Home Novel Seram/Misteri The Melody
The Melody
Akma Saidon
21/8/2014 21:28:37
16,980
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

Jam sudah mencecah ke angka satu pagi, namun lima anak muda itu masih segar matanya. Mereka masih lagi asyik bersantai-santai di ruangan rehat The Melody. Mak Awa dan Pak Ako sudah lama lena dibuai mimpi malam.

Iyelah! Setelah seharian berpenatan menguruskan The Melody dan lima anak muda yang menghuni kediaman itu, kudrat mereka perlu diberikan rehat yang secukupnya. Dan seperti selalunya, usai melakukan kerja-kerja mereka, pasti pasangan suami isteri itu akan terus berlalu menuju ke kamar mereka yang berada di aras bawah The Melody.

“Termenung ingat apa tu?” bisik Aliana betul-betul di telinga Ezzyra.

Berderau darah Ezzyra apabila disapa sebegitu. Terkelip-kelip matanya memandang wajah Aliana yang sudah tersengih-sengih memandangnya. Hanya seketika, barulah gadis itu tersedar dari kejutan. Sepantas kilat dia mengangkat tangan lalu menyuakan segenggam penumbuk ke arah Aliana.

Gadis Sarawak tersebut sekadar mengekek ketawa. Suka benar hatinya dapat menyakat Ezzyra yang sememangnya kurang beremosi. Terasa geli betul hatinya melihatkan telatah Ezzyra yang akan terkaku apabila mendapat kejutan walau dengan apa jua cara sekalipun.

“Sukanya,” bisik Eddry pula tepat di telinga Aliana. Semerta dia melompat dari tempat dia berdiri. Sekejapan, Aliana sudah berada di belakang Ezzyra. Pecah tawa Eddry, Reezal dan Shazreen melihatkan ulah Aliana tersebut. Ezzyra pula sekadar tersenyum perli. ‘Rasakan!’ bisik hati kecilnya.

Mok kenak kah?! (Nak kena ke hah?!)” bentak Aliana garang. Naik memerah wajahnya menahan rasa kerana diusik sebegitu.

Kenak apa? (Kena apa?)” soal Eddry. Bibirnya masih lagi meleret senyuman mengusik. Langsung tidak gerun dia melihatkan Aliana yang kecil molek itu sudah naik hantu.

Ada diat tok?! (Ni nampak?!)” bentak Aliana lagi. Ditayang-tayang sebiji penumbuk kecilnya itu. Eddie masih lagi tersenyum. Comel! bisik hati kecilnya.

Ezzyra, Shazreen dan Reezal sekadar menjadi pemerhati melihatkan perbalahan kecil antara dua sahabat mereka itu. Sudah biasa. Malas mahu menjadi pemerhati tidak bergaji, Ezzyra mengatur langkah perlahan menuju ke ruangan dapur. Hanya seketika, berlenggang gadis berambut panjang mencecah pinggang dan sedikit berombak itu kembali ke ruangan rehat The Melody. Di tangan kirinya pula tergenggam kemas segelas jus oren twister.

Belum pun sempat dia melabuhkan punggungnya, jus oren di tangan dirampas Reezal. Laju sahaja pemuda itu meneguk jus oren itu hingga tinggal setengah. Lalu dengan bersahaja pemuda kurus tinggi itu meletakkan gelas tersebut di atas meja bulat bersebelahan tempat mereka duduk bersantai.

Ezzyra merenung tajam. Mulutnya langsung tidak bersuara namun telinganya sudah memerah. Begitu juga dengan pipi dan mukanya menandakan amarah sudah mulai ada. Reezal langsung tidak mengendahkan. Dia sekadar membuang pandang melihatkan Eddry dan Aliana yang masih lagi bertelagah di dalam loghat Sarawak.

BUK!!!

Sebiji kusyen kecil berwarna biru baldu melayang dan hinggap betul-betul di kepala Reezal. Pantas jejaka itu menoleh, mempamerkan wajah tanda tanya. ‘Dah kenapa?’ soalnya di dalam hati. Berkerut-kerut keningnya memerhatikan Ezzyra yang hanya menoleh ke arah lain. Muka gadis itu masih memerah. Tak puas hati!.

Reezal membuang pandang ke arah Shazreen yang sedari tadi memerhatikan tingkah mereka berdua. Dijungkitkan keningnya seakan bertanya. Gadis itu hanya tersengih lebar sambil jari telunjuknya menunding ke arah gelas kaca yang berisi separuh air twister.

Terangguk-angguk Reezal yang turut melihat ke arah gelas yang sama. Dia juga menyengih lebar. Tahulah dia punca sebenar Ezzyra naik darah tiba-tiba.

DING DONG!

Terdiam sejenak lima sahabat itu sebaik terdengarkan dentingan loceng The Melody. Mereka berpandangan sesama sendiri sambil mempamerkan wajah tanda tanya. Semerta segala perlakuan mereka sebentar tadi terhenti. Sedetik. Dua detik berlalu, namun tiada siapa yang mahu bangkit membukakan pintu. Mereka kelihatan teragak-agak. Pencuri ke? Kalau pencuri, takkan tekan loceng?

Setelah berkali-kali The Melody bising dek dentingan loceng, akhirnya Eddry mengalah. Perlahan dia bangkit dari duduknya lalu juga dengan langkah perlahan dia mendapatkan pintu utama The Melody. Tombol dipulas lalu dia sekadar menguak sedikit sahaja daun pintu itu jauh dari rangkanya. Dia menjenguk, melihat siapakah yang mengunjungi The Melody pagi-pagi buta tersebut.

Sebaik sepasang matanya menatap sesusuk tubuh seseorang di luar The Melody, semerta menderu angin menerjah yang entah dari mana datangnya. Meremang roma di tengkuk dan lengan Eddry. Pemuda itu sekadar mengusap-usap lengannya sahaja. Dia beristighfar di dalam hati. Tersisip sedikit doa agar jauh dari segala kejahatan tidak kira datangnya dari makhluk yang terlihat atau yang terlindungi alam ghaib.

Terlihat seorang perempuan, berambut lurus panjang melepasi pinggang, bertubuh kurus dan tinggi, berbaju kurung lusuh, menjinjing sebuah beg besar terpacak di luar pintu. Lama Eddry merenungnya, berkerut-kerut kening memerhati. Gadis itu pula sekadar diam tidak berkutik. Langsung mulutnya terkunci untuk bersuara apabila melihatkan penerimaan Eddry tatkala itu. Pemuda itu masih merenung agak tajam, sebelum membuka mulut, mengukir kata.

“Cari siapa?” soal Eddry agak tegas. Berbeza sekali dengan perwatakan asalnya.

“Ini.. The Melody ke?” perlahan sahaja dia bertanya. Tertunduk-tunduk wajahnya. Suaranya juga kedengaran agak ketakutan.

Bertambah-tambah kerutan di kening Eddry apabila mendengarkan pertanyaan gadis tersebut. ‘Ada apa pula ni?’ bisik hati kecilnya. Tanpa sedar, dia dirapati Aliana. Terjengket-jengket gadis pendek itu untuk melihat gerangan siapakah yang berbual dengan Eddry. Lelaki atau perempuan? Ezzyra, Shazreen dan Reezal juga turut merapat sama. Namun mereka bertiga sekadar berdiri terpacak, tidak seperti Aliana yang terjengah-jengah.

Sapa? (Siapa?)” soal Aliana. Dia masih lagi terjengah-jengah.

Sik tauk (Tak tau)” balas Eddry perlahan. Dianjakkan sedikit tubuhnya agar memberi ruang kepada gadis itu untuk berdiri di hadapannya.

“Cari siapa?” soal Aliana pula. Bulat matanya memandang wajah gadis di hadapannya itu.

“Saya cari The Melody. Ada yang beritahu, sinilah The Melody,” ujar gadis itu. Nada suaranya masih lagi seperti tadi. Perlahan dan kedengarannya agak ketakutan.

Terjungkit kening Ezzyra mendengarkan bicara gadis tersebut. Walau perlahan, namun masih cukup mampu didengar mereka berlima yang berada di situ. Ezzyra perlahan menoleh sekilas, memerhatikan jam yang gah tergantung di dinding. 2.30 pagi.

Ada ke HQ hantar budak pagi-pagi buta macam ni? Dia berteka-teki sendiri. Semerta hatinya merasa teringin melihat siapakah yang berada di luar sana. Namun, pandangannya terlindung dek tubuh Eddry, Reezal dan Shazreen yang meninggi itu. Jadinya, dia sekadar berdiri kaku di situ sahaja.

“Masuklah...”

Aliana pantas melangkah, perlahan-lahan menoleh ke belakang lalu dengan lembut menolak dada Eddie agar memberi laluan buat si gadis itu untuk masuk. Eddry, Reezal dan Shazreen yang melihat turut beranjak sedikit.

Perlahan gadis itu melangkah melepasi empat sahabat itu namun langkahnya terhenti dek tubuh Ezzyra yang menghalang. Atas bawah sahaja Ezzyra memandang gadis berbaju lusuh itu.

Tajam! Langsung tiada sebarang kata yang keluar dari mulutnya, namun hatinya merasakan ada yang tidak kena. Entah mengapa, pelbagai persoalan kini berlegar-legar di ruangan mindanya. Perlahan gadis itu mengangkat mukanya, memandang wajah Ezzyra yang membulat mata memandang. Terkebil-kebil.

Reezal yang melihat, segera bertindak. Pantas dia mendapatkan Ezzyra lalu menarik lengan gadis itu agar memberi sedikit ruang. Gadis berambut lurus melepasi pinggang itu segera melangkah perlahan. Sebaik dirinya melintasi Ezzyra, semerbak mengharum bauan bunga menghiasi ruangan tersebut. Berderau darah Ezzyra melihatkan lenggang gadis itu. Mesti ada yang tak kena.. bisik hati kecilnya.

“Kau siapa?”

Akhirnya Ezzyra tidak mampu menahan rasa. Dia harus bersuara. Bulat matanya memandang tajam ke arah gadis berkurung lusuh itu.

“Mona Sufiya.. pengurus baru untuk The Melody..” ujar si gadis memperkenalkan diri. Agak teragak-agak dia mengatur kata. Terlihat riak tidak selesa di sebalik wajahnya yang putih memucat itu.

“Oh.. pengurus baru.. jadinya Ummi dan Babah dah tak perlu jadi pengurus kami laa?”, Aliana tersengih. Semerta, sikap ramahnya terkeluar. Berbanding dengan empat yang lainnya, gadis yang berambut separas bahu itu lebih senang bergaul dengan sesiapa sahaja.

“Bukan.. err.. saya.. saya cuma menguruskan kamu berlima je..” balas Mona Sufiya. Serba salah sahaja riak mukanya waktu itu.

So, everything still under Ummi and Babah?” soal Shazreen pula. Sengaja inginkan kepastian.

Gadis pucat itu hanya mengangguk. Tidak tahu untuk membalas kata. Namun, dia kelihatannya amat tidak selesa dengan pandangan mata Ezzyra yang sedari tadi menatapnya. Tajam. Cukup tajam pandangan mata itu. Ada yang lainnya di sebalik pandangan gadis kacukan Melayu-Siam yang menghalangnya laluannya sebentar tadi tersebut. Cumanya, Mona Sufiya tidak tahu apakah maksud di sebalik pandangan mata tersebut. Marah atau dendam?.

By the way, Im Aliana.. this is Eddry, Shazreen, Reezal and yang pendek tu Ezzyra..”

Aliana menambah kata apabila tiada siapa mahu membuka bicara. Tersengih dia memandanga wajah Mona Sufiya yang jelas masih tidak selesa. Gadis itu sekadar mengangguk kecil.

“Awak dengan Ezz, awak lagi pendek, Lily..” ujar Eddry perlahan. Dia turut tersenyum penuh makna.

Whatever!” bidas Aliana. Semerta wajahnya bertukar rupa. Cemberut.

Usai perkenalkan diri, mereka berenam sekadar membuat hal sendiri. Mona Sufiya awal-awal lagi sudah memanjat anak tangga menuju ke ruangan atas. Mungkin sekali mencari biliknya. Mereka yang lain tidak risau jika Mona Sufiya tersalah bilik kerana di kamar-kamar yang dihuni mereka sudah punya tanda nama di setiap pintu. Hanya bilik yang tidak berpenghuni sahaja yang tiada tanda nama. Tanpa mereka sedar, nun di anak tangga, meleret senyuman Mona Sufiya. Senyuman tersendiri yang punya makna. Senyuman yang punya makna yang berbeza.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.