Home Cerpen Seram/Misteri Kisah Seram Malam Jumaat - Rumah Pusaka
Kisah Seram Malam Jumaat - Rumah Pusaka
Akma Saidon
10/11/2016 20:27:01
3,401
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Dailla berlari cemas mendapatkan Daniel dan Danish yang sedang bermuram durja. Nafasnya termengah-mengah, dadanya dirasakan sempit kekurangan udara. Lama dia berdiam, mengambil masa menenangkan diri sebelum ditujahkan kata buat dua adik lelakinya.

“Mana Dana?” soal Dailla sebaik aturan nafasnya mereda.

Daniel dan Danish saling berpandangan seketika sebelum keduanya menggeleng kecil. Perlahan keluhan hampa dilepaskan mereka, agak serentak. Wajah keduanya kekal resah dan bermuram durja.

“Takkan tak jumpa? Mustahil! Dia mesti ada dekat-dekat sini jugak!” ujar Dailla sedikit keras dengan mata yang melilau ke sana dan ke sini.

“Puas dah Niel cari dia, Kak Della. Tak jumpa,” balas Daniel perlahan.

Dailla yang mendengar sudah menggeleng-gelengkan kepala. Tidak lama, diatur langkah menjelajah setiap ruang di dalam rumah pusaka milik mereka. Satu demi satu daun-daun pintu yang bertutup rapat ditolak kasar sebelum matanya meliar memerhatikan setiap sudut. Kosong. Dailla dihimpit kehampaan.

“Kak Della…”

Mendesir satu suara dari arah sebuah bilik yang sememangnya berkunci rapat dan tidak pernah dimasuki mereka berempat sepanjang mereka menghuni rumah itu. Sudah hampir empat bulan lamanya mereka berpindah ke situ. Itu pun diatas amanat arwah bapa mereka, Tuan Damien.

“Kak Della…”

Suara itu mendesir lagi. Suara mirip Dayana kembali menjengah kolong telinga Dailla membuatkan dia tidak teragak-agak untuk merapati bilik itu. Menggeletar tangannya menggapai tombol pintu. Berkali-kali liur yang tersekat dilaluan tekak ditelan. Pahit dan kelat dapat dirasa.

“Kak Della nak buat apa tu?” soal Danish dengan muka yang berkerut. Disisinya terlihat Daniel yang turut memandang dengan riak wajah yang serupa.

“Dana…Dana ada dalam ni,” ujar Dailla terketar-ketar.

Daniel dan Danish yang mendengar pantas merapat. Tidak menunggu lama, Daniel segera menggapai tombol yang masih dipegang Dailla lalu memulasnya agak kasar. Pintu dikuak lebar lalu mereka bertiga melangkah masuk ke dalam bilik itu.

Menderu angin kencang menghempas batang tubuh mereka sebaik ketiganya berdiri terpacak di dalam bilik itu. Daun-daun tingkap terbuai-buai dihentak angin yang menggila hingga menghasilkan bunyi bingit yang agak ketara. Tidak semena-mena berdentum guruh membakar dada langit.

Daniel, Danish dan Dailla saling berpandangan seketika. Tidak lama, rongga pernafasan mereka diterjah satu bau. Hamis dan meloyakan. Dailla pantas menekup hidung. Kembang ditekak melayur rasa membuatkan isi perutnya seakan mahu melompat keluar.

“Kak Della…Abang Niel…Abang Nash…tolong…”

Suara Dayana kembali menghentam gegendang telinga membuatkan tiga beradik itu pantas berpaling ke satu arah. Sebaik deria penglihatan mampu menghadam sepenuhnya, mereka ternganga besar.

Sekonyong-konyong muncul Dayana di balik kegelapan bilik itu. Dengan mulut yang bersimbah darah, dia berjalan tertatih-tatih mendapatkan Daniel, Danish dan Dailla. Tangannya menggapai-gapai ke udara, seolah sedang melambai ke arah adik-beradiknya.

“Da…Dana…Dana…”

Tergagap-gagap Dailla beradu kata. Daniel dan Danish hanya diam, kelu untuk berbicara. Ketiganya beku di tempat mereka berdiri. Tidak mampu untuk mengatur langkah mendapatkan Dayana.

“Tolong…”

Suara rintihan Dayana kembali menghentam kolong telinga sebelum batang tubuhnya itu rebah menghempas lantai. Darah kembali membuak keluar dari rongga mulutnya yang ternganga. Nafas Dayana mengeruh bagai lembu disembelih. Kasar dan keras bunyinya. Dia menggelitik ibarat ikan kehilangan air.

“Dana!” raung Dailla tidak berdaya.

Dia ingin merapat namun sepasang kakinya bagaikan terpasung kuat di lantai rumah. Daniel dan Danish juga begitu. Sudahnya mereka hanya mampu memerhati Dayana dengan pandangan mata penuh sayu.

He he he.

Satu tawa halus berdesis di kolong telinga. Sayup dan sinis bunyinya namun cukup untuk meremangkan reroma. Daniel, Danish dan Dailla berpaling, mencari-cari dari mana datangnya hilaian tawa itu.

Semakin lama suara tawa yang halus semakin rancak menyapa gegendang telinga hingga menghasilkan dengung yang cukup membingitkan sesiapa yang mendengarnya. Suara itu kuat, nyaring dan saling bertimpa-timpa.

Daniel, Danish dan Dailla menekup kedua lubang telinga dengan muka yang berkerut-kerut. Namun, suara yang bingit dan nyaring itu tetap mampu didengar mereka. Malah, suara itu semakin bergema di dalam gegendang telinga. Tidak semena-mena kepala dirasakan berdengung. Sakitnya lain macam.

Tidak lama, Daniel, Danish dan Dailla jatuh terduduk lalu terlentang di lantai bilik. Telinga ketiganya mula dibasahi darah yang keluar membuak. Peritnya bukan kepalang. Mereka menggelitik kesakitan sebelum senyap sepenuhnya. Dayana juga begitu, sudah diam tidak berkutik.

Sekonyong-konyong muncul satu susuk tubuh dengan senyuman yang meleret melihatkan empat beradik itu yang terbaring di lantai bilik. Senyuman yang berakhir dengan kekehan tawa yang cukup sinis.

“Sudah aku bilang, tempat kalian bukan di sini…”

***

DAILLA membuka mata dengan dada yang berombak kencang. Berkali-kali diraup muka yang sudah lencun dibasahi peluh jantan yang menjejeh hingga ke leher. Mulutnya pula tidak henti-henti beristighfar. Mencari ketenangan hati di balik ayat-ayat suci memuji Sang Pencipta.

“Allah…Allah…” gumam Dailla berkali-kali.

BAM! Sepasang telinganya disapa bunyi hempasan pintu membuatkan Dailla segera bangkit dari pembaringan. Sempat dikerling jam yang terletak elok di atas meja bersebelahan katil. 3 petang. Entah waktu bila dia terlelap dia sendiri tidak pasti.

“Kan Dana dah pesan, jangan masuk bilik Dana!”

Suara jerkahan Dayana membuatkan Dailla tidak menunggu lama. Laju dia bangkit lalu mengatur langkah pantas meninggalkan biliknya. Dari jauh lagi sepasang matanya dapat menangkap tubuh Dayana yang sedang bertikam lidah dengan dua abangnya, Daniel dan Danish. Situasi tegang dapat dirasa sebaik Dailla merapati mereka.

“Kenapa ni?” soal Dailla sedikit cemas.

“Kak Della pun sama! Menyebok!” bentak Dayana lalu mula mengatur langkah mendapatkan biliknya dan menghilang di sebalik pintu.

Pintu sekali lagi dihempas kasar hingga bergegar bingkainyanya menghasilkan bunyi dentuman yang memeranjatkan seisi rumah. Dailla tersentak kuat mula mengurut-urut dadanya yang tiba-tiba berdebar. Sempat dikerling wajah Daniel dan Danish yang masam mencuka.

“Sejak bila jadi kurang ajar sampai macam tu sekali tu, Kak Della?” soal Daniel sedikit keras.

“Sejak dia pindah masuk bilik tu. Kak Della tak tahulah, Niel. Perangai Dana makin hari makin pelik. Sebelum dia duduk di bilik tu, elok aje,” luah Dailla lemah.

“Ada apa-apa ke dalam bilik tu sampaikan tak beri orang masuk langsung?” soal Danish pula lalu mula mengatur langkah mendapatkan ruang rehat. Tingkahnya itu dituruti Daniel dan Dailla.

“Kak Della tak tahu. Yang Kak Della tahu, Dana pasti mengamuk kalau ada sesiapa masuk ke biliknya. Yang bertambah peliknya, macam mana dia tahu ada orang lain masuk ke biliknya,” balas Dailla meluah rasa.

Berkerut kening Daniel dan Danish mendengarkan jawapan balas Dailla sebelum keduanya saling berpandangan sesama mereka. Dailla hanya memerhati tingkah kedua adik lelakinya itu sebelum perlahan keluhan nipis dilepaskan.

Sekejapan kata-kata terakhir dari arwah bapanya kembali berlegar-legar di kotak minda. Walau sejujurnya mereka berempat seakan berat hati untuk melaksanakannya, wasiat tetap wasiat dan wajib untuk ditunaikan.

“Rumah pusaka tu harus diduduki kamu berempat. Abah tak mahu rumah pusaka tu jatuh ke tangan saudara yang lain.”

Terngiang-ngiang pesanan yang acap kali diungkapkan Tuan Damien di kolong telinga Dailla hinggalah arwah abahnya itu pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya akibat serangan jantung.

“Hmm...”

Tanpa sedar, Dailla menghempaskan keluhan berat. Dia yang sememangnya tidak punya hati untuk menetap di situ semakin terbeban dek sikap Dayana. Amarahnya semakin lama semakin menjadi-jadi. Jikalau ditegur, pasti Dayana akan mengamuk tidak tentu hala.

“Tak elok Kak Della mengeluh macam tu,” tegur Danish lalu senyuman nipis diberikan, hambar.

“Kak Della tak sukalah duduk di sini, Nash,” adu Dailla separuh merungut.

“Kalau tak suka, keluar! Berambos dari sini! Berambos! Kalian berempat boleh berambos!”

Lantang suara Dayana memecah gegendang telinga membidas kata Dailla. Dia yang tiba-tiba muncul entah dari mana mencerlung garang memerhatikan Dailla yang terkulat-kulat sendiri.

Tidak lama, dia berpaling pergi lalu menghilang entah ke mana. Tanpa sedar, ada seseorang yang memerhatikan tingkah empat beradik itu dengan senyuman sinis tidak lekang di balik bibirnya. Agak lama diperhatikan Daniel, Danish dan Dailla yang merusuh melihatkan kelakuan Dayana sebelum perlahan-lahan menjauh dari rumah pusaka tersebut. Berjalan pergi dengan lirikan mata penuh makna.

“Tempat kalian bukannya di sini,” desisnya perlahan.

***

Katherine berjalan melenggang merapati rumah pusaka. Salam bertalu diberikan sebelum pintu utama rumah pusaka itu terkuak dari dalam. Dailla menjengah sebelum segaris senyuman mesra diberikan.

“Mak Usu! Masuklah!” pelawa Dailla.

Katherine yang merupakan satu-satunya adik Tuan Damien membalas senyuman Dailla seadanya. Dia kembali melenggang menuju ke dalam rumah dengan tangan kanannya mengipas-ngipas muka. Bahang mentari masih dapat dirasa walaupun dia sudah berada di dalam rumah pusaka itu.

“Macam mana duduk di sini? Elok semuanya?” soal Katherine, sekadar berbasa-basi.

“Elok semuanya Mak Usu. Tak susah mana pun. Lagi pun, rumah Mak Usu kan cuma di sebelah je. Kalau ada apa-apa senang kami nak mintak tolong,” balas Dailla ramah.

Laju tangannya membancuh secawan teh buat Mak Usunya itu. Katherine hanya memandang. Sesekali diliarkan pandangan matanya memerhatikan segenap ruang di dalam rumah pusaka yang lumayan besar itu.

“Bilik di hujung sana tu siapa yang duduk? Niel ke?” soal Katherine dengan senyuman meleret di tubir bibir.

“Bilik hujung sana tu ke? Dana yang duduk di situ, Mak Usu,” balas Dailla seraya menghulurkan secawan teh buat Katherine.

“Aku fikir si Niel yang duduk,” balas Katherine sebelum dicicip sedikit teh yang masih berasap.

Dailla tersenyum nipis. Serta-merta fikirannya terkenang kelakuan si adik yang berubah total sebaik bertukar bilik. Dayana yang lemah lembut bertukar kasar dan pemarah. Dan marahnya itu semakin menjadi-jadi menjelang masuknya Asar hingga berakhirnya Maghrib.

“Dana tu asyik marah-marah je sejak bertukar ke bilik tu, Mak Usu.”

Tanpa sedar Dailla meluah rasa. Terjungkit kening Katherine mendengarkan kata-kata anak saudaranya itu sebelum sebuah senyuman penuh makna meleret di balik bibirnya. Namun semua itu tidak dapat ditangkap sepasang mata Dailla.

“Dia tak suka duduk di sini agaknya,” balas Katherine bersahaja.

“Agaknya…” Dailla turut menggumam kata dengan pandangan mata sayu.

Semakin lebar senyuman Katherine melihatkan Dailla yang menunduk sedang bermenung jauh. Tidak lama, dia bangkit dari duduknya. Dibetul-betulkan kurungan kebaya yang melekat di tubuh sebelum dipandang Dailla yang turut memerhati dirinya.

“Aku balik dululah. Banyak kerja di rumah nak dibuat. Kamu tak payahlah risau sangat. Nanti eloklah si Dana tu,” ujar Katherina sebelum melenggang pergi.

Dailla hanya menghantar ibu saudaranya itu hingga ke muka pintu sahaja. Sebaik batang tubuh Katherine hilang dari pandangan, segera dia berpaling ke belakang. Namun, baru beberapa langkah menapak langkah kakinya terhenti. Laju Dailla berpaling semula.

Terbeliak mata Dailla sebaik berpaling. Terlihat satu susuk tubuh perempuan sedang mencerlung garang menatap wajahnya. Mata perempuan itu bersinar merah menyala. Mukanya penuh kedutan dan berkopeng. Rambutnya panjang mencecah pinggang dan mengerbang. Raut wajahnya saling tak tumpah seperti Dayana!

“Pergi! Tempat kalian bukan di sini!” bentak perempuan itu dengan suara yang kasar.

“Ka…kau…kau sii..siapa?” ujar Dailla tergagap-gagap.

“Tidak perlu kau tahu! Pergi! Atau segalanya akan terlambat!” ujar perempuan itu garang.

“Ter…lambat? Ap...Apa…Apa maksudnya?” soal Dailla lagi walau di hati masih diserang rasa takut.

Dailla tetap merenung wajah perempuan itu walau dia dihimpit ketakutan. Semakin ditenung, wajah itu semakin menyinga. Sinar matanya yang merah menyaka seakan berkilau dipandangan mata Dailla membuatkan dia gerun untuk beradu mata.

“Kak Della cakap dengan siapa tu?”

Teguran Danish mematikan tingkah Dailla. Segera dia berpaling, memandang ke arah Danish yang melangkah merapati dirinya sebelum kembali dipandang ke hadapan. Perempuan seiras Dayana itu telah tiada. Hilang lesap entah ke mana!

“Kak Della nampak…ada perempuan…dia…dia…” Dailla tergagap-gagap mahu menyusun kata membuatkan Danish menjungkitkan keningnya.

“Apa Kak Della merepek ni? Nash tak nampak sesiapa pun,” ujar Danish seraya menjengah ke luar rumah. Sepi. Tiada sesiapa di luar sana.

“Betul Nash! Akak tak tipu! Muka dia…muka dia…macam Dana!” bidas Dailla sedikit tegas.

“Dana? Bukan Dana ada latihan netball ke, kak? Ke dia ada dalam biliknya? Kejap Nash tengok,” balas Danish, langsung tidak mengambil serius dengan apa yang dikatakan Dailla.

“Jangan!” keras Dailla menegah.

Danish yang baru sahaja mahu mengatur langkah langsung terbantut niatnya. Dipandang wajah Dailla dengan kerutan jelas di mukanya. Terkebil-kebil dia memerhatikan wajah Dailla yang resah.

“Nanti…nanti dia mengamuk lagi,” ujar Dailla menerangkan.

“Nash nak tengok dia ada ke tidak dalam biliknya. Kalau tak ada, Nash nak tengok apa yang dia sorokkan sampaikan tak beri orang masuk ke biliknya tu,” balas Danish lalu mula mengatur langkah mendapatkan bilik Dayana.

***

Dayana melangkah perlahan merapati rumah pusaka senja itu dengan perasaan berbelah bahagi. Dia tidak tahu mengapa tiap kali dia keluar dari rumah pusaka itu, hatinya serta merta merasa lapang. Namun, tatkala dia ingin melangkah masuk ke rumah itu semula, hatinya memberat tiba-tiba.

“Hmm…” Dayana melepas keluhan berat sebelum diatur juga langkah kakinya mendapatkan pintu utama yang bertutup rapat.

Mahu tidak mahu terpaksa juga dia melangkah ke dalam kerana dia sendiri tidak ada tempat lain yang mahu dituju. Begitulah rutinnya setiap hari. Pagi, dia akan pergi ke sekolah. Petangnya pula, dia ada latihan bola jaring. Kerana itulah dia kerap tiada di rumah pusaka pada siang hari.

“Dana dah balik!” ujar Dayana lantang.

“Dah tak pandai nak beri salam ke, Dana?” soal Danish sambil mencerlung garang ke wajah adiknya.

Dayana tidak membalas teguran abangnya itu. Laju langkah kaki diatur mendapatkan bilik yang daun pintunya bertutup rapat. Sebaik tiba di hadapan biliknya itu, Dayana tidak langsung menerjah ke dalam. Malah, dia hanya berdiri terpacak sambil merenung tajam ke arah tombol pintu.

“Ada yang masuk ke bilik kau…”

Berdesir satu suara menghinggap kolong telinga Dayana. Sekonyong-konyong muncul satu susuk di balik batang tubuh Dayana. Susuk tubuh itu sama tinggi dengan Dayana, dan wajahnya turut sama seperti Dayana.

Dia meliang-lintukkan badannya ke kiri dan ke kanan dengan senyuman meleret tidak lekang di balik bibirnya. Renungan matanya menafsir satu rasa. Sinis dan cukup memberi makna.

“Ada yang masuk ke bilik kau…” dia mendesir kata lagi.

Entah mengapa, perasaan marah perlahan-lahan meresap ke dalam jiwa Dayana sebaik kata-kata itu menjengah kolong telinga. Hatinya bagai disimbah bara api yang membahang. Amarahnya meluap-luap tanpa punca dengan sendirinya. Tanpa dia sedar, dia menggumam bahasa tidak difahami.

“Yang dok renung tombol pintu tu macam nak makan kenapa, Dana?” soal Daniel yang kebetulannya melintasi batang tubuh adiknya itu.

Dayana masih merenung tajam ke arah tombol pintu sambil merengus-rengus bersendirian. Teguran si abang langsung tidak dipedulikan. Dia yang dihambat rasa bahangnya kemarahan mengetap-ngetap giginya. Dadanya serta-merta berombak kencang. Bebola mata putihnya tidak semena-mena berurat kemerahan.

“Kenapa Dana, Niel?” tegur Dailla pula dengan wajah yang terpinga-pinga.

Sebaik suara Dailla menerjah kolong telinga, perlahan-lahan Dayana berpaling. Direnung wajah akaknya itu dengan pandangan mata yang berbisa. Giginya masih diketap-ketap dan sesekali dia merengus kasar.

“Dana?” tegur Dailla lagi.

“Siapa yang masuk bilik Dana?” ujar Dayana kasar membuatkan Dailla dan Daniel tersentak.

“Mana ada orang masuk bilik Dana,” balas Daniel laju lalu mengerling ke wajah Dailla. Diperhatikan wajah Dailla yang sudah mula berurat resah.

“Siapa yang masuk bilik Dana!” bentak Dayana keras seraya mengetap-ngetapkan giginya.

Matanya mencerlung garang menatap wajah Dailla dan Daniel silih berganti. Dadanya yang berombak semakin disimbah bahang kemarahan. Dia tidak peduli dengan siapa dia bertutur kata. Apa yang dia tahu, dia cukup pantang biliknya dimasuki tanpa keizinannya.

“Abang yang masuk. Kenapa? Tak boleh ke?”

Suara Danish melantun jawapan menerjah kolong telinga. Serta-merta Dayana berpaling menghadap wajah Danish yang sedang mengatur langkah tenang mendapatkan mereka.

“Jangan sesuka hati buat apa yang abang rasa nak buat. Buruk padahnya nanti!” ujar Dayana keras.

Pantas dia berpaling lalu melangkah merapati pintu biliknya. Tombol dipulas kasar. Sekejapan cuma batang tubuh Dayana hilang di balik daun pintu sebelum satu dentuman kuat kedengaran sebaik daun pintu itu dihempas kasar.

“Macam mana dia tahu ada orang masuk biliknya tadi sedangkan dia tidak ada di rumah?” soal Dailla dengan kening yang bertaut rapat.

***

Daniel santai beristirehat di hadapan kaca televisyen yang terpasang. Batang tubuhnya yang sememangnya letih dek kekangan kerja perlahan-lahan melega sebaik dia berbaring selesa walau hanya bertilamkan lantai dan berbantalkan lengannya sahaja.

Tidak lama, batang tubuhnya dirasakan memberat dengan sendirinya. Semakin lama, semakin memberat hinggakan dadanya sukar untuk mengatur nafas. Naik sesak dibuatnya. Daniel cuba untuk berkalih, namun pergerakkan badannya bagaikan dikunci.

“Allah! Kenapa pulak ni,” gumamnya di dalam hati.

Sekonyong-konyong, pandangan matanya ditutup sesuatu yang perlahan-lahan menindih badannya yang terbaring kaku. Pusat tumpuannya ditajamkan memerhatikan benda semacam apa yang sedang menindihnya saat itu.

Satu susuk tubuh dengan rambut yang mengerbang asyik menekan batang tubuh Daniel membuatkan dia tidak mampu bergerak. Sorotan mata lembaga itu yang merah menyala menggamit rasa seriau dengan sendirinya. Tanpa sengaja, berdiri reroma di kedua belah lengan. Batang tengkuknya juga turut dirasakan kembang!

“Pergi! Tempat kalian bukan di sini!”

Perlahan susuk tubuh itu mendesis kata menikam kolong telinga. Daniel hanya mampu mendengar tanpa dapat berbuat apa-apa. Pergerakkan tubuhnya masih dikunci satu tenaga yang pastinya datang dari susuk tubuh yang menganggunya saat itu.

“Kaulah puncanya! Kau! Sepatutnya ianya adalah kau, bukan dia!”

Kasar bentakan yang diungkapkan susuk tubuh tersebut. Daniel sedaya upaya mahu berbalas kata namun segalanya ternyata sukar. Sekuat mana dia berusaha, yang keluar dari mulutnya hanyalah deruan angin yang memeritkan anak tekak.

Tidak lama, perlahan-lahan batang tubuh yang dirasakan memberat kembali ringan. Bingkas Daniel bangkit dari pembaringan. Melingas matanya memerhati sekeliling sebelum tertumpu pada pintu bilik Dayana.

Dari tempatnya berdiri, dapat dilihat susuk tubuh yang menindihnya tadi berjalan terhuyung-hayang merapati pintu itu. Sebaik dia tiba di hadapan pintu tersebut, susuk tubuh itu berpaling memandang ke arah Daniel. Satu senyuman sinis penuh makna sempat diberikan sebelum dia menghilang dengan sendirinya.

“Allah!” laung Daniel kuat sebelum dia jatuh terduduk.

Dadanya semerta berombak kencang. Entah mengapa, buat kesekian kalinya dirasakan ruang dalam dadanya membahang bagai disiram lautan api. Bahang panas kuat menjalar membaluti tubuh.

“Allah! Panas! Panas!” raung Daniel kuat membuatkan Dailla dan Danish yang mendengar tersentak.

Laju keduanya berlari mendapatkan Daniel yang sedang meronta keseorangan di ruang tamu mereka. Sebaik tiba, Daniel sedang menggelupur bagaikan ikan kekurangan air di lantai rumah.

“Niel! Niel! Kenapa ni, Niel?” kalut Dailla menerpa ke arah Daniel yang masih menggelupur kepanasan.

“Pa…nas…pa…nas…”

Dalam payah, diungkapkan juga kata walau dalam nada yang tersekat-sekat. Daniel masih meronta, cuba berlawan dengan bahang kepanasan yang menjalar membaluti batang tubuhnya.

Krekkk…berkeriut daun pintu dibuka seseorang membuatkan Danish berpaling. Sekonyong-konyong, muncul Dayana di balik daun pintu dengan senyuman penuh makna terukir di bibirnya. Santai dia mengatur langkah mendapatkan mereka bertiga.

“Panas Abang Niel?” soal Dayana sinis sebelum dia terkekeh-kekeh ketawa.

“Apa yang Dana buat ni?” soal Danish sedikit membentak.

Laju langkah diatur mendapatkan Dayana. Namun, sebaik tangan kanannya memegang bahu kiri adiknya itu, tubuhnya terpelanting ke belakang bagaikan ditolak seseorang. Naik sesak jadinya apabila belakang badannya menghempas dinding rumah.

“Dana! Nash!” laung Dailla yang masih kalut melihatkan keadaan Daniel yang sedang menggelupur kepanasan. Kini, Danish pula terlihat hampir putus nafas akibat hentakan kuat yang dialami.

“Aku benci kalian! Aku benci!” jerkah Dayana lantang dengan matanya yang membuntang besar.

“Na…Nash…a…zan…” dalam payah Daniel menutur kata sambil memandang lirih ke arah Danish yang lembik di dinding rumah.

Danish cuba bangkit walau sakit di belakangnya semakin berbisa. Dengan bersusah payah, dapat juga dia berdiri walau dalam keadaan yang tempang. Dia berdecit kesakitan sebelum memejamkan matanya.

Nafas ditarik dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Walau masih terasa bisanya di belakang badan, Danish tetap melagukan azan seperti mana yang diminta Daniel. Sesekali nadanya terdengar tersekat-sekat, namun tetap diteruskan juga.

“Diam! Diam! Diam!” jerkah Dayana garang.

Membuntang matanya menikam ke arah Danish yang sedang melagukan azan sebelum ditatap Daniel yang mula tenang. Giginya diketap kuat. Dia merengus-rengus kegeraman memerhatikan kedua abangnya itu silih berganti.

Tidak semena-mena bergegar tingkap kaca seusai Danish mengalunankan azan di dalam rumah mereka. Daun pintu utama rumah mereka terbuka dengan sendirinya lalu terbuai-buai ditiup angin senja yang tiba-tiba menggila. Peti televisyen turut tertutup dan terbuka dengan sendirinya berkali-kali.

“Kalian sengaja mencari geruh denganku!” kasar suara Dayana membuah kata dengan pandangan mata yang mencerlung garang.

Daniel segera bangkit dengan dibantu Dailla sebaik suara Dayana menerpa kolong telinga. Mulutnya pula tidak henti-henti membaca beberapa potong ayat suci buat perlindungan diri. Dia tahu, jiwa adiknya itu sedang dikuasai sesuatu yang bukan sealam dengan mereka.

“Nash…azan,” ujar Daniel lagi.

Danish yang mendengar hanya mengangguk kecil sebelum tanpa paksa melagukan alunan azan buat kali kedua. Kali ini nadanya lebih tenang dan tidak tersekat-sekat seperti sebelumnya. Perit di belakang badan turut berkurangan dengan sendirinya.

Sebaik Danish usai mengalunkan azan, Daniel segera membaca Ayatul Kursi dengan nada yang lantang. Diulang ayat itu sebanyak tujuh kali di mana ayat terakhir turut diulang sebanyak tujuh kali lalu dihembus ke arah Dayana.

Dayana mula gelisah apabila Daniel terus-terusan membaca ayatul kursi dan dihembuskan ke arahnya. Dadanya sesak tiba-tiba. Batang tubuhnya membahang tanpa punca. Sebaik selesai tujuh kali ayatul kursi dibaca, badannya lembik jatuh menghempas lantai. Pandangannya menjadi kelam sebelum perlahan-lahan gelap. Dia tidak sedarkan diri!

***

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.