Home Cerpen Keluarga MAMA
MAMA
Akma Saidon
13/4/2016 01:08:55
2,024
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa pada petang itu. Tiupan angin yang begitu mendamaikan, seakan membawa terbang segala rasa keluh kesah yang selama ini bermukim dihati. Bolehkah dia terima aku? Entah sudah berapa kali soalan itu bermain-main di ruang fikiran. Dan, entah berapa kali jua persoalan itu dibiar tergantung tanpa jawapan.

Asyik aku dibuai rasa, bahu kananku ditepuk seseorang. Santai aku menoleh perlahan. Mencari wajah siapakah yang menegur aku dengan cara sebegitu. Sebaik seraut rupa dapat ditangkap sepasang mata pemberian Yang Esa, aku tersenyum mesra. Dan, senyuman ini dibalas si dia.

"Abang Aieff..." ujarku perlahan. Si dia yang ku panggil Abang Aieff masih lagi tersenyum. Hanya seketika. Sebelum membalas kata.

"Adik buat apa ni? Jom laa, mama dah tunggu," ujar Aieff. Segera diraih lembut lenganku di sisi. Memaksa aku untuk bangkit dari duduk.

"Larra risaulah, bang..." ujarku lagi. Masih juga perlahan. Ya. Memang itulah yang ku rasa sejak aku mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia setelah 5 tahun merantau di negara sang penjajah.

"Larra jangan risau.. Mama bukan macam dulu lagi.. Mama dah berubah, Larra.. percayalah cakap abang..." ujar Aieff seakan memujuk. Aku tersenyum. Sekadar ingin menyedapkan hatinya.

Rela dalam paksa, aku hayunkan juga kaki ini mengikuti langkah Aieff Rayqal. Satu-satunya saudara yang aku ada selain mama. Melihatkan wajah abangku itu begitu mengharap, tidak sanggup rasanya hati ini ingin menghampakan. Akhirnya, terpaksa juga aku turutkan kehendak abang untuk kembali semula ke rumah itu. Ke rumah yang adanya mama. Orang yang paling aku sayang.

Sebaik selesa berada di dalam perut kereta milik Aieff, fikiranku melayang entah ke mana. Suara Aieff hanya sayup-sayup kedengaran, dan kemudiannya hilang. Fikiranku menerawang, perasaanku berbalang-balang. Ahh. Kenangan itu datang kembali. Kenangan yang begitu sukar dilupakan. Dan, kerana kenangan itu jugalah aku membuat keputusan besar dalam hidupku. Keputusan yang membawa aku dan diriku pergi jauh dari bumi Malaysia. Tanah tumpah darahku.

Masih aku ingat 9 tahun lepas, waktu itu usiaku baru mencecah ke angka 15 tahun. Usia yang masih lagi muda. Masih lagi mentah untuk kenal apa itu erti kehidupan. Dengan rasa gembiranya, aku membawa pulang sekeping kertas yang menunjukkan keputusan PMR aku. Pulang dengan wajah kepuasan kerana meraih kejayaan cemerlang di dalam PMR itu berakhir dengan caci maki dan cela hina. Sampai hati mama.

"Ma! Tengoklah ni.. Larra scored straight A's dalam PMR!" ujarku gembira. Segera aku hulurkan sekeping kertas yang sedari tadi berada kejap digenggaman.

Mama sekadar memandang sinis. Tersungging cebikan di bibir tanda tidak menyukai. Air mukanya semerta berubah meluat. Dia capai juga huluran kertas dariku, bukan untuk melihatnya. Malah, mama koyakkan kertas itu menjadi kepingan-kepingan kecil. Tanpa sebarang rasa, dilemparnya kertas-kertas kecil itu ke mukaku. Sampai hati mama.

"Ini yang kau kata straight A's, Larra? Hey ! Jangan nak tipu akulah ! Budak bodoh macam kau ni mustahil boleh dapat A. Mustahil!" bentak mama kasar. Dengan angkuhnya mama pergi meninggalkan aku.

Aku pujuk hati yang lara. Sesuai dengan namaku, Larra Riyana. Aku tidak pernah merasa bahagia bila bersama mama. Sudah banyak yang aku cuba buktikan supaya mama boleh terima aku seadanya. Tetapi hati mama terlalu keras untuk aku lembutkan. Ego mama terlalu tebal untuk aku tembusi.

Bila tiba hari konvokesyen untuk pelajar-pelajar SPM, mama tiada. Hanya Aieff yang hadir menggantikan tempat mama dan Arwah papa yang sudah 2 tahun meninggalkan kami sekeluarga. Tidak mengapalah. Yang penting, ada wakil di kalangan keluarga kami.

Masa terus berlalu, mama kekal begitu. Perasaan bencinya terhadap aku masih juga berganda. Entah di mana silapku, aku sendiri tidak tahu. Pernah juga aku bertanya, tetapi caci maki yang aku terima. Sudahnya, aku membiarkan sahaja persoalan tersebut mati di situ. Dan kini, setelah 5 tahun aku pergi meninggalkan mama dan bumi Malaysia, aku kembali lagi. Kembali setelah berjaya menamatkan pelajaranku dengan cemerlang.

"Dik... " sayup terdengar kembali suara Aieff memanggil. Aku menoleh.

"Kita dah sampai..." ujar Aieff menyambung kata.

Berderau darahku seketika. Seakan gugup kaki ini untuk melangkah. Oh Tuhan. Kau kuatkanlah semangatku.. berkali-kali bisikan hati kecil seakan meniupkan sedikit semangat. Akhirnya, ku gagahkan juga kaki untuk melangkah.

"Adik jangan risau, mama dah berubah dik.. lagipun, abangkan ada" ujar Aieff seakan memberikan aku semangat. Ya. Abang Aieff kan ada.

Sebaik salam diberi, aku melangkah perlahan ke dalam rumah itu. Berdebar-debar rasa hatiku, hanya Tuhan yang tahu. Sungguh. Aku takut mahu berhadapan dengan mama. Macam mana kalau mama masih tak boleh terima aku? Macam mana?. Berulang kali persoalan itu berlegar di ruang minda. Sungguh! Aku takut.

Dari jauh sepasang mataku menangkap sesusuk tubuh seseorang. Seseorang yang amat ku kenali dan sayangi. Mama. Ya! Itulah mama. Wajahnya masih kekal begitu walau sudah dimamah usia. Mama masih seperti dahulu. Cantik dan bergaya.

Sebaik mama kurapati, segera dia meraih tubuh kecilku. Dipeluk erat, seakan tidak mahu melepaskan. Terpana aku dengan kelakuan mama yang tidak ku sangka-sangka. Ya Tuhan. Aku bersyukur pada-Mu. Akhirnya, setelah sekian lama, mama akhirnya dapat juga menerima diriku seadanya.

Sungguh, setelah hari itu, layanan mama sungguh berbeza. Itulah kasih sayang yang begitu aku harapkan dari mama. Kasih sayang seorang ibu. Aku bersyukur padamu, Tuhan. Kau kabulkan juga doaku.

Suatu hari, dengan secara tiba-tiba mama mengajakku untuk keluar berhibur bersamanya. Sekadar untuk merehatkan minda katanya. Dan, tanpa paksa aku menuruti kehendaknya. Fikirku, bila lagi mahu bermanja-manja dengan mama. Dan, pusat beli belah ternama kami tuju.

Disana, perwatakan mama berubah rupa. Dia menjadi seperti dirinya yang aku kenal 9 tahun dahulu. Baru aku tahu, selama ini dia sekadar berpura-pura untuk menjaga hati Aieff. Sampai hati mama.

"Ma.. Apa salah Larra, ma..." rintihku perlahan.

"Apa salah kau? Hey Larra ! Kau tak sedar lagi ke? Sebab kau anak aku mati! Sebab kau Laila mati! Sampai bila-bila pun aku takkan terima kau sebagai anak aku! Sampai mati pun kau bukan anak aku!" bentak mama kasar,

Tanpa sedar, air mata mengalir deras di pipi. Puas aku menyekanya, ia tetap tidak mahu berhenti. Rasa di hati seakan seperti disiat-siat. Bibit-bibit perkataan yang keluar dari mulut mama, satu-persatu berlegar-legar di ruangan mindaku. Oh Tuhan. Sampai hati mama.

Tanpa menunggu lama, segera aku hayunkankan langkah segera. Berlari aku keluar dari pusat membeli belah itu. Lari sejauh mungkin dari mama. Akan ku bawa diri ini pergi jauh, dan tak mungkin aku akan kembali. Itulah kata hatiku saat itu.

Tanpa aku sedar, tatkala aku meluru keluar dari pusat membeli belah itu, sebuah kereta sedang menyusur laju di kawasan tersebut. BANGGGG!!! Terasa seakan melayang tubuh ini, sebelum jatuh terhempas di jalanan. Seluruh tubuhku terasa sakit. Perit. Pedih. Dan pelbagai rasa yang melarakan hati seakan bersatu. 

Mama. Aku hanya ingin mama. Semerta, terasa badanku dicempung seseorang. Sedaya upaya aku gagahkan juga mata untuk melihat siapakah dia. Mama. Sayu hati ini melihatkan wajah mama yang kelihatannya kesedihan. Aku cuba berikan sedikit senyuman. Senyuman terakhir dariku.

"Ma... Larra... Larra sayangkan... Mama..." ujarku tersekat-sekat dan amat perlahan. Dan, itulah kata-kata terakhirku. Sebelum aku pergi jauh dari hidup mama.

SELESAI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.