Home Novel Seram/Misteri The Melody
The Melody
Akma Saidon
21/8/2014 21:28:37
16,989
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog

Kampong Bentara Jingga – 1917

“Hong ui la heng. Niat ingsun matek ajiku. Aji petingo engan. Soko aji soko yen sopo ketiban. Jin setan peri prayangan podo. Mati ojo maneh rebaking. Janho manungso ora mati. Amblek sar turune koyo mati. Ora pisan pisantangi yen aku. Duri hong uilameng.”

Suara Mbah Piah berlagu mantera. Dengan mata yang terpejam, dia asyik berkumat-kamit sendirian. Sesekali, jari-jemarinya mencubit cebisan halus kemenyan lalu ditabur ke dalam bara api. Serentak itu juga asap putih berkepul-kepul memenuhi ruang udara lalu menghasilkan bauan yang menyengat rongga hidung.

Sayup-sayup terdengar lolongan suara pekikan. Semakin lama suara itu semakin mendekat. Tumpuan Mbah Piah terganggu. Dicelikkan matanya sambil mempamerkan wajah meluat. Hatinya mendengus marah. Suara pekikan di luar rumahnya semakin merimaskan. Mahu atau tidak, Mbah Piah terpaksa juga mengatur langkah mendapatkan bingkai pintu yang sudah lusuh benar keadaannya.

Berkeriut bunyi apabila pintu rumah tua itu di kuak dari dalam. Tersembul muka Mbah Piah dengan wajah masam mencuka. Tak berkenan sungguh dia dengan kedatangan orang kampong ke rumahnya malam-malam buta seperti itu.

“Mahu apa datang ke rumahku malam-malam begini?” soal Mbah Piah keras. Tajam pandangan matanya menikam satu-persatu wajah-wajah di hadapannya.

“Kami ke mari bukan berniat jahat, Mbah! Kami cuma mahu Mbah keluar dari kampong ni. Itu saja,” ujar Seman. Antara pemuda-pemuda kampong yang ikut serta menyerbu rumah Mbah Piah malam itu.

“Kamu mahu menghalau aku dari sini dan itu yang kamu katakan bukan berniat jahat? Apa kamu mahu serahkan nyawamu padaku?” tujah Mbah Piah. Terselit senyuman sinis di balik bibir hitamnya.

“Sudah-sudahlah Piah. Kita dah sama-sama tua. Sampai bila kamu mahu lakukan perbuatan khurafat tu? Sampai bila kamu nak tagih nyawa manusia? Mengambil nyawa manusia itu kerja Allah, bukan kau! Bertaubatlah Piah,” bidas Imam Malik tiba-tiba. Entah dari manalah dia muncul, tiada siapa yang tahu.

Meleret senyuman Mbah Piah. Sinis dan menakutkan. Mulutnya pula terkumat-kamit membacakan serapah mentera. Rambutnya yang panjang mengurai semerta mengerbang. Dia menyeringai garang. Dadanya turut berombak menahan sejuta rasa yang bermukim di jiwa.

Tidak semena-mena angin bertiup kencang. Guruh berdentam-dentum di dada langit. Kilat turut tidak kalah sabung-menyabung. Imam Malik meliarkan matanya memerhatikan perubahan alam yang tiba-tiba. Laju mulutnya membacakan beberapa potong ayat-ayat suci pelindung diri.

“Macam mana ni? Apa kita nak buat?!” soal Lebai Salleh separuh menjerit. Hampir tertutup matanya menerima pukulan angin yang menggila.

“Kita bakar rumahnya! Kita bakar!!!” laung Penghulu Ripin. Sengaja dikuatkan suaranya agar pemuda-pemuda kampong yang seramai lapan orang itu mampu mendengar suaranya dengan jelas.

“Bakar!! Bakar!!”

Pemuda-pemuda kampong turut membalas laungan Penghulu Ripin. Segera dirapati rumah papan Mbah Piah yang sudah usang benar keadaannya. Disuakan nyalaan jamung di bucu rumah papan Mbah Piah. Beberapa orang pemuda kampong pula dengan sengaja membaling jamung-jamung ke bahagian dalam rumah Mbah Piah. Sekejapan cuma, rumah Mbah Piah sudah mulai dijilat api yang menggila.

“Kurang ajar, kalian! Biadab! Aku bersumpah barangsiapa yang membina walau apa juga bentuk teratak di tapak rumah ini, akan aku ganggu! Tidak akan ada sesiapa yang mampu lari dari sumpahanku! Akan aku binasakan walau siapa sahaja yang bermukim di tanah ini!”

Bergegar tanah di kawasan itu. Keadaan menjadi bertambah haru-biru. Pemuda kampong seramai lapan orang yang menyaksikan kejadian itu tergamam. Hanya Imam Malik, Lebai Salleh dan Penghulu Ripin yang terlihat masih bertenang. Pengalaman hidup seakan mematangkan tiga orang tua tersebut.

Mbah Piah menyeringai kepuasan. Dia yakin sumpahannya waktu itu menjadi. Dia sudah tidak kira antara halal dan haram. Dia sudah tidak peduli dengan dosa dan pahala. Segala hukum Allah sudah lama dilanggarinya. Apa yang penting, hatinya merasa puas.

Sebaik selesai melafazkan kata, tubuh Mbah Piah disambar api yang menyala. Terpekik-pekik orang tua itu keperitan. Orang-orang kampong yang menyaksikan, langsung tiada rasa mahu membantu. Mereka sekadar memandang tubuh tua Mbah Piah hangus dijilat api.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.