan warna kuning muda yang dicatnya sejak pagi tadi. Dia turut bercekak pinggang memerhati jika ada sudut-sudut kecil yang perlu dikemaskan sebelum pulang.

Dia maju ke depan semula. Mencangkung berdekatan dengan tin cat dan mengambil berus cat yang hanya selebar dua inci. Dicelup-celup dan kini dia berdiri semula berdekatan dengan tingkap yang menghadap ke ruang belakang rumah itu. Disapukan perlahan-lahan di tepi sudut dinding kerana masih ada yang dia terlepas pandang.

“Yang di dalam semua dah siap,” lapor Khairul yang sudah beberapa kali keluar masuk membuang kayu-kayu yang tidak diperlukan lagi. Dia juga sempat menyeka peluhnya dengan hujung baju kemeja lengan panjang yang dipakai sejak pagi tadi.

Mat angguk lega. Berus cat dikumpulkan setempat di dalam tin cat yang kosong. “Bolehlah kita balik, dah dekat pukul 7.00 petang ni.”

“Bilik tadi tu kita kena cat juga ke?”

Mat angguk lagi sambil mengemas-ngemas kertas-kertas yang dijadikan pengalas lantai. Semuanya dikeronyokkan dan diasingkan setempat. Dia tidak ada masa mahu berbual kosong, dia hanya mahu meninggalkan rumah itu sebelum senja menjelma.

“Siapa yang tinggal di rumah belakang ni, Mat?”

Kali ini Mat hanya mengangkat bahu. Dia memang tidak tahu apa-apa tentang rumah di belakang itu. Sejak dia berpindah ke taman bersebelahan, hanya beberapa kali dia melalui di hadapan rumah itu. Dia tidak pernah melihat sesiapa di situ dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk ambil tahu apa-apa.

“Sudahlah tu, buat apa tengok-tengok?”

Tanpa menghiraukan Khairul, dia membawa tin cat itu ke belakang rumah menuju ke sebuah paip di tepi tembok.

Sambil melangkah, dia masih berfikir. Dia faham apa yang bersarang di fikiran anak muda itu. Khairul pernah membangkitkan kisah rumah di belakang itu yang dikatakan berhantu. Begitu juga dengan rumah yang sedang dibaik pulih itu. Pendek kata kedua-dua buah rumah itu sudah menjadi bahan cerita mulut-mulut penduduk di sekitar tempat itu. Namun memandangkan upah yang diberikan oleh tuan rumah itu agak tinggi, sukar sekali baginya untuk menolak walaupun di dalam hatinya tetap terasa risau.

Sedang dia leka menggosok jari-jarinya di bawah air paip yang meleleh perlahan, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi suara yang halus.

“Xiao lau shu, shang deng tai, tou chi you, xia bu lai…”Kemudian senyap.

Serta-merta jantung Mat berdegup laju. Terasa darah menderu naik ke mukanya. Suara apa tu? Hatinya tertanya-tanya. Namun dia berusaha juga menyiapkan kerja-kerja pembasuhannya secepat mungkin. Sedang dia terkocoh-kocoh, dia terdengar lagi.

“Xiao lau shu, shang deng tai, tou chi you, xia bu lai, Miao, miao, miao, mao lai le, Ji li ku lu, kun xiao lai.” Kemudian diikuti dengan tangisan yang hiba dan panjang. Terdengar juga bunyi sesuatu yang diketuk atau dipukul bertalu-talu.

Mat tersentak, matanya memandang ke sekeliling. Apa yang kelihatan di matanya adalah daun-daun pokok Sukun yang merendang di atas kepalanya. Langit pula semakin gelap menandakan senja mula tiba, tanpa dapat ditahan nafasnya terasa sesak. Pelbagai bayangan ngeri hinggap di kepalanya.

“Xiao lau shu, shang deng tai, tou chi you, xia bu lai…” Suara kecil itu kedengaran lagi, diikuti esak tangis yang semakin kuat.

Mata Mat menjadi besar, bulu romanya meremang. Berus cat dicampakkan saja. Semasa dia menutup pintu belakang, esak tangis yang mendayu itu masih kedengaran dari pokok sukun itu. Mat tidak berpaling lagi.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.