Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,871
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 3

BAB 3

Keesokkan harinya…

Ipoh, Perak

“SORRY lah brother, adik aku tak jadi pula pindah. Sorryya.”

“Mana boleh macam tu, bro? Lusa aku dah kena masuk kerja. Mana sempat lagi nak cari rumah sewa lain?” Nafas Rafiq semakin kencang keluar masuk. Kepalanya nanar seketika.

“Habis? Aku pun tak boleh buat apa.”

“Aku tambah sewa lagi satu ratus. Macam mana?”

“Tak bolehlah… adik aku nak pakai bilik tu. Sorry, bro.” Panggilan diputuskan.

Rafiq berdengus keras. Ingin sahaja dia menelefon lagi, lelaki yang pernah berjanji akan menyewakan sebuah bilik di rumahnya pada dua minggu lalu. Alih-alih pula di saat-saat akhir begini, berubah fikiran. Namun dia sedar, tidak ada gunanya jika dia berbuat begitu. Keputusan nampaknya sudah muktamad, entah apa sebabnya dia sendiri kurang pasti. Tanpa sedar, dia termenung kosong di kerusi taman di luar rumahnya dengan perasaan marah yang membuak-buak.

“Kenapa termenung saja ni?” tegur seorang wanita dalam usia 50-an. Tubuhnya kurus seperti tubuh Rafiq juga. Wanita itu duduk di hadapan Rafiq dengan wajah yang prihatin. “Macam ada masalah saja.”

Rafiq melepaskan keluhan. Dia tidak pasti apa yang harus dilakukan sekarang.

“Orang yang nak sewakan bilik kat Melaka tu, kata tak jadi pula, mak. Geram betul dibuatnya. Kalau cakap awal-awal, kan senang?” Dia termenung lagi. Perasaan geramnya masih meruap-ruap.

Ibunya juga mengeluh perlahan. Sambil tunduk merenung meja, ibunya bersuara. “Mak suruh tumpang rumah mak andak kamu, kamu tak mahu. Pergilah saja rumah mak andak tu dulu. Kalau kamu malu nak cakap, biar mak yang telefon. Mereka mesti tak menolak punya.”

“Memanglah mereka tak menolak tapi saya yang segan, mak. Mereka tu pun bukannya saudara dekat kita. Entah-entah, saya ni menyusahkan saja nanti.”

“Kamu memang macam tu, cukup susah nak ke rumah saudara-mara kalau ke mana-mana. Habis tu nak tinggal di mana nanti?”

Anak mata Rafiq kini melirik ke arah ibunya. Dia tahu ibunya hampa dengan keputusannya tetapi dia memang berat hati untuk menyusahkan sesiapa. Dia rasa segan. Dia lebih rela tinggal di hotel jika perlu.

“Tengoklah nanti. Mungkin saya sewa hotel dulu, itu pun kalau kawan dekat sana tak dapat tolong.”

“Sewa hotel? Mahal tu…”

“Terpaksalah, mak. Nak buat macam mana lagi? Paling murah pun, sepuluh hari dah sama dengan sewa rumah sebulan. Kena hantar baju ke dobi lagi, kena makan di kedai. Memang banyak jugalah perbelanjaan bulan ni kalau tak dapat bilik sewa.”

“Ada kawan yang boleh carikan?” tanya ibu Rafiq lagi. Di wajahnya sudah terbayang kerisauan terhadap anak sulungnya itu.

Rafiq angguk. Sambil memaksa dirinya untuk tersenyum dia menjawab, “Harap-harap dia sempatlah tolong carikan malam ni atau esok.”

“Eloklah tu. Esok nak bertolak pukul berapa?” Ibunya bangkit meninggalkan kerusi batu di sisi rumah dua tingkat yang sudah berusia hampir 14 tahun itu. Wajahnya sedikit risau.

“Dah jadi macam ni… saya rasa nak bertolak pagilah, mak. Sempat juga pusing-pusing tempat tu cari rumah kalau perlu.”

Ibunya tidak bertanya lagi, sebaliknya berjalan perlahan masuk ke dalam rumah.

Rafiq hanya menjeling sehingga tubuh ibunya hilang di balik pintu. Dia faham perasaan ibunya tetapi keputusannya sudah muktamad. Dia tetap mahu pergi ke Melaka dan dia tidak akan membiarkan perkara seperti itu menjadi penghalang. Dia kembali menatap skrin telefon bimbitnya. Dadanya berdebar.

Anak matanya leka meneliti satu demi satu nama yang ada di dalam buku telefonnya. Akhirnya pencariannya terhenti pada sebaris nama yang baru dimasukkan beberapa hari yang lalu. Dia mengeluh perlahan sambil melemparkan pandangan ke arah rumah yang bertentangan dengan rumahnya, dia menekan butang CALL. Sebaik sahaja panggilannya dijawab, dia berasa mukanya panas. Rasa segan, rasa kekok semuanya ada.

“Helo, boleh saya bercakap dengan Mr. Jeremy?” Dia memaksa suaranya keluar.

“Ya, bercakap. Ada apa?” tanya satu suara yang sangat lembut dan perlahan.

Rafiq mula berpeluh. Dia mula ragu-ragu terhadap tindakannya itu. Namun dia tidak mempunyai seorang kawan pun yang tinggal di Melaka untuk meminta tolong. Paling dekat yang ada pun ialah di Muar, tentulah akan menyusahkan pula.

“Saya… Rafiq. Mohamad Rafiq. Akauntan yang akan masuk kerja lusa.”

“Oh! Encik Rafiq… apa khabar? Headquarters memang sudah beritahu kami yang encik akan datang lusa.”

Rafiq menarik nafas. Jantungnya berdegup pantas.

“Ya, betul. Saya akan mula kerja lusa tapi saya ada masalah sikitlah, Mr. Jeremy.” Dia diam, rasa cemas dan segannya memuncak.

“Masalah? Masalah apa?”

“Tempat tinggal. Sampai petang ni, saya masih belum dapat tempat tinggal dekat-dekat situ,” terang Rafiq. Serentak itu dia berasa sedikit lega. Seperti terlepas beban di dada.

“Tempat tinggal ke? Tak apa, tak apa. Awak datang sini dulu, nanti saya cuba carikan untuk awak kalau ada.”

Rafiq tersenyum. Tangan kirinya mencengkam pemegang kerusi dengan kuat. Walau dia belum pernah berjumpa dengan pengurus sumber manusia syarikat tempat dia akan berkhidmat itu, dia mula rasa segalanya akan berubah baik sedikit masa lagi.

“Terima kasih, Mr. Jeremy.”

“Awak datang sini esok, kan?”

“Ya, mungkin paling lewat pun, petang saya dah sampai ke Melaka,” jawab Rafiq dengan yakin sambil mencongak-congak berapa jam perjalanan yang perlu ditempuhinya dari Perak ke Melaka esok hari.

“Nanti bila sampai, terus jumpa saya.”

“Okey, terima kasih sekali lagi, Mr Jeremy. Jumpa esok.” Rafiq memutuskan talian dengan 1001 harapan.

Dia tersandar kelesuan. Kepalanya masih bengang. Tanpa semena-mena dia terpaksa berharap kepada orang yang tidak pernah dikenalinya pula untuk membantu. Dia rasa tidak berdaya dan hampa. Namun dia juga tidak ada pilihan kerana itulah keputusan yang dipilih sendiri. Dia tidak akan mengalah.

*******

KEESOKAN harinya, cuaca mendung sahaja pada sebelah pagi. Walau hujan yang turun di sepanjang malam telah berhenti, namun langit masih berat dan berwarna kelabu di serata tempat. Bagaikan membawa petanda ada hati yang sarat dengan kesedihan.

Dalam keadaan itu, Rafiq terpaksa berlari berulang-alik ke keretanya memasukkan barang-barang yang hendak dibawa. Beg yang pertama sudah berada di tempat duduk belakang kereta MyVinya bersama beberapa buah kotak yang mengandungi beberapa barang peribadi yang penting. Kini, dia memasukkan beg yang kedua pula. Setelah semuanya ada dan terletak dengan baik, dia berasa masanya telah tiba untuk dia memulakan perjalanan ke Melaka.

“Saya pergi dulu, mak, ayah,” katanya sambil tunduk menyalami tangan ibu dan ayahnya yang turut keluar melihat dia bertolak. “Nanti kalau dapat tawaran masuk mana-mana, telefon abang,” katanya pula kepada adik bongsunya Mardiana yang turut keluar ke pekarangan rumahnya.

Adiknya tersengih. “Abang tu jangan sibuk bekerja saja. Cari-carilah kakak ipar sorang.”

Rafiq tergamam apabila terdengar usikan adiknya itu. Dia hanya mengeluh.

Ibu dan bapanya ketawa melihatkan gelagat mereka dua beradik.

“Bawa kereta tu baik-baik. Jalan raya licin ni lepas hujan.” Ayahnya menepuk bahunya dengan mesra.

Rafiq angguk sambil mengerling ke arah ibunya yang berwajah muram. Hatinya mula terasa serba-salah. Dia memang tidak suka saat-saat perpisahan seperti itu tetapi dia perlu menghadapinya jua. Itu pilihannya.

“Mak, jangan lupa makan ubat. Jangan buat kerja rumah banyak sangat. Sementara Mar cuti tu, suruh dia buat kerja rumah. Ni asyik main SMS dengan pak we saja tahu.”

“Pergilah cepat!” balas adiknya sambil menolak tubuh Rafiq ke hadapan.

“Yalah. Nanti sampai sana telefonlah sini. Kalau tak dapat sangat tempat tinggal, telefon mak andak kamu tu,” Ibunya menjawab dari tepi pagar.

Rafiq ketawa kecil. Ibunya tidak habis-habis menyuruhnya ke rumah saudaranya. Nantilah, mungkin dia akan pergi melawat apabila masalahnya sudah selesai. Sebelum leteran ibunya bertambah panjang, dia segera meminta diri.

“Kalau tak ada apa-apa, Fiq jalan dululah. Nanti lambat pula sampai sana.”

Ibu bapanya hanya mengangguk.

Dia melangkah dengan tenang menuju ke keretanya. Dia tidak bimbang langsung dengan perjalanan itu cuma bimbang dengan apa yang akan dihadapinya di sana kelak. Senangkah, susahkah… dia hanya pasrah kerana itu pilihannya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.