Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 35 (PART 1)

“ANA?” tegur Erena apabila melihat Diana sedang mengelamun jauh. Dahinya berkerut seribu. Hairan melihat telatah Diana. Eh, dia ni… aku tunggu jawapan dia berjam-jam, tapi dia boleh pula mengelamun jauh. Hisy!

Diana tersentak. Serta-merta lamunannya menghilang. “Hah?” Dia termanggu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Erena menguntum senyuman. “Err… Ana belum jawab soalan akak lagi.”

Dahi Diana berkerut seribu. “Yang mana satu ya, kak?”

Erena menarik muka cemberut. Dia nilah… buat-buat hilang ingatan pula, ngomel hatinya geram. “Sebelum Qasy bertunang dengan akak, dia pernah ada sesiapa tak sebelum ni? Maksud akak, kekasih ke?”

“Oh!” Diana tergelak. Keningnya terjungkit sebelah. “Actually,Abang Qasy pernah bertunang dulu, kak. Nama tunang Abang Qasy tu, Kak Siti Norzehan. Dia cantik sangat kak, secantik Kak Amani. Kak Zehan juga seorang gadis yang baik hati, penyayang dan sopan santun, kak,” ceritanya. Dia membuka kisah lama abangnya. Satu kisah yang membuat sikap Dr. Qasyiful berubah dengan begitu drastik sekali.

Kening Erena bertaut. Ooo… mamat serius 24 jam ni pernah bertunang rupanya. Erk? Ada juga orang yang mahukan dia, ya? Agak-agaknya, orang tu buta kot, kutuknya dalam hati.

Terdetik rasa hairan di hati. Kalau dia pernah bertunang, kenapa Qasy masih membujang sampai sekarang? “Err… Ana cakap, Qasy pernah bertunang dulu. Erk… dia orang tak jadi kahwin ke, Ana?”

Diana mengeluh. Wajah gadis itu kelihatan suram. “Abang Qasy hampir berkahwin dengan Kak Zehan. Malah, hari pernikahan mereka hampir tiba waktu tu,” katanya perlahan. Hampir bergenang air matanya tatkala membuka kisah lama Dr. Qasyiful.

Kening Erena terjungkit sebelah. “Ooo… ya ke? Habis tu, kenapa dia orang tak teruskan aje rancangan tu?”

Sekali lagi Diana mengeluh. Dia mengukir senyuman hambar. “Ikut perancangan, mereka akan bernikah sebulan aje lagi. Tapi, takdir ALLAH tidak terduga. Apakan daya, kita sebagai manusia hanya mampu merancang. ALLAH yang menentukannya. Kak Zehan meninggal dunia. Dia terlibat dalam kemalangan jalan raya, kak.”

Erena tergamam. Dia agak terkejut apabila mendengar jawapan itu. Ya ALLAH… sungguh berat ujian-MU buat encik tunangku. Ah, kasihannya dia, kata hatinya sebak.

Erena mengukir senyuman payah. “Oh…. Akak tak tahu, sorry,”balasnya serba salah. Kalaulah aku tahu, sumpah aku tak akan buka kisah lama ni. Kasihannya mamat serius 24 jam tu. Agak-agaknya, sebab tu kot dia berubah jadi serius, gerutu hatinya.

Diana masih lagi tersenyum. “Tak apa, kak. Lagipun, dah hampir tiga tahun arwah meninggal dunia. Perkara dah lepas, usahlah dikenang lagi.”

Erena mengangguk. “Hmm… betul tu, Ana,” balasnya perlahan.

Sejenak mereka terdiam. Melayani perasaan masing-masing.

“Akak?” tegur Diana lembut.

Erena memandang wajah Diana. Bibirnya terukir senyuman nipis.

Diana mengukir senyuman penuh makna. “Kalau akak nak tahu, Abang Qasy kenal Kak Zehan masa menuntut di England dulu. Kak Zehan tu budak akaun, abang pula budak medic.” Sekali lagi Diana membuka kisah lama abangnya itu.

Kening Erena terjungkit sebelah. “Ooo… habis tu, macam mana dia orang boleh kenal?” Erk? Dr. serioustu kan sentiasa serius 24 jam. Macam mana gadis yang bernama Zehan itu boleh tersangkut hati padanya, ya? Ah, aneh sungguh!

Diana tergelak. “Susah jugalah Abang Qasy nak tawan hati Kak Zehan. Yalah… hati dia keras macam ice cube.Tapi bila kena gayanya, cairlah juga hati Kak Zehan tu. Kalau akak nak tahu, abang Qasy la lelaki yang paling romantik tau. Macam-macam cara abang buat untuk memenangi hati Kak Zehan. Salah satunya, menjerit kat bangunan fakulti perubatan yang dia cintakan Kak Zehan. Haa… sejak tu, hati Kak Zehan terpaut. Lepas tu, mereka mula bercinta,” ceritanya panjang lebar.

Erena terkedu. Dr. Qasyiful? Dia seorang lelaki yang romantik? Tapi, kenapa bila dengan aku, dia jadi serius bagai nak gila? Hatinya tertanya-tanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.