Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 18 - PART 2
PUSINGkiri, pusing kanan… semuanya serba tidak kena sahaja. Jalan ke depan, mundur ke belakang… argh, semuanya masih lagi serba tidak kena. Argh, bencinya! Hisy, ni semua gara-gara kaulah, wahai mamat serius 24 jam! Hati Erena membentak keras.

Berita yang disampaikan papa tempoh hari masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinganya. Berkali-kali ayat itu terucap di gegendang telinganya. Umpama kaset yang dimainkan di corong radio.

“Minggu depan Rena dan Qasy akan bertunang.”

Erena menghentak kaki tanda geram. Dia menarik muka cemberut. Argh! Dia menjerit nyaring dalam hati. Dia meraup wajahnya yang kusut masai itu. Dia kelihatan resah gelisah. Macam kucing hilang anak.

“Papa pun satu, ada ke suruh aku bertunang dengan mamat serius 24 jam tu? Hisy! Kalau papa suruh aku bertunang dengan pelakon Korea tu, tak apalah juga. Dahlah handsome,pandai menari pula tu. Ni tak… boleh pula suruh aku bertunang dengan Dr. Qasyiful? Dahlah tak romantik, asyik serius aja 24 jam aje. Huhh!” tokok Erena tanda tidak puas hati.

Erena melabuhkan duduk di atas kerusi batu. Dia menongkat dagu. Hisy, benci betullah bila kena paksa macam ni! Kenapa papa dan mama beria-ia nak aku kahwin dengan mamat serius 24 jam tu? Apa yang hebatnya dia? Sekali lagi hati Erena membentak keras.

Tidak semena-mena, bahu Erena ditepuk kasar dari belakang. Dia terkejut besar. Apa lagi? Pantang sahaja tercuit, gadis itu pasti akan melatah. “Oh, mak kau meletup!”

Fina ketawa apabila melihat reaksi Erena. Dia geli hati dengan reaksi gadis itu. Rena... Rena… sehari tak melatah, memang tak sah. Itulah Erena Amani, ratu melatah sejak zaman-berzaman lagi.

Erena mendengus geram. Dia menjeling geram. Hisy… dia nilah, kecil besar, kecil besar aje aku tengok kau ni tau. Huhh! “Ha ha ha… lawaknya! Entah apa yang kelakarnya, aku pun tak tahulah,” bidasnya geram.

Fina tidak menjawab. Sebaliknya dia masih lagi ketawa terbahak-bahak.

Erena membuntang mata, siap bercekak pinggang lagi. Kalah mak tiri Cinderella. “Dahlah tu Fina, hisy! Tak payahlah nak ketawakan aku lagi, nenek sihir oii! Aku dahlah tengah serabut memikirkan masalah, kau pula menambah lagi. Argh, ada juga yang merasa kehebatan karate do aku ni!”

Fina menayang sengihan kerang busuk. Lalu, keningnya terjungkit sebelah. “Janganlah serius sangat, Rena. Aku bergurau ajelah. Tu pun nak ambil hati. Relaxla, kawan,” balasnya. Siap menayang muka selamba badak lagi.

Erena mencebik. Sekali lagi dia menjeling geram. “Berguraulah sangat. Huhh! Seriuslah sikit, Fina!” bidasnya geram.

“Hah… apa masalah kau kali ni, Rena?”

Erena menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mukanya cemberut. Dia mengeluh. Mulutnya memuncung panjang. “Papa nak aku bertunang dengan Dr. serioustu minggu depan, Fina.”

Fina ternganga. Tiba-tiba, bibirnya terukir senyuman penuh makna. Dia menjungkit keningnya berkali-kali. “Wah, kawan baik aku nak bertunanglah! Tak sabar aku nak tengok cincin tunang tersarung kat jari manis kau, Rena. Hisy! Kembar Sir Chief kita tu bakal bertunang dengan kawan baik aku. Hisy, terujanya aku! So sweet.”

Erena membuntang mata. Siap bercekak pinggang lagi. Amboi, amboi… dia nilah, isyh! “Hoi, mak cik! Yang kau terlebih excitedtu, kenapa? Bukannya kau yang nak bertunang, tapi aku!” Terlebih excited pula minah ni. Aku ketuk pakai hammerbaru tau!

Fina menayang sengihan kerang busuknya. “Eh, bukan aku, ya? Aku ingatkan, aku yang nak bertunang. Terlupa pula yang Dr. Qasyiful tu sebenarnya bakal tunang kau.”

Erena mencebik. Dia menjeling geram. “Ha ha ha… lawaknya! Kalau kau dah gian sangat nak bertunang, meh sini ganti tempat aku. Nak?” bidasnya geram. Aku dahlah pusing kepala memikirkan benda alah ni, tapi dia boleh pula buat lawak sarkas kat sini. Argh!

Bola mata Fina bersinar apabila mendengar kata-kata Erena. Bibirnya terukir senyuman lebar. “Haa? Aku boleh gantikan tempat kau ke, Rena? Mestilah aku nak, Rena! Bak kata pepatah Melayu zaman dulu-dulu kala, kecil tapak tangan, padang bola aku tadahkan.”

Mata Erena membuntang. Dia menepuk dahi. Alahai… apalah nasib dapat kawan mental macam dia ni. Rasa macam nak tersungkur menyembah ke bumi aje. “Fina, stop it ok!” jeritnya lantang.

Fina menayang sengihan kerang busuk. Ha ha ha… tau pula nak cemburu. Aik, ada rasa tercabar ke? Ooo… tahu takut? Padan dengan muka kau! sindir Fina dalam hati.

Tiba-tiba, Erena melepaskan sebuah keluhan panjang. “Aku tak nak bertunang dengan Dr. serioustu, Fina. Naik geli geleman aku bila tengok muka serius 24 jam dia tu, Fina. Hisy… aku tak sanggup nak menghadap muka dia yang menyakitkan hati tu. Wei, kau ada cara tak macam mana aku nak mengelak dari bertunang dengan dia?”

Kening Fina terangkat sebelah. “Yang kau beria-ia tak nak bertunang tu, kenapa? Hisy kau ni, memang tolak tuahlah! Rena, Dr. Qasyiful tu dahlah kacak, doktor pula tu! Yang kau nak susah hati tu, kenapa? Tunang ajelah, bukannya ada apa pun.” Pelik betul! Dapat kahwin free pun tak nak ke? Kalau akulah… confirmaku nak.

Erena tergamam. Dia menghadiahkan jelingan tajam buat Fina. “Kau cakap senanglah, Fina. Bukannya kau yang kena, tapi aku!” bentaknya keras.

Fina mencebik. “Kalau kau tak nak, bagi aje kat aku. Aku nak!”

“Fina!” jerit Erena nyaring.

Fina menjeling geram. Dia hanya diam. Malas hendak melayan sikap kebudak-budakan Erena. Hisy, menyampah! gerutu hatinya geram.

Erena menarik muncung panjang. Wajahnya cemberut. “Wei, aku tak nak bertunang dengan dialah. Tolonglah aku, Fina. Kau aje yang boleh tolong aku. Kita cari jalan untuk aku elak dari bertunang dengan dia. Please…” rayunya bersungguh-sungguh. Mengharap agar Fina sudi memberikan pertolongan padanya.

Kening Fina terjungkit sebelah. Dia menayang senyuman sinis. “Yang nak serabutkan kepala otak kau memikiran cara untuk mengelak dari bertunang dengan dia tu, kenapa? Apa susahnya, Rena? Kau bertunang ajelah dengan dia, Bukannya ada apa-apa pun. Habis cerita.”

Erena membuntang mata. Hisy! Kenapalah kau bagi cadangan kurang bernas ni, hah? Hatinya membentak keras. Geram dengan cadangan Fina yang langsung tidak masuk akal itu. Huhh! “Kau faham tak maksudnya tak nak? Aku tak nak bertunang dengan mamat serius 24 jam tu, Fina!”

Fina ketawa sinis. “Rena, kenapalah kau ni bengap sangat, hah? Ni baru aje bertunang tau, belum nak kahwin lagipun. Haa… masa bertunang macam inilah, apa-apa pun boleh berlaku. Masa tu, kau carilah jalan untuk buat dia tarik diri daripada pertunangan ni. Apalah kau ni, Rena? Benda kecil macam ni pun, tak boleh nak fikir ke, hah?”

Erena seakan baru tersedar sesuatu. “Ha’ah… la, betul juga cakap kau, Fina. Kenapa aku langsung tak ingat cara tu, ya?”

Fina mencebik. “Dah kau macam minah kelam kabut aje, macam mana nak terfikirkan cara tu?” perlinya.

Erena tidak menjawab, sebaliknya dia tersenyum penuh makna. Aku akan buat kau menyesal sebab kena bertunang dengan aku, Dr. serious.Aku akan buat kau tarik diri dari pertunangan kita! ucap hatinya penuh tekad.

Previous: BAB 18 - PART 1
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.