Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,132
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 3


 Sesi pembelajaran telah pun tamat. Reza dengan perasaan seperti dibuai mimpi tanpa teragak-agak mengatur langkahnya berlalu pergi dari kelas yang sememangnya membosankan. Perlahan sahaja dia keluar menyusuri kaki lima dengan perasaan yang kurang selesa. Anak matanya meliar memandang ke kiri dan ke kanan. Kawasan kolej itu agak aneh, agak kelam di ruang mata. 

  “Huh, indah khabar dari rupa!” Reza mengomel sendirian. Dia memuntahkan ketawa sendiri memandang kawasan tersebut. Mana tidaknya, kolej yang kononya amat terkenal di daerah itu, di penuhi dengan rumput dan semak liar yang dibiarkan tumbuh meninggi serta menjalar di tepi bangunan. Bahkan, ianya sudah berlumut lalu mengeluarkan bau yang kurang enak. 

  Bau yang kuat menusuk rongga hidungnya membuatkan Reza ingin memuntahkan lagi isi perutnya. Dia sudah mual. Cepat-cepat dia berlalu dan menutup hidungnya dengan tapak tangan. Dia meneruskan perjalanan dan menapak laju menuju ke tempat letak kereta yang berada di tingkat bawah tanah di seberang bangunan kolej. Jaraknya tidak jauh dari kawasan itu jika dia berjalan melalui jalan biasa berbanding jalan lorong tadi.

  Bunyi derapan tapak kasut kulit berwarna hitam yang tersarung di kakinya, jelas kedengaran ketika dia berjalan di ruangan kosong tempat meletak kereta. Tiba-tiba sahaja bulu romanya meremang. Seperti tadi, seperti ada mata galak yang sedang memerhatikan gerak gerinya. Adakah itu tanda-tanda gangguan makhluk halus? Atau sekadar mahu mengganggu dan menakutkannya sahaja? 

  Dia terus menghayunkan langkah kaki daripada terus ditilik oleh sepasang mata galak tadi. Rentak jantung semakin laju menghentak kuat rangka dadanya seakan baru sahaja dia menyelesaikan larian pecut 100 meter. 

  Reza menarik nafasnya sedalam-dalam untuk mengurangkan perasaan takut yang terasa sudah bertapa di dalam diri. Dia tidak mahu terus hanyut dibuai dengan perasaan itu, dia terus menuju ke arah kereta yang terletak di barisan kedua tempat letak kereta. Hanya ada tiga buah kereta sahaja yang ada di situ termasuk keretanya. Sebuah kereta lagi sudah tentu milik Husna. Sebuah lagi dia tidak pasti siapa pemiliknya. Dari pengamatannya, kereta itu seperti sudah lama dibiarkan dan tidak digunakan dek penuh dengan debu yang sudah penuh menebal. 

  Terketar-ketar dia menyeluk kocek jeansnya dan mengeluarkan segugus anak kunci. Dia menekan butang pada alat kawalan jauh kereta yang sudah berada dalam genggamannya. Bunyi alat penggera kereta bergema menghiasi suasana ruangan yang sepi dan kosong itu. Dalam benaknya sudah memikirkan makanan yang tersedia di atas meja di rumahnya. Begitu lapar dia sehingga terkenang-kenang masakan ibunya, Puan Aisyah. Dia  bercadang untuk terus pulang ke rumah tanpa menyinggah ke tempat lain kerana sudah banyak tugasannya tertangguh. Jam sebegini sudah tentu ibunya sudah sampai di rumah  memandangkan ibunya seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah. 

  Belum sempat dia membuka daun pintu kereta Perodua Axia berwarna putih miliknya, tiba-tiba sahaja bahunya di tepuk oleh seseorang dari belakang. Terangkat sedikit bahunya dek diterjah begitu tanpa memberi salam. Dia segera menoleh dan sedikit terperanjat bila melihat susuk tubuh yang sudah berdiri tercegat di belakangnya. Terkejut bukan kepalang sehingga hampir jatuh pengsan. 

  “Penakut betul kau ni” sergah Husna memerli. 

  Reza naik geram. Cuak memang cuak tapi cuba di kawalnya. Tidak dinafikan tadi perasaan takut sudah berjaya  menyelinap masuk merasuk ke dalam tubuhnya. Namun dia tidak mahu menonjolkan rasa gelebah itu. Nanti menjadi ejekan yang tiada kesudahan. 

  “Kau ni suka betul buat aku terperanjat, kau tahu tak!" Bentak Reza, tajam sahaja matanya merenung wajah Husna yang sudah ditafsir di ruang matanya. Mungkin Husna yang memerhati dan mengekorinya sejak tadi.  Namun, mengapa perlu berbuat demikian? Kalau dia ada sakit  jantung, menangis tak berlagu teman baiknya itu. Huh, perempuan memang sukar difahami. Perangai pelik dan memeningkan kepala. 

  “Reza.....!”

  “Hisy, apa dia!" Marah Reza lagi. Rasa rimas apabila namanya asyik disebut-sebut! Sudahlah begitu mendayu. Jadi seram pulak dia. Dia kelihatan kurang senang bila mata Husna agak liar dari biasa.

  Husna mencebik lantas tersengih-sengih. Sengaja hendak menakut-nakutkan Reza. Tahu pun takut. 

  "Nak ke tak nak lepak mamak?" tanya Husna sambil menyanyi dengan nada mendatar. Begitu berhati-hati dia menyusun lirik mengikut irama. Matanya yang agak bulat itu sudah berkaca seperti kucing dalam cerita animasi. Mungkin sahaja dia mengharapkan Reza mengiyakan pelawaannya.

  “Kau belanja eh?" Tanya Reza tanpa beralih, riak wajahnya sudah berubah dari bengis menjadi orang baik. Nak ambil hati.

 “Yalah. Tanya buat apa? macam tak biasa pula!” sindir Husna sambil menguis-nguis kakinya di lantai. Sesekali dia membetulkan kedudukan beg hitam berisi komputer riba yang disandang di bahunya. Mujur dia tidak terdorong ke belakang  kerana terlalu berat memikul beban dalam beg tersebut.  Sudahlah badan kecil molek.

  “Ni yang buat aku tambah sayang kat kau ni!" bisik Reza di telinga Husna. Lembut sahaja bisikan itu menjentik corong telinganya.

 “Ceh, baru kata sayang! Tadi bukan main kau tengking aku semacam! Baik ada makna” Bidas Husna dengan nada merajuk. Sambil itu dia menatap wajah Reza lalu memainkan jemari-jemari kecilnya didagu.

“Bila masa pulak aku tengking kau ni?” tanya Reza hairan. 

“Tadi lah masa kat kelas.” 

“Alah, itu pun kau nak kecil hati! Sikit-sikit merajuk” balas Reza yang sibuk mengelap atap bumbung keretanya menggunakan tapak tangan. Entah dari mana pulak air yang banyak itu jatuh menitik-nitik sehingga membasahi keseluruhan bumbung kereta. Nak kata kena hujan, mustahil juga. Kan dah turun kereta baru hujan. Laju dia mendongak ke atas siling simen mencari punca datangnya air itu. Tapi tiada pula kesan lembab atau pun air. 

  “Kau tengok apa?” tanya Husna perlahan. 

  “Tengok-tengok lah” 

  “Eh? Loyar buruk pulak kau ni. Orang tanya betul-betul, main-main pulak. Dah, malas nak layan kau ni, jom pergi makan” 

  “Boleh, tapi ada satu syarat! Kalau tak aku tak nak teman kau makan” ugut Reza sambil menjongket keningnya sebelah naik ke atas. Tangannya yang basak dek air tadi dilap pada pakaiannya. 

“Syarat? Syarat apa pulak lagi ni Reza, macam-macam lah perangai kau ni. Dah aku yang belanja, nak lagi bersyarat-syarat bagai. Ish, mengada betul!” dijelingnya Reza sambil tertawa kecil. Terhibur dengan sikap Reza yang berperangai seperti budak-budak.

  “Tak berat pun permintaan aku. Kalau boleh kita naik kereta kau aje lah? Boleh kan? Pinta Reza, lalu menyandarkan tubuhnya di kereta Husna dengan perlahan-lahan. Sempat dia mengerling ke belakang memandang kereta itu, risau habuk melekat pula di bajunya. Maklumlah dia mengenakan jaket yang baru dibelinya semalam. 

  “Boleh ke?” Tanya Reza lagi, dia memalingkan wajah ke kiri memandang Husna. Tak puas rasanya bila berbicara tanpa memandang antara satu sama lain.

  “Habis kereta kau macam mana. Takkan tinggal sini?" soal Husna hairan. Dia sudah bercekak pinggang dalam keadaan tidak sabar.

  "Biarlah kat sini. Nanti kita datang ambil balik. Please” rayu Reza sambil memuncungkan mulutnya. Acah-acah mahu buat aksi manja tapi tak kesampaian. Leher Husna dirangkul merangkul kuat dari belakang seperti ingin menyerang hendap. 

"Mana-mana kau ajelah. Yang penting kau rasa selamat" Kepala di sandar perlahan-lahan pada bahu Reza. Tiada siapa yang merasa pelik melihat gelagat mereka kerana hubungan mereka sudah seperti adik-beradik. Tapi siapa juga yang mahu melihat sedangkan tiada siapa pun berada disekeliling mereka ketika itu. Jauh dari sudut hati mereka sebaliknya masing-masing menyimpan perasaan antara satu sama lain namun hanya terluah melalui perlakuan.

  "Ok jom lah gerak. Aku dah lapar sangat ni" Kata Husna sambil mengurut lembut perutnya. 

  "Jom! Aku pun dah lapar ni. Kat restoran mana kau bercadang nak belanja aku ni? Kat Anjung senja?  Kampung Nelayan? Lava Burger Bakar? Little Italy? Steamboat Bakar?” Reza terus mengasak pertanyaan dengan bersahaja. Sambil itu dia berusaha mencapai kunci kereta yang dihulurkan Husna dari atas bumbung kereta. 

  “Restoren Mamak yang berdekatan lah! Kau jangan mengada nak tempat mahal! Aku ketuk kepala kau”

 “Kalau dari sini, lebih baik kita pergi Inanam aje. Dah dekat. Kalau pergi restoren mamak, tak sah lah kalau tak pekena teh tarik dengan roti canai kan!" Sambung Reza sambil membuka pintu kereta.

  “Dari kau ajelah, Reza” jawab Husna Malas sebelum memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta. 

  Dengan lafaz bismillah, Reza menekan pedal minyak lalu Honda HRV yang dipandunya mula bergerak menuju ke arah barat. Pondok pembayaran kereta dilewati selepas bayaran dijelaskan. Cermin kereta diturunkan, sebatang rokok dinyalakan. Dia memandang papan tanda exit dengan teliti yang lampunya sudah berkedip-kedip beberapa saat sebelum menyala semula. Seketika kemudian, ada satu cahaya bersinar beberapa saat melintasi papan tanda itu. Reza seperti dipukau, dia memerhati sahaja cahaya yang semakin dekat terbang menghampirnya sebelum ianya tembus masuk ke dalam tubuhnya. Reza jadi tersentak. Serta merta movie seram berlayar kembali dalam ingatannya. Apa benda tadi tu? 

  Dalam keaadan hairan dan sedikit gusar. Reza tertanya-tanya sendiri dalam hati. Apa kena dengan kawasan ni? Takkan tempat tu berhantu pula? Cahaya apa pula tadi tu? Sebelum ini tak ada pula. Bukan baru pertama kali dia meletak kereta di situ. Takkan ada zombie berkeliaran? Ah, apa-apa ajelah. Getusnya dalam hati. Dia meneruskan pemanduan dengan hati yang tidak tenteram. Tanpa sedar, roda  kehidupannya perlahan-lahan berputar dan berubah dengan mendadak.


  Tibanya di kedai Mamak, mereka diiring masuk oleh seorang pelayan restoren ke satu meja yang menempatkan empat buah kerusi memandangkan meja dengan dua buah kerusi sudah pun penuh. Mereka dipersilakan duduk dengan begitu ramah sekali. 

  Masing-masing menarik kerusi sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi yang diperbuat dari kayu penuh dengan ukiran seni. Belum pun panas punggung mereka, pelayan tadi sudah datang menghampiri untuk mengambil pesanan sambil membawa pen dan sehelai kertas berukuran A4 yang sudah dilipat menjadi empat bahagian. 

  “Husna, kau tak perasan ke semua orang kat sini pakai baju warna yang sama? Pelik sungguh aku, aku rasa ada something lah!” Reza terus mengajukan soalan yang asyik mengganggu fikirannya. 

  “Kebetulan kot, atau kau tak sedar lagi ni?” jawab Husna endah tak endah. Dia sibuk membelek-belek menu yang sudah tersedia di atas meja restoren itu. 

  “Sedar apa pulak, aku peliklah. Sejak pagi tadi aku dah rasa lain semacam aje. Macam ada orang kejar aku, macam ada hantu atau mungkin itu cuma mainan perasaaan aku? Kau rasa?” bisiknya lagi. Suara diperlahankan agar pelayan yang berdiri di tepinya tidak dengar perbualan mereka. 

  “Perasaan kau aje. Kalau aku cakap, kau takut pulak. Lebih baik kau pesan dulu makanan” menu ditutup kemas sebelum dihulurkan kepada Reza. Serta merta perbualan mereka terhenti disitu. Menu itu kemudian, Reza membuka menu itu sekadar melihat gambar-gambar, sebaliknya dia sudah tahu makanan apa yang hendak dipesannya. 

  "Pesan apa?" Tanya pelayan  bersanggul tinggi serta memakai uniform t-shirt berlogo restoren mereka, warnanya sama sahaja dengan pelanggan yang duduk makan dimeja lain. Semuanya berwarna kuning keemas-emasan.

  "Bagi abang satu teh tarik ais dan mee goreng mamak eh" Pinta Reza sambil mengukir senyuman. Pelayan itu terus menangkap dan menulis pesanan tadi di atas kertas tanpa menyoal kembali. Begitu cekap dia membuat kerja. 

  “Akak?” tanya pelayan tadi sambil menunding ibu jarinya dengan begitu sopan. 

  "Saya nak satu jus tembikai susu dan martabak ayam. Tapi saya tak nak kuah kari, saya nak sos cili" Pinta Husna juga pada pelayan yang mengambil pesanan mereka. Dia menompang dagu di atas meja itu sambil memesan makanan. Angin kipas siling yang menerpa kuat membuatkan matanya semakin kuyu. Ditambah lagi angin sepoi-sepoi bahasa yang berpusu-pusu berkejaran masuk melalui dinding yang terbuka luas. Agaknya, dia sudah kepenatan setelah seharian berada di kolej tadi. Rambut coklat yang disanggul ketat, perlahan-lahan dilepaskan. Baru terasa ringan kepalanya. 

  Setelah mencatatkan pesanan mereka, pelayan itu pun berlalu pergi meninggalkan mereka. Mereka hanya memandang pelayan itu tadi dengan minda yang kosong. Apabila pelayan itu sudah hilang dari pandangan, Reza terus memalingkan wajah memandang Husna yang duduk disisinya. 

  “Penat?” tanya Reza lembut. 

  “Ya, penat sangat. Penat kejar kau kot” jawab Husna selamba. 

  “Itulah, siapa suruh kejar. Aku tak lari pun, kat sini jugak. Masih setia dengan kau. Jangan lah takut sangat” ujar Reza penuh makna. 

  “Ceh, bermadah pulak!” Laju Husna mengherotkan bibir. Mau muntah hijau pun ada. 

  “Betullah, kenyataan kan?” bidas Reza tidak mahu mengalah. Dia menarik hidung mancung Husna lalu tersenyum puas menampakkan barisan gigi yang putih bak mutiara. 

  “Hmmmm” gumam Husna. 

  "Reza, Husna!" Jerkah satu suara.

  “Siapa tu?” tanya Husna. Laju dia meluruskan semula tubuhnya memandang ke kiri dan ke kanan. Rasanya macam pernah dengar suara tu tapi kat mana eh? Tanya Husna sendiri.

Tidak lama kemudian, muncul kelibat Azra dan Faiq menghampiri mereka sambil mengukir senyuman mesra. Mereka sudah berdiri betul-betul di hadapan mereka. 

  "Hisy, datang lagi budak dua ekor ni! Kacau daun betul lah!" Marah Husna sambil menjeling geram. Dari atas hingga ke bawah ditenungnya. 

  "Husna, cakap elok-elok boleh tak? Orang dengar tak elok kan" tegur Reza bersulam nasihat. Laju ucapan itu meluncur keluar dari bibirnya agar tidak dipandang serong oleh orang sekeliling. Nanti dikata tiada adab pulak. Mata Husna direnung lama. 

  Husna terkedu. Ada perasaan halus sedang menyengat di seluruh sanubarinya bila dia membalas pandangan mata itu. Perlahan-lahan Husna memusingkan badannya mahu mengelak dari ditatap begitu lama. Dia sudah malu. Dia tidak tahu kenapa. Mungkin juga kerana dia sudah jatuh hati pada Reza? Oh, tidak! Laju sahaja dia menerbangkan perasaan yang jelas sekali tidak pasti. Jauh di pengkal hatinya, dia begitu sayang pada Reza walaupun kadang-kadang sikap Reza begitu kasar padanya. Tapi mungkin itu hanya perasaan sayang seorang kawan. 

  “Husna, kau okey ke tak ni? Tiba-tiba gelabah semacam.” Aju Reza sambil berkerut kening.

  “Err.. Er.. Okey aje ni” sahut Husna terketar-ketar. Macam manalah dia boleh mengeluarkan kata-kata yang agak biadap tadi. Padahal bukan dia sengaja pun. Kan dah kena tegur. 

  Reza membiarkan Husna yang buat perangai. Dia mengalih pula pandangan pada Azra dan Faiq.

  "Korang kejar kami eh? Tiba-tiba aje kat sini" usik Reza penuh ramah pada Faiq. Sambil itu dia menyeluk poket jeansnya lalu mengeluarkan sebatang rokok. Api rokok dinyalakan. Memang itu habit nya. 

  "Dari kolej juga, terus datang sini. Tak sangka pula jumpa korang kat sini" jawab Faiq singkat.

  "Eh duduklah" Reza mempelawa sambil menepuk-nepuk kerusi di sisinya. Asap rokok dilepas jauh-jauh ke udara. Mujurlah kawasan itu boleh merokok, kalau tidak lebih baik dia angkat kaki. 

  Husna menjeling tajam ke arah Reza. Dia mengibas-ngibas asap yang sudah berkepul-kepul di ruang udara dengan tangan. Benar-benar menggangu pernafasannya. 

  “Maaf, tak sengaja” Reza tersengih-sengih lalu ditenyeh api rokok itu di permukaan astray. 

  Tanpa menyampuk, Azra dan Faiq pun terus melabuhkan punggung di kerusi berhadapan mereka. Spontan Husna memandang mereka sambil mengetap gigi dengan kuat. Dia masih geram!

  Sedetik kemudian, pelayan tadi kembali membawa pesanan yang mereka minta lalu diletakkan makanan dan minuman itu di atas meja. Laju Husna mencapai minuman yang dipesannya tadi. Hampir separuh dari gelas jus itu dihirupnya tanpa mengendahkan mereka yang lain. 

  "Maaf eh tadi. Kami tak sengaja nak langgar awak” Ujar Azra. Wajah Husna direnung seketika. Mengharap kemaafan dari Husa. Dia sedar, tidak guna terus berkasar dengan Husna. Nanti dia sendiri yang rugi. 

   “Ya, saya pun nak minta maaf. Tak sangka ada jodoh kita kat sini. Apa pun saya Faiq ni Azra sepupu saya yang paling sengal” sampuk Faiq.  Kerlipan matanya itu seperti mahu menyihir Husna. 

  “Husna hanya membisukan dirinya. Sisa kemarahan masih ada. Dia mogok tidak mahu bercakap dan membalas sapaan Faiq dan Azra. Ego masih tinggi melangit. Martabak ayam dikuis-kuis tanpa menjamahnya. Hilang selera. 

  "Husna, kalau orang dah minta maaf tu takkan lah masih nak degil lagi” tegur Reza lembut. Suaranya seakan-akan memujuk.

  "Maaf lah, Husna ni memang keras kepala sikit. Nanti lama-lama dia okey lah tu” selindung Reza sambil menolak sikunya ke pinggang Husna.

  Husna mendengus kasar. Dia terkejut dengan tindakan Reza. Hati yang tadinya panas telah menjadi sejuk. Dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memaafkan mereka walaupun hatinya tidak ikhlas. Semuanya atas pujuk rayu Reza. 

  "Hm, yalah! Lain kali kalau tahu buat salah terus minta maaf. Aku tak suka aje kalau orang buat salah tapi tak mahu minta maaf!” Jelas Husna bersahaja, Sungguhpun dia masih marah, tetapi dia masih mengukir senyuman mesra di bibir. 

  “Kan bagus macam tu, tapi macam ada maksud pulak kan. Bergaduh, tak lama lepas tu tiba-tiba aje satu group” cantas Faiq teruja. 

  “Ceh, apa maksud disebalik kata-kata kau tu?” bidas Azra sambil menjeling tajam Faiq. Dia tahu sepupunya itu ada udang di sebalik batu. Beg yang dipangku di atas ribanya di seluk mahu mencapai sesuatu. 

  “Sibuk aje!” Faiq mencebik. 

  “Apa kata kita bincang tentang tugasan berkumpulan tu. Dah berkumpul macam ni, kan elok bincang. Manalah tahu nanti takde masa lagi nak lepak macam ni” Azra menyambung lagi. Buku kecil kemudiannya dikeluarkan dari beg. Dia membelek-belek setiap helaian di dalam buku itu dan berhenti bila kertas berbentuk A4 berjaya dijumpainya dicelah buku tersebut. Kemudian kertas itu diletak kemas di atas meja. 

  “Tapi boleh ke? Kan Amran tu tiada kat sini, nanti apa pulak kata dia?" tanya Husna, risau. Satu per satu martabak yang sudah dipotong kecil-kecil disuap ke dalam mulut.

 "Relaks, tenang. Kita bincang aje mana yang patut. Tak susah kot” balas Reza selamba.

  Husna mencebik. Penyedut minuman di dalam gelas berisi jus tembikai itu di gaul mengikut arah jam sebelum menyedutnya masuk ke dalam kerongkong. Hampir tercekik makanan yang dikunyahnya tadi bila Reza membidas kata-katanya. Ada sahaja benda yang dibantah oleh Reza. 

  "Tengok tajuk pun aku dah rasa rumit. Rasanya kita kena cari hutan paling best. Ala, menyelam sambil minum air” Reza cuba memberi cadangan, mana tahu mereka setuju.

  "Aku pun terfikir benda yang sama. Confirm result nanti gempak kalau dapat hutan macam yang aku idam-idamkan” jawab Faiq berjenaka. 

  "Tapi kita kena pandai atur masa yang sesuai sebab jadual kelas kita pun padat untuk semester baru ni. Kita tak boleh tumpukan pada projek ni aje. Projek subjek lain pun banyak jugak” Azra cuba mengingatkan mereka. Mereka sekadar mengangguk tanda faham.

  “Korang kenal Amran ke?” tanya Reza ingin kepastian. Spontan tangannya membelai rambut Husna yang terjuntai jatuh hingga ke paras pinggang. Sengaja, bila dia perasan akan renungan Faiq yang agak liar memandang Husna dari tadi. Timbul rasa cemburu dalam hatinya. Husna jadi naik hairan tapi dia membiarkan sahaja perlakuan Reza. Dia sudah lali. Lelaki itu memang sukar dijangka. 

  “Entah tak kenal, kau kenal ke Faiq?” Tanya Azra sambil menolak siku di dada Faiq. 

  Faiq tersentak kecil. Wajahnya kini sudah beralih menghadap Azra. “Si Faiq tu? Apa pulak tak kenal. Tapi jangan harap nak tengok muka dia kat kolej tu. Dia memang malas turun kelas. Sebulan dua tiga kali aje, itupun masa exam. Suka ponteng. Tapi dia pandai” 

  “Alah, susahlah kalau macam ni” Keluh Reza kesal. 

  “Kau pergi rumah dia aje kat Taman Orkid tu. Nanti aku bagi alamat penuh” ujar Faiq, seakan mengembalikan semula semangat Reza yang mahu terkubur tadi. 

  “Kalau macam tu, esok aku pergi rumah dia. Eh, korang tak nak pesan minuman ke?” 

  “Takpelah, aku dah beli minuman ni” tunjuk Faiq sambil menjulang tin coke di udara. Mereka sekadar memandang dengan fikiran kosong. 

  “Oh ya, aku baru teringat satu benda. Korang pernah nampak bangunan kosong yang jadi cerita orang tu, ala yang dekat jalan   perumahan ke Taman Orkid tu” tanya Reza apabila tempat itu disebut. Lagaknya seperti mahu memulakan cerita seram. 

  “Oh bangunan tu, pernah. Kenapa?” soal azra hairan. Tak senang duduk dibuatnya. 

  “Aku pernah baca buku yang menceritakan secara terperinci tentang bangunan tu. Di sebalik bangunan tu, ada hutan misteri. Tapi entah, betul ke tak. Macam karut aje” cantas Faiq tidak memberi ruang mereka bercakap. 

  “Ya, aku baru nak cakap pasal hutan misteri tu. Aku dengar je lah orang cerita, tapi tak detail sangat. Kalau betul wujud, korang berani ke pergi bangunan tu?” soal Reza penuh bersemangat. 

  “Buat apa nak pergi sana. Kau dah hilang akal ke” bidas Husna tidak puas hati. 

  “Kita cari hutan misteri tu lah. Gerenti syok” jawab Reza tenang. 

  “Ya, aku setuju. Kalau kita masuk hutan tu, pasti hutan yang kita teroka lain dari kumpulan lain. Pasti dorang tak tahu punya la pasal hutan tu” ujar Faiq lagi. 

  “Betul jugak, tapi kena bincang dengan Amran juga. Mana tahu dia tak setuju” sampuk Azra yang dari tadi mendiamkan diri. 

  Mereka pun berbual kosong diselangi dengan gelak tawa yang tidak sudah. Semakin lama semakin akrab. Padahal pagi tadi bukan main mereka bergaduh lagi sehingga menyumpah sesama sendiri. Akan tetapi masa seakan mencemburui mereka. 

  "Dah lewat dah ni. Kami nak blah" Reza bersuara sambil menguap kecil. Dia bingkas berdiri lalu meregangkan tubuh badannya yang terasa  lenguh kerana duduk terlalu lama. 

  "Eh, kejap sangat pula!" rungut Faiq, dia seolah-olah tidak mahu melepaskan Reza dan Husna pergi. Belum puas berborak dengan mereka. Baru aje berkenalan. 

  "Err. Tak ada lah. Risau mak cari nanti" Cantas Husna yang sudah jadi serba salah untuk membalas kata Faiq. Dia berharap cukuplah perbualan mereka berhenti di situ. Ada masa lain lagi boleh berborak. 

  "Ya, lagipun kereta aku tinggal kat bangunan dekat kolej tu" sampuk Reza lagi.

  Mereka sekadar mengangguk. Semua mengambil keputusan untuk balik lalu keluar dari restoren tersebut. Usai membayar mereka pun berjalan menuju ke kereta masing-masing.

  "Thanks korang, nanti kita jumpa kat kolej lagi." Reza menghadiahkan senyuman manis untuk Faiq dan Azra sebelum melangkah pergi. Reza dan Faiq tidak lupa bersalaman dan menepuk belakang sesama sendiri sebelum berangkat pergi.

  "Bye, Husna. Take care eh. Drive elok-elok tau" balas Faiq lagi. Pandangan matanya tidak lepas mengekori langkah Husna sehingga kelibatnya hilang daripada pandangan matanya. Geram betul dia bila melihat Husna. 

  "Hoi Kau tengok apa!" marah azra pada Faiq. Bahu dikuis kasar. 

  "Hisy, diamlah! Penyibuk" Marah Faiq seakan melenting bila ditegur. Laju dia melangkah menuju ke kereta sebelum memboloskan diri dalam perut kereta yang parkir di sebelah lorong restoren tadi. Hatinya kini sudah berbunga-bunga dijentik seseorang. 


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera