AIFA bermalasan di atas katil. Esok dia
akan kembali bekerja. Aduh, dia harus menghadap muka Hakimi lagi! Dia
mendengus, kenapa dia harus selalu berhadapan dengan lelaki itu? Jam
di dinding baru menunjukkan angka 10 malam, tetapi matanya masih belum
mengantuk. Mahu menonton televisyen, dia malas untuk bergerak ke sofa walaupun
jarak di antara katil dan sofa tidaklah terlalu jauh.
Mahu
membaca novel, dia bimbang pula andai selepas membaca dia sukar untuk berhenti.
Dia memang pantang bertemu novel, andai sekali tangannya memegang novel dia
tidak akan berhenti membaca walaupun dia terpaksa bersengkang mata.
Tiba-tiba
Aifa teringatkan sesuatu, dia masih belum online
hari ini. Twitterdan facebookmasih belum disentuh hari ini.
Kaki yang bagai diikat di katil tadi terus sahaja bingkas bangun. Bagai
mendapat semangat baru sahaja lagaknya. Komputer riba jenama Toshiba yang
berada disandarkan di tepi dinding dicapainya. Dia lebih selesa menggunakan
komputer riba untuk melayari internet berbanding telefon pintar. Kecualilah dia
tiada di rumah, sewaktu itu dia akan menggunakan telefon pintarnya. Selang
beberapa minit, skrin komputernya sudah pun menunjukkan laman web facebook. Mana tidaknya, Aifa sengaja
meletakkan laman web itu sebagai homepage
untuk komputer ribanya.
Aifa tersenyum sendiri, ada-ada sahaja rakan alam
mayanya itu. Dia melihat jam yang terpapar di skrin komputer ribanya. Tanpa
sedar jam sudah menginjak ke angka 11 malam. ‘Ah, malam masih muda!’ Tukasnya
lagi. Jari-jemarinya masih ligat bermain di keyboard.
Penuh twit yang dilayannya, selang beberapa saat sahaja pasti ada twit
terbarunya.
Bosan
melayan facebookdan twitter,Aifa beralih kepada blog
pula.Satu demi satu blog diintainya terutama blog e-novel. Dia memang gemar
membaca novel, biarpun rakannya selalu mengatakan membaca novel bagaikan hidup
dalam fantasi tetapi dia tidak ambil pusing. Membaca novel merupakan hobinya,
sekurang-kurangnya melalui membaca novel dia dapat menghayati rencah kehidupan
watak-watak tersebut yang adakala gembira, sedih, kecewa dan paling menyayat
hati terseksa.
Aifa mengeliat
malas, matanya kian mengantuk. Namun, jemarinya masih sempat melayan twitter.Itulah kerjaya, log in dan log out sehingga adakalanya rakan-rakan mengatakan dia biskut,
sekejap ada dan kemudian tiada. Adakala selepas setengah jam dia akan muncul
kembali.
‘Sekarang dah pukul 1 pagi. Sila tidur’
Aifa tertawa
apabila dia membaca twitt rakannya. “Dah pukul 1 pagi?” Aifa terkejut, pantas
sahaja tangannya menutup komputer ribanya. Aduh, dia pasti kurang tidur
lagi!Tidak perlu menunggu lama, baru sahaja dia meletakkan kepala di atas
bantal dia sudah terlelap.
AIFA kalut saat terpandangkan jam
tangannya, pantas sahaja dia menyusun langkah turun ke bawah.
“Tak
makan dulu ke Aifa?” Tegur Puan Anisa apabila melihat Aifa bergegas ke muka
pintu.
“Tak
sempatlah bu. Aifa dah lambat ni.”
“Sempat
lagi, abang pun tengah makan ni. Paling tidak pun minum air dengan roti
sekeping pun cukuplah. Tak elok dibiarkan perut kosong tu.” Nasihat Puan Anisa
lagi, memang dari kecil lagi dia
mengajar anak-anaknya agar tidak meninggalkan sarapan pagi kerana sarapan
penting untuk memulakan hari seseorang.
Aifa
melangkah malas ke meja makan, sebelum ibunya memulakan tazkirah paginya lebih
baik dia makan. Cawan di atas meja yang terisi air milo dihirup sedikit lantas
tangannya mencapai sekeping roti. Dicicah roti itu ke dalam air milo, dia sudah
malas untuk membakar roti itu. Mahunya dia lambat nanti.
“Bangun
lambat lagilah anak dara kesayangan ibu tu. Buat apa semalam sampai lewat
bangun?” Aizam bertanya sambil mengemaskan ikatan tali lehernya. Nampak benar
adiknya itu terlewat bangun, selalunya dia akan berada di meja makan selepas
adiknya tetapi hari ini sebaliknya.
Aifa
tahu, kini tiga pasang mata sedang melekat di wajahnya, mencari jawapan. “Baca
novel.” Aifa cuba berbohong, wajahnya diubah riak menjadi serius seakan-akan
dia bercakap benar. tetapi dia bukanlah pelakon hebat yang membintangi
filem-filem, sekejap sahaja lakonannya untuk menipu ibu dan abangnya terkantoi.
“Baca
novel ke melayan FB dengan twitter? Semalam abang tengok nama Aifa ada dalam chat list.”
Aifa
tersengih, kantoi juga akhirnya!
“Okey, Aifa pergi dulu.” Aifa meminta
diri selepas dia menghabiskan secawan air milo dan sekeping roti. Dia sudah
tidak betah mendengar bebelan yang mungkin tiada penghujungnya. Aduh, mahu luka
telinganya mendengar bebelan tidak berbayar abangnya itu!
Aifa
melangkah keluar dari rumah setelah menyalami ayah, ibu dan abangnya. ‘Eh,
mamat ni tak pergi kerja lagi ke?’ Dahi Aifa berkerut seribu apabila melihat
kereta Hakimi masih berada di anjung rumahnya. Selalunya waktu begini Hakimi
sudah ke tempat kerja.
‘Takkan
cuti? Hari ni kena lawat tapak projek, takkan dia nak tinggalkan aku seorang
diri?’ Aifa tidak puas hati! Kenapa Hakimi tidak pergi kerja hari ini?
“Kenapa
tengok kereta Hakimi sampai nak tersembul keluar biji mata tu? Hairan kenapa
Kimi tak pergi kerja? Dia MC hari ni, penangan tomyam makanan lautAifa.”
Kata-kata pedas Aizam mematikan lamunan Aifa. Dia menjeling abangnya sekilas,
bingit telinganya apabila Aizam menekan pada perkataan makanan laut. Menangkan Si Kimi tu sangat! Aifa menjuihkan bibir
untuk kali kedua kepada Aizam.
“Mengata
abanglah tu!” Tebak Aizam, melihat adiknya menjuih bibir sahaja dia sudah tahu
perkara yang bertamu di minda adiknya itu. Pasti sedang senang lenang
mengatanya.
“Abang
ni doktor minda ke? Macam tahu-tahu aje.”
Aizam
tersengih saat mendengar soalan tidak masuk akal Aifa itu. “Ada ke doktor minda
boleh baca perkara yang orang tengah fikir. Rasanya sampai sekarang tak ada
lagi alat yang boleh baca fikiran orang.”
“Malas
nak layan abang, nanti lambat sampai ke tempat kerja.” Aifa menjawab malas,
kalau dia melayan kerenah abangnya pasti sahaja dia akan sampai ke pejabat pada
pukul 9 malam! Dia memboloskan diri ke dalam kereta sebelum menghidupkan enjin
kereta. Sengaja dia tidak menutup pintu kereta kerana dia masih belum puas
berperang mulut dengan Aizam. Sementara menunggu enjin keretanya dipanaskan,
masih sempat andai dia berperang mulut dengan abangnya.
“Nak
pergi kerja ke?”
Aifa
memandang Aizam dengan pandangan pelik, pagi-pagi mestilah ke kerja. Takkan
pergi membeli-belah? “Eh, taklah! Bukan nak pergi kerja tapi nak pergi tengok
wayang.” Aifa tersenyum sinis. Nah! Lain yang difikirkan, lain yang terkeluar
dari mulutnya.
“Tahulah
Kimi cuti, tapi ingatlah dia tu sakit mana boleh pergi tengok wayang.” Usik
Aizam.
Tak
mungkin dia akan keluar menonton wayang dengan Hakimi! Dalam mimpi pun dia
tidak akan menonton wayang dengan lelaki itu! “Aifa pergi dululah, melayan
orang angau macam abang memang tak ada
noktahnya!”
“Macam
mana nak pergi? Tengoklah kereta siapa yang ada di belakang? Nak langgar kereta
tu ke?” Aizam berjalan menghampiri adiknya, suka benar dia melihat wajah Aifa
yang sudah berubah merah. Bengang barangkali!
Aifa
mendengus marah, “cepatlah ubah, Aifa langgar kereta abang baru tahu! Cepatlah!
Aifa dah lambat ni.” Aifa membebel, geram rasanya kerana dia dimainkan. Sudah
tahu keretanya menghalang perjalanan masih lagi berdiri terpacak seperti tiang.
Aifa
merenung tajam Aizam apabila matanya menangkap abangnya itu masih berdiri
terpacak seperti tadi. Tiada gaya mahu melangkah langsung. “Abang, cepatlah!
Nanti Aifa lewat sampai ke pejabat panas telinga ni nak dengar bos membebel.”
Bentak Aifa.
“Nak
minta tolong orang tetapi suara garang macam nak cari gaduh. Macam tu ke cara
nak minta tolong.” Aizam berpeluk tubuh sambil memandang Aifa. Biar padan muka
Aifa, meradanglah di situ sehingga malam.
“Abang,
cepatlah! Nanti kita lambatlah.” Bentak Aifa lagi.
“Wah,
lembutnya cara minta tolong.” Aizam membalas lembut, sengaja mahu menguji
adiknya.
Aifa
mendengus geram. “Baiklah wahai Encik Aizam Haziq yang baik hati, penyayang dan
kacak, boleh tolong undurkan kereta tak? Saya nak ke kerja ni.” Pinta Aifa
lembut sekali, berubah 360 darjah nada suaranya, daripada suara orang sedang
mengamuk menjadi suara orang di ulit cinta.
Aizam
tersenyum puas, akhirnya mengalah juga adiknya itu! “Macam itulah cara nak
minta tolong orang.”
Aifa
menjeling abangnya, matanya menatap langkah Aizam yang sengaja dilambatkan.
Memang cari nahas betul.