Home Novel Kisah Hidup SISIH
SISIH
Lentera Kalbu Shaz
10/1/2020 10:54:07
23,276
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Bab 5
CUBA MELUPAKAN

Kamu kata aku terlalu melankolis orangnya dalam menanggapi rasa tetapi kamu tidak tahu satu pun apa tentang itu semua. Kamu hanya pandai bermain kata, menyogok cerita reka agar mereka bergabung mentertawakan air mata yang aku alirkan dalam aku meniti alur kehidupan. Kenapa aku begitu yakin menuding amarah? Kerana kuasa cengkammu telah aku lihat dan egomu sudah aku jamah sebagaimana lakonanmu di layar kasih kita yang dulu. Telah lama aku tangkap satu persatu topeng palsumu yang berpura-pura simpati setelah kamu berusaha menghancuri. Kelabui rasa ini dengan sedikit momokan malah kamu hamparkan permaidani berlian bergemerlapan setelah di bawahnya kamu taburkan deraian kaca. Wajarkah omongan badutmu aku terima setelah luka lama masih bernanah mengeluar bisa? Langkahku terasa lambat, namun akan aku gagahi jua mengikut kata hati ini demi perjalanan yang panjang. Akulah si camar yang akan berusaha terbang sejauh dan setinggi mungkin untuk satu azam satu tekad. Aku percaya daun yang jatuh tak pernah membenci angin, dia membiarkan dirinya jatuh begitu saja. Tak melawan, mengikhlaskan semuanya. Bahawa hidup harus menerima, penerimaan yang indah. Bahawa hidup harus mengerti, pengertian yang benar. Bahawa hidup harus memahami, pemahaman yang tulus. Tak peduli bagaimana apa penerimaan, pengertian, pemahaman itu datang. Tak masalah meski apa saja kejadian yang sedih dan menyakitkan yang mendatang. Semuanya datang bergolak ganti menuruti kehendak dan aturan keadaan itu sendiri. Ah! Alangkah bagus jika semuanya hanya perlu dibiarkan tanpa memberi sebarang kesan negatifnya dalam hidup. Tetapi, itu hanya DAUN. Kita adalah manusia yang mempunyai pelbagai ragam dan cara hidupnya yang tersendiri. Setelah dari yang satu ini aku menyimpulkan kehidupan ini laksana mengayuh sampan di lautan nan luas. Tiadalah sepi oleh riuhnya angin dan riaknya gelombang. Apa yang perlu, aku hanya melebarkan saja layarnya. Memang, kadang kala aku merasakan diri hanyut keseorangan pabila cinta itu lagi dimiliki. Merasakan tiada tangan yang sudi dihulurkan tika bangun itu rebah dan tersungkur. Sakit dan pedih. Hingga akhirnya aku terus melayani rasa kesedihan dan kehilangan itu sendirian. Pada mata yang memandang sayu, meluahkan simpati, memberi kata-kata semangat, aku tetap menidakkan kehadiran mereka. Kerana aku telah terpengaruh bahawa kecewa itu perlu disayangi. Biarkan… walaupun sang bayu menderu menghempaskan aku menuju ke tepiannya namun aku cekal kerana aku yang memegang kendali layarnya kasihku ini. Tatkala keresahanku itu perlu dilontarkan, aku biarkan sang bayu membawa keresahan itu. Agar kau juga turut merasai apa yang aku rasa ketika ini. Sekecil mana kerinduan membias cinta mengundang simpati, sebesar mana kesilapan semalam membenam mentari. Kita lenyapkan segala kisah duka semalam. Tiada maknanya untuk kita mengimbas kembali seterusnya. Anggap saja itu mimpi yang diulit resah. Ayuh! Kita lontarkan nun jauh ke Laut China Selatan, ke gunung-gunung, ke bukit-bukau, ke laut hitam yang tiada penghuni. Aku yakin, pasti tidak akan berulang lagi resah yang berpanjangan. Bukan senang untuk mendapatkan apa yang kita nampak senang dan bukan susah juga untuk kita mendapat susah. Itu yang perlu aku ambil tahu apatah lagi di saat aku meneruskan pelayaran bahtera kasihku ini. Pada suatu masa bila hati aku berkata, kau bagai burung mencari dahan yang utuh untk hinggap namun hakikatnya kau hinggap di dahan rapuh. Bila mata aku berkata kau nampak sempurna seperti sedia ada, namun hakikatnya itu lakonan semata. Bila tangan aku berkata, kau sekadar hebat berkata-kata, namun hakikatnya itu semua mainan saja. Bila hatiku berkata dan terus berkata, akhirnya aku tidak terkata-kata. Kesimpulannya SENJATA sebenar kehidupan itu adalah apa yang orang tak ada tapi kamu ada. Jadi, dari situlah aku membisik kepada diriku sendiri PERTAHANKANLAH! Biarlah aku belajar hidup yang sememangnya penuh dengan air mata. Sampai satu tahap, semua orang akan rasa menjadi matang untuk kuat dan berani berhadapan dengan masalah. Ya betul, kadang-kadang aku rasa, cukuplah. Aku betul tak kuat. Tapi, bila aku rasa aku lemah, aku terlupa bahawa Allah hantarkan sesuatu atau seseorang untuk menguatkan aku. Barulah aku tahu bahawa Allah itu tak pernah kejam. Kita yang pilih untuk MENZALIMI diri sendiri dan DIZALIMI. Manusia macam aku. Betul juga, Allah takkan menduga melebihi kemampuan. Allah takkan mentakdirkan sesuatu KEHILANGAN, tanpa menyediakan sesuatu yang lain. Kadang kala terpaksa REDHA pada ketentuannya. Walau PAHIT tapi akan ada manis akhirnya. Biar pedih namun itulah SURATAN TAKDIR pada aku. Aku bukan pelakar lukisan, aku juga bukan penulis lirik, bukan juga penggubah lagu. Aku hanyalah aku. Untuk aku untaikan satu persatu garis suka duka itu, ia takkan mungkin berlaku. Kerana aku tahu ia di luar kemampuanku. Hanya yang ada kekuatan diri. Kepada Ilahi aku serahkan jiwa dan raga. Mencalit sekelumit ketabahan agar jalanku tetap di denai itu. TEGUH biar kelihatan rapuh. Apabila aku menulis begini sering menggunakan ayat KLISE mesti ada yang sentap. Seolah-olah ayat itu ditujukan untuk dia. Hakikat sebenarnya pemikiran seorang manusia itu bersifat KOMPLEKS. Jadi, kita tidak boleh terus menuding jari jika bukan kita yang dimaksudkan. MELANKOLIS itu boleh tapi jangan salah tafsir sudahlah. Jangan MENGHANTUI DIRI dengan bayang-bayang hitam. Tidak hanya seorang yang cuba SERKAP JARANG aku. Tidak! Tidak terkira! Ah! Sudah… Aku tidak memaksudkan siapa-siapa. Itu semua monolog hatiku untuk diri sendiri. Kalian tahukah bagaimana jiwaku sebelum ini? Betahun-tahun aku berperang dalam perasaanku sendiri! Kalian tahu apa tentang itu semua? Kalian tidak tahu. Kalian hanya tahu aku yang kalian lihat sekarang. Luaran aku yang kalian nampak tidak seperti apa yang ada di dalam diri aku. Sakit aku, jatuh aku, kehilangannya aku, tenatnya jiwaku dan apa saja ada pada SISI GELAPKU kalian tak tahu. Aku tidak menuding kalian. Jangan risau. Kalian bukan PESALAH dan aku bukan MENYALAH. Tudingan aku itu KHUSUS untuk DIADIADAN DIAHANYA DIA. Sebab itu aku lebih memilih prinsip SILENCE IS GOLDEN. Untuk perjalanan aku yang satu ini aku dengan nekad memutuskan lingkaran duri berapi yang membelenggu sebelum melangkah ke babak baru dalam hidupku. Kerana aku tahu di balik pintu awal baru ini, jutaan kemungkinan indah menanti teruntuk hanya bagi mereka yang sudah memetik pelajaran dan berkembang, lalu berani terus memajukan hidupnya. Pelayaran nekadku kali ini memang rumit, serumit penulisanku ini. Itulah sebabnya aku menyifatkan ia satu fasa sukar dalam proses cuba membersihkan kamus hati, kamus diri agar bertemu persinggahan hakiki.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.