Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,128
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 6


 Reza mengintip di sebalik tembok pagar yang dilapisi simen tanpa cat. Lampu suluh diletak di dalam mulut sambil membelek-belek helaian kertas berupa peta bangunan yang di cetaknya tadi. Sumbernya sudah pasti tidak jelas. Memang sejak Amran menceritakan kepadanya lagi dia sudah berniat mahu menceroboh kawasan itu.  Sekarang, dia harus memasuki kawasan itu tanpa pengetahuan sesiapa. Dan kini, dia perlu berhadapan dengan dua orang pengawal keselamatan yang sentiasa berlegar-legar memerhati kawasan itu. Terdapat dua orang lagi pengawal keselamatan yang duduk bersembang di pondok keselamatan. Mungkin mereka diupah oleh kerajaan untuk menjaga kawasan yang kononnya bersejarah. 

  Susup-sasap dia menyusuri pondok keselamatan yang pengawalnya sedang berbual-bual kosong sambil menikmati secawan kopi panas. Suasana hening malam itu, dipecahkan lagi oleh suara gelak tawa mereka. Topeng berwarna hitam segera disarung ke wajah. Dia perlu mengambil peta yang masih tersimpan di dalam peti kayu seperti yang di ceritakan kepadanya. Ianya mungkin terletak di bilik tengah di dalam bangunan itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia mahu sangat mencuri peta itu, padahal belum tentu dia dapat membaca isinya. Niat sebenar, hanya mahu belajar selok belok bangunan tu sebelum mereka semua menceroboh masuk sehingga Amran menceritakan tentang peta ‘halimunan’. 

  Sejak balik dari rumah Amran semalam, dia terus melayari beberapa laman web untuk mengetahui lebih jelas mengenai kisah bangunan itu. Banyak versi sudah dibacanya. Jika dia berjaya, pasti bertambah mudah mereka sekumpulan meneroka hutan tersembunyi yang misteri. Tapi dia sendiri tidak pasti, adakah itu benar atau sekadar cerita dongeng? Tambahan pula, ada satu blog yang menyatakan bahawa, sesiapa yang berhasil mengambil peta tersebut, pasti boleh keluar dari hutan misteri tersebut. Jika tidak, mereka akan sesat selama-lamanya. 

  “Penceroboh, penceroboh!” jerit salah seorang pengawal keselamatan. Lampu suluh dihalakan ke arah wajahnya. 

  “Celaka!” keluh Reza sambil mendengus geram. Laju dia berlari menuju ke arah bangunan tersebut. Tak sia-sia dia menyelidiki peta bangunan yang menjadi petunjuk arah bagi memudahkan dia memecah masuk ke dalam bangunan tersebut. 

  “Tunggu, jangan masuk dalam tu. Bahaya!” Jerit salah seorang pengawal keselamatan yang berlari laju mengejarnya dari belakang. Reza sedaya upaya berlari dengan nafas yang sudah tersekat di kerongkong. Manik-manik putih sudah merembes ke seluruh tubuhnya. Semakin laju dia berlari, semakin dekat pengawal keselamatan itu menghampirinya. Jarak antara mereka berdua hanya tujuh meter sahaja. 

  “Aduh, kat mana pulak jalan masuk hutan ni” Keluh Reza sambil berlari. Dia cuba berpaling ke belakang sambil langkah kakinya masih laju berlari. Namun malang tidak berbau, dia tersungkur pada akar pokok yang menjalar liar di permukaan tanah itu. Serta merta dia terjatuh di atas tanah sambil terguling-guling memegang lutut menahan kesakitan. Semakin lama semakin hampir dia berguling ke satu kawasan yang penuh dengan belukar. 

   Pengawal keselamatan itu tersenyum puas. Sedikit lagi, sudah pasti Reza tertangkap. Baru sahaja pengawal keselamatan itu mahu menarik belakang baju Reza, tiba-tiba sahaja tubuh Reza menjadi ringan dan dia dapat merasakan tubuhnya sudah melayang-layang ke udara. Dia seperti lesap beberapa saat dari pandangan mata kasar. Namun di gagahkan juga menjenguk ke arah bawah. Alangkah terkejutnya dia apabila kakinya tidak lagi menginjak tanah yang keras. 

  “Woi, aku kat sini lah, tolong aku” jerit Reza pada pengawal keselamatan tadi. Dia cuba melangkau beberapa langkah walau hakikatnya dia masih tidak menginjak tanah. Dia mendongak ke atas lagi, berusaha keluar dari tempat itu bila dia sedar dia masih terapung di udara. Namun tiada sebarang jawapan apalagi sebarang tanda-tanda dia akan dibantu. Suaranya tadi seperti tenggelam dan tersekat di hujung halkumnya. 

  “Aku kat mana ni?” Tanya Reza sendiri. Dia memandang kawasan itu dengan degupan jantung yang semakin rancak menggila. Sungguh kelam di ruang mata dan tiada sebarang bunyian pun yang terhasil. Mungkin ini terowong? Tapi terowong apa? Jangan-jangan.. 

  “Oh tidak!”

  Belum sempat Reza membuat bermacam andaian, dia sudah merungut kuat apabila terpandang pusaran angin yang sudah muncul entah datangnya dari mana. Semakin lama semakin dekat. Reza cuba mencapai segala benda yang ada di sekitarnya untuk menyelamatkan diri. Namun angin yang datang dari arah kakinya itu semakin lama semakin laju dan membingitkan telinga. 

  Dia cuba memejamkan mata sejenak, agar ketakutan yang menguasai diri berlalu pergi. Hanya satu sahaja yang terlintas dalam benaknya saat itu, terkumat-kamit terus mulutnya membaca ayat suci al-quran. Namun, biasan angin itu semakin kuat menarik tubuh badannya sehingga menggegarkan kawasan itu. Lebih menakutkan bila melihat angin itu berbentuk mulut gergasi yang besar ternganga. Dia cuba meronta-ronta meminta pertolongan, namun tiada seorang pun yang datang membantunya. 

  Beberapa saat kemudian, Reza dapat merasakan dia sudah berputar-putar dibawa angin. Dia terperangkap dan masuk ke dalam corong angin yang persis puting beliung itu. Kali ini, angin itu semakin ganas berputar-putar membawanya ke arah lain. Dia seakan baru masuk ke gerbang utama dimensi lain.  Segala apa yang ada dihadapan matanya turut sama terbang dan berputar mengelilingi corong pusaran angin itu. Pandangannya semakin lama semakin kelam. Namun pusaran angin itu tidak lama. Akhirnya angin itu pun reda dan dia pun tersungkur jatuh dengan posisi meniarap di atas dasar yang begitu keras. 

  “Aduh, apa benda pulak tadi tu” keluh Reza sambil mengerang kesakitan. Topeng hitam yang tersarung di wajahnya dibuka lalu dicampak jauh. Dengan sisa kekuatan yang masih ada, dia cuba mengintari sekeliling kawasan itu. Lain dari kawasan tadi. Pengawal keselamatan itu pun sudah lesap dari pandangan. Mungkin dia sudah terperangkap dalam pusaran angin tu? Benaknya cuba membuat andaian sendiri. 

  Perlahan-lahan Reza bangun dan pandangannya kini terhenti di  suatu sudut. Dia berdiri tegak dan kakinya menjadi kaku dimana tempat dia terbaring tadi. Jelas kelihatan bangunan batu yang sudah terbiar lama menyapa dahulu ruang matanya. Terdapat juga air  terjun berbentuk tangga yang bersambung hingga ke langit di tepi bangunan itu. Satu lengkungan jaluran tujuh warna memunculkan dirinya apabila terbias oleh cahaya matahari di hadapan curahan air terjun yang jatuh walaupun airnya tidak sederas mana. 

  Dia mengamati lagi pintu pagar besi yang begitu tinggi, besar dan berduri. Dari bingkainya Reza sudah dapat meneka pagar itu direka untuk melindungi bangunan batu tersebut dari di ceroboh. Namun adakah kawasan itu mempunyai penghuni? kerana tiada sebarang tanda bahawa ada manusia yang tinggal disana. Rumput sudah menjalar tinggi sehingga hampir menutupi pagar itu. 

  Kini pandangannya beralih pula ke arah sebatang sungai berwarna ungu yang hampir mengering sumber airnya. Terdapat beberapa cendawan besar berupa gergasi yang tumbuh merimbun dengan adanya rama-rama bersinar yang berterbangan di sekitarnya. Tompok-tompok berwarna keperang-perangan yang menjadi corak cendawan itu tidak ubah seperti bintang yang berterbangan di angkasa. Spontan dia mencubit tangannya untuk memastikan bahawa dia tidak bermimpi.

  “Ya, mungkin ini Kota Orak tapi mana hutannya? atau hutan yang dimaksudkan itu adalah Kota Orak?” Reza bermonolog sendiri antara hati dan benaknya. 

  Reza semakin teruja. Dia tersenyum gembira sambil melompat riang. Setiap kali dia melangkah, pasti ada jalur cahaya berwarna pelangi yang muncul dari tempatnya berpijak. Langkah kakinya semakin maju menghampiri cendawan gergasi tadi. Dia semakin seronok berkejaran sesama sendiri dengan pelangi yang menerangi tanah itu.   

  “Aku dah jumpa Kota Orak......” jeritnya sekuat hati sambil ketawa riang. Begitu teruja dia apabila sudah berjaya menemui Kota Orak yang diceritakan Mak Timah kepadanya. Tempat itu benar-benar wujud. 

  Tanpa berlengah, Reza semakin maju menghampiri cendawan besar yang tumbuh tersembunyi disebalik pusaran angin tadi. Pasti ianya belum ditemui oleh mana-mana pengkaji mahupun saintis sehingga menimbulkan beberapa teori di dalam laut fikirannya. 

  “Indahnya!” Reza bermonolog sendiri dengan hati yang melonjak-lonjak kegembiraan. Dia meramas lembut cendawan gergasi itu. Dia tersentak kecil apabila satu percikan cahaya keluar dari batang cendawan itu seolah menyembah salam kepadanya. 

  Reza mengintari lagi kawasan itu. Benaknya pantas membuat andaian bahawa hutan misteri yang dimaksudkan Amran dan Mak Timah adalah Kota Orak. Mimpi Maira itu bukan sekadar mimpi semata-mata. Pasti adiknya bermimpi mengenai Kota Orak. Tapi mengapa adiknya yang bermimpi? Kenapa bukan dia? 

  Dari celah-celah cendawan yang tumbuh merimbun, Reza memandang gunung yang memayungi pokok-pokok yang tumbuh merimbun. Di sana, terdapat sebuah pulau yang mempunyai bermacam-macam bangunan yang pelik dan tidak logik dek akal. Adakah itu istana kayangan? Tapi bagaimana cara hendak pergi ke sana? Soalnya lagi. 

  “Reza!” jerit satu suara. 

  Reza berpaling dengan pantas. Terperanjat. Siapa lagi yang memanggilnya. 

  “Kau? kau buat apa kat sini? Macam mana kau tahu aku kat sini? Kau lepas dari pusaran angin tu?” tanya Reza bertalu-talu dek terkejut. 

  “Kau ingat aku nak biarkan kau buat rancangan gila kau tu. Mujur saja pengawal keselamatan tu tak dapat kejar aku, kalau tidak memang mati aku kat sini” jawab Amran kuat. Suaranya bergema di kawasan itu sehingga burung-burung berbulu biru yang hinggap di dahan pokok bunga terbang ke udara seolah-olah takut dengan kehadirannya. 

  Reza hanya memerhati saja burung yang terbang tadi. Agak pelik, sayapnya bercahaya dan berwarna biru kehijau-hijauan. Tak pernah nampak sebelum ni. Memang betul aku dah masuk ke alam fantasi. Tapi alam fantasi tu alam kayangan ke? Ah, lantaklah! 

  “Kau tak masuk dalam pusaran angin?” Tanya Reza lagi ingin kepastian. 

  “Pusaran angin apa pula? Merepek aje kau ni. Dah, jom kita masuk bilik tu” ajak Amran tidak sabar. 

  ‘Amran tak nampak ke apa yang aku nampak’ tanya Reza dalam hati. Dia semakin hairan dengan apa yang sedang berlaku. 

  “Ish, pysko lah kau ni!!” gerutu Reza. Langkah kakinya segera melencong menuju ke laluan jambatan yang diperbuat daripada bunga mawar untuk menghampiri Amran. 

  “Kau ada pisau,?” soal amran sambil berusaha membuang  rumput yang menjalar di pagar besi besar itu. 

  “Kau nak buat apa? Kau nak bunuh aku ke?” tanya Reza panik. 

  Amran menepuk dahinya kuat. Geram! “Pembaris lah kau ni! Kau tak nampak ni, aku nak cantas daun kat tangga ni?” tanya Amran lagi sambil mulut diherotkan ke arah pagar besi itu. Mahu sahaja dia memakan Reza hidup-hidup. 

  “Oh...... ada kat sini” jawab Reza sambil menyeluk beg silangnya dan menghulurkan pisau lipat kepada Amran. Dia tersengih sambil buat muka bodoh. Malas mahu bertanya lebih mengenai tangga yang dimaksudkan Amran. Terang-terang pagar. 

  Lama Amran berperang dengan rumput-rumput liar itu. Akhirnya pagar itu menjadi bersih dan mereka pun masuk dan menuju ke arah gerbang pintu bangunan batu yang tersergam indah. 

  Takkkkk... 

  Belum sempat mereka menolak pintu tersebut, ianya sudah terbuka sendiri dari dalam. Mereka berundur setapak lalu masing-masing saling berpandangan dan tertanya-tanya. Ada orang ke kat dalam? Atau ada hantu? 

  Dengan perasaan yang diselubungi ketakutan, Reza memberanikan diri dan menolak daun pintu batu itu dengan perlahan-lahan. Berkeriut daun pintu itu tatkala dikuak dari luar.  Pintu itu sudah ternganga luas di hadapannya. 

  Reza teragak-agak mahu melangkah maju. Namun sepantas kilat Amran masuk. 

  “Pinjam lampu suluh kau, ada tak?” tanya Amran dalam kegelapan. Reza meraba-raba segala isi di dalam beg silangnya. 

  Amran kemudiannya menyalakan api persis obor api di setiap penjuru dinding ruangan itu bila lampu suluh sudah berada dalam genggamannya. 

  “Selamat datang ke bilik berpuaka” celah Amran sambil tertawa kecil, cuba bergurau agar Reza bertambah takut. Dia seolah-olah mengetahui apa yang bergelojak di dalam hati Reza. 

  Reza sekadar tersenyum hambar. Lidahnya sudah kelu. Ada yang lebih menarik minatnya disana. Monument pancutan air yang sudah kering airnya dengan ukiran seorang lelaki seperti seorang raja bersama kuda yang sudah terpacak di ruang matanya. Terdapat satu lagi lorong api yang mengelilingi monument itu. Fikirannya terus menerawang mengingati cerita-cerita Mak Timah dan Maira. Adakah cerita dan mimpi itu mempunyai maksud yang sama? Dia harus membongkar segalanya. 

  Perlahan-lahan dia mengatur langkah menghampiri seni ukiran itu tadi. Tangannya yang memegang obor api menyuluh keadaan di keliling. Jari jemari meramas lembut ukiran monument yang dipenuhi debu dan sarang labah-labah yang tebal. Amran yang berada di belakangnya langsung tidak dihiraukan. Dia sudah terpegun pada mata kuda itu. Ianya persis mutiara hijau dan berkilau serta bersinar-sinar seakan melambai-lambai sehingga dia terbuai seketika. Dipukau. 

  Zupppp.... 

  Satu cahaya memercik keluar dari mutiara hijau itu sehingga memanah  biji matanya. Dia silau seketika. Kepalanya serta merta berdenyut-denyut. 

  “Ambil Reza, ambil” bisik satu suara yang menerobos masuk ke dalam mindanya. Reza tersentak kecil. Otaknya ligat berfikir dari mana datangnya suara itu tadi atau semuanya hanya khayalannya semata-mata? 

  Reza memandang ke arah Amran sekilas. Tanpa berfikir panjang, dia segera mengambil mutiara berwarna hijau itu lalu memasukkannya ke dalam beg silang sambil tersenyum puas. 

  “Kau rasa ini tempat apa?” jerkah Amran. 

  “Entah, gua misteri kot” teka Reza tergagap-gagap. Mujur sahaja Amran tidak melihat perbuatannya tadi. 

  “Aku rasa mungkin tempat ini yang penduduk kat sini maksudkan”

  Laju Reza berpaling memandang Amran. “Maksud kau?”

  “Bilik misteri dalam bangunan ni” jawab Amran dengan takjub sekali. 

  “Aku pun fikir benda yang sama” 

  “Tapi, aku rasa kita tak jumpa dah jalan keluar ni! Macam mana kita nak keluar dari tempat ni” Amran tiba-tiba jadi gelabah. 

  “Rileks, mesti ada jalan keluar. Jom ikut aku kat sini” panggil Reza lalu menuju ke satu kawasan yang agak lapang tidak jauh dari tempat mereka berdiri. 

  “Yuks, apa benda pula ni?” tanya Reza lalu menghidu tapak tangannya. Amran turut sama menghidu. 

  “Eh, macam bau minyak. Bak sini obor tu” gesa Amran setelah menghidu permukaan jalan seakan tembok kecil yang terkena tangan Reza tadi. 

  Seketika kemudian Reza datang membawa obor dan menghulurkan kepada Amran. Permukaan tembok kecil yang berminyak itu dinyalakan api menggunakan obor. Kawasan serta merta menjadi bertambah terang dengan adanya cahaya api yang menjalar dan memanjang mengelilingi ruang sehingga ke hujung tembok tersebut. 

  “Aku rasa itu peta yang kau maksudkan” Tunjuk Reza pada satu sudut. Amran tergesa-gesa menuju ke arah yang dimaksudkan Reza. Dia jadi tidak sabar. 

  “Aku rasa tempat ni bahaya, kau tak rasa pelik ke?” soal Amran ketika sibuk memunggah beberapa meja yang menutupi sebuah peti kayu dengan tulisan jawi yang diseliputi habuk yang tebal menebal. Sarang labah-labah turut sama menutupi peta itu. Kelihatan seperti tidak pernah terusik. 

  “Jangan cakap bukan-bukan” tegur Reza, tegas. 

  “Tarik tu keluar” arah Amran yang masih berusaha memunggah. 

  Reza hanya mengikut sahaja arahan Amran. Lagaknya persis lembu dicucuk hidung. Kemudiannya dia menarik peti itu lalu meniup debu. Jari jemarinya turut sama memainkan peranan, meramas lembut peti tersebut. Ada satu perasaan halus yang dia sendiri tidak faham bermain dalam hatinya. 

  “Kau rasa apa yang ada dalam peti ni? Aku rasa ini bukan peta. Mungkin harta karun. Kalau harta karun kita bahagi dua” sambung Amran lalu duduk mencangkung di sisi Reza. Tak sabar nak melihat isinya. 

“Peta. Ya aku yakin ini peta. Tapi macam mana nak buka benda ni?” tanya Reza laju. Nafasnya sudah turun naik kerana begitu teruja. 

  “Kau cubalah tekan satu per satu huruf tu. Mana tahu teka teki kunci kau tu betul” Saran Amran tidak sabar. 

  Teka teki yang sudah bermain di dalam benaknya segera ditekan satu per satu. Dengan sekali cubaan peti itu berjaya dibuka. Mereka berpandangan sesama sendiri. 

  “Apa kau tekan tadi?” tanya Amran seperti memaksa. Dia tidak percaya. 

  “Entah, aku rasa macam ada benda sentuh tangan aku” bohong Reza cuba berselindung. 

  “Wei, betul aku rasa tempat ni berhantu” ujar Amran. Liar matanya memandang kawasan itu. Lengannya diusap perlahan. Dia berpeluk tubuh kerana ketakutan. 

  Penutup peta itu segera dikuak. Perlahan-lahan Reza menarik keluar kain baldu yang menutupi isi peti itu. Seperti yang dijangka, terdapat segulung peta yang tersimpan kemas di dalam peti kayu itu. Ianya kelihatan seperti ratusan tahun kerana diperbuat daripada kulit rusa. Zaman moden seperti sekarang mana ada peta dibuat dari kulit rusa melainkan kertas sahaja. 

  Mereka tercengang dan ternganga kerana cerita dongeng yang menjadi buah mulut penduduk di sekitar kawasan itu benar belaka. Otak Reza memeras laju mencari tahu siapa yang membuat kartografi dan pemetaan itu selain putera kedua? Atau ianya sekadar umpan? Bermacam-macam andaian bermain di dalam kotak fikirannya. 

 “Ada manusia!” jerit satu suara. Reza menoleh ke belakang. Amran masih leka memandang peta itu. Langsung tidak melihat mahupun menoleh ke belakang. Busur panah sudah pun dihalakan tepat ke arah mereka. Jarak mereka dengan sekumpulan askar kuda yang bersayap besar itu hanya beberapa meter sahaja. Mereka lengkap dengan pakaian berperisai yang diperbuat daripada emas. Tidak lupa juga burung helang yang lima kali ganda besar dari kebiasaan turut sama berada di situ. 

   “Lari........” jerit Reza sekuat hati. Lintang pukang dia berlari mencari jalan keluar. Amran terkebil-kebil memandang Reza. Oleh kerana masih ketakutan dia membontoti sahaja Reza dari belakang. Anak panah sudah bertalu-talu berterbangan di udara langsung tidak disedarinya.  

  Jauh mereka berlari untuk menyelamatkan diri. Mereka berhenti dan bersembunyi di satu kawasan yang dipenuhi tompok-tompok bulat berwarna-warni dan bercahaya. 

  “Woi kenapa kau lari?” bahu Reza ditolak perlahan. Dia tunduk sedikit memberi ruang untuk bernafas. 

  “Kau tak nampak ke tadi tu?” tanya Reza hairan. 

  “Nampak apa? Kau ni suka betul buat aku takut” marah Amran lagi. 

  Reza hairan, takkan Amran masih tak nampak? Apa yang tak kena ni? Desisnya dalam hati. Dia mendiamkan diri dan menghiraukan pertanyaan Amran. Pandangannya kini kembali pada sekumpulan askar tadi yang tidak berputus asa mengejar mereka. Helang gergasi itu, tidak henti-henti berputar dan berterbangan di udara mengelilingi mereka. 

  “Oh, tidak! Aku tak nak mati disini” keluh Reza. Dia cuba  merapatkan diri pada Amran yang jelas tidak faham apa yang sedang berlaku. 

  “Jangan lari” jerit Helang gergasi yang masih berterbangan di udara.

  Mahu pengsan Reza bila mendengar suara yang datanganya dari atas. Memang sah, helang yang sedang bercakap tadi. Dia semakin gentar sehingga langkah kaki menuju ke satu tanah yang agak lembab. Amran pula hanya mengekorinya sahaja. 

  “Tunggu!” jerit helang itu lagi. Dia seakan menghalang Reza dari pergi. Belum sempat Reza membalas bicara helang itu,  ada satu sedutan kuat menarik mereka masuk kembali ke alam mereka. 

Pap......... 

  “Ai, kenapa kita boleh kat sini?” tanya Amran hairan. Tiba-tiba boleh terbaring dengan posisi terlentang di atas dasar yang keras. 

  “Ha, mana kamu nak lari lagi?” jerit pengawal keselamatan tadi. Badannya yang agak gemuk itu menyukarkan dia berlari dengan pantas. Lampu suluh sudah dihalakan ke wajah mereka. 

  Mereka tersentak dan memandang sekeliling. Pengawal keselamatan itu langsung tidak dihiraukan. Apa nak jadi, jadilah. Yang penting Reza sudah merasa selamat. Amran pula masih terpinga-pinga kerana hairan. 

  “Kau sempat ambil peta tu?” Tanya amran perlahan. Dia melayan mata memandang bintang yang bertaburan di dada langit. Fikirannya masih penuh dengan tanda tanya. Pelik dengan perangai Reza dan pelik mengapa boleh kembali di luar bangunan. 

  Reza hanya mampu menepuk lembut beg silangnya. Dia sudah tidak larat mahu menjawab. Sejurus kemudian mereka memuntahkan ketawa bersama-sama diperbaringan. Tidak percaya dengan apa yang sudah mereka lakukan tadi. 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera