Bab 5

HABIS sahaja kelas hari itu, Lufi Izzar sudah merancang ingin lepak bersama Alief. Alasannya, fikirannya serabut dan dia mahukan ketenangan. Alief hanya bersetuju sahaja. Dia sebenarnya lagi suka kalau Lufi Izzar mahu lepask bersamanya. Bukannya selalu pun.

“Kau nak pergi mana? Balik rumah aku?” tanya Alief sebaik sahaja mereka tiba di garaj. Masing-masing sudah mendapatkan motosikal masing-masing. 

“Balik rumah kau buat apa pula? Kau nak ganggu kakak kau?”

“Kakak aku belum balik. Dia cakap malam ni dia baru balik sebab dia terus pergi ke rumah mak sedara kita orang. Jomlah temankan aku. Nanti aku bagitahu kakak aku.” Alief beria-ia mengajak Lufi Izzar yang hanya mengangguk, tidak membantah ajakan itu. Dia juga tidak tahu ke mana harus dituju. Balik ke rumah pun bukan ada apa-apa. Zaif sudah bertolak ke Perth, merajuk kononnya. Puan Asiah juga malas memikirkan soal Zaif dan menyibukkan dirinya dengan tugas di firma.

“Kau ni kenapa, Lufi? Ada masalah ke?” Alief bertanya kerana dia ambil berat, bukan ingin menyibuk. Dia perasan Lufi Izzar tidak banyak bercakap hari ini. Bila cikgu menyoal, dia tercengang, tiada jawapan. Sedangkan sebelum ini laju saja mulutnya memberi jawapan sekiranya disoal oleh cikgu. 

“Tak ada apa-apa.”

“Betul ke tak ada apa-apa?” 

“Ya.” Lufi Izzar memberi jawapan balas yang pendek, tidak mahu diasak dengan soalan berterusan.

“Okey. Aku dah tak tanya. Jom la.”

Kedua-duanya mula menghidupkan enjin motosikal.


“AKU menang! Kali ni aku berjaya kalahkan kau. Kau kena belanja aku.” Alief bersorak riang apabila dia berjaya mengalah Lufi Izzar dalam permainan perlumbaan kereta. Dia siap menari di tengah ruang tamu, menzahirkan perasaan gembiranya.

Melihatkan reaksi rakannya itu, Lufi Izzar hanya mampu menggelengkan kepala. Bukan dia yang kalah. Dia sengaja memberi kemenangan kepada Alief kerana dia tiada mood untuk bermain dengan serius. Dia dan Puan Asiah sudah tahu. Dan mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Bagaimana pula dengan Ulfah? Sanggupkah dia mendengar kebenaran yang pasti melukakan hatinya? 

“Kau kenapa? Kalau ada masalah, bagitahu aku.” 

Alief duduk bersila di sisi Lufi Izzar. 

“Kau nak tahu sesuatu?” Lufi Izzar sudah nekad untuk memberitahu Alief kerana Ulfah itu kakak kepada rakannya. Menyembunyikan perkara sebenar daripada kedua-duanya hanya menambahkan kekecewaan. Pada mulanya, dia sudah berjanji dengan Puan Asiah untuk merahsiakan perkara itu tetapi memandangkan Zaif sudah tidak boleh diajak kembali ke landasan yang betul, buat apa dia terus menyimpan rahsia sebesar itu? Yang bakal terluka nanti adalah Ulfah kerana dia beranggapan bakal tunangnya adalah lelaki terbaik untuknya sedangkan hakikatnya dia tidak tahu bahawa bakal tunang yang seharusnya menjadi suami yang baik untuknya adalah seorang lelaki yang tidak bernafsu terhadap perempuan. 

“Tahu apa?” Alief mula menunjukkan minat ingin tahu.

“Kau tak tahu siapa sebenarnya aku.” Suara Lufi Izzar kedengaran serba-salah.

“Siapa kau? Kau Lufi, kawan aku.” Alief tayang wajah selamba. Tidak terkesan langsung dengan kata-kata Lufi Izzar. 

“Bakal tunang kakak kau sebenarnya along aku.”

Alief terdiam seketika. 

“Aku sepatutnya jadi bakal adik ipar kakak kau.”

Riak wajah Alief kosong, tidak menggambarkan apa-apa reaksi. Dia terkejut dengan pemberitahuan itu dan dalam masa yang sama dia berasa dirinya dikhianati. Mengapa Lufi Izzar tidak memberitahunya dari awal lagi?

“Kenapa baru sekarang kau bagitahu aku?” Alief cuba mengawal rasa kecewanya.

“Sebab aku pun baru dapat tahu masa aku pindah sekolah. Kalau aku tak pindah ke sini, aku takkan tahu yang kau …” Lufi Izzar tidak meneruskan kata-kata. Dia sebaliknya menghela nafas panjang. Alief mahu marahkan dia, dia tidak kisah. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menanggung beban lagi. 

“Kau marahkan aku?” soal Lufi Izzar setelah menyedari rakannya hanya berdiam diri. Dia tahu Alief mungkin kecewa dengannya.

“Marah. Tapi kau tak bersalah. Kau ada sebab untuk rahsiakannya,” jawab Alief dengan senyuman ikhlas. Dia tidak berhak memarahi Lufi Izzar kerana tiada apa yang penting. Hal kecil sahaja, masakan dia mahu menghukum lelaki itu?

“Maafkan aku.” Suara Lufi Izzar agak mendatar, menyembunyikan perasaan yang dialaminya saat ini.

“Aku tak perlu maafkan kau. Kau tak buat salah. Jadi, aku agak sebab ni la kau moody hari ni?”

“Tak. Aku perlu bagitahu kau sesuatu. Sesuatu yang lebih penting. Tentang along aku.”

Alief tidak mempamerkan sebarang riak. Dia menantikan apa yang bakal meluncur dari mulut Lufi Izzar.

“Along aku tak bernafsu pada perempuan.”

Secara tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan sesuatu yang jatuh ke lantai. Serentak, kedua-duanya menoleh ke belakang. 

“Kak Ulfah?”

“Betul ke apa yang Kak Ulfah dengar? Zaif … Dia …” Ulfah tidak mampu menuturkan kata-kata. Hatinya tersiat-siat. 

“Akak, bukan ke akak cakap akak nak ke rumah mak su terus?”

“Lufi, betul ke apa yang Lufi cakap tu?”

Lufi Izzar menundukkan wajah, tidak terdaya menentang wajah Ulfah yang dibaluti kekecewaan. 


“MAAFKAN Lufi sebab tak bagitahu Kak Ulfah pasal ni. Lufi pun tak tahu macam mana nak mulakan.” Lufi Izzar benar-benar kesal. Dia dan Ulfah sedang berbincang di luar rumah tentang Zaif. 

“Lufi dah tahu dia macam tu, kenapa nak Kak Ulfah kahwin dengan dia?” Nada suara Ulfah berbaur kecewa dan sedih. 

“Lufi sebenarnya ragu-ragu tapi bila Lufi tengok gambar kekasih dia, Lufi pun terkejut. Lufi dan mak suruh dia hentikan perbuatan tu tapi dia tak nak.”

“Tak sangka Lufi adik dia. Adik lelaki tu.” Ulfah sengaja menekan perkataan ‘lelaki itu’ bagi menzahirkan perasaan sebenar yang dirasai setelah mengetahui perkara sebenar. Sungguh, dia tidak sangka mak su mahu menjodohkannya dengan lelaki sebegitu. Bagaimana mungkin dia mampu mengubah Zaif sedangkan lelaki itu sendiri tidak mahu berubah?

Lufi Izzar menyedari beberapa titik air mata menitik di pipi Ulfah. Dia menyeluk poket seluar, menarik keluar sapu tangan miliknya. Dengan teragak-agak dia menghulurkan sapu tangan itu ke arah Ulfah namun perempuan bergelar guru sekolah itu hanya menggelengkan kepala. Lufi Izzar menarik kembali tangannya.

“Kak Ulfah takkan bertunang dengan dia,” putus Ulfah. Mungkin ini jalan terbaik. Dia tidak sanggup hidup di bawah satu bumbung bersama seorang lelaki yang tidak mempunyai perasaan terhadap perempuan. Dia seorang perempuan. Dia mendambakan pasangan hidup yang mampu membimbing dan membahagiakannya. Hidup bersama dengan zuriat yang bakal dilahirkannya tetapi jika lelaki itu tidak bernafsu terhadap perempuan, mana mungkin dia mamp merasai nikmat bergelar seorang ibu.

Lufi Izzar tidak terkejut dengan keputusan itu kerana dia sudah dapat mengagak. Jika dia berada di tempat Ulfah, dia juga tidak sanggup memperjudikan hidupnya di bawah sebuah istana yang akan runtuh pada bila-bila masa. Seorang ketua keluarga yang harus mengetuai keluarganya tetapi dia pula yang tiada hati dengan permaisurinya sendiri. Mana-mana perempuan pun tidak mahu bersama dengan orang seperti itu.

“Lufi akan cakap perkara ni dengan mak.”

“Tak payah. Nanti Kak Ulfah bagitahu aje mak su then mak su bagitahu mak Lufi pasal ni.” Ulfah sebenarnya bersyukur kerana kebenaran telah terbongkar sebelum dia dan Zaif pergi lebih jauh dalam hubungan mereka.  

“Kak Ulfah, Lufi minta maaf sekali lagi.”

Ulfah menarik senyuman yang dipaksa. 

“Tak apa. Lufi tak salah. Jangan minta maaf pada Kak Ulfah.”

Melihatkan wajah Ulfah itu mendidik hati Lufi untuk menjaga sekeping hati milik Ulfah. Dia tidak mahu melihat Ulfah terluka lagi.

“Lufi akan bahagiakan Kak Ulfah. Along tak layak untuk perempuan sebaik Kak Ulfah.” Lufi berkata dengan perlahan.

“Apa dia?” Mujur saja Ulfah tidak dapat menangkap kata-kata itu. Lufi Izzar menggeleng.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.