Maka benarlah seperti apa yang telah abah
perkatakan kepadanya tentang suatu perkara itu yang merimaskan dirinya selama
ini. Perkara yang melemaskan sanubari dalam seluruh usianya ini. Betullah seperti
apa yang dikatakan oleh abah. Selagi dia tidak berubah, dia akan terus hidup
terhukum begini.
Ya, Firas tidak akan kenal erti kehidupan
sebenar selagi dia tidak belajar untuk hidup dengan sekeping hati yang normal. Dengan
hati yang redha. Bertawakal dan berserah. Ah, semua istilah sudah dia ajarkan
ke dalam sekeping hati itu.
Tetapi masih belum membibitkan kelembutan.
Masih juga dia berperang antara hati dan rasa. Antara yang patut dan tidak.
Antara wajar dan bukan. Persoalan siapa yang bersalah dan berhak ke atas sebuah
hukuman masih juga Firas cuba bangkitkan dalam hati dan dirinya.
Mengapa dia pula yang harus merasa
terhukum? Yang berdosa itu bukan dirinya! Dia adalah mangsa. Orang yang
menzalimi dirinya itulah seharusnya merasa terhukum dan dihukum.
Abah juga adalah seorang mangsa. Tetapi mengapa
abah begitu mudah bersikap redha di atas segalanya yang telah berlaku itu? Seolah
abah sudah penat untuk mengharungi peperangan perasaan ini. Berat keluhnya
untuk mengakui bahawa dirinya juga sejujurnya begitu. Cuma rasa itu telah dia
benamkan dalam-dalam dalam lubuk penafian.
Sekuat manapun Firas memberitahu diri
bahawa dia hidup seadanya begitu. Bahagia seadanya begitu. Hanya berdua, dia
dan abah. Lelaki-lelaki tabah yang mengharungi ranjau serba mencabar.
Kasihan abah. Bertahun bergelut dengan
perasaan. Bukan sekadar perasaan tetapi juga keyakinan. Alhamdulillah, abah
masih kekal dengan pegangan dan keyakinannya. Biarpun telah kehilangan cinta
seorang wanita yang bergelar isteri, abah masih yakin pada cinta Allah. Maha
Pencipta. Abadi.
Seketika rasa sayu menyayat kalbu. Syukur
abah kuat. Kalau tidak hari ini dia mungkin bukan lelaki yang bernama Muhd
Firas Adam Bin Hanafiah Tan. Entah apa akan terjadi dengan dirinya saat ini
kalau tidak kerana ketabahan abah mengharungi detik-detik itu dulu.
Jiwanya sejenak rusuh. Cuba memberi ruang
kepada sebuah pertimbangan yang dewasa. Penafian yang telah dilapikkan sebagai
lantai hidupnya selama ini rupanya terlalu menyeksakan.
Dahulu, setiap kali dirinya menjadi
tumpuan, Firas akan pamerkan segala kelebihannya. Dia tersenyum puas bila
dirinya dikejar begitu ramai gadis yang terpesona dengan karismanya.
Lalu bila setiap hati itu dia patahkan
dengan begitu mudah, bangganya akan menduduki tahap tertinggi dalam diri
lelakinya. Seolah dia telah membalas setiap perbuatan perempuan yang seorang
itu.
Dan dalam setiap ketika, dia hujankan
berulang-kali kata-kata benci terhadap perempuan itu. Sudah acap kali Firas
tujahkan kata bahawa dia tidak perlu wanita untuk tegak berdiri dan berbahagia di
dalam kehidupan. Dia sudah punya segala-galanya yang dia mahu dalam
kehidupannya ini.
Tetapi masih juga dia digores oleh
tajamnya sebuah perasaan. Tajamnya belati rindu. Setiap kali dia melukakan,
akan ada sejalur perit yang mengiringi kebanggaannya. Setiap kali dia tersenyum
puas setelah mematahkan hati-hati wanita itu, akan bergalurlah rasa rindu yang
menyayat.
Mengapa walaupun setelah begitu banyak
keping hati yang dia lukakan,masih tidak mampu membunuh kepedihan akibat
dilukakan oleh wanita yang seorang itu? Masih
belum mampu menghapuskan rasa rindu yang mendalam di hatinya untuk dibelai dan
dikucup seorang wanita yang seharusnya dia panggil ibu itu?
Mengapa semua kepuasan yang dia peroleh
dari melukakan hati-hati wanita lain itu tidak pernah memberikannya sebuah ketenangan yang hakiki? Semakin dia melukakan
hati-hati itu, semakin pula hatinya menjadi tidak tenteram.
Semakin dia melukakan, semakin itu pula
hatinya berdarah. Tidak pernah puas. Pun tidak pernah tenang. Sehingga
kemuncaknya bila dia terlalu membenci seorang perempuan lagi di saat ini.
Ya, dia bencikan perempuan itu! Perempuan
yang bernama Syarifah Adriana Fidzriah. Tidak tahu kenapa biarpun motifnya
sudah terlalu jelas warnanya. Pun Firas tidak ingat akan kewajaran yang memberi
izin untuk hatinya membenci ciptaan Allah yang lain.
Apakah mungkin kerana wajahnya? Rasanya
tidak. Apakah kerana kelebihan dan kebolehannya? Pun Firas rasa tidak. Firas
tidak pernah ada sifat cemburi, dengki mahupun iri. Tetapi mengapa dengan gadis
yang seorang itu hatinya jadi begitu panas?
Mengapa dalam hatinya yang ada cuma rasa
marah, benci dan sebagainya yang Firas sendiri tidak mampu tafsir. Apatah lagi
untuk dia luahkan. Atau mungkinkah kerana nama keluarganya yang telah menjadi
pencetus kepada amarah dan rasa benci Firas?
Syarifah. Biarpun dia ingat-ingat lupa
akan rupa ibunya dulu tetapi namanya masih kekal dalam ingatan. Kerana nama itu
yang selalu dia nampak pada sijil kelahirannya. Yang selalu dia tuliskan dengan
tangan berat pada borang-borang yang pernah dia isi.
Di sebalik kebenciannya yang meluap
terhadap Adriana, Firas sedar dia tidak menjadi dirinya yang sebenar di hadapan
gadis itu. Di hadapan Adriana, perasaannya berperang. Antara lelaki sejati dan
lelaki pendendam.
Adriana umpama lambang penentangan seorang
perempuan terhadap kuasa lelakinya. Di
dalam diri gadis itu, dia melihat kelopak egonya luruh satu demi satu. Firas
telah menjadi seorang lelaki yang sering gagal di hadapan mata Adriana.Semua
yang dia lakukan serba tidak kena. Entah mengapa?
Namun setelah apa yang diperkatakan oleh
abah sedikit sebanyak telah membuat mata hatinya seperti terbuka luas. Mahu
tidak mahu, minda sedarnya mahu dia akur pada sebuah rasa. Ya, dia mempunyai suatu
rasa pada gadis itu. Walaupun dia belum pasti adakah ianya pesona mata atau
panahan hati. Atau sebuah sumpahan?!
Abah kata manusia tidak boleh hidup
seorang diri selamanya. Manusia memerlukan teman. Seperti sirahnya Adam yang
memerlukan Hawa.Dihukum Tuhan
pun mereka redha. Dan terus bersama hingga ke generasinya kini. Generasi
manusia.
Apakah mungkin segala sesak dan lemas di dalam
dada ini akan menghurai bila dia akur pada ketentuan itu? Firas masih keliru.
Dia belum sampai kepada sebuah jawapan penentuan yang pasti.
Dan hujan itu masih berirama. Memberi
suatu alunan melodi yang mengiringi sebuah pertimbangan seorang insan.
Dua tiga hari lamanya dia menganalis
kata-kata abah. Dia bandingkan kata-kata abah yang banyak mengandungi maksud
tersirat dengan segala teori berkenaan dirinya sendiri.
Abah tahu pembawaan dan sikapnya. Abah
betul-betul prihatin biarpun tidak pernah meluahkan dengan kata atau tindakan
selama ini. Abah takut anaknya ini hidup dengan sekeping hati yang beku. Jiwa
pendendam.
Betulah tu… dan hakikatnya dia sendiri
tidak pernah sanggup untuk berterusan menjadi manusia begitu. Tanpa sedar
hatinya meronta untuk hidup seperti manusia biasa. Lelaki yang normal.
Malam tadi pun hujan turun. Sama seperti
malam kelmarin ketika abah datang ke biliknya membawa dua mug kopi-o panas.
Malam di mana abah secara halus menegur peribadinya.
Secara simbolik menyedarkan dia bahawa
hidup ini tidak ada makna tanpa kasih. Tanpa sayang. Tanpa cinta. Dan tanpa
teman. Semua itu membuatkan dia teringatkan hanya kepada seorang gadis itu.
Adriana.
Mengapa pula mesti gadis itu yang hadir di
kotak minda? Sudah acap kali Firas mengajukan soalan itu kepada dirinya
sendiri. Mengapa tidak ada nama lain? Mengapa tiada wajah yang lain?
Namun pada setiap kali dia memerah hati
dan rasa, Firas sedar bahawa memang tidak pernah ada nama dan wajah lain dalam
hidupnya melainkan yang satu itu.
Yang ada cuma ada satu nama. Satu
wajah. Yang sebenarnya memang sudah sempurna melantai dan melangit hidupnya.
Yang telah wujud dalam setiap detik nafas dan degupan jantungnya.
Sejak pertama kali dia memulakan tugas di
pusat perubatan itu.Pertama
kali membaca tag nama gadis itu. Pertama kali menerima laporan pesakit dari
gadis itu. Semuanya pertama kali buat Firas.
Pertama kali yang juga merupakan saat di
mana dia telah memaksa hati dan jiwa menyenarai hitam Syarifah Adriana Fidzriah
dalam kamus hidupnya. Firas ajar hati untuk membenci gadis itu. Firas ajar
lidah biar hanya kata-kata keras dan kasar yang terlafaz. Suatu jalan penafian
yang paling selamat.
Ketika dia melangkah keluar dari rumahnya
awal pagi tadipun, hujan masih lagi menitis dari hujung dedaun pohon. Membasahi
kelopak-kelopak dan kuntum-kuntum bebunga abah yang berbaris kemas di halaman.
Menenggelamkan rumput-rumpuk renek di lantai bumi perkarangan halamannya yang
tidak seluas mana itu.
Kini di perkarangan hospital, dia masih
dapat melihat rintik-rintik hujan. Menenggelamkan riuh rendah suara orang ramai
yang memenuhi ruang lobi. Juga menenggelamkan tangisan insan yang sedang
menanggung derita perasaan.
Dia masih mahu menunggu gadis itu di situ.
Biarpun dia tidak pasti jadual shiftAdriana untuk hari ini. Untuk
bertanyakan kepada jururawat lain, terasa segan pula. Takut akan timbul gosip-gosip liar pula
nanti. Bukan Firas tidak tahu perihal konflik antara dirinya dan jururawat yang
popular itu sudah menjadi seakan gossip selebriti di PPRM.
Persoalan semalam yang menghuni minda
kelirunya sudah terhurai biarpun tidak semuanya. Kesannya pagi itu dia menurut
sahaja arahan hati tanpa dipengaruhi oleh minda. Dia hanya mendengar kata
hatinya.
Apa-apapun langkah kakinya telah membawa
dia ke suatu tempat.Dan di
situlah dia berdiri saat ini. Hatinya berkata kalau dia mahu berubah, ini
adalah langkah pertama yang harus dia orak.
Dan dia sedang membawa dirinya untuk untuk
berhadapan dengan Adriana. Malah di benaknya juga sudah terangka kemas bicara
untuk memohon kemaafan yang akan diungkapkan kepada gadis itu.
“Syarifah Adriana Fidzriah….” dia menyebut
nama itu dalam hati yang sarat memberat.
Firas tidak tahu ekspresi apa yang sedang
terlukis di wajahnya. Apakah pada wajahnya
terlukis perasaannya yang keliru dan celaru itu? Walaupun hakikat yang
sebenar adalah kehendak hatinya untuk memperbaiki semua kepincangan ini lebih
kuat dari segala rasa negatif yang tidak pernah jemu menghasut.
Sudah terlalu banyak salah dan silapnya
terhadap Adriana. Setiap bicara yang keluar dari mulutnya terhadap gadis itu
terlalu tidak wajar. Apatah lagi dengan sikap kasarnya terhadap Adriana.
Sesalan-sesalan itulah yang telah
menggugat ketenangannya. Yang menyebabkan lenanya entah ke mana semalaman
kelmarin walaupun didodoi melodi hujan. Kata-kata abah telah sedikit-sebanyak
membuka hati dan minda.
Sudoku perasaannya pada Adriana telah dia cuba
untuk selesaikan. Biarpun Sudoku itu mampu dihuraikannya, namun ia sekadar
nombor yang boleh diatur dengan pengetahuan dan strategi.Atau firasat?
Firasat.
Ya, kerana firasatlah dia telah dengan
rela mengenepikan ego lelakinya saat . Wah, selama ini bukan main gahnya dia.Sesuka hatinya menempelak dan memarahi
gadis itu. Ada saja yang tidak kena di matanya.
Biarpun pada setiap kali, kesalahan itu memang mutlak haknya.
Gadis pintar.Selayaknya Adriana menjadi
seorang pakar, bukan sekadar menjadi tenaga yang menyokong pakar perubatan.
Diakuinya gadis itu memang bijak. Malah Firas turut mengakui kebenaran pada
kata-kata setiap pakar perubatan yang selalu memberikan kredit kepada gadis
itu.
Tetapi entah mengapa antara dirinya dan
Adriana, seolah tiada keserasian antara mereka. No chemistry, kata orang
Inggeris. Biarpun dia tahu orang lain memandang serong penilaian dan tingkahnya
terhadap gadis itu. Namun apalah dayanya bila hati lebih kuat ingin melakukan
semua itu sebagai penzahiran palsu demi melindungi sebuah perasaan.
Tetapi penzahiran perasaannya itu satu
penjajahan maha kejam lagi tidak bertamadun. Melampiaskan dendam terhadap orang
lain kepada seorang manusia lain yang tidak pernah ada kesalahan dan dosa
terhadapnya.
Dari tempat dia berdiri, Firas dapat
melihat gadis itu sedang berjalan menghampiri mesin ATM
BSN. Seketika kemudian sudah berdiri tegak di hadapan mesin pengeluar
wang itu.
Sekadar berpakaian biasa, dengan T-Shirt
berwarna ungu muda yang dipadankan dengan jean Denim. Mungkin Adriana
tidak bekerja hari ini. Sama seperti dirinya juga. Day-off.
Firas mengucapkan syukur di dalam hati
kecilnya. Terus mengorak langkah melewati beberapa orang yang sedang menuju ke klinik rawatan am.
Keramaian manusia di situ tidak langsung disedarinya. Hanya Adriana yang
terlihat di ruang mata.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Gadis itu berpaling memandangnya. Lalu
mereka bertemu pandang untuk seketika. Aduh, lidahnya tiba-tiba menjadi kelu.
Renungan sepasang mata Adriana benar-benar menyebabkan mindanya kosong
seketika.
Hati jadi berdebar-debar. Entah mengapa. Gadis
itu masih memandangnya dengan sekeping kad di tangan. Kelihatan seperti hendak mengeluarkan
wang dari mesin ATM.
“Yes, anything doc?”
Sapaan Adriana berkumandang di
pendengarannya. Buat pertama kali dia merasakan Adriana bersuara kepadanya
dengan nada yang lembut. Bebas dari ketegangan tugas di hospital.
Salah tu Firas! Bukannya Adriana yang baru
pertama kali bersuara dengan lembut. Tetapi kau yang selalu membuat provokasi
tidak bertamadun! Teguran hatinya kedengaran di gegendang telinga.
Terkedu. Lidah kelu.
“Doc?”
“Hah?Hmm…” Firas telan liur.
“Withdrawing your pay?” hish,
soalan apa yang dia ajukan?
Adriana sekadar mengangguk sedikit
kehairanan. Pastinya Firas tidak dapat melihat perasaan geram dan menyampah
yang menggigit tangkai hati Adriana tika itu.
“I
pun,” cepat-cepat Firas menyambung katanya biarpun dia sedar Adriana
tidak memerlukan maklumat itu.Ingin sahaja ditepuk dahinya tika itu bila
Adriana kembali mendepani mesin ATM itu. Membelakanginya.
“Come on man…” bisiknya kepada
dirinya sendiri.
Jari-jemarinya yang terasa lembab dek
peluh digenggam erat-erat. Bibirnya bergerak-gerak mengungkapkan baris-baris
kata yang telah direkanya semalaman.
“Okay, I can do this…” dia pasti sudah memperolehi
keyakinannya kembali. Malah dia sudah hafal akan baris kata-kata itu.
“Adriana…” panggilnya dengan nada sedikit kuat.Dia berdehem sekali sekadar menghindarkan
gemuruh yang melanda tebing dada.
Adriana berpaling sambil menyimpan
beberapa helai wang lima puluh dan kad bank ke dalam beg sandang berwarna merah
yang biasa di bawanya ke mana-mana itu. Kemudian dia memandang wajah Firas yang
masih tercegat merenungnya itu.
“Ya doc?”
“Err…”
Renungan sepasang mata Adriana sekali lagi
memadamkan baris-baris kata yang telah dihafalnya itu.Argh!
Not again…
“Hmm… dah ke?”
“Hah? Yeah, I am done. Your turn. Sorry…”
Adriana melangkah sedikit ke sisi Firas. Kemudian berpaling untuk
pergi. Tidak sanggup berlama-lamaan di situ. Hairan dengan sikap doktor lelaki
itu yang berbeza benar kelihatannya saat itu.
Buang tabiat apa, tak pernah-pernah
menyapa aku. Gaya baik lagi… bisik hati kecil Adriana. Dia terus melangkah
pergi. Laju meninggalkan Firas yang sedang termangu memerhatikan lantai putih
yang basah dek tempias rintik-rintik hujan.
Mission accomplished. Unfortunately it was not very successful.