Home Novel Seram/Misteri The Melody
The Melody
Akma Saidon
21/8/2014 21:28:37
16,959
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Music Crystal College - 2015

Meliar mata Ezzyra memerhati ke segenap ruang hutan batu yang terbentang di hadapannya. Terteleng-teleng kepalanya melihat satu demi satu bangunan yang bercat merah dan kelabu. Dia tergaru-garu mencari penanda arah. Tubuhnya yang rendah menyukarkan pencarian. Dia perlu mendongak ke atas, mencari-cari nama atau apa sahaja yang membantu pencariannya.

Ezzyra terus-terusan mencari. Sesekali diseka peluh yang terbit di dahi. Mukanya yang putih sudah mula kemerah-merahan disengat mentari pagi. Matanya dikecilkan, menahan silau yang memancar. Sesekali pula disibak rambut ikal mayangnya yang panjang mencecah pinggang ke belakang apabila disambar hembusan bayu.

“Kau cari apa?”

Hampir gugur jantung Ezzyra disapa begitu. Pantas dia menoleh, melihat gerangan siapakah yang menegur. Terlukis riak lega di balik wajahnya sebaik terpandangkan seseorang dengan senyuman meleret mempamerkan raut wajah manis.

Sekilas Ezzyra meneliti. Perempuan, mungkin sebaya dengannya. Kurus dan tinggi lampai orangnya. Dalam lingkungan 163cm. Putih kuning kulitnya dengan rambut hitam lurus melepasi bahu.

“Hello!”

Gadis tinggi lampai itu melambai-lambaikan tangan betul-betul di hadapan muka Ezzyra. Terkebil-kebil dia menelek wajah gadis yang ditegurnya itu. Ezzyra hanya memerhatikan lambaian tangan tersebut.

“Ehem!” gadis itu berdehem agak kuat.

“Err.. The Melody. Cari The Melody,” balas Ezzyra agak perlahan. Diunjukkan sekeping kertas putih di tangan, yang hanya dibalas kerlingan oleh perempuan itu.

“Oh! Jadi, kaulah pelajar yang satu lagi tu ye?” ujar gadis tersebut. Juga dengan sedikit senyuman sebagai penghias mulut. Ezzyra hanya tersengih sumbang.

“Aku Shazreen! Jom aku bawak kau ke The Melody. Aku pun budak The Melody juga, dan untuk pengetahuan kau, cuma lima orang je tau budak-budak The Melody termasuklah kau!” ujar Shazreen panjang lebar. Ezzyra masih seperti tadi, hanya tersengih.

Kedua gadis berusia awal lapan belas tahun itu berjalan perlahan. Dari satu bangunan ke satu bangunan disusuri. Dari satu lorong ke satu lorong diredahi, akhirnya mereka berdua terpacak di hadapan bangunan paling belakang.

Tersenggam gagah nama ‘THE MELODY’ menghiasi pintu gerbang rumah kediaman pelajar tersebut.

Ezzyra meliarkan matanya memerhati sekeliling The Melody. Salah satu rumah kediaman buat mereka yang belajar di Music Crystal College. Letaknya agak terkebelakang dan tersorok. Dikelilingi rimbunan bunga anggerik biru mengindahkan lagi suasana kawasan itu. Terdapat sebuah gazebo tidak berdinding di sebelah kiri luar The Melody menjadikan kediaman itu seolah-olah terbina di dalam sebuah taman.

Cantiknya... desis hati Ezzyra. Dia terpegun dek keindahan yang terpapar di hadapan mata. Tanpa sedar, kakinya melangkah merapati rimbunan anggerik biru yang tumbuh meliar. Dia benar-benar terpesona dengan keindahan alam ciptaan tuhan itu.

“Hei!! Sini!!” jerit Shazreen betul-betul di telinga sambil merentap lengan kiri Ezzyra. Hampir terjatuh gadis itu. Ezzyra terpinga-pinga.

“Kenapa?” soal Ezzyra. Dia terkebil-kebil memerhatikan riak Shazreen yang tampak gelisah. Gadis itu seakan tidak membenarkan dia mendekati rimbunan anggerik biru tersebut. Tingkahnya tampak mencurigakan.

“Kau tak rasa seram ke tengok anggerik biru ni? Bukan senang tau nak dapat anggerik biru yang tumbuh meliar macam ni..” ujar Shazreen. Tingkahnya semerta menjadi serba tak kena.

“Seram? Takdelah! Cantik apa anggerik biru ni semua..” bidas Ezzyra.

“Jom masuklah!” ujar Shazreen tiba-tiba. Segera dia mengheret tubuh kecil molek Ezzyra menuju ke pintu utama.

Ezzyra hanya menurut, namun sempat juga matanya mengerling kembali ke arah rimbunan anggerik yang memagari kawasan kediaman tersebut. Sepasang matanya sempat menangkap segugus ayat di sebalik rimbunan anggerik itu. Ezzyra mengerutkan keningnya. Aku akan kembali.. desis hati Ezzyra. Aku? Siapa? Dia bertanya sendiri.

Sebaik kaki memijak lantai The Melody, semerta menderu angin yang entah dari mana. Terkial-kial Ezzyra membetulkan rambut panjangnya yang hampir kusut diterpa angin petang. Shazreen di sisi juga begitu. Laju sahaja tangannya meraup rambutnya ke belakang.

“Shaz! Siapa dia ni?”

Ezzyra terkebil-kebil memerhatikan orang yang bertanya. Lelaki. Tingginya lebih kurang 175cm. Berkulit sawo matang dengan rambut yang dipotong rad pompadour. Mata Ezzyra beralih pula pada lelaki di sebelah yang bersuara. Lelaki itu lebih tinggi. Mungkin lebih kurang 188cm. Berkulit putih merah dengan rambut yang dipotong quiff. Bermata sedikit sepet dengan susunan kening yang berbentuk, agak lebat dan seakan bercantum.

Ezzyra masih ralit memerhati. Matanya beralih pula pada seorang lagi pelajar yang menghuni The Melody. Gadis itu kecil molek. Lagi kecil dan rendah daripada Ezzyra sendiri. Mungkin dalam lingkungan 150cm sahaja tingginya. Berkulit putih kuning seperti Shazreen. Berambut lurus dan pendek separas bahu. Bermata agak besar dan galak.

“Hello!!”satu suara menyergah. Ezzyra terpinga-pinga.

“Kau ni memang suka berangan, kan? Well, kitorang tanya tadi, nama kau apa?” ujar Shazreen bersahaja. Bulat matanya menantang Ezzyra yang terkebil-kebil.

“Ezzy.. Ezzyra.”

Ezzyra tersenyum mesra. Tersengih-sengih mempamerkan lekuk lesung pipit di kedua belah pipinya. Pipi yang berlekuk itu perlahan-lahan mulai merona merah. Agak segan diperhatikan banyak mata.

Shazreen sekadar memandang kosong memerhatikan tindak balas tiga yang lainnya. Sama seperti Ezzyra, dia juga mudah tersipu-sipu malu apabila mendapat tumpuan ramai. Dia mudah kekok berhadapan dengan pandangan mata umum.

“Hai Ezz, aku Aliana. Kau boleh panggil Lily. Yang ini Eddry dan yang itu Reezal..” ujar gadis kecil molek. Ezzyra sekadar tersengih.

Well, kita cuma berlima dekat sini. Dengar khabarnya akan ada orang yang jadi RS kita dekat sini tapi tak tahu siapa. Jadi, kita tunggu jelah ye!” ujar Eddry. Ezzyra sekadar mengangguk kecil mendengarkan kata lelaki berambut terpacak-pacak itu.

Music Crystal College - 2016

TERKEBIL-KEBIL mata lima anak muda itu mendengarkan kata-kata yang diucapkan dari salah seorang daripada empat pegawai tertinggi Music Crystal College. Entah apalah yang penting sangat sampaikan lima sekawan itu dipanggil menghadap mereka di bilik perjumpaan Music Crystal College.

“Untuk MCC’s Night nanti, saya harap The Melody boleh perform tiga lagu. Dua lagu masa show and satu lagu lagi untuk ending. Cuma The Melody je yang kami berikan tiga lagu. Macam The Instrument, The Voice dan The Lyric kami berikan cuma dua, boleh?”

“Boleh tu boleh, puan. Takde masalah, cuma agak pelik sikit. Kenapa kami diberi tiga lagu pula sedangkan yang lain cuma dua?” soal Eddry. Berkerut-kerut keningnya meningkah kata.

“Sebab, prestasi kamu berlima memberansangkan. Bukan ke semester lepas kamu berlima dapat DL. Walaupun sibuk dengan The Melody, kamu tetap juga utamakan tugas sebagai pelajar. Jadinya, lagu ketiga tu macam satu bonuslah buat kamu semua.”

Terangguk-angguk mereka mendengarkan jawapan balas dari Puan Sharifah. Salah seorang orang penting di dalam pengurusan Music Crystal College. Selalunya, jikalau para pelajar punya masalah dengan jadual sebagai pelajar dan juga tugas sebagai ahli band masing-masing, Puan Sharifahlah tempat mereka rujuk.

“Lagi satu saya nak beritahu kamu, mungkin hari ini atau esok The Melody ada ahli keluarga baru.”

“Maksud Encik Radzi?” soal Shazreen pantas. Buntang matanya memerhatikan Encik Radzi yang tersenyum penuh makna.

“The Melody akan terima ahli rumah baru, paling lewat esok. Perempuan,”balas Encik Radzi.

Shazreen berkerut dahi. Aliana tercengang-cengang. Eddry terpinga-pinga. Hanya Reezal sahaja yang beriak tenang manakala Ezzyra pula sudah mempamerkan mimik muka kebosanan. Berkali-kali dia meraup mukanya yang kengantukkan sebelum kembali menompang dagu. Hish! Bila nak habis ni! Hatinya membentak kecil.

Semerta ingatan Ezzyra kembali ke bantal dan tilam di bilik bujangnya. Bilik yang tidak di kongsi dengan sesiapa. Bilik serba oren di rumah kediaman mereka yang diberi nama The Melody. Seronoknya lahai kalau dapat tidur. Tidur.. tidur.. hati kecil Ezzyra terus-terusan berangan. Fikirannya sudah melayang jauh. Pusat tumpuannya sudah tidak ada lagi di dalam bilik perjumpaan yang serba mewah siap berpenghawa dingin itu.

Sudah hilang tentang persembahan The Melody masa MCC’s Night. Sudah lari juga tentang ahli baru The Melody.

Ezzyra hanya ingin pulang segera ke The Melody. Ingin segera mendapatkan bilik bujangnya yang serba oren. Ingin memeluk bantal busuknya dan ingin berbaring selesa di tilam empuknya.

“Nampaknya, Cik Ezzyra kita dah sampai ke kota London. Jadi, sampai di sini sajalah perjumpaan kita buat masa ni. Nanti, saya akan update dari masa ke semasa,” ujar Puan Sharifah. Geli hatinya melihatkan ulah Ezzyra yang sudah mamai.

Ezzyra masih tidak sedar. Fikirannya terus menerawang entah ke mana. Tidak dipedulikan langsung kata-kata usikan dari Puan Sharifah. Hanya bantal busuknya sahaja yang terbayang-bayang di mata. Ahh! Indahnya kalau dapat tidur. Lamunnya lagi.

Sedang dia kesibukkan melayani lamunan yang sudah sampai ke hujung dunia itu, bahu kirinya dicuit lembut. Ezzyra tersentak kecil sebelum menoleh sekilas. Terkebil-kebil dia memerhatikan Shazreen yang memandang wajahnya.

Bulat mata Shazreen memerhatikan riak wajah Ezzyra yang kelihatan agak kehairanan. Ezzyra pula bertingkah serupa. Matanya sama bulat memerhatikan Shazreen yang terkebil-kebil. Ulah keduanya hanya diperhatikan tiga yang lainnya tanpa ada niat mahu mencampuri.

‘Aikk! Nak main tenung-tenung, renung-renung pulak ke?’ hati kecil Ezzyra berdesis.

Hanya seketika, Shazreen bangkit dari duduknya lalu berdiri terpacak. Matanya masih lagi membulat memerhatikan Ezzyra yang jelas terpinga-pinga. Terkebil-kebil Shazreen melihat sambil mempamerkan muka kehairanan. Ezzyra bertambah pelik. Semerta keningnya bertaut dengan mata yang semakin membulat.

‘Kenapa Shaz ni?’ soal Ezzyra di dalam hati. Dia langsung tiada niat untuk menyuarakan sebarang rasa.

“Ezzy, tak nak balik ke?” tegur Reezal perlahan.

Ezzyra tersentak lalu mengangguk pantas. Kalut tingkahnya saat itu. Empat sahabat yang melihat, sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya melihatkan tingkah kalut sebegitu. Dah biasa. Faham benar dengan perangai Ezzyra yang mudah terkaku dan kalut tidak tentu fasal.

“Babah dah sampai ke?” soal Ezzyra bersahaja. Sengaja menutup salahnya dengan bertanya tentang penjaga mereka yang dipanggil Babah. Laju kakinya melangkah merapati empat sahabatnya yang masih setia menunggu. Tidak lama, lima anak muda itu melangkah agak pantas meninggalkan bilik perjumpaan serba mewah tersebut.

“Belum.. aku nak pergi tandas kejap,” balas Aliana. Laju kakinya menyimpang arah bertentangan.

“Ikut!!!” jerit Ezzyra dan Shazreen serentak. Tergeleng-geleng kepala Reezal dan Eddry melihatkan telatah teman-temannya itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.