Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,140
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 1

Suasana pada hari itu begitu kelam di ruang mata. Reza melemparkan pandangan sayup ke dada langit dengan minda yang masih kosong. Gumpalan awan tebal yang menyelimuti dada langit kelihatan bagai ombak dan semakin laju berarak di atas kepala seolah-olah mahu mengekorinya ke mana sahaja. Pokok-pokok yang tumbuh merimbun  meliang-liuk dipukul angin liar sehingga menyumbangkan siulan dengan penuh irama.

   Reza berdiri kaku bagaikan patung apabila tin-tin minuman yang berselerakan di atas tanah itu, perlahan-lahan bergerak di  tiup angin dan melantun sehingga terkena kakinya. Dia terus menadah titik-titik air yang jatuh dari langit dengan tapak tangan. Titisan air hujan yang jatuh menitis menimpa atap bangunan yang berhampiran, turut sama menjamah telinga.  

  Oleh kerana cuaca tidak berapa mengizinkan, Reza terpaksa berlari mencari tempat untuk berlindung dari hujan yang semakin deras. Tidak ada lagi tempat berlindung melainkan berjalan melalui lorong kecil di belakang antara bangunan ke bangunan lain. 

  Cuaca sebegini perasaan takut sudah bermaharaja lela di dalam diri. Apalagi, berjalan seorang diri di lorong yang agak sunyi. Masa yang berputar seolah terhenti seketika tanpa suara manusia di kawasan itu. Bunyi-bunyian yang ganas dari atas langit semakin kuat menerobos masuk ke dalam telinganya. Entah marahkan siapa, tiada siapa pun yang berani bertanya.  Lalu dengan perasaan yang gundah gulana dia memasukkan tangannya ke dalam poket jaket sambil tertunduk-tunduk melalui jalan tadi untuk melepaskan perasaan risau yang sudah bergelojak dalam hati. 

  Zuppp.... 

  Reza berpaling laju ke belakang. Tersentak dengan bunyi derap tapak kaki yang memijak permukaan jalan yang basah disirami air hujan. Lopak-lopak air yang bertakung di jalan yang berlubang itu berkocak-kocak memercikkan lumpurnya ke udara apabila ada yang memijaknya dengan kasar. Topi jaket kelabu yang tersarung di kepalanya diselak dengan kasar. Topi supreme yang menjadi alas kedua kepala cuba di betulkan kedudukannya lagi. Sejenak dia mengitari sekeliling kawasan. Namun, kelibat sesiapa pun tidak kelihatan kecuali beberapa orang gelandangan yang sedang menyelongkar tempat pembuangan sampah untuk mencari kotak-kotak, mungkin sebagai alas tempat tidur mereka. 

 “Siapa tadi tu?” soal Reza dalam keadaan panik. Oleh kerana terlalu risau, dia berjalan sambil mengundur ke belakang dengan gemuruh dada yang sudah tidak stabil. Dia risau jika lorong tersebut menjadi lokasi pilihan penagih dadah tegar sebagai sarang mereka. Dia hanya memandang sekilas seorang lelaki yang tertunduk-tunduk sambil menghidu beg plastik berwarna hitam. Namun tiada tanda-tanda bahawa lelaki itu yang menghampirinya tadi. Memandangkan kawasan itu tampak bahaya, Reza menjadi gelabah khuatir diberkas polis nanti dia pun turut sama meringkuk dalam penjara. Langkah kakinya kini dipercepatkan lagi.

  Ting.. Ting.. Ting... 

  Reza menoleh sekali lagi. Dia mengintari kawasan itu dengan debaran yang bertambah ganas memukul dadanya. Tiada apa-apa yang aneh dilihatnya melainkan satu cincin batu klasik yang begitu memukau dengan cahaya hijau yang berkilau sudah bergolek-golek menghampirinya. 

  Reza tunduk lalu mencapai cincin batu tersebut. Dia lantas mendongak melihat atas bangunan itu jikalau ada sesiapa yang  sengaja membuangnya daripada tingkat atas. Dalam kesamaran itu, matanya terus tertancap pada bayang-bayang seorang gadis yang begitu ralit memerhatikannya di sebalik langsir jendela yang agak nipis. 

  “Pelik, bukan dia punya ke ni? Kalau tak nak aku ambil” sengih Reza sambil melambung-lambung cincin itu ke udara. Baru sekejap dia mengalih pandangan, kini bola matanya sudah tidak dapat lagi terpanah pada kelibat bayang-bayang tadi. Ianya sudah hilang dari pandangan. Reza tercari-cari sendiri. Mana dia? 

  “Agak-agak ni zamrud asli ke? Macam lelaki punya aje, takkan perempuan punya pulak?” tanya Reza sendiri. Cincin batu itu dibelek-belek dengan asyik. Terdapat ukiran tulisan entah apa dia sendiri tidak pasti di dalam cincin batu itu. Dia cuba mengamati ukiran seni di dalam batu itu dengan wajah yang serius. Tiada apa yang istimewa. 

  “Apa-apa aje lah. Janji dapat free” katanya sendiri. Tanpa berfikir panjang, dia terus menyarungnya ke jari manis. Seketika dia terpukau pada percikan cahaya yang memancar keluar dari batu cincin itu. Dalam benaknya membuat tafsiran sendiri, mungkin biasan cahaya matahari di langit hitam? Ah, merepek aje. 

  “Fuh, confirm asli ni!” Reza bermonolog sendiri dengan perasaan yang sarat dengan perasaan teruja. Dia masih berdiri membatu seolah  sudah dipukau dan dikawal oleh satu kuasa. 

 Zuppp..... 

  Reza tersedar dari terus terbuai dengan perasaan terujanya. Dia tersentak kecil tatkla bahunya dilanggar oleh seseorang sehingga dia  terjelopok jatuh di atas jalan itu. Dalam masa yang sama, tiba-tiba sahaja kepalanya terasa berdenyut-denyut setelah dilanggar dengan kuat tadi. Dia menggosok-gosok kepala sambil cuba mencari kelibat lelaki yang melanggarnya tadi. Langsung tiada kata maaf yang terbit dari mulut lelaki itu melainkan berlari pantas meninggalkannya yang sudah duduk melutut dengan wajah yang terpinga-pinga. 

  Reza menjongket kening kirinya, hairan mengapa lelaki yang memakai jaket hitam itu berlari begitu tergesa-gesa. Menoleh tidak, menegur pun tidak. Dia hanya meninggalkan kesan tapak kakinya di atas permukaan jalan yang sudah tenggelam disiram air hujan. Lagaknya persis penjenayah yang menjadi buruan polis. Adakah lelaki itu penagih dadah? Nampak hantu? Terburu-buru agar tidak terperangkap hujan? Atau cincin yang tersarung dijarinya itu benar-benar asli sehingga lelaki itu cuba merampas darinya? Bermacam andaian bergelumang dalam laut fikirannya ketika itu.  

  Reza sedaya upaya menepis andaian yang berpusu-pusu masuk menerjah benaknya. Dia sudah keletihan dengan perkara merepek yang sudah membusut alam fikirannya. Kini, dia menyusuri lorong itu dengan pantas dan akhirmya dia sudah pun berada di hadapan jalan raya berhampiran deretan beberapa buah kedai yang baru beroperasi. Daun-daun kering berterbangan dari berbagai-bagai arah.  Dalam kedinginan itu, sempat dia memandang sekilas pada seorang lelaki tua berpakaian serba kuning sedang duduk di bangku besi yang ada di bahu jalan. Langsung tidak terkesan dengan hujan lebat itu. Dari jauh, lelaki tua itu hanya memerhatikan gerak geri Reza dengan pandangan sayu. 

 Terdetik niat di hati untuk menghampiri lelaki tua itu. Namun, gelombang bunyi yang baru sahaja terhasil menyinggah dahulu pendengarannya. Bagai terpacak dan bergetar gendang telinga Reza apabila bunyi siren yang membingitkan telinga semakin hampir ke kawasan itu. Ada kebakaran? Atau kemalangan? Ah, mustahil! Getus hatinya sendiri. 

  Tidak lama kemudian, muncul sebuah ambulans dan beberapa buah kereta polis menghiasi kawasan berhampiran lorong tadi. Laju mereka menutup dan menyekat kawasan itu menggunakan pita berwarna kuning sebelum kawasan itu diserbu oleh orang ramai. Penagih dadah dan gelandangan tadi, lari lintang pukang  menyelamatkan diri. Lampu berwarna merah sudah berputar dengan ligat menyimbahkan cahayanya ke seluruh kawasan tersebut. Orang ramai berpusu-pusu dan tidak henti-henti datang ke kawasan itu sehingga ada yang menjerit dan mengurut dada melihat kejadian terbabit. Terkocoh-kocoh mereka mengambil gambar menggunakan telefon pintar. Sesekali, terjingkit-jingkit kaki Reza berdiri memijak batuan kecil di atas permukaan jalan  untuk melihat apa yang sudah terjadi. Sempat dia menegur beberapa orang yang lalu lalang di hadapannya namun tegurannya langsung tidak diendahkan.

  ‘Sesak lah, barangkali ada kes rompakan dan pembunuhan. Atau lelaki tadi tu penjenayah? Oh, tak mungkin! Apa yang terjadi eh?’ desis hatinya. Reza cuba membuat andaian sendiri.

  Dummm...!  

  Belum sempat dia melangkah mara ke hadapan, dia sudah tertunduk kerana takut dek dentuman keras petir diselangi sorotan cahaya melintasi ruang langit.  Air mata langit turun bertali temali dan semakin ganas melunaskan tugasnya. Dia menekup telinganya supaya dentuman dahsyat yang bergaung tidak lagi memekakkan telinga. Lelaki tua itu sudah tidak kelihan di bangku tadi. Secepat kilat hilang dari pandangan. Oleh kerana cuaca tidak mengizinkan dia menghampiri kawasan tadi, sepantas arus tenaga elektrik menjana kuasa langkah kakinya berlari dan bertindak masuk ke dalam sebuah kedai serbaneka 7 eleven yang berhampiran. Niatnya untuk melihat kejadian itu terbatal serta-merta. Dia jadi kesal. 

  Reza melemparkan pandangan pada rak-rak makanan di dalam kedai itu. Beberapa detik, bola matanya melekat pada roti dan bun dan dia berkira-kira hendak membeli sebungkus roti gardenia perisa  coklat sekadar menjadi alas perut yang belum diisi sejak pagi lagi. Sejurus itu, Reza mengalih pula pandangan pada mesin vending yang tersedia. Dia tersenyum sendiri. Fikirannya yang sarat dengan tanda tanya serta merta terbang pergi. Roti gardenia yang mahu dibeli tadi, diletak kemas di atas rak yang tersedia. Dia menapak laju menghampiri mesin vending itu lalu menyeluk poket jeansnya yang hampir lusuh dan memasukkan duit ke dalam mesin tersebut.  

  "Reza.... Reza.....!" 

  Baru sahaja hendak menghirup nescafe latte caramel panas yang dibelinya melalui mesin vending tadi, tiba-tiba sahaja suara halus menyapa lembut telinganya. Terkebil-kebil matanya lalu meletakkan semula cawan kertas berisi nescafe itu tadi di atas meja bulat yang tersusun rapi di dalam kedai tersebut. Penutup cawan yang berwarna hitam itu perlahan-lahan dibuka. 

  “Ada orang panggil aku ke?” tanya Reza sendiri. Kemudian matanya liar mencari suara gemersik tadi. Nescafe latte caramel dalam cawan pakai buang itu di gaul menggunakan sudu bersaiz kecil agar menjadi sebati. Otaknya ligat berfikir, fikiran dan telinganya sudah penuh dengan suara-suara yang entah datang dari mana. Tiada sesiapa, kosong! Sempat juga dia menyerotkan pandangan ke arah pintu utama. Namun tiada siapa yang muncul di muka pintu kedai itu. Jika ada pun, pasti loceng akan berbunyi menandakan ada orang yang masuk. 

  Tanpa berlengah, dia membuat keputusan untuk keluar dan mengatur langkah keluar dari kedai itu. Cawan pakai buang berisi nescafe panas dicapai perlahan. Dia menepis jauh suara aneh yang sudah menggangu fokusnya. Langkah kini diatur dengan laju, seakan takut dikejar hantu. Kali ini dia nekad melarikan diri daripada gangguan suara halus itu. Masih terngiang-ngiang di tepi telinganya. Entah apa yang di takutnya, dia sendiri tidak pasti. Dia terus menapak menuju ke kelasnya menyusuri koridor yang bersambung dengan laluan bangunan ke kolejnya. 

  "Reza.....!" 

  Sayup-sayup lagi kedengaran suara itu meramas-ramas gendang telinganya. Semakin lama semakin nyaring kedengaran. Namun sedikit pun tidak diendahkannya. Hatinya bernyanyi riang sambil menikmati Nescafe Latte Caramel yang dibelinya itu tadi lalu berjalan perlahan-lahan kerana lantai yang agak licin menyukarkan dia bergerak dengan laju. Dalam cuaca yang sedingin itu, memang terasa nyaman sekali bila dapat menghirup secawan Nescafe latte caramel. Lebih-lebih lagi masih panas dan belum menjamah sebarang minuman mahupun sarapan. 

  “Reza tunggu aku lah!” Laung Husna. Berlari-lari anak dia membontoti Reza yang semakin lama semakin laju seperti mahu sahaja melarikan diri darinya. Sesekali terdengar deruan nafas Husna menghela nafasnya yang tidak stabil bila berlari semakin laju mengejar Reza. 

  Mata Reza sekejap terarah ke arah cawan pakai buang berisi nescafe itu, sekejap pula menoleh ke belakang. Dia membelek-belek cawan itu tanpa sebab. Mujur sahaja dia tidak jatuh akibat tergelincir laluan yang agak licin. Kasihan Husna yang berulang kali memanggil namanya. Semakin hampir Husna semakin laju kakinya melangkah. Dia sendiri tidak tahu ke mana langkah kakinya itu dibawa. Hendak menuju ke kelas atau tidak. Dia merasakan ada sepasang mata galak sedang memerhatikan gerak gerinya selain Husna. Tapi siapa? Takkan lelaki tua tu tadi? Apa yang lelaki itu mahu darinya? 

  "Reza!" 

  Tubuhnya seolah-olah digoncang kuat. Lantas, dia berhenti di pertengahan koridor itu dengan mengejut. Dia berdiri menghadap wajah Husna yang masih berusaha menghampirinya dengan kening berlapis tiga. Dia tahu, gadis itu sedang bertarung dengan perasaannya sendiri. 

  ‘Apa dia nak lagi’ Desis hati Reza apabila melihat teman baiknya itu tidak henti-henti mengejarnya. Fikirannya jadi bercelaru, dia memandang wajah Husna dari jauh dengan pandangan kosong. Tiada apa yang menarik minatnya melainkan bunyi derap tapak kaki Husna yang semakin dekat menghampirinya.

  “Wei penat tau aku kejar kau. Susah sangat ke nak tunggu. Dah lah semalam aku pergi rumah kau, kau takde, aku call pun kau tak jawab!” Marah husna dengan nafas yang tercungap-cungap. Tubuhnya di bengkokkan sedikit untuk mengambil ruang bernafas. Tapak tangan berpaut pada lutut yang sudah berketar-ketar. Penat mengejar Reza yang mahu menjauh dan melarikan diri darinya. Mungkin Reza masih marah akan kejadian lepas. 

  “Kau nak apa lagi? Kalau ada benda nak cakap, cakaplah sekarang. Aku dah lambat ni” Jawab Reza endah tak endah. Dijelingnya Husna dari atas hingga ke bawah. Kemudian dia berlalu meninggalkan Husna yang sudah terkebil-kebil melihat tingkah lakunya. 

  Reza menuju ke kelas dan bersiul riang sambil memutar segugus anak kunci di udara. Cawan pakai buang yang sudah kosong, dilontar tepat masuk ke dalam tong sampah. Sempat lagi dia menggerling jam tangan di pergelangan tangannya. Jika di layan temannya itu, nanti tak henti-henti soalan yang sama akan dikemukakan kepadanya. Tahu lah Husna selagi tak dapat jawapan, selagi itu dia akan menyiasat sehingga mendapat jawapan yang sesuai dengan hatinya. Dia tidak mahu membuang masanya disana. Dalam benak fikirannya pada masa itu hanya memikirkan masa.

  “Kurang asam betul mamat ni, boleh pulak dia buat tak tahu! Argh, tak boleh jadi ni! Aku kena buat sesuatu” bebel Husna sendiri. 

  “Woi Reza tunggulah dulu. Aku tak habis cakap lagi ni” Laung Husna geram, dia masih lagi mahu mengejar Reza dari belakang. Kaki dihentak sekuat hati tanda protes dan minta dipujuk teman baiknya itu. Dia masih tidak mahu berputus asa. Dia harus membalas dendam. 

  Prakkk.....

  “Aduh, siapa lagi cari nahas dengan aku ni” Keluh Husna berbaur rungutan. Kertas-kertas kerja yang berada dalam genggamannya serta merta terjatuh apabila dilanggar oleh dua pelajar yang seronok berlari tanpa memandang sekeliling. Dia tidak tahu hendak marah atau hendak memaki. Yang pasti dia hanya mampu menatap kertas-kertas yang sudah berserakan di atas lantai yang agak lembab itu dengan pelbagai emosi yang sudah hadir dalam dirinya. Hembusan perlahan angin yang masuk ke dalam ruangan koridor tanpa dinding itu membuatkan lagi beberapa helai kertas terbang menjauh seakan-akan mereka boleh bernafas dan mempunyai sayap.

  "Eh. Awak, saya tak sengaja lah!" ucap gadis sebaya dengannya lalu menggaru kepalanya yang jelas sekali tidak gatal. Tidak cukup itu sempat dia menyalahkan temannya yang berdiri di tepinya dengan  menolak menggunakan siku. 

  "Awak, dia ni yang tolak saya sebab kami dah terlewat masuk ke kelas! Awak marah ke?" Tanya Azra dengan nada mendatar. 

  Husna mengetap bibir geram. Dia cuba mendiamkan diri agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat. Sakit pula hatinya. Mahu sahaja asap berkepul-kepul keluar dari corong telinganya. Boleh pulak budak dua orang ni langsung tak minta maaf. Acah-acah ambil berat pulak tu! Husna bermonolog sendiri antara hati dan perasaan.

  Cepat sahaja Azra dapat mencerna akan raut wajah Husna yang sudah berubah 100 peratus. Dia tersengih lalu menatap wajah tegang itu dengan perasaan bersalah yang sudah menguasai dirinya. 

  "Awak, tadi dia ni yang tolak saya. Saya betul-betul tak sengaja. Kami tak perasan. Tu lah, dia ni punca utama" rungut Azra sambil menunding jari telunjuknya ke arah temannya yang berdiri tegak di sebelahnya. Masih buat muka bodoh sambil berpeluk tubuh. 

  "Eleh, kau yang langgar dia, bukan aku! Jadi kau lah yang salah!" Bidas Faiq selamba. Dia sudah mengomel sendiri tanpa mengendahkan Husna yang sudah mengutip satu per satu helaian kertas yang jatuh berserakan di atas lantai basah yang tiada lapisan jubin mozek. 

  "Excuse me! Kau yang tolak aku tadi lah!" Marah Azra sambil menolak dada bidang Faiq. 

  "Habis kau nak tuduh aku lah ni? Itu lah lembab sangat! Semua lah salah aku. Terang-terang kau yang salah. Lambat sangat jalan!" bidas Faiq tidak mahu mengaku kalah. 

  “Kau mengaku aje lah, susah sangat ke!” selamba Azra menjawab. Panas hatinya sudah tidak dapat dibendung! Diperhatikan Faiq dari atas hingga ke bawah sambil bercekak pinggang.

  "Dah, aku tak nak dengar lagi. Lebih baik kita blah sebab aku takde masa nak bergaduh dengan kau kat sini. Dah lah hujan lebat. Suara kau tu buat pekak telinga aku aje!” Faiq tidak memberi Azra peluang untuk menyalahkan dirinya. 

  "Habis takkan kita nak tinggalkan dia macam ni aje? Teruklah kau ni!” tegur Azra perlahan. 

  “Kalau kau nak tolong, kau pergi lah tolong sendiri. Go ahead. Aku tak nak”

  “Kau ni, memang nak kena penampar. Perangai tu tak pandai berubah! Ada aje alasan kau! Entah pergi mana aje kau tadi” jeling Azra tajam, menikam. 

  "Boleh tak korang tolong diam..........! Sesak aku dengar tahu tak!” Marah Husna sambil menutup telinganya. Dia menjerit sekuat hati sehingga bergema suaranya di serata ruangan koridor itu. Suaranya terpantul berulang-ulang dan masuk kembali ke dalam telinganya seakan dia berada di dalam gua. Muka dua pelajar yang jelas tidak pernah dilihatnya di pandang silih berganti. Dia mendengus kasar kerana menahan marah. Mahu saja dia menghadiahkan segenggam penumbuk di wajah mereka yang masih tidak faham erti rasa bersalah. Langsung tiada kata maaf terbit dari mulut mereka. 

  Mereka bungkam seketika. Agak terkejut dengan jeritan Husna yang tidak disangka-sangka. Nampak lembik aje tapi suara tak sesuai dengan tubuh badan yang kecil molek. 

  "Korang tahu memekak aje! Tak tolong aku pun. Ish, tak faham betullah aku! Cuba korang tengok semua ni, habis bersepah kertas kerja aku! Minta maaf pun tak reti! Memang kalau dah bodoh!" Wajah dua pelajar itu ditunjuk berkali-kali. Puas hatinya. Perasaan marah yang membuak-buak umpama gunung berapi yang bersiap sedia hendak memuntahkan larvanya sudah meletus dan menyimbahkan larva ke seluruh tempat. Dia sudah tidak peduli siapa mereka. Jika dia tidak menyuarakan suara hatinya, pasti habis dia dipijak-pijak oleh dua pelajar itu.

  “Apa, apa kau cakap tadi? Aku tak berapa dengar. Boleh kau ulang sekali lagi” Azra kembali menyoal Husna dan dia semakin dekat menghampiri Husna. Telinganya sudah dapat menangkap dengan jelas ungkapan yang keluar dari mulut Husna tapi sengaja dia bertanya. 

  “Pekak ke? Aku cakap korang bodoh! Lain kali, kalau korek telinga tu biar betul-betul. Jangan tinggalkan sisa di dalam!” jeling Husna geram. Dia masih tunduk dan mencapai kertas-kertas yang berselerakan di atas lantai. Beg yang disandang di bahunya dilepaskan dengan begitu mudah. Tak pasal-pasal jadi nenek-nenek si bongkok tiga pulak dia. 

  “Oh, bodoh ye? Sedapnya mulut kau kata kami bodoh! Mulut ada insuran ke tak!” balas Azra dengan kesat. Otaknya ligat mencari idea untuk menghentam Husna semula. 

  “Habis takkan aku yang bodoh pulak? Sah-sah korang yang salah! Susah sangat nak mengaku?” bidas Husna bertempat. 

  “Kau ni..!” tunjuk Azra di wajah Husna. Dia tunduk sedikit. Wajahnya hanya empat inci dari wajah Husna. Tak pasal-pasal dia pulak yang mengamuk. Pantang bila ada yang memanggilnya bodoh. 

  “Eh, korang ni tak habis-habis lagi ke? Takkan nak bertekak kat sini? Benda boleh bincang pun nak gaduh! Rileks, jadi matang sikit” Cantas Faiq yang sudah mula muak dengan situasi itu. 

  Menggelegak perasaan marah Husna. Mahu sahaja dia menyiat-nyiat kulit dua pelajar itu. Boleh pulak dia yang dipersalahkan, padahal dia adalah mangsa kekejaman mereka. Celaka! Menyumpah serapah dia dalam hati. 

  “Kau pun sama jugak! Cakap tak serupa bikin! Ada hati nak tegur orang!” sindir Husna kuat, tegas. 

  Faiq tersengih jahat. Segaris senyuman sinis dipamerkan kepada Husna. Wajah Husna sudah bertukar menjadi merah padam. Sudahlah kertas kerja rosak, diajak bergaduk pulak. Betul-betul cari nahas! 

  “Arghhhhhh! I’am in a deep shit!” Omel Husna dengan kesal.

  Reza yang perasan dan terdengar suara Husna, serta merta menoleh ke belakang. Laju kepalanya berpaling ke belakang, memastikan tekaannya betul dan tepat. Dia mengecilkan sedikit matanya, memandang Husna dari jauh beberapa meter dari tempatnya berdiri. 

  ‘Apesal Husna ni, tak habis-habis cari gaduh dengan orang. Gengster betullah budak ni’ Reza bermonolog sendiri dalam hati sambil menggeleng-geleng kepalanya. 

  "Faiq, Azra, Husna....!" Jom masuk kelas masing-masing. Nanti lewat pula” Laung Reza sambil jari telunjuknya memberi isyarat dan menunjuk ke arah jam G-shock di pergelangan tangannya. Sengaja dia menyampuk agar tidak terjadi lagi perbalahan antara mereka. 

  Husna memandang ke arah Reza dengan mulut ternganga. Terpinga-pinga dan terkebil-kebil matanya seperti seorang kanak-kanak kecil yang baru bangun dari tidur sambil menggosok mata. 

  "Reza!” tengking Husna sambil menatap wajah itu dari jauh. Kaki dihentak sedikit, buat gaya manja. Sakit pulak hatinya. Baru nak mengamuk, boleh pulak Reza masuk campur! Menyusahkan betul. 

  “Kenapa?” jerit Reza selamba. Dia mengangkat sedikit dagunya sambil bertanya. 

  “Dah, jom kita blah. Kalau dilayan sangat perempuan ni boleh gila kita dibuatnya” cantas Azra sambil menyindir. Tidak berkerlip matanya menjeling Husna seperti mahu memakannya hidup-hidup.

    Husna buat muka selamba, langsung tidak dihiraukan jelingan itu. Berkali-kali dia memujuk hatinya sendiri supaya tidak mengendahkan dua pelajar itu. Yang pasti tumpuannya sudah pada Reza yang masih berdiri tercegat tidak jauh dari kedudukannya. 

  ‘Kurang asam betullah dia ni. Boleh pulak dia buat bodoh tak nak tolong aku. Perangai tak ubah macam dengan budak dua ekor ni. Dunia ni memang tak adil! Huh, sampai hati dia’ Marah Husna dalam hati. 

  “Tunggu apa lagi tu, Husn. Cepatlah!” panggil Reza dengan lantang. Suara garau itu dikuatkan sedikit agar tidak tenggelam dek bunyi hujan yang sudah jatuh bertali-temali menghempap atap bangunan itu. 

Husna mendengus kasar. Dia mencapai beg komputer ribanya yang diletakkan di atas lantai lembab itu sebelum mengorak langkah membontoti Reza yang semakin lama semakin hilang dari pandangan. 


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera