Prolog

“AKAK!”

“Alief dah kenapa ni?” Ulfah terkejut dengan laungan yang kuat itu. Dia yang baru sahaja pulang dari mengajar, dikejutkan dengan jeritan adiknya itu. Suaranya itu sudah mampu mengalahkan perempuan.

“Akak, teka apa yang Alief buat kat sekolah hari ni?” Alief tersenyum simpul, mahu kakaknya meneka. Keningnya terangkat, menantikan jawapan si kakak yang tercengang. Apa yang dibuat adiknya di sekolah, manalah dia tahu? Lainlah kalau dia mengajar di sekolah adiknya itu.

Ulfah menghela nafas. Adiknya ini seperti budak sekolah tadika. Sejak dari kecil sampai sekarang masih tidak berubah. Memandangkan mereka tiada ibu dan bapa, adiknya terlebih manja dengannya. 

“Apa yang Alief buat? Alief belajarlah. STPM tahun depan kan?” Ulfah mengingatkan adiknya mengenai peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang bakal didudukinya tahun depan. 

Alief menarik muncung. Dia melabuhkan punggung ke sofa dengan beg galas masih pada bahu. “Akak ni memang tak seronok langsung.”

“Apa yang seronoknya? Cuba bagitahu akak apa yang Alief buat kat sekolah hari ni? Ke Alief mengorat awek tapi tak dilayan?” Ulfah bercekak pinggang, menentang pandangan adiknya. Lagaknya seperti polis mahu menyoal siasat orang yang ditahan.

“Akak ni serkap jaranglah. Mana adanya Alief sibuk-sibuk nak pikat awek. Sebenarnya, Alief dapat kawan baru. Dia baru transfer ke sekolah Alief.” Nada suara Alief kedengaran ceria. 

Ulfah tepuk dahi. Ingatkan apa tadi. Itu sahaja? Dapat kawan baru seperti baru menang loteri. Tapi bagus jugalah adiknya pandai membuat kawan. Nanti bolehlah mereka bertukar-tukar ilmu. Tidak salah hendak berkawan ramai asalkan tahu had-had dalam persahabatan. Jangan mengambil kesempatan sudah. Itu yang dia tidak suka dan sudah acapkali dia mengingatkan adiknya itu. Adiknya itu bukan boleh dipercayai sangat.

“Itu saja pun. Alief ni melebih-lebihlah. Ingatkan cikgu puji adik akak ni.” Ulfah menayangkan wajah kurang puas hati.

“Tapi akak … Dia tu tinggi sangat la. Memang segan gila bila berjalan di sebelah dia.” 

Ulfah tidak pasti sama ada adiknya mahu mengadu atau cemburu dengan ketinggian rakan barunya itu.

“Tinggi sangat ke dia?” Ulfah sekadar ingin tahu.  Memang perkara biasa kalau remaja cepat membesar. Tidak hairanlah ada yang sudah mencecah 6 kaki walaupun baru berumur setahun jagung.

“Alief tanya dia dan akak nak tahu berapa ketinggian dia?”

“Berapa?” Ulfah sekadar berbasa-basi.

“185 cm. Lagi 5 cm nak cecah 190 cm. Apa dia nak lawan Kwangsoo Running Man?” Bibir Alief terjuih-juih. Tidak pasal-pasal dia menyamakan rakan barunya dengan Kwangsoo, pelakon dan model dari Korea Selatan itu.

“185 cm? Ala, Alief pun bukannya rendah sangat.”

“Memanglah tapi seganlah juga bila berjalan kat sebelah dia. Bahu Alief ni dah macam tempat dia sandar bahu dia. Lenguhlah.”

“Aik, baru kenal dah rapat macam tu sekali?” Kening Ulfah tertaut, tidak menyangka dengan perkembangan yang drastik dalam persahabatan yang baru terjalin itu.

“Tengoklah siapa. Ini Alief kan. Alief kan pandai buat kawan,” katanya dengan bangga. Ulfah membaling kusyen ke arah adiknya dan tepat mengenai mukanya. Alief merungut tidak puas hati dengan tindakan kakaknya itu. Dia berkira-kira hendak membalas balik namun niat jahatnya terbantut apabila Ulfah sudah bangkit dari sofa.

“Jangan nak bongkak sangat eh.”

Ulfah buat muka menyampah sebelum berlalu ke biliknya. Alief mencebir bibir. 


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.