Home Novel Kisah Hidup SISIH
SISIH
Lentera Kalbu Shaz
10/1/2020 10:54:07
23,270
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Bab 7

SAATNYA HARUS MEMILIHBiar pun jalan bengkang bengkok di hadapan, biar pelbagai ujian dan cabaran menanti …Aku akan tetap bergerak maju dan tak akan pernah mundur. Tidak ada istilah menyerah kalah sebelum mencuba dalam kamus hidupku. Kerana aku YAKIN DAN PERCAYA, tidak berjaya dan maju seseorang itu tanpa cabaran datang menguji. Allah uji sebab dia tahu aku mampu mengatasi. Cuma ada dua pilihan dalam hidup. NAK atau TIDAK. Itu sahaja. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam kehidupan kita pada masa akan datang, Cuma kita perlu berusaha menjadi yang terbaik dalam hidup kita. Pengalaman yang memotivasikan kita dan kenangan yang sentiasa mengingatkan kita.
Kukira MEMILIH itu senang. Rupa-rupanya lebih susah daripada MENOLAK. Memilih perlukan kesungguhan. Menolak hanya perlu keengganan. Kamu kata di saat aku diam, itu sudah cukup menakutkan bagimu. Kamu kata aku lebih terlihat seram berbanding aku yang selalu mengomel seperti suatu ketika dahulu. Kamu kata aku terlalu memilih sesuatu yang sempurna untuk menata masa depan yang cemerlang. Ah! Itu kamu kata tentang aku. Aku tahu, bukan kamu saja berkata begitu tentang aku. Malah hampir semua yang kenal aku kata begitu. Dalam aku? Biar aku sendiri yang mengerti. Aku bukan mencari kesempurnaan. Aku hanya mencari pelengkap terhadap ketidaksempurnaan diriku sendiri.
Kamu kata aku DEGIL. Kenapa? Salahkah? Harus kamu tahu bawa degil aku inilah yang membuatkan aku masih terus bernafas hingga ke hari ini. Jika bukan kedegilan aku ini mungkin aku sudah lama MATI. Mati dalam hidup. Ya. Pernah dengar tak perumpamaan seperti bangkai bernyawa? Itulah aku yang dahulu. Seolah-olah mata ku terkebil-kebil menunggu malaikat maut mencabut nyawa namun tidak kunjung tiba juga. Hinggalah tiba satu tahap aku mengasah kedegilan diriku dari dalam. Aku berkata pada diriku sendiri, jika mahu terus hidup maka aku harus degil melawan KETAKUTAN. Harus degil melawan KETIDAKADILAN. Aku harus degil menepis KEBODOHAN yang sangat tak wajar. Kamu faham apa maksud aku tentang itu semua? Mungkin ada yang tidak faham. Mungkin ada juga yang faham. Tahniah! Kamulah yang sesungguhnya tahu apa isi jiwa terdalamku dalam mencari misi jiwaku yang telah lama hilang ditutup ketidaksempurnaan. Bagaimana aku dapat kekuatan di atas KETIDAKWAJARAN itu semua? Aku hanya perlukan sedikit tenaga dalam diri untuk bangkit mengelap titis-titis noda hatiku yang berdarah menanah parah. Aku harus terus HIDUP. Aku harus terus bangkit dan kembali menjalani kehidupan seperti perjalanan menuju MATI HIDUP KEMBALI. Demi hidup baru maka aku harus KUAT. Kini, aku sudah mampu berdiri dan sembuh dari LUKA LAMA. Apa yang harus aku buat sekarang adalah mencari peluang dan satu hati untuk aku PERCAYAI SAMPAI MATI. Jika di persinggahan aku yang kali ini aku masih tidak menjumpai hati itu, maka aku pasrah. Aku mengalah dan seterusnya aku betul-betul perlu BERUNDUR untuk seumur hidupku.
Kesimpulan dari episod jiwaku kali ini jika aku gagal dalam memilih yang HAK, hanya ada dua alasan untuk aku terus berlalu pergi. Pertama, kerana kecewa yang amat mendalam dan yang kedua kerana cinta yang amat dalam. Pertama atau kedua pilihanku? Dua-duanya membuatkan aku SANGAT MERASA SAKIT. Kehidupan ini memang penuh konspirasi. Memilih apa yang harus aku pilih itu ternyata lebih menyakitkan. Itu semua kerana terlalu menaruh harap setinggi langit seluas lautan. Mengharap buah berbuah manis, namun harus difahami harapan tidak pernah sesuai dengan keinginan. Kadangkala mimpi itu jarang sekali menjadi kenyataan. Memendam rasa menyulam duka membuatkan aku seakan hilang harap untuk terus melangkah menyudahkan pencarian dalam episod PEMILIHAN ini. Bahagia, gembira itu NASIB, mencintai itu TAKDIR namun, kita mampu mengubah nasib, tetapi tidak untuk mengubah takdir hidup. Susah tak untuk mencerna kata-kataku ini? Mula-mula dahulu, aku pun sama seperti kamu. Susah. Tidak faham sama sekali.
Dekat, namun tak ada ruang, dan aku hanya diam menanti penghujung rindu. Tak apa, tak perlu saling memilki, nikmati saja kebahagian masing-masing. Walau rasanya seperti ada yang tidak kena, namun aku ucapkan terima kasih kerana telah hadir walau sekejap. Kita adalah dua sisi yang saling berbagi, saling mengasihi, merindui, saling merasa pilu dan juga saling tahu bahawa kita takkan menjadi satu. Rindu aku, rindu kamu sudah menjadi seperti radang, hari kian hari terus terkenang dan kini…kisah kita usang. Pernah sama menata angan. Kini, tak pernah terjadi dan hanya tinggal bayang-bayang. Suatu saat dulu, kita sangat dekat tanpa sekat tapi hakikatnya TERASING dalam diri masing-masing. Kita hanya dua manusia, berharap bersama meski tak mungkin.
Bercakap tentang RINDU. Rindu ini sudah berkarat. Semakin rosak seperti besi yang berkarat. Lihat saja, sebentar lagi akan hancur. Karat itu yang menghancurkan besi.  Tetapi, rindu ini menghancurkan aku. Lucunya, bukan jarak yang memisahkan. Tapi kamu yang memisahkan. Semesta mentertawakan aku, kerana aku hanya manusia yang berharap. Rindu ini semakin tak terarah, dan hilang, tak tahu harus melangkah ke mana. Entah apa ini semua, bukan sebuah penolakkan, namun terdengar seperti motivasi. Kamu ceritakan semua gambaran yang kamu inginkan di masa depan. Namun aku belum dapat berada di sana bersama gambaran anganmu. Aku hanya berusaha mengejar ketertinggalanku. Berusaha menjadi lebih baik dari diriku yang kelmarin. Dan aku pun tak ingin salah agar hatimu dan hatiku dipertemukan oleh langkah. Tak ingin lagi salah harap. Aku titipkan hatiku kepada sang pemilik hati, agar terjaga. Agar hatimu dan hatiku dipertemukan oleh-Nya maha pemilik hati dan maha membolak balik rasa.
Untuk kamu yang aku pernah rindui…aku rindu semua tentang kamu, aku rindu kamu yang selalu mengambil peduli, kamu yang selalu jadi teman bicaraku. Dahulu aku pernah menunggu kamu PULANG ke hati ini yang entah bila kamu teringin untuk kembali. Kini, aku ingin rindu itu namun kita tidak lagi berkisah. Akhirnya rindu juga tidak lagi pernah berhujung temu. Jika suatu saat kamu menemukan coretan aku ini di berandamu tanpa sengaja. Bacalah. Pasti kamu mengerti akan hal ini di setiap barisnya seperti kisah kita. Memang pertemuan itu singkat, tapi bagiku itu luar biasa untuk kukenang sampai bila-bila. Terima kasih telah singgah walau tidak menetap, setidaknya kita pernah berjuang bersama. Terima kasih juga untuk hidup yang penuh pelajaran itu. Terpisah saling mencari hati namun tak pernah bertemu. Kamu tenang saja. Andai suatu masa nanti kita bertemu akan aku ceritakan bagaimana dunia setelah kamu tiada disisiku. Sudahlah. semuanya sudah berakhir. Tak ada lagi ruang untuk kamu kembali. Kita tahu takkan pernah bersama jika yang aku harapkan ternyata bukan kamu yang sebenarnya. Meski kita sempat berucap sayang namun itu semua hanya sebatas angan untuk bersama. Semua itu janji. Tapi TAK MUNGKIN. Kala itu kamu dekat tanpa sekat. Saat ini aku mencari kau tiada. Ke mana harus ku langkahkan kaki ini? Kaki ini menepi di pelantaran senja dan terdiam. Ketika itu, semesta mentertawakan kau dan aku.
Ketika hati ini terlalu lelah, aku sepakat untuk memberi kesempatan pada hati untuk MEMILIH dan ternyata hati ingin tertutup untuk sementara. Sama seperti raga dan logika juga setuju dengan rasaku. Dekat, namun tak ada. Kini kamu menyedari kasihku itu sesungguhnya bukan main-main. Maaf kamu kembali di saat waktu yang salah. Di saat aku telah menemui hati yang jauh lebih menghargai, memahami, menghargai kerja kerasku, menghargai jerih payahku dan seseorang yang telah tahu benar bagaimana patahnya sayapku setelah dari pencarian yang aku perjuangkan dulu. Jika dari setelah yang satu ini kisahku tetap sama, MAKNANYA akan aku kuncikan hati ini untuk peluang seterusnya BUAT SELAMA-LAMANYA. Sekarang aku sudah sangat lelah dan aku sudah putuskan untuk TAMATKAN saja pemilihan ini. Doakan saja agar ini PELAYARAN YANG TERAKHIR BAGIKU.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lentera Kalbu Shaz
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham