Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,945
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 6

Bab 6

“BUAT apa susah-susah sewa bilik? Tidur di rumah aku kan boleh?” kata kawan lama Adam. Namanya Syamsul, sewaktu mereka berjumpa di sebuah gerai makan di luar Melaka Sentral pada sebelah malam. Wajahnya begitu serius. Mi goreng di dalam pinggannya pun belum disentuh lagi.

“Tak apalah. Lain kali sajalah.” Adam menepuk bahu Syamsul.

Dia betul-betul tidak berniat untuk mengecilkan hati kawannya itu. Namun pengalaman hidupnya mengajar agar tidak mengambil kesempatan di atas budi baik kawan.

“Engkau sampai pukul berapa hari tu?”

“Dekat pukul 11.00 malam. Aku singgah ke rumah mak mertua aku dulu sebelum tu. Cari punya cari, dapat bilik dekat Jalan Semerang.” Adam menjawab dengan tenang. Nasi goreng kampung di dalam pinggannya disuap perlahan-lahan.

“Jalan Semerang? Ada hotel ke dekat situ?” Syamsul berkerut dahi seperti cuba mengingati sesuatu.

Adam tersenyum. “Rumah tumpangan saja. Aku bukannya nak datang melancong.”

Syamsul turut ketawa kecil apabila mendengar kata-kata gurauan Adam itu. Setelah ketawanya hilang, wajahnya kembali serius.

“Aku dah cuba cari di sekitar sini, kalau-kalau terserempak dengan kereta tu lagi tapi tak ada.” Dia pandang Adam yang seakan tergamam apabila terdengar kata-katanya.

Mata Adam terkelip-kelip. Namun belum sempat dia menjawab, Syamsul berkata lagi.

“Ha… aku ada tangkap gambar kereta tu tapi tak jelas sangatlah.” Syamsul membuka album gambar di dalam telefon bimbitnya untuk ditunjukkan kepada Adam. “Ni dia.”

Tangan Adam menggigil menyambut telefon yang dihulurkan Syamsul. Telefon milik Syamsul itu diletakkan segera di atas meja. Matanya terpaku ke arah sebuah imej yang kabur. Namun dia dapat melihat sesuatu, dadanya berdebar.

“Bluetooth ke telefon aku,” pintanya.

Syamsul angguk. Dalam seminit dua, gambar itu sudah berada di dalam telefon Adam pula. “Bila kau nak pergi cari?”

“Aku dah ke sana pagi tadi, tak ada sesiapa pun yang perasan mereka berdua. Semalam pun aku dah perhatikan tempat tu dari sini,” balas Adam.

Syamsul melemparkan pandangan ke arah bangunan Pasar Besar Melaka yang terletak hanya di seberang jalan dari tempat mereka duduk. Pasar itu nampak lengang dan sunyi kerana waktu perniagaan di situ telah pun tamat.

“Masa aku nampak dia hari tu, lebih kurang pada pukul 9.40 pagi. Cubalah kau datang awal-awal esok. Manalah tahu kalau mereka datang lagi?”

Adam angguk sahaja. Memang itulah rancangan dia esok pagi dan pada pagi-pagi yang seterusnya. Dia masih lagi merenung imej yang diterima tadi. Apa yang dilihat adalah bahagian tepi kereta yang berwarna putih. Dalam kekaburan imej itu, dia dapat melihat topi kelabu yang dipakai lelaki itu. Dia berdebar-debar. Mungkinkah lelaki itu yang menculik Liyana? Mungkinkah?

“Terima kasih untuk maklumat kau ni.”

“Kau tak nak beritahu pihak polis?”

Dia geleng cepat.

“Mungkin mereka boleh buat roadblock,” sambung Syamsul lagi.

Dia geleng lagi sambil memandang wajah Syamsul lama-lama. Wajah kawan sekolahnya yang sudah bertahun tidak berjumpa. Perhubungan hanya terjalin semula apabila dia menyiarkan berita kehilangan Liyana di dalam surat khabar tiga tahun yang lalu. Sejak itu dia dihubungi oleh rakan-rakan lamanya semula untuk menyatakan rasa simpati mereka, salah seorangnya ialah Syamsul yang duduk di hadapannya sekarang.

“Maklumat kita tak kuat,” jawabnya ringkas sambil melepaskan keluhan.

“Tak kuat?” Syamsul terkelip-kelip.

Dia angguk sambil mengangkat kening. Perkara itu bukan sesuatu yang asing lagi kepadanya. Malah dalam masa tiga tahun, entah berapa kali dia memberikan maklumat sebegitu kepada pihak polis tetapi hasilnya tetap nol. Lama-kelamaan dia pun sudah serik untuk menyusahkan pihak polis lagi. Biarlah kali ini dia siasat dulu betul-betul.

Syamsul tergaru-garu kepalanya. Dia mengeluh sambil menggeleng. “Kalaulah aku cepat sikit hari tu.”

Adam tersenyum lagi. Rungutan yang keluar dari bibir Syamsul itu menyentuh hatinya. Dia bersyukur kerana sejak dia kehilangan Liyana, ramai kawan-kawannya tampil membantu sedikit sebanyak. Namun dia juga yakin, Tuhan masih belum mahu menemukan dia dengan Liyana walau dia tidak akan berhenti berharap.

“Tak apalah, Syam. Semua tu ketentuan Tuhan,”

“Kau boleh relaksya? Kalau akulah… aku tak tahu apa akan jadi.”

Adam cuma ketawa kecil. Ketawa yang hanya dia yang faham apa rasanya. Relaks? Sejak bila dia relaks? Malah sejak Liyana dibawa lari, siang dan malamnya seolah tidak ada bezanya lagi. Itukah relakspada pandangan Syamsul?

“Dah tiga tahun berlalu, Syam. Apa yang kau jangkakan aku akan buat?”

“Betul kata kau, maafkan aku,” kata Syamsul pula, wajahnya membayangkan kekesalan dan simpati yang dalam. “Cuma aku harap dapat membantu lebih daripada itu.”

“Ini pun dah cukup baik. Kalau betul itu Liyana, bermakna dia masih hidup. Syukur, Alhamdulillah.” Adam cuba tersenyum supaya Syamsul tidak berkecil hati dan tenggelam dalam rasa kesal.

“Jika aku lapang, aku akan bantu kau cari Liyana.”

“Terima kasih, Syam,” balasnya seraya tersenyum.

Dia tidak mungkin akan menolak apa-apa pun pertolongan walau sebesar zarah sekalipun. Lagipun Syamsul lebih arif dengan tempat itu berbanding dia.

******

SETELAH meninggalkan Melaka Sentral, Adam terus balik ke rumah tumpangannya. Perjalanan yang jauh dari Kerteh ke Melaka dan pencariannya yang tanpa henti, mula memberi kesan. Sekujur tubuhnya dipanjat keletihan yang amat sangat. Pada saat itu, dia hanya terbayangkan katil dan bantal di biliknya.

Sebaik sahaja kakinya memijak anak tangga, telinganya sudah menangkap bunyi televisyen berbahasa Mandarin. Dia mengeluh perlahan. Mujurlah biliknya jauh ke belakang. Kalaulah di bahagian hadapan, mungkin dia perlu menutup telinga sepanjang berada di situ, fikirnya. Namun dek kerana kepenatan yang makin terasa, dia mengagahkan diri juga untuk naik ke atas. Setibanya di tingkat dua, dia tergamam.

Permandangan yang dilihat kini, jauh berbeza dari apa yang dilihat malam tadi. Kini ruang tamu itu dipenuhi oleh ramai orang. Kebanyakannya perempuan atau ‘seakan-akan perempuan’. Kehadirannya segera menjadi perhatian. Semua mata-mata yang beralis lentik di situ menoleh dengan wajah yang gembira.

“Abang! Mau pakai tak?” tanya seorang ‘wanita’ yang berambut lurus melepasi bahu.

Mukanya bujur sireh dengan dagu yang runcing. Solekannya begitu tebal dengan warna gincu merah menyala. Pakaiannya sendat dengan skirt pendek atas lutut dan baju-T ungu yang berkilat.

Adam cuma menggeleng. Pandangan mata yang menyeluruhi tubuhnya dari atas ke bawah itu tidak diendahkan. Langkahnya makin dilajukan. Dia tidak perlu ambil tahu tentang mereka atau apa yang sedang terjadi di situ. Masalahnya sudah sedia banyak, dia cuma mahu melepaskan lelah malam itu.

“Bukannya mahal sangat bang, RM 20.00 saja…” pujuk perempuan cantik berbahu bidang itu lagi sambil melentok-lentok di tepi dinding.

Adam hanya memekakkan telinga. Dua puluh ringgit ke, sepuluh ringgit ke atau percuma sekalipun, dia tidak mahu tahu. Kedatangannya ke situ bukan untuk menambah dosa malah dia sentiasa berdoa agar hatinya terpelihara dari godaan dunia yang semakin hari semakin hebat.

Setelah mengunci pintu, dia segera memetik suis lampu. Suis kipas juga diputar ke paras yang maksima. Tanpa berlengah dia merebahkan tubuhnya ke atas tilam yang cadarnya sedikit berkedut. Serta-merta tubuhnya terasa makin lega.

Dia cuba melelapkan mata namun kelopak matanya terasa pedih. Akhirnya dia terkelip-kelip merenung siling putih di atas kepala. Fikirannya serta-merta melayang ke pasar besar semula. Segala yang dilihat pagi tadi, segala suara manusia yang ditemui dan semua lorong dan pintu keluar pasar yang terbuka itu cuba diingatkan semula. Secara tiba-tiba kedengaran ketukan yang lembut di pintu biliknya.

Adam memasang telinga. Mungkinkah dia tersalah dengar? Sedang dia terfikir-fikir, ketukan itu kedengaran lagi bersama suara yang sayup-sayup. Kini dia yakin, memang pintu biliknya yang diketuk. Lantas dia bangun menghampiri pintu. Belum sempat dia membukanya kedengaran ada suara yang memangil.

“Abang… mahu pakai tak? Murah saja.”

Dadanya berdebar. Perempuan itu lagi, keluhnya dalam hati. Tubuhnya yang lesu dirasakan makin lesu. Suara di luar sana tidak henti-henti merengek dan merayu. Kepalanya mula pening. Apabila ketukan kedengaran lagi, dia membuka pintu.

“Boleh tak awak jangan ganggu saya? Saya nak bersolat,” katanya tenang sambil merenung wajah ‘wanita’ di hadapan pintunya itu. Dia yakin ‘wanita’ itu faham apa ertinya solat.

Wanita itu terdiam. Senyuman di wajahnya pudar. Di ruang matanya tergambar kengerian. Sehingga pintu bilik itu ditutup semula, dia terus terpaku di situ bagaikan patung.

Sebaik sahaja mengunci pintu, Adam menarik kain pelekat yang terlipat elok di sudut katilnya. Seluarnya dilucutkan, dan kini dia berkain pelekat sahaja. Dengan langkah yang longlai dia menuju ke bilik air untuk mandi dan bersolat Isyak. Semasa dia menutup pintu bilik air, ketukan di pintu tadi sudah tidak kedengaran lagi.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.