Bab 9

ULFAH tekun menghadap buku-buku pelajarnya di meja kerjanya. Apabila Cikgu Suria datang ke mejanya, wajahnya terus terangkat. 

“Apa dia Su?” Ulfah bertanya.

Cikgu Suria yang tua dua tahun daripadanya menghulurkan sampul berwarna biru cair ke arahnya. Ulfah pantas menyambutnya. Wanginya sampul ini. Kalau dah wangi macam ni, pasti ada kad jemputan kahwin di dalamnya.

“Kad jemputan kahwin ke?”

Cikgu Suria tersenyum. “Pandai awak teka. Haah. Kad jemputan kahwin.”

Mata Ulfah sedikit membulat. Dah nak kahwin rupa-rupanya rakan sekerjanya ini. Selama ini dia diamkan sahaja. Diam-diam ubi berisi.

“Alhamdulillah. Saya tumpang bahagia untuk awak ya?” 

“Ini baru kad saya. Nanti awak pula kena bagi kad awak kat saya. Kan?” Cikgu Suria mencucuk perlahan bahu Ulfah. Ulfah hanya mampu ketawa. Sepatutnya dah lama dia bagi kad jemputan pada cikgu-cikgu di sekolah, tapi sayangnya pertunangan yang dirancang sudah tidak jadi apatah lagi majlis perkahwinan yang tidak akan berlangsung. Nampak gayanya dia kena tunggu lagilah waktu yang sesuai. Orang cakap tiada jodoh. Dia pun tidaklah terdesak sangat hendak bersuami. 

“Dah bagi kat cikgu-cikgu yang lain?” 

“Dah. Tinggal awak seorang aje. Nampak ralit sangat awak menghadap buku pelajar awak tu. Saya tak nak la ganggu awak.”

“Saya tak ada la sibuk mana pun. Tengah semak jawapan budak-budak aje.”

“Nanti kalau awak dah tak ada kat sekolah ni, mesti budak-budak rindukan awak.”

Ulfah hampir lupa jika Cikgu Suria tidak membangkitkan soal pertukaran. Dia akan ditukarkan ke sekolah baru dan akan memulakan tugasnya di sana pada minggu hadapan. Setiap masalah dia dapat berjumpa dengan adiknya kerana dia bakal mengajar di sekolah adiknya.

“Itu la. Rasa macam sayang nak tinggalkan sekolah ni. Tapi nak buat macam mana. Dah orang atas suruh bertukar, kita kena patuh aje la.” Seingat Ulfah, dia baru sahaja mengajar di sekolah ini setahun yang lepas. Tidak sampai bertahun-tahun pun. Atas sebab tertentu, dia terpaksa ditukarkan ke sekolah yang lain. 

“Mengajar kat mana-mana tak penting. Yang penting kita jaga tugas kita dengan baik.”

Ulfah mengiakan dengan anggukan. Dia tidak pernah terfikir untuk menjadi guru pada mulanya tetapi inilah rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya. Beruntunglah juga dapat menjadi guru sebab masih ramai di luar sana yang habis sahaja belajar mereka masih menunggu peluang pekerjaan. Bukan senang nak mencari pekerjaan sekarang ini. Ada kawan-kawan yang masih lagi tidak mendapat pekerjaan yang menjamin kehidupan. 

“Jangan lupa datang tahu? Bawa la mak sekali,” ujar Cikgu Suria sebelum berlalu ke mejanya.

Ulfah memandang lama sampul di tangannya. Dia menghela nafas kemudian menyimpan sampul itu ke dalam tas tangannya. 


“LUFI!”

Hampir pekak telinganya gara-gara suara kuat yang memanggil namanya itu. Dia berpaling, menayangkan wajah tidak puas hati. Adelisha ini memang tak faham bahasa. Dah banyak kali dia cakap tak nak, gadis itu masih terhegeh-hegeh. Hari-hari menghadap Adelisha, dia boleh jadi gila. Orangnya dah cantik tetapi mulut tu memang tak kena langsung dengan perwatakannya yang lembut. 

“Kenapa seorang aje ni? Selalunya lepak dengan Alief.” Adelisha sudah pun berdiri di sebelah Lufi Izzar. Dia sempat menguis debu halus yang melekat di permukaan kemeja Lufi Izzar. Acah-acah manja tak bertempat. Lufi Izzar dah muak dengan lagak gadis ini. Mahu saja dia tolak tubuh Adelisha yang terlalu dekat dengannya. 

“Alief dalam tandas. Takkan aku pun nak masuk sekali?” Lufi Izzar menjawab acuh tidak acuh. Dia memang tiada hati pun hendak melayan ‘puteri’ yang satu ini. Kalau Ulfah yang ada di sebelahnya, lainlah cerita.

“Marah ke? Tanya aje pun.” Adelisha menarik muncung. Dia sungguh tidak faham dengan sikap Lufi Izzar. Sombong mengalahkan menteri. Dia hanya ingin berkenalan dengan lelaki itu lebih rapat saja. Bukannya dia simpan niat yang tidak elok. Salahkah hendak merapatkan hubungan silatulrahim sesama mereka?

“Tak la. Tak marah pun.” 

“Kalau tak marah, kenapa muka masam aje?” 

“Masa rehat dah nak habis ni, Adel. Kau tak nak masuk kelas ke?” Lufi Izzar menukar topik. Dia mengerling jam di tangan. Lagi dua minit waktu rehat tamat. Tetapi dia tidaklah tergesa-gesa. Kelasnya tidaklah jauh mana dari tandas.

Adelisha merengus kecil. Tahu sangat Lufi Izzar berkata begitu untuk menghalaunya pergi. Dia mengangkat kaki, berlalu dari situ. Sekali ini saja dia beralah. Lain kali dia akan menempel dengan lelaki itu sehinggalah lelaki itu terpikat padanya. Hairan juga dia. Dua tiga orang pelajar lelaki yang tergila-gilakan dia. Tetapi Lufi Izzar nampak dia sebagai kain buruk saja. 

Saat itu juga Alief menapak keluar dari tandas. Matanya sempat menangkap susuk tubuh Adelisha yang semakin menjauh.

“Adel masih kacau ke?”

Lufi Izzar mengangkat bahu. Kedua-dua tangan menyeluk poket seluar. Sejak hari pertama dia bertukar ke sekolah ini, hanya Adelisha sahaja yang sibuk mengejarnya. Pelajar perempuan yang lain tidak pula terdesak seperti Adelisha. 

“Dia memang nak kena ni,” getus Alief, geram dengan kedegilan Adelisha. Dari awal lagi dia sudah cop Lufi Izzar sebagai bakal abang iparnya. Tidak mungkin dia akan menyerahkan Lufi Izzar pada orang lain. Kalau nak sangat, langkah mayatnya dahulu. Pantang benar dia kalau ada yang cuba merosakkan rancangan dia.

“Kau nak buat apa kat dia?” Lufi Izzar ingin tahu. Lain macam saja bunyinya. 

“Buat apa? Nak bagi pengajaran kat dia la. Ada hati nak kacau bakal abang ipar aku? Dah la gedik.” Alief membuat muka menyampah. Benci sangat dia pada Adelisha.

“Kau jangan buat apa-apa,” tegah Lufi Izzar.

“Habis tu takkan nak biarkan aje? Kalau tak sampai kau naik semester baru pun dia akan kacau kau. Tak penat ke melayan dia?”

Lufi Izzar menarik lengan Alief memandangkan masa rehat sudah tamat. 

“Masa rehat dah habis. Balik nanti aku nak cakap dengan kau sikit.” 

“Nak cakap apa?” Alief membiarkan sahaja dirinya ditarik oleh rakannya itu.

“Ada la.” Lufi Izzar tersenyum penuh makna.

Jawapan pendek Lufi Izzar membuatkan Alief tertanya-tanya sendiri. Senyuman Lufi Izzar macam lain saja.


ALIEF tergelak besar sebaik sahaja Lufi Izzar memberitahu apa yang dirancangnya. Dia menekan perut kerana geli hati. Dia sudah membayangkan bagaimana Adelisha terjerit-jerit saat menemui katak di dalam kasutnya. Tak sangka pula Lufi Izzar boleh berfikir untuk mengenakan Adelisha dengan cara itu. Mereka memang sekepala. 

“Amboi, gelak macam tak ingat dunia,” tegur Lufi Izzar apabila perasan Alief sedang menekan perutnya berkali-kali. 

“Tak. Kau… Aku tak sangka yang kau pun nakal orangnya. Boleh pula kau fikir nak buat Adel macam tu?” Ketawa Alief sedikti reda.

“Kau baru tahu aku nakal ya? Kalau kau nak tahu, aku memang dah berperangai macam ni sejak dari dulu lagi.” Lufi Izzar turut ketawa apabila mengingati segala perbuatan nakalnya. Dia pernah melakukan perkara yang sama pada rakan sekelasnya di sekolah terdahulu kerana rakan sekelasnya itu pandai-pandai sahaja meniru kerja rumahnya. Meminta izin pun tidak. Macam mana dia tidak marah? Terlalu geram dengan sikap tidak ambil peduli rakan sekelasnya itu, dia sanggup mencari seekor katak yang besar lalu diletakkan ke dalam kasut rakan sekelasnya itu. Terjerit-jerit seperti kena sampuk rakannya saat kakinya menyentuh sesuatu yang lembik dari dalam kasut. Sejak hari itu, rakan sekelasnya memang dah tak berani meniru kerja rumah Lufi Izzar. Baru dia tahu siapa Lufi Izzar yang sebenarnya. Orang menggelarnya seorang yang pasif kerana dia jarang sangat bercakap di dalam kelas tetapi otaknya ‘aktif’ untuk mengenakan orang lain.

“Aku ingatkan kau ni pasif.”

“Tapi sejak aku pindah ke sekolah sini aku jadi banyak cakap. Semuanya disebabkan kau la!”

Alief membulatkan mata. Dia pula yang dipersalahkan. Tetapi ada juga baiknya dia mengubah kawannya itu. “Salahkan aku pula? Okey la tu daripada kau senyap aje. Kau tayang poker face kau tu hanya buat orang tak selesa dengan kau.”

Ada benarnya kata-kata Alief. Lufi Izzar terangguk-angguk, mengiakannya. 

“Jadi, kau nak letak katak dalam kasut dia?” teka Alief. 

“Nanti kau tahu. Yang pastinya lepas ni dia takkan ganggu aku lagi.” Lufi Izzar tersengih, sudah membayangkan reaksi Adelisha kelak.

“Kau jangan buat benda tak elok sudah la,” ujar Alief seolah-olah memberi amaran. Dia bukan apa. Kalau Lufi Izzar melampaui batas dalam mengenakan Adelisha, dah sah-sahlah dia juga akan dibabitkan sama kerana semua orang tahu mereka berdua memang rapat seperti isi dengan kuku. Nanti tak pasal-pasal dia juga akan dikenakan hukuman sekiranya tertangkap oleh guru disiplin.

Lufi Izzar mengecilkan pelupuk matanya, tidak terjangka dengan teguran rakannya itu. Bukankah tadi dia yang beria-ia nak ‘mengajar’ Adelisha?

“Yang kau pandang aku macam tu apahal pula?” soal Alief tidak senang hati dengan pandangan Lufi Izzar ke arahnya.

“Bukan ke kau pun tak sukakan Adel?” 

“Memang la aku tak suka. Dah dia kacau bakal abang ipar aku!”

“Dah tu kenapa kau macam larang aku buat apa-apa pada dia?” Lufi Izzar masih tidak faham apa yang bermain di fikiran rakannya. Dah jelas Alief juga tidak sukakan Adelisha, mengapa keberatan untuk merancang sesuatu bagi menghalang gadis itu daripada terus mendekatinya?

“Siapa cakap aku larang?”

Lufi Izzar menggaru kepala yang tidak gatal.

“Maksud aku, kau jangan la melampau pula. Kalau kena dengan Cikgu Hadi, mampus la weh!”

Lufi Izzar akhirnya mengerti. Dia bukannya jahat sangat pun. Adelisha perlu ‘diajar’ untuk menghormati masa orang lain. Gadis itu selalu mengganggunya. Bukan sekali sahaja. Malah berkali-kali sehinggakan ada pelajar lelaki lain yang memandangnya dengan tidak puas hati. Kononnya mereka marah kerana dia sudah merampas Adelisha. Lantaklah apa yang mereka nak fikir. Hati dia bukan ada pada Adelisha. Hanya seorang perempuan sahaja yang dia mahukan iaitu Ulfah.

“Aku kenakan dia sikit aje. Kau jangan risau,” kata Lufi Izzar, cuba menenangkan kawannya itu.

Alief mengangkat ibu jari. 


Previous: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.