Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,103
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 5


  Reza baring melentang beralaskan kedua tapak tangan sambil memandang siling biliknya. Matanya masih terkebil-kebil dan masih terbuka luas. Begitu ralit dia memandang kipas siling yang ligat berputar berkejaran sesama sendiri. Belum ada sebarang tanda yang dia akan terlena sebentar lagi. Keluarganya yang lain mungkin sudah tidur memandangkan rumah itu begitu sunyi sepi seperti tidak berpenghuni.

  Tanpa berfikir panjang, dia bingkas bangun dan terus meluru ke arah meja komputer yang berada di hujung sudut bilik tersebut. Wayar disambungkan ke dalam palam dinding. Dia menekan butang power lalu memasukkan sebuah pendrive kecil ke dalam komputer tersebut. Begitu tekun dia  memandang screen komputer hatta begitu lincah tangannya menggerak-gerakkan tetikus laser di atas permukaan mouse pad berwarna hitam yang lembut dan bergetah. Portal halaman google diakses untuk mencari satu maklumat penting. Sesekali dia meraup kepalanya dengan perlahan tanda meluahkan rasa teruja yang sudah bertandang di dalam hatinya. Seketika kemudian, apa yang dicarinya sudah ditemui lalu dimuat-turunnya sebelum mencetak maklumat itu. 

  Beberapa helai kertas yang baru dicetak tadi diselak sehelai demi sehelai lalu terhenti pada sehelai kertas. Dia menatap lama kertas yang memaparkan beberapa simbol dan meneliti satu per satu isi kandungan yang tercatat di dalamnya dengan tekun. 

  “Oh macam ni. Tentu kat sini!” tekanya sendiri sambil cuba meraba-raba kerusi  sehingga tangannya tertepis botol berisi coke.

  Serta merta dia menyapu-nyapu baju kemeja yang tersarung ditubuhnya dengan kasar. Habis basah lencun kemejanya dek adukan peluh dan tumpahan coke tadi. Satu per satu butang baju kemeja dibuka lalu dicampak masuk ke dalam bakul kain kotor. Jaket kulit berwarna hitam dan t-shirt putih yang tersidai pada belakang kerusi meja komputer segera dicapai lalu menyarungnya ke tubuh. 

  Usai memakai jaket tersebut, laci meja komputer dibuka penguncinya. Terketar-ketar tangannya menyelongkar untuk mencari peralatan yang berhamburan isinya di dalam laci tersebut. Segala lampu suluh, pemetik api, topeng, pisau lipat dan entah apalagi yang berselerak di dalam laci meja komputer itu diambil lalu dimasukkan ke dalam beg silang berjalur pakaian seragam Angkatan Tentera Malaysia. Peluh yang sudah berlumba-lumba keluar dan merenik di dahi diusap dengan kasar sekali.

  Dengan langkah yang pantas, dia bergerak ke arah pintu. Tombol pintu dipulas kasar dan dia keluar dengan perasaan teruja. 

  "Oh mak kau!" Reza melatah dengan kuat. Terkejut bukan kepalang dia sehingga tubuhnya terdorong ke belakang. Spontan dia tersandar lalu terjatuh di luar pintu biliknya sendiri sambil mengurut dada. Jantung terasa berdegup tiga kali ganda lebih laju. Kepala laju didongakkan agar dapat menatap wajah yang sudah berada di hadapan matanya.

  “A... aaa... apa adik buat kat sini?” tanyanya tergagap-gagap.

  Dia meneliti adiknya, Maira yang berusia 7 tahun dari atas hingga ke bawah yang sudah berdiri tegak di hadapan pintu itu sambil menggosok-gosok mata. Wajah comel itu nampak kegelisahan sehingga  memeluk erat anak patung teddy bear. 

  "Adik buat apa kat sini? Mimpi buruk lagi eh?” tanya Reza perlahan. Hendak dimarah tidak sampai pula hatinya. Nanti tak pasal-pasal menangis, macam mana dia nak pujuk. 

  “Ya adik mimpi yang sama. Abang rasa itu normal ke?” Maira mengajukan soalan kembali. 

  “Semuanya akan okey. Jangan risau ya” 

  “Boleh tak adik tidur dengan abang malam ni?” tanya Maira lagi. Kemudian dia menguap kecil lalu buat aksi muka comel. Rambut ikal mayang yang terurai jatuh hingga ke paras pinggang itu menambahkan lagi kecomelan adiknya. Reza jadi serba salah hendak menjawab tidak. 

  “Abang nak keluar lah, kan ada ibu kat bilik. Lain kali aje lah ya” pujuk Reza dengan nada lembut. Dia berdiri perlahan-lahan lalu mengusap  kepala adiknya sambil tersenyum lebar. 

  Belum sempat Reza mengatur langkah menuju ke arah tangga, hujung jaket yang tersarung ditubuhnya itu ditarik-tarik beberapa kali. 

  “Apa dia nak lagi ni?” getus Reza separuh merungut. Dia teragak-agak hendak berpaling melihat wajah comel itu lagi. Bimbang jika ada lagi permintaan adiknya yang tidak dapat ditunaikannya. 

   “Abang, abang. Dengarlah dulu apa adik nak cakap” hujung jaket itu masih ditarik-tarik, kali ini bertambah kuat. 

  Nafas ditarik sedalam-dalamnya untuk meraih kekuatan dalaman. Reza kembali menghadap wajah polos itu. Namun matanya sempat menangkap kelibat melintasi belakang adiknya. Bola matanya spontan menjadi liar mencari kelibat tadi. Tapi Kosong! Tiada siapa disitu. 

  “Abang nak tahu, tadi adik mimpi istana tersembunyi. Cantik dan besar. Ada kuda bersayap tapi berbulu pelangi, bercahaya dan boleh bercakap. Orang kerdil yang handal bertarung. Helang yang patuh pada raja. Semua binatang kat sana boleh bercakap. Pahlawan yang terbilang kat sana pun baik hati tau” cantas Maira tanpa berlindung. 

  “Aha, mimpi makhluk ganjil lagi?” tanya Reza lalu menjongket kening kirinya ke atas. Kejadian tadi sudah diabaikan. Dia semakin teruja hendak mendengar cerita selanjutnya. Posisi berdiri kini sudah berubah. Dia duduk mencangkung lalu meraih jari jemari kecil itu di dalam genggamannya. 

  “Ya, semua binatang boleh bercakap. Lepas tu, adik nampak mereka kat sana semua ada kuasa ajaib. Ada rumah diperbuat daripada awan, langit berwarna merah jambu dan tumbuh-tumbuhan kat sana boleh bergerak dan menyembah pada raja. Binatang kat sana semuanya berjuang sama dengan raja. Tapi sayangnya tempat tu akan musnah” jelas Maira lagi. Dia tunduk sedikit seakan-akan menahan tangis. 

  “Adik, adik. Adik terlalu banyak tengok movie fantasi orang putih kot. Tu lah sampai termimpi-mimpi. Semuanya hanya imaginasi adik aje. Semua tu karut”

  “Tapi, mimpi tu macam nyata! Macam dalam buku yang ibu bacakan Maira tu!” cantas Maira tidak puas hati. 

  Reza ketawa kecil. “Dah, tak payah fikir. Semua tu mainan tidur aje tu, Maira. Takde haiwan boleh bercakap dalam dunia ni, apalagi kuasa ajaib. Allah aje Yang Berkuasa tau. Adik ingat tu”

  Maira mencebik, dia memeluk tubuhnya sendiri tanda merajuk. “Abang tak percaya adik ke, adik cakap betullah. Abang ni sama aje dengan ibu! Tak nak dengar apa Maira cakap. Ibu kata adik buat cerita” 

  “Er.. Er..” gumam Reza. Dia sudah mati akal. Rasa bersalah hendak membalas kata. 

  “Maira yakin suatu hari nanti, pasti Maira dapat pergi sana. Sebab ayah pernah cerita tentang istana kayangan yang betul-betul wujud” sambung Maira sambil berangan-angan. Penuh bersemangat dia menyusun kata apabila mimpi yang berlayar dalam tidurnya tadi dikenang kembali. 

  “Amboi, tingginya imaginasi dan angan-angan adik tu! Macam lah betul” perli Reza lalu memuntahkan ketawanya. 

  Maira menjeling sambil menjelir lidah. Geram dengan sikap abangnya yang langsung tidak mempercayai kata-katanya. 

  “Kalau Maira pergi sana, abang nak ikut tak?” tanya Maira lagi. 

  “Entahlah Maira, abang pun tak tahu. Sebab tempat tu tak wujud sayang, mimpi semata-mata. Ayah bohong sunat tu supaya adik tidur awal” 

  “Wujud! Ayah mana pandai bohong. Tengok ni, Maira tak mimpi pun” bahu dicubit sedikit memastikan dia tidak bermimpi. 

  Reza hanya mampu ketawa melihat telatah Maira. Sungguh tinggi daya imaginasi kanak-kanak itu. 

  “Maira...” laung Puan Aisyah dari bilik hujung. Puan Aisyah menjengkulkan kepalanya keluar sambil memandang mereka berdua dari jauh. 

  Maira menoleh. “Ya, ibu” jawab Maira perlahan. 

  “Kenapa keluar bilik lagi? Masuk, tidur sekarang!” arah Puan Aisyah tegas.

  “Dah, pergi masuk tidur. Esok aje adik tidur dengan abang. Nanti kalau ada masa adik sambung lagi cerita angan-angan kosong adik tu kat abang” sakat Reza tak henti-henti. Mahu menyuruh adiknya tidur kenalah pandai mengumpan. Kalau tidak jangan harap adiknya mendengar kata. 

  Maira mendengus kasar. Dengan langkah longlai, dia mengatur langkah menuju ke bilik tidur ibunya. Sempat dia berpaling meneliti wajah Reza seakan-akan mahu memberitahu sesuatu yang lebih penting sebelum masuk ke dalam bilik itu. Namun ibunya serta merta menolak kasar daun pintu itu sehingga tertutup rapat. Sedetik kemudian, tiada lagi kedengaran suara mereka. Suasana kembali menjadi sunyi dan sepi. 

  Reza hanya mampu menggeleng kepala melihat karenah adiknya tadi.  Semua itu hanya mainan perasaan. Imaginasi semata-mata. Mana wujud binatang yang boleh berkata-kata. Apalagi istana kayangan. Dia tersenyum sendiri mengimbas cerita dongeng yang diceritakan Maira tadi. Tanpa berlengah, pintu biliknya dikunci lalu dia berjalan menuju ke anak tangga yang menghubungkan tingkat atas dan tingkat bawah rumah itu. 

  Shhuuuuu.....

  Sebaik melintasi bilik kosong di antara biliknya dan bilik ibunya, terasa hembusan angin tiba-tiba melintasi pandangannya. Lampu yang menerangi koridor di luar bilik-bilik di dalam rumah itu sudah terpadam sendirinya. Langsir terbuai-buai dan beralun perlahan seakan ditiup angin. Serta merta dia mencari punca angin, namun tiada sebarang petanda. Semua tingkap sudah ditutup rapat. Dari mana pula datangnya angin tadi? 

  Tiba-tiba degupan jantung Reza menjadi gila, perasaan yang sama muncul seperti sebelum ini, seakan ada mata tajam yang tak henti-henti sedang memerhatikannya. Ke kiri ke kanan kepalanya mengintari setiap penjuru ruang itu. Bertambah gelabah lagi apabila angin sepoi-sepoi bahasa meniup perlahan kepalanya hingga ke tengkuknya lalu menyusup masuk ke celah-celah rambut. Reza cuba berlagak selamba. Perlahan-lahan dia menyapu tengkuknya beberapa kali bila hembusan halus itu berkali-kali bermain di tengkuknya. Dia tidak berani bersuara, bahkan langkah kaki laju sahaja diayun menuju ke anak tangga. 

  “Reza” bisik satu suara. 

  Laju Reza menoleh ke belakang mengintari ruangan itu. Mahu atau tidak, dia cuba memberanikan diri. Gendang telinganya masih tergetar tatkala terdengar gelombang suara halus yang terhasil tadi. Dia bertambah gelabah. Nyawa dirasakan bagai di hujung tanduk. 

   "Siapa tu?" Soal Reza perlahan. Sesekali dia menggaru-garu lehernya yang entah gatal entah tidak. Kelam kabut dia mencapai segala apa yang boleh dicapai sebagai ganti untuk melindungi diri. 

  Topeng killer clown yang disangkut di dinding membangkitkan lagi suasana seram di sekitar ruangan itu. Laju sahaja dia mengambur larian pecut melintasi bilik-bilik yang sudah lama dibiarkan kosong. Memandangkan abang dan kakaknya sudah mempunyai keluarga sendiri, bilik-bilik itu sudah lama dibiarkan kosong tidak berusik. 

  “Fuhhhh” Keluh Reza setelah berjaya melintasi tingkat atas tadi. Dia berusaha mengawal pernafasannya yang sudah tersekat.  Ketakutan menghambat dirinya. Kepalanya masih mendongak dari bawah tangga itu memerhati ruangan gelap tingkat atas tadi. 

  “Ai, belum tidur lagi?” jerkah Mak Timah, pembantu rumah mereka yang sudah lama berkerja di rumah itu. Dia baru muncul di muka pintu dapur. 

  “Hisy, buat terperanjat aje lah makcik ni” gerutu Reza lalu terduduk di anak tangga. Dia tertunduk sambil tercungap-cungap mengambil ruang untuk bernafas supaya ianya kembali stabil. 

  “Kenapa makcik tengok kamu sejak akhir-akhir ni macam ada masalah aje? Kamu sihat?” tanya Mak Timah lalu berjalan menghampiri Reza sebelum melabuhkan punggung duduk di sisinya. 

  “Entahlah Mak Timah, Reza pun tak tahu apa dah jadi” rungut Reza perlahan. Kejadian tadi cuba disembunyikan. Khuatir jika pembantu rumah itu  merasa takut. Dia berpaling dan cuba mencipta senyuman mesra walaupun tampak kelat saat memandang wajah wanita berusia lewat 50an itu. 

  “Dah, tak payah fikir sangat. Nanti kamu sakit. Siapa susah” Belakang Reza diusap lembut agar pemuda yang duduk ditepinya yang sejak kecil diasuhnya terasa tenang walaupun hanya seketika. 

  “Makcik, boleh Reza tanya sesuatu” tanyanya lembut. 

  “Apa dia? Cakap aje. Kalau makcik boleh jawab, makcik akan jawab” seloroh Mak Timah diselangi ketawa kecil. 

  “Bunian tu wujud ke makcik?” laju soalan itu meluncur keluar dari mulutnya. 

  Makcik Timah terkedu seketika. Wajah Reza ditenung sejenak. Nafas cuba di tarik dalam sebelum menjawab soalan pelik Reza. “Entah lah Reza, makcik pun tak pasti. Tapi dengar orang kata, bunian tu makhluk halus dari golongan jin. Memang wujud pun”

  “Macam mana eh rupa bunian tu? Dorang tu orang kerdil ke atau manusia berwajah aneh” tanya Reza berbasi. Cerita dongeng adiknya, Maira tadi kembali terngiang-ngiang di benaknya. Semakin seronok pulak rasanya berbual dengan Mak Timah. 

  “Memandai aje kamu ni. Bunian ni sama aje dengan manusia. Ada di mana-mana sahaja. Kadang di sebalik pokok pun ada perkampungan mereka, di tepi Reza sekarang pun mungkin ada. Cuma manusia aje tak nampak mereka dengan mata kasar. Hanya manusia terpilih sahaja boleh nampak makhluk tu” jelas Mak Timah lagi. 

  “oooo” gumam Reza sambil mengangguk-angguk kepalanya. 

  “Kenapa kamu tanya?” tanya Mak Timah pelik. Keningnya berkerut bukan main lagi. 

  “Takdelah makcik” Reza tersengih-sengih sambil menggaru-garu belakang cuping telinganya, cuba berselindung. Memang itu tabiatnya jika cuba berbohong. 

  “Jangan nak bohong makcik! Makcik kenal perangai kamu tu” pandangan mata Mak Timah yang tajam masuk ke dalam anak matanya membuatkan Reza tidak berani berbohong. 

  “Er.. Reza dengar bangunan kosong berhampiran perumahan hujung sana tu ada hutan tersembunyi, mesti ada bunian kan?” tanya Reza tersekat-sekat. Tau pun takut. 

  “Kamu jangan mengada-ngada nak pergi ke sana! Tempat tu keras! Siapa yang masuk takkan keluar lagi” tegas Mak Timah. Dari posisi duduk kini sudah berdiri. Risau jika Reza buat kerja gila. 

  “Ah, Reza tak percaya lah semua tu. Semuanya karut. Bukan Reza mahu pergi ke sana pun.” Bohong Reza tidak mahu ketahuan. 

  “Kamu jangan main-main Reza. Tempat tu ada saktinya. Tapi makcik tak pasti, betul atau tidak. Sebab tempat tu tiada siapa boleh masuk. Adapun tak ada seorang pun yang berjaya keluar. Sebab tempat tu dah disumpah”

  “Sakti?” soal Reza berbasi. Dia menompang dagu menggunakan siku beralaskan kakinya. Mahu mendengar kisah itu versi orang tua pulak. Sama atau tidak dengan cerita Amran. Kan, orang tua terlebih dahulu merasa masinnya garam. 

  Mak Timah menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita. Dia duduk kembali disisi Reza. 

  “Begini, makcik pernah dengar cerita. Zaman dahulu, ada sebuah kerajaan kayangan yang diperintah oleh seorang raja yang arif dan disayangi rakyat jelata. Bila umurnya sudah menginjak ke hujung usia, raja itu telah membuat dua wasiat untuk tiga orang puteranya yang sepatutnya menjadi tunggak keamanan di Kota Orak. Satu wasiat untuk putera sulung yang wajib mendapat takhta selepas kemangkatannya. Di sebalik bangunan yang kamu maksudkan tadi tu sebenarnya terdapat satu kota indah yang bernama kota Orak. Namun, berlakunya perbalahan antara putera sulung dan putera bongsu disebabkan putera sulung hendak menakluki seluruh kerajaan yang sudah dibahagi tiga. Dia seorang yang tamak. Ada lagi yang makcik dengar orang cerita, putera bongsu Kota Orak itu dibuang dari Kota itu dan tinggal disini. Segala kuasa, semuanya lenyap serta merta sebab dia dah derhaka pada raja baru Kota Orak” jelas Mak Timah ringkas. 

  “Betul ke tu makcik? Habis, mana dah anak putera bongsu Kota Orak tu? Masih hidup lagi ke? Dia ada kuasa apa pula” soal Reza bertalu-talu. 

“Entahlah Reza, makcik tak pasti. Mungkin kuasa putera bongsu tu menyumpah orang kot” gelak Mak Timah. 

“Reza tak faham lah, menyumpah apa pulak?”

“Sebelum kuasa putera bongsu tu lenyap, dia sempat sumpah supaya kota Orak tu tidak aman sehingga ada pewaris takhta dari kalangan anak atau cucunya yang mewarisi salah satu bahagian di tanah kayangan tu”  

  “Habis tu kenapa perlu ada peta pulak kalau dah buang putera bongsu? Siapa yang letak peta tu?” soal Reza lagi. 

  “Macam mana kamu tahu tentang peta?” tanya Mak Timah kembali. Kening berkerut tiga lapis. Hairan. 

  “Reza pernah baca buku tu” bohongnya lagi. 

  “Oh, patutlah. Makcik rasa putera kedua yang simpan. Sebab putera kedua tu yakin, pasti suatu hari nanti keturunan dari anak  adiknya akan datang semula ke Kota Orak tu untuk kembalikan zaman kegemilangan di Kota Orak tu” jelas Mak Timah lagi. 

  “Maksudnya, Kota Orak tu akan musnah kalau pewaris putera bongsu tak muncul. Begitu?” tanya Reza tak puas hati. 

  “Entah, mungkin. Sebab putera sulung Kota Orak tu terlalu banyak musuh sehingga terjebak ke kancah peperangan. Jadinya Kota Orak tu mungkin huru-hara sehingga sumpahan putera bongsu tu hilang” teka Mak Timah perlahan.

  “Wow, fantastic. Tapi, macam cerita karut pulak kan makcik. Reza cuba nak percaya, tapi macam sukar pulak. Betul ke ada kota Orak di sebalik hutan misteri. Kalau hutan tersembunyi Reza percaya. Kalau Kota Orak macam tak logik” jawabnya lagi. 

   “Dah, kalau tak nak percaya dari kamu aje lah. Penat makcik buang air liur cerita dengan kamu. Jangan kena kat batang hidung sendiri baru nak percaya. 

   “Ala, janganlah merajuk” Reza main-main aje lah. Pujuk Reza. Jari jemari orang tua yang dianggap ibunya sendiri, diraih lalu diusap dengan lembut. 

  “Takde nak merajuk bagai. Makcik nak naik tidur. Malas makcik nak cerita lebih-lebih dengan kamu ni. Asyik nak menyakat orang aje!”

  “Kalau macam tu, Reza aje lah yang merajuk. Mak Timah dah tak sayang Reza kot” sakat Reza lagi. 

   “Hmmm. Pandai kamu pujuk makcik ye” ketawa Mak Timah sambil menggeleng kepala. Reza hanya tersengih-sengih malu. 

   “Yang kamu ni bersiap macam nak tunggang motor ni nak ke mana pulak malam-malam buta begini? Nak merempit” 

  “Er... Takdelah. Reza nak keluar sekejap, ada hal” bohong Reza. Padahal ada agenda tersembunyi. 

  “Jangan lewat balik pulak, makcik naik dulu. Ayah kamu pun belum balik lagi. Jangan kunci pintu. Tutup aje pintu tu elok-elok, nanti kucing masuk” pesan Mak Timah sebelum mengatur langkah naik ke atas. Kain batik yang tersarung di angkat sedikit untuk memudahkan dia mendaki anak tangga. 

  Reza sekadar mengangguk. Cerita Mak Timah masih terngiang-ngiang di kepalanya. Dia mahu bukti yang kukuh tentang cerita Mak Timah tadi. Bukan setakat mendengar cerita dongeng dari imaginasi seorang pengarang dan buah mulut masyarakat. Manalah tahu cerita tu sama jugak direka-reka seperti cerita bawang putih bawang merah. 

 Setelah kelibat Mak Timah hilang dari pandangan, dia segera mengatur langkah menuju ruang tamu. Tanpa membuang masa, topi berjenama Moras yang terletak di atas meja kopi dicapai lalu dia menyusun langkah keluar dari rumah itu. 


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera